Truyen3h.Co

Love Riddles

Bab 7

karyaseni2u

"Hai semua."

Hari ni rajin pula Faiza turun padang pukul lima petang. Itu pun semata-mata nak jumpa Luth. Siap bawa bekal lagi.

Danny mendengus sebelum menapak pergi, tinggalkan Luth dengan Amir dan Ejad. Faiza hanya memandang tindakan Danny. Teruk sangat ke aku? soal hatinya.

"Kenapa dia tak suka saya?"

"Entahlah." Luth pun tak sampai hati nak cakap perkara sebenar.

"Ada air tak? Nak," tegur Ejad. Dahaga.

Faiza tersenyum pandang Ejad. Kan kena beramah mesra dengan kawan-kawan Luth. Kalau tak, jangan haraplah dia nak senyum-senyum ni semua. Untuk Luth aje boleh.

"Thanks. Mana dapat roti dengan tuna ni?"

"Beli tadi." Dia pandang Luth. Luth tak nak jamah makanan yang dia bawa ni ke?

"Luth, awak tak nak ke? Rasalah sikit." Dihulurkan satu roti.

"No, thanks."

Amir dengan Ejad dah tergelak.

"Luth tak suka makan lepas bersukan. Awak kena tunggu lagi dua jam kut baru dia makan roti-roti ni."

"Oh..." Sebab tu ke? Ingatkan tak sudi tadi. Dapat juga tahu satu lagi benda pasal Luth ni. Macam berguna juga rapat dengan kawan Luth ni.

"Apa lagi yang Luth tak suka?"

Masa Luth ada pula tu dia bertanya. Tapi Luth tak dengar kut, sebab dia kalau membaca memang tak sedar dunia sekeliling dia.

"Ermmm... Tak banyaklah yang saya tahu. Kalau nak tahu lebih kena tanya Danny sebab dia satu bilik dengan Luth. Yang saya tahu Luth ni tak suka makan makanan pedas. Perut dia tak tahan, kalau makan nanti mesti muntah. Lembik, kan?"

Tak patut betul kutuk Luth, dahlah boleh ketawa pula tu. Kesian Luth.

"Oh... Lagi?"

"Dia ni anak tunggal."

"Ohhh... Lagi? Lagi?" Makin bersemangat nak tahu lagi.

"Dia suka warna hitam dengan biru, tak suka minum air sejuk. Bukan jenis kaki lepak, tapi memang suka sangat tengok bola."

Wah... Bertuahnya dapat lelaki macam ni. Kalau bab kaki suka bola tu tak ada hal la, dia boleh terima.

"Lagi?"

"Dia dah ada girl yang dia minat."

Mata Faiza membulat. Hati terasa pilu tiba-tiba. Siapa? Siapa? Nak tahu. Nak tahu sangat. Hatinya memberontak.

"Dah lama dia minat girl tu. Cantik, comel, gila-gila..."

"Dah-dah, tak payah nak mengarut lagi. Kau pergi masuk main game tu dulu. Ada ke patut nak bagi tahu semua pasal aku dekat Faiza ni?" Nasib baik Luth sempat hentikan kata-kata Amir ni. Kalau tak, semua pun mesti dia cerita.

"Yalah. Takut sangatlah kau ni, semua pun dah tahu kut."

"Blah la." Sempat dibaling botol air kosong ke arah Amir. Tergelak-gelak dia orang.

"Betul ke?"

"Apa yang betul?"

"Pasal girl tu. Awak ada minat sesiapa ke?"

Luth mendengus. Ni Si Amir punya pasallah. Kan dia ni dah banyak tanya sekarang. Tu yang dia malas nak kecoh.

"Yup. Memang ada."

Faiza tersentap! Apabila dengar dari mulut Luth sendiri, rasa berganda sakit.

"Siapa dia tu? Saya kenal ke?"

"Entahlah. Mungkin ya, mungkin tak. Kenapa nak tahu dia siapa?" Ada curiga juga. Sebab tadi nampak jelas muka Faiza berubah. Cemburu? Rasanya mungkin betul.

"Saja, nak kenal gadis pilihan awak. Nanti boleh saya berkenalan dengan dia?" Air mata yang nak mengalir ditahan. Sakitnya. Kenapalah dia mengada-ada sangat nak tawan hati Luth ni? Kan dah rasa sakit sekarang.

Luth nampak. Luth perasan air mata yang bergenang tu. Semua dah terjawab sekarang. Memang betul rupa-rupanya Faiza ni sukakan dia. Tapi sorry, hati dia dah terisi. Dia tak boleh terima.

"Suatu hari nanti. Suatu hari nanti saya akan kenalkan dengan awak. Insya-Allah."

"Bila?" Faiza tak sabar nak jumpa dengan gadis yang berjaya memikat hati Luth ni. Mesti dia cantik, lagi hebat. Sebab tu mungkin Luth pilih gadis tu.

