Bab 3
ADIB mengeluh. Tak sampai ideanya. Jenuh dia cuba memikirkan apa yang perlu dia lukis di atas kertas itu. Lakarannya tak sampai, semuanya masuk ke dalam tong sampah. Sudahlah sejuk malam itu, sejuknya lain macam. Nak tidur tak mengantuk pula. Mana tak mengantuk kalau dah bergelen air Nescafe dia telan!
"Adib..."
"Ya, ibu."
Pintu biliknya terkuak. Ibunya berdiri di depan pintu dengan telekung buat Adib terkejut. Baru dia mengerling ke arah jam. Masuk pukul empat pagi. Empat pagi, macam-macam boleh jadi. Muncul ibu dengan bertelekung, memang menakutkan. Kus semangat!
"Hesy ibu ni, apa muncul macam tu? Buat terkejut Adib saja."
"Tak tidur daripada tadi ke? Lampu menyala daripada semalam."
"Tak. Adib belum habis fikir."
"Masih pasal bina pokok tu?"
"Ya, ibu."
"Tengok, apa setakat ni yang Adib lukis?"
Hajah Abidah berjalan perlahan masuk ke dalam bilik anaknya. Sempat dia meninjau keadaan bilik anaknya yang bersepah itu. Selalunya tak macam ni pun. Ada kertas bergumpal di atas lantai, ada juga yang melekat di dinding. Hajah Abidah menggelengkan kepala.
Sahlah anaknya itu belum tidur daripada malam tadi. Balik dari tempat kerja semalam, itulah yang Adib bebelkan. Macam mana nak bina pokok dan rumah pokok serupa banglo? Bak kata Haji Haikal, fikirkan... Macam mana Tuhan bina syurga atas langit. Ayahnya pun bagi idea yang mustahil. Nama pun Tuhan.
"Kosong?"
Adib terduduk di birai katil.
"Itulah yang tadi Adib fikirkan."
"Tahu tak kenapa kosong?"
"Kenapa?"
"Sebab hati tu, terlalu marah. Apabila terlalu marah, macam mana otak nak berfikir dengan baik, sayang? Bukan tak pernah Adib dapat klien macam ni. Banyak kali, kan? Orang ni ada macam-macam ragamnya. Adib okey saja. Adib buat saja walaupun banyak lakaran yang kena reject. Sebab apa? Sebab you love your job. Daripada kecil, Adib pantang dapat pensel dan kertas. Tak ada kertas, habis dinding ibu, Adib buat mural..."
Adib tersengih.
"Habis kenapa sekarang, dapat pensel dan kertas, Adib tak boleh buat pula? Sebab CRK tu, seorang perempuan?"
"Hesy, ibu ni. Bukan sebab tu. Ramai saja klien Adib tu orang perempuan."
"Tapi tak secantik perempuan yang melekat dekat papan dart ni. Ini ke CRK yang Adib bebel kepada ibu tak berhenti tu?"
Lakaran potret di atas papan dart sudah berlubang-lubang tapi tak terkena langsung lubang pada wajah lakaran itu. Hajah Abidah hanya senyum. Ini marah pasal lain ni... Pasal hati tak tenang, otak pun tak berfikiran waras.
"Haaa... Ibu jangan nak fikir yang bukan-bukan. Ya, itu memang CRK. Tapi, Adib lukis gambar dia sebab Adib geram. Di dalam kepala otak Adib ni ibu, asyik muncul gambar dia saja. Tak ada gambar rumah pokok tu. Bukan Adib tak Google untuk tengok design lain. Tapi, minah tu, spoiled betullah. Kacau fokus!"
Hajah Abidah tersenyum.
"Kalau geram, kenapa wajahnya tak cacat? Kenapa tepi-tepi saja yang berlubang ni?"
Adib terdiam. Sebab... dart tu tak mengena! Selalunya, apabila dia baling dart, mesti dapat yang tengah. Tapi kali ni tak kena. Sahlah, fikirannya tak lurus. Betullah kata ibu, aku terlalu marah. Apabila terlalu marah, aku tak boleh nak fikir baik. Itu sebab lukis pokok pun jadi tiang elektrik, bebel Adib dalam hati.
