Truyen3h.Co

Luruh (Bab Percuma)

Bab 3

karyaseni2u

DIA baru saja masuk di ruang tamu rumah teres setingkat yang menjadi tempat tinggal mereka sejak beberapa bulan lalu. Duduk bersama helaan nafas yang mengah dan tersekat. Dia pegang dahinya. Bahang kian terasa malah sakit pada seluruh tubuh kian mencucuk. Tak tertahan. Lantas, dia bangkit berlalu ke dapur... membuka almari mencari ubat bagi melegakan kesakitan. Tak cukup satu, tiga biji sekali ditelan.

"Kau dari mana, Neen?"

Daneen letak muk di dalam singki. Membasuh muka yang masih tertinggal kesan darah sebelum menoleh dengan senyuman tipis. Kesakitan itu dihalau jauh daripada terus bertamu pada wajahnya.

"Aku ada hal sikit dekat luar. Kau dah makan? Mama mana?" soalnya pada Daneena.

"Mama ada dalam bilik. Sejak pagi tak keluar..."

"Mama tak makan ke?" Dia mula risau dengan jawapan Daneena.

Bila Daneena menggeleng, dia mengeluh tipis. Berlalu ke luar tapi suara Daneena menahan langkahnya.

"Kau ada pergi jumpa Mufid?"

Hati yang sedia bengkak, tambah berdenyut dengan soalan Daneena. Dia geleng tipis tanpa memandang kakaknya. Tak sanggup nak tatap wajah yang sentiasa berharap itu.

"Betul ke berita yang dia nak bertunang dengan perempuan tu?"

Kali ini, Daneen menoleh. Mendekat pada Daneena yang sedikit rendah daripadanya. Wajah yang dulu berseri, kini tidak lagi seperti dulu. Ada masa, sangat pucat. Matanya pula sembap. Pipinya menjadi sangat cengkung. Tamparan ini sukar untuk mereka terima.

"Itu hak dia, Neena. Benda dah lama berlalu. Ada baiknya kau terima yang kau dengan dia tak ada jodoh. Jangan jadi bodoh sangat, Neena. Berapa kali aku nak cakap, jangan merayu pada yang tak sudi. Kau akan nampak jijik sangat di mata orang mata tu..." nasihat Daneen perlahan.

Daneena diam. Tunduk. Air matanya kembali mengalir. Bila dia angkat mata, Daneen terpaksa alihkan pandangan ke arah lain. Telah dia katakan, dia tak akan pernah sanggup untuk menatap mata itu.

"Senang kau cakap, Neen..." ujar Daneena.

Daneen kerut kening. Tak jelas di pendengarannya.

"Senang kau cakap, kan?" Bahu Daneen ditolak.

Tanpa sebarang persediaan malah tubuh yang sudah sedia lemah, Daneen terdorong beberapa langkah ke belakang hinggakan tubuhnya rapat pada dinding dapur. Wajahnya menyeringai menahan sakit. Nafasnya tercungap-cungap. Air matanya mula jatuh.

"Senang kau cakap sebab bukan kau yang lalu semua tu!" tuduh Daneena bersama tangis yang makin kuat.

"Bukan macam tu, Neena. Aku faham. Aku dah terlebih faham menderitanya kau..." pujuk Daneen perlahan. Biarpun, hakikatnya dia mahu meraung bila Daneena menuduhnya. Jika Daneena dan mama menderita, dia juga sama.

Kenapa mesti hanya Daneena nampak sukar sendiri? Kenapa Daneena tak pernah nampak kesukarannya? Selama dua tahun ini, apa yang dia tak lakukan. Tahukah Daneena, Mufid hampir merenggut harga dirinya bila dia pergi merayu lelaki itu dulu.

"Apa yang kau faham, Neen? Apa?" Daneena terus menjerit.

"Kalau bukan sebab ayah, semua ni tak akan jadi. Semua salah ayah!" tempiknya lagi.

"Bukan macam tu, Neena. Jangan salahkan ayah. Aku yakin ayah sendiri tak pernah minta semua ni jadi..."

"Tak, memang salah dia. Aku menyesal jadi anak dia. Aku benci ayah. Semua salah dia! Salah dia!" jerit Daneena lebih kuat.

"Neena!" Serentak itu, Daneen menampar pipi kakaknya sekuat hati.

Dia kemudian menekup mulut. Bagai baru tersedar. Rasa bersalah menguasai diri bila dia telah menyakiti Daneena.

"Neena, aku..." Daneen mahu mendekat tapi Daneena melarang keras.

"Aku minta maaf, Neena. Aku tak sengaja. Tapi, kau tak boleh cakap macam tu tentang ayah. Bagi aku masa sikit, Neena. Aku tahu aku salah sebab dah janji dengan kau. Tapi..."

"Ya..." Suara Daneena tiba-tiba menyekat suara Daneen. Dia ketawa kecil.

"Kalau bukan sebab kau tak mampu buktikan ayah tak salah, semua ni tak akan jadi. Mufid tak akan tinggalkan aku dan pergi pada perempuan lain. Sekarang, kau tampar aku sebab apa yang aku cakap ni semuanya betul dan kau tak boleh nak terima! Kau tengoklah apa yang kau dah buat, esok keputusan untuk kes ayah. Apa yang kau dah buat? Apa yang kau janji? Semuanya palsu! Kau tu penipu!" tuduh Daneena tanpa belas.