"Suatu hari nanti. Mungkin masa tu pun awak dah ada boyfriend." Luth tertawa.

Terpandangkan ketawa Luth tu, air mata Faiza mengalir. Kenapa aku tak boleh miliki hati lelaki ni? Dia bukan untuk aku ke?

"Luth... Masuk! Sampai bila kau nak duduk situ? Jom mainlah." Kuat Danny memanggil. Sakit hati tengok Faiza ni. Sengajalah tu nak ambil peluang masa yang lain sibuk bersukan. Macam tak malu aje datang sini. Dahlah satu padang ni penuh dengan lelaki aje.

"Sorry la awak, saya kena masuk main dulu. Awak baliklah, panas ni. Duduk sini pun bukan boleh buat apa-apa."

Faiza memandang larian kecil Luth memasuki padang. Dia perasan jelingan Danny. Kenapa lelaki ni tak suka dia?

Naural menggaru kepala. Sekarang ni dia di dalam kelas Mathematical Modelling. Subjek killer semester ini. Susah betul nak faham apa yang pensyarah ni ajar.

Naural mendengus. Geramnya! Dia tengok budak-budak di barisan depan tengah bercakap. Bisinglah...

"Shusshhh... Shusshhh."

Terus diam. Magik, kan? Itulah kuasa perkataan 'shussh... shussh'. Tiap kali guna mesti akan berjaya.

Barisan yang depan semua poyo aje. Buat-buat fahamlah tu. Tapi dia orang dikira agak bijaklah. Stok-stok untuk ditiru tu. Itu yang pentingnya kawan-kawan baris depan macam ni masa zaman universiti.

"Weh! Kau kenapa ni?" Pelik juga Naural dengan Si Faiza ni. Dalam dua tiga hari ni diam aje. Apabila dia tanya bukannya nak jawab. Ada masalah dengan lelaki nama... Nama apa, eh? Lupalah.

"Tak ada apa." Tekun Faiza pandang depan. Tapi bukan baca slaid atau dengar apa yang pensyarah tu cakap, dia tengah fikir tentang Luth dengan perempuan yang Luth suka tu. Siapa girl tu? Dia nak sangat jumpa. Gadis yang sama masa dekat Mid Valley tu ke?

Naural mencebik. "Okey. Apa-apa ajelah, Iza." Terus dia pandang depan. Kalau Faiza ni tak nak bagi tahu dia pun malaslah nak desak. Hal dia, urusan dia kan. Biarkan dia selesaikan sendiri.

Faiza hanya diam. Dia memang tak ada mood langsung nak cakap. Tapi dengan Naural ajelah. Sebab dengan orang lain dia okey aje, boleh aje bergelak tawa. Naural yang tengok pun terasa.

Faiza salahkan Naural sebab desak dia dekati Luth dulu. Kalau Naural tak paksa mesti dia tak payah dengar kebenaran yang memilukan hati dia tu. Mesti dia tak akan kena perli dengan kawan-kawan Luth. Mesti lepas kejadian Mid Valley tu dia dah okey. Tapi sekarang, dia jadi makin teruk. Rasa sakit sangat!

Habis aje kelas, Faiza terus melangkah keluar. Langsung tak tunggu Naural. Naural hanya mampu pandang ajelah. Dah berkali tanya pun jawapan Faiza hanya...

"Tak ada apa-apalah."

"Aku okey aje..."

Sampai dia malas dah nak bertanya. Membazir masa dan tenaga mulut dia aje. Laju tangan dia mengemas buku yang bersepah.

"Naural, nak main boling tak?"

"Main boling? Dekat mana?" Kejap aje Naural dah happy balik. Dia memang suka sangat main boling. Dari dulu dia memang juaralah main permainan tu. Tapi dah lama juga tak main ni, masih juara lagi ke?

"Dekat Times Square. Nak tak?"

"Jauhnya. Tempat lain tak ada ke? Aku malaslah nak berhimpit dalam tren tu nanti. Kau tahulah keadaan dalam tren jam sekarang ni macam mana, kan?" Tadi sempat dia tengok jam kejap. Dah pukul dua petang. Kejap aje rasa masa berlalu.

"Tak payah naik trenlah. Kita pergi naik kereta, ada yang drive. Nak ikut tak?"

Mata Naural bersinar-sinar. Serius? Ada kereta? Syoknya... Senang hidup. Tapi Faiza macam mana?

"Faiza?"

Lama Dila berfikir.

"Ermmm... Susahlah. Sebab sekarang ni termasuk kau dah enam orang. Aku ajak kau pun sebab tahu kau ni gila boling. Faiza tak dapat join." Teragak-agak juga Dila nak cakap, sebab dia tahu Naural dengan Faiza ni agak rapat.

"Oh... Ya ke?"

Lama dia ambil masa nak fikir. Kalau duduk dalam bilik pun bukan ada apa nak buat, kan?