"Nasib saja tu."
"Nasib ke takdir?"
"Ibu ni..."
"Lawa orangnya, Adib."
"Lawa macam miss universe pun ibu, kalau perangai tak lawa, tak guna juga. Ini bukan perangai tak lawa, otak pun tak centre."
Hajah Abidah ketawa.
"Tak baik kata orang macam tu."
"Betullah, ibu. Kalau otak betul, berakal, tak akanlah jadi macam ni."
"Ibu rasa, dia saja nak menguji kesabaran Adib tu. Apalah salahnya kalau kamu tu bersabar sikit. Sabar tu kan separuh daripada iman. Kalau hal macam ni, Adib tak boleh nak bersabar... Separuh iman dah tercalar. Apa lagi separuh yang tinggal?"
Adib terdiam.
"Takut nanti, yang Adib tak naklah, yang menguji hati Adib."
Dahi Adib berkerut.
"Uji hati?"
"Yalah, marah-marah sangat, nanti jadi sayang. Sayang nak lepaskan. Ujian hati ni, lebih parah daripada banyak-banyak ujian dalam dunia ni."
Adib mencebik. Fahamlah dia maksud ibunya. Ini sahlah berkait dengan magisnya cinta, bak kata Ridzwan semalam. Mengarut betullah mereka ni. Marah bukan sebab nak sayang. Marah sebab kerja buat tu tak betul. Haih, apa lagi yang mampu aku nak terangkan kepada mereka supaya mereka fikir logik, seperti yang aku fikirkan? Adib geram!
"Ibu ni... Kita bukan bercakap soal jodoh. Kita bercakap soal bina pokok."
Hajah Abidah ketawa.
"Selingan. Nak tunggu Adib cakap, memang taklah. Jadi, ibu cakaplah."
"Hesy, ibu ni... Merepek betul. Kalau Adib nak kahwin pun, bukan macam ni yang Adib akan pilih."
"Macam Natasha?"
"Dia tu macam adik Adib saja."
Hajah Abidah hanya senyum. Sajalah dia nak tukar topik. Tak adalah anaknya itu pening memikirkan macam mana nak melakarkan rumah pokok dengan bilik air tu. Memang permintaan perempuan tu tak masuk akal. Tapi, entahlah... Hajah Abidah seperti berasa ada sesuatu di sebalik permintaan itu.
Lagipun, Hajah Abidah tak kesah siapa pun pilihan Adib. Dia berserah kepada Tuhan tentang jodoh. Kalau dipaksa pun tak guna. Jodoh tu, Allah dah tulis siap-siap. Asalkan orangnya beriman dan pandai menjaga aib suami dan rumah tangga. Hajah Abidah hanya doakan yang baik-baik untuk Adib. Kalau Natasha, Adib anggap adik... memang tak ada calon lain yang Hajah Abidah nampak yang rapat dengan Adib. Hmmm... Berkahwinlah dia dengan kerjanya!
"Sudahlah, berhentilah melukis. Jomlah kita bersolat tahajud. Tenangkan hati, tenangkan fikiran. Ayah dah tunggu dalam bilik solat."
Adib mengangguk-angguk.
"Ibu keluar dulu, Adib ambil wuduk."
Hajah Abidah keluar dari bilik Adib. Adib pula masuk ke dalam bilik air dan mengambil wuduk. Ketenangan hati, memang itu yang Adib perlukan. Nak tenang, jumpalah Tuhan. Bukan jumpa CRK tak betul tu!
Sebelum keluar ke bilik solat, sempat Adib mengambil mata dart dan cuba ditujukan pada papan yang di tengah-tengah itu... Tapi... tersasar. Dart pun tak nak dekat dengan potret tu, apa lagi aku! Haih, apa aku nak present pagi ni? keluh Adib.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co