Usai berkata demikian, Daneena terus berlari masuk ke bilik. Pintu dihempas kasar. Daneen tertegun di situ. Memandang telapak tangannya yang sedikit merah. Air matanya mengalir lagi.

Aku minta maaf, Neena. Tapi, kau tak tahu... aku juga menderita.

Dia meraup wajah sendiri menyembunyikan tangis. Jika sebelum ini, dia hampir tak menitiskan air mata bila dia tak putus memujuk mama dan Daneena. Dia pula hanya mampu memujuk diri sendiri.

"Neen?"

Daneen palingkan wajah. Mama muncul dengan kerutan di dahi. Melihat padanya penuh tanda tanya.

"Neen pergi mana seharian?" soal Datin Lateefa lembut.

"Neen ada hal sikit. Mama kenapa tak makan? Neen dah masak dan pesan untuk mama makan. Mama tak sihat. Nanti mama sakit..." Lengan mama dipegang. Dipimpin mama duduk di kerusi.

Lauk pagi tadi dicapai dan diletak ke dalam kuali untuk dipanaskan.

"Neen ada pergi jumpa Malik?"

Tangan Daneen yang mahu membuka penunu dapur gas terhenti. Dia genggam hulu kuali itu sekuat hati. Tak berani menoleh pada mama. Seperti mana dia tak berani memandang Daneena, dia lebih lagi takut merenung mata mama.

"Uncle Malik sibuk sikit mama," jawabnya.

Dapur rumah kembali sunyi. Hanya bunyi lauk yang dipanaskan saja memecahkan hening antara mereka. Daneen letak lauk itu di atas pinggan dan dihidangkan di depan mama. Bersama sepinggan nasi.

"Mama makan dulu, ya?" suruhnya perlahan.

Datin Lateefa memandang hidangan tersebut tanpa minat. Kemudian, mata itu beralih merenung mata anak bongsunya.

"Esok dah keputusan kes ayah. Neen masih tak dapat pujuk Malik?"

"Hurm..." akui Daneen dengan berat hati. Kelopak mata yang basah pantas dikeringkan.

"Dia berkeras kata ayah memang salah. Neen dah habis merayu, mama. Neen rasa, elok kita terima dengan lapang dada apa saja yang akan jadi esok, mama. Kita dah tahu semua ni tak berpihak pada kita. Lepas esok... Neen bawa mama dan Neena tinggal jauh dari sini. Neen akan kerja dan jaga mama. Mama setuju, ya?" Tangannya menjalar di atas meja dan memegang tangan kusam mama.

"Neen nak kita mengalah macam tu aje?"

"Bukan mengalah, mama," bantah Daneen bila nampak pandangan tak senang mamanya.

"Kita pergi kejap. Sampai masa, bila ayah keluar... kita boleh hidup sama-sama lagi. Tak apalah, mama... tak sama macam dulu pun tak kesah. Asalkan kita bersama. Betul tak?" Dia masih tak puas memujuk.

"Kenyataannya, kita tak bersama. Ayah tak ada bersama," adu Datin Lateefa dengan suara yang lirih.

Daneen tunduk seketika. Memujuk sebak sebelum kembali memandang wajah ibunda tercinta. Dia koyak senyum dan kembali meramas tangan mama.

"Biarpun terpisah, tapi kita tahu ayah sentiasa rindu dan doakan kita. Kita juga buat perkara yang sama. Sampai masa, Neen yakin kita tetap akan bersatu. Mama percayalah pada Neen, ya?" pujuknya dengan senyuman yang bertambah lebar.

Datin Lateefa tidak memberi jawapan melainkan hanya memandangnya tanpa perasaan.

Daneen tahu, jauh di sudut hati... mama sentiasa berharap ayah dibebaskan. Mama tidak pernah rela dengan apa yang telah dan sedang terjadi. Dia juga sama. Cuma, pilihan apa lagi yang mereka ada selain terima?

"Neen marah Neena tadi?" Tiba-tiba saja Datin Lateefa menukar hala tuju bicara.

"Neen tak sengaja, mama."

"Neen jangan kasar sangat dengan Neena. Kita tak duduk tempat dia..."

Daneen ketap bibir. Ya, seperti kata mama. Dia tak duduk di tempat Daneena dan dia tak akan tahu. Tapi, mahukah mama bertanya apa yang telah dia lalui selama ini dan hari ini? Rusuknya masih terasa ngilu bagai hendak patah.

"Kalau kata Neen ajak mama pergi, mama akan ikut. Ke mana saja..." ujar Datin Lateefa.

Demi mendengarkan kata-kata itu, Daneen angguk berkali-kali. Pilu di hatinya kini berubah menjadi satu bahagia. Biarpun untuk sementara kerana dugaan yang sebenar adalah esok hari.

Namun, pandangan mama saat ini membuatkan dia resah sendiri. Mama senyum tapi kenapa senyuman mama kali ini membawa pilu yang bukan sedikit. Rahsia di balik renungan dan senyuman mama...

Daneen telan liur. Sukar untuk dia tafsirkan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co