"Aku nak join la. Aku pun tension duduk menghadap dinding, katil dengan meja kat dalam bilik aku tu."

"Yeah! Cukup orang dah. Aku pun tak pernah keluar dengan kau lagi kan sebelum ni? Okey, hari ni kita enjoy!"

Naural tertawa. Comel tengok telatah Dila ni. Dia orang memang satu kelas, tapi Dila ni dulu nampak macam sombong, tu yang dia tak berapa nak rapat dengan Dila. Tapi sejak hidup berjiran ni dia baru tahu rupa-rupanya Dila ni gila-gila macam dia juga. Seronok juga dapat luangkan masa dengan Dila dengan geng dia ni. Boleh tambah lagi kawan, ni pun semester akhir, kan?

"Jom Naural, solat dulu dekat atas then kita pergi Times. Kau pernah pergi sana tak sebelum ni?" Dila tarik tangan Naural, dahlah dia orang lalu sebelah Faiza yang tengah sibuk berborak dengan geng lain. Boleh pula Faiza tu buat macam tak kenal dia? Sampainya hati.

30 minit lepas tu semua pun menuju ke kereta. Masa dah nak dekat tu baru Naural perasan rupa-rupanya Faiza dengan geng tu ada lagi dekat foyer ni. Tak tahulah buat apa. Tapi nampak rancak sangat berborak. Masih sama macam tadi, dia buat tak nampak Naural.

Apa salah aku, Iza? Kenapa layan aku macam ni? Kalau aku yang salah bagi tahulah, tapi tolong jangan diam, jangan jauhkan diri. Semua ni buat hati aku sakit. Air matanya yang mengalir dikesat. Dia tak nak Dila dengan yang lain perasan. Masuk aje ke dalam kereta, laju kereta tu meluncur pergi. Meninggalkan kawasan foyer jauh di belakang.

"Apa dah jadi antara kau dengan Iza tu, Naural?"

"Hah?" Dia orang nampak ke? Apa nampak sangat ke layanan dingin Faiza kepada dia? Tapi memang agak ketara sangat. Dah seorang ke timur seorang lagi tercicir ke selatan.

"Nampak sangat, eh?" Kepala digarukan. Tak tahu nak cakap apa ni.

"Nampaklah, bukan aku aje yang perasan tapi semua budak dalam ni pun sama."

"Betullah Naural, kita orang memang nampak. Yalah, selalunya kau asyik berkepit dengan Iza tu aje, tapi dua tiga hari ni dah tak pula. Balik dengan pergi pun dah asing-asing, kan?" Diana mencelah.

"Entahlah Diana, Dila. Aku pun tak tahu apa dah jadi sebenarnya ni. Tiba-tiba aje dia buat perangai macam tu."

"Kau tak cuba tanya ke? Mana tahu ada yang dia tak puas hati ke?" Dengan baik hatinya Dila menasihati.

"Aku dah cuba. Banyak kali dah, tapi dia tak nak bagi tahu pun. Dia macam nak jauhkan diri dari aku pun ada. Entahlah Dila, peninglah fikir semua ni. Sakit kepala aku. Sebab tu aku ikut kau keluar ni, mana tahu boleh lupakan masalah ni terus nanti."

"Kesian kau, kan. Tak apa-tak apa. Enjoy aje main boling dengan kita orang hari ni. Gerenti. Dijamin. Kau mesti happy punyalah, sampai nak tambah game lagi nanti."

"Harap-haraplah. Aku pun memang dah lama kut tak main boling ni. Dah hampir dua tahun juga. Rezeki akulah kiranya hari ni, kan?" Syoknya. Tak sabar dah.

"Serius dua tahun tak main?"

"Yalah. Aku kan dah cakap tadi yang aku malas nak berasak dalam tren tu. Panas kut, dengan bermacam orang ada dalam tu. Sakit mata aku tengok."

"Poyo la kau ni, nak main ajaklah aku. Itulah, sombong dengan aku lagi dulu. Kalau tak, mesti tiap minggu kau boleh join kita orang pergi main."

"Tiap minggu?" Terkejut dia dengar kenyataan Dila tu.

"Yalah, boling ni yang boleh kurangkan tekanan kita orang. Sebab tu dah jadikan macam satu hobi."

"Bestnya..."

"Memanglah best, lain kali kau join kita orang, okey? Kita orang pun tak kesah kalau kau ikut sekali. Lagi ramai lagi best kan, dapat luang masa sama-sama sebelum semua makin jauh. Ni pun dah semester akhir kita. Lepas ni dah memang susah nak jumpa."

"Haah, kan? Semester akhir..." Tapi Faiza nak jauhkan diri dari aku pula. Sedihnya... Nasib baik ada Dila and the gang ni. Taklah rasa sunyi sangat dia nanti. Tapi Faiza... Okey, lupakan kejap perihal dia. Tak payah nak menambah rasa sakit hati tu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co