Truyen3h.Co

MAHARANI

Bab 11

karyaseni2u

Edan Israq

Cuaca siang ini tampak mendung. Aku dan rakan lain sudah bersiap-siap di lokasi penggambaran. Langit bila-bila saja bakal menurunkan hujan. Kak Zareeny, bos meja hiburan dari akhbar Metropolitan memberi arahan untuk menghentikan seketika rakaman candid shot sewaktu aku berbual dengannya tadi.

"Tak payah rushing, Kak Zareeny. Hari ni memang jadual Edan untuk akak aje." Sakinah memberitahu apabila melihat wajah pengarang hiburan yang otai itu sekejap-sekejap cemas memandang jam.

"Aha, hari ni Edan dengan akak aje." Aku mengiakan.

"Nak suruh dia ambil gambar dia bergolek main hujan pun boleh." Abang Mail mengusik.

"Kau orang memanglah okey. Kita ni nak ambil individual shot sebab nanti nak edit balik gambar tu. Tujuh artis lain dah settle sejak pagi tadi... Si Dida, daripada belum mekap, selesai mekap, sudah shooting, dah balik pun... Yang seorang ni mana?" Kak Zareeny sudah mula kelat mukanya. Sekejap-sekejap matanya merenung skrin handphone. Beberapa kali dia lihat WhatsApp.

"Siapa, kak?" Sakinah bertanya sambil menghulurkan kami air mineral. Memang selalu begitu. Aku siap-siap bawa air mineral lebih. Senang kerja kalau semua sudah disediakan. Ditakdirkan shooting tiga empat jam di bawah panas bahang matahari, tak adalah aku terjelir lidah menahan haus.

"Siapa lagi, best friend Si Edanlah sekarang." Kak Zareeny menjeling aku.

"Hah?"

"Dia ni mana ada kawan, kak!" Abang Mail masih mahu berlucu.

"Si Cahya ni... Mana tak nampak batang hidung?"

"Oh! Cahya... Tak sihat kot. Kelmarin patut ada shooting dengan dia. Dia mintak tangguh." Aku menjawab polos.

Aku tak jangka kelewatan Cahya buat ramai yang ada di situ mula cakap berbisik-bisik. Jurusolek, Rissa sudah merengsa menunggu.

"Bila ni kak oi... Saya dah terpacak dekat sini sejak selepas subuh tadi. Letihlah wei!"

"Aku dah call tak berjawab." Muncung Kak Zareeny semakin panjang.

"Ni kalau hujan, sayanglah... Semua orang tadi dapat ambil gambar outdoor. Jenuhlah kita orang nak edit gambar dia seorang diri." Ikram, jurugambar kesayangan Kak Zareeny sudah mula berbunyi.

"Dah pukul 12 dah ni... Cuba call balik! Try WhatsApp. Lagi berapa lama nak kena tunggu?" Rissa yang sudah hilang sabar, mula berkemas-kemas. Beg mekapnya yang bertingkat-tingkat itu mula disusun rapi. Isyarat kaunter mekap bakal tutup kedai.

"Baru meletop, dah buat perangai. Aku WhatsApp pun tak jawab. Si Ney, pembantu dia ni pun aku rasa dah meninggal agaknya!" Kak Zareeny semakin tajam melaser.

"Kalau aku bising, aku tulis perangai sebenar, nanti tuduh kita nak bunuh kerjaya dia! Menyusahkan oranglah!" sambung Kak Zareeny sambil tangannya mendail semula nombor Lisa.

"Entah-entah dia tak settle lagi kot masalah dengan family Alriz?" Ayat Rissa itu membuat semua yang ada tertoleh.

"Hah? Kenapa dengan family Alriz?" Sakinah sama sibuk menjadi 'kak nam'. Aku sempat menjeling Sakinah.

"Takkan tak tau... Dengar cerita, bapa Alriz humban beg Cahya ke luar tingkap!" Ikram menyambung gosip dengan gelak-gelak kecil. Kali ini ramai yang terdiam. Kak Zareeny sama berkerut kening.

"Makna betullah ya, gosip beg kena baling tu?" soal Kak Zareeny betul-betul ingin tahu.

"Hah, tu akak kena tanya empunya badan nanti. Saya takut nak cakap banyak. Haha. Nanti tak fasal-fasal see you in court!" Mengekek gelak Rissa sambil menyusun berus-berus mekapnya yang pelbagai saiz.

"Hahhh? Ni kes belum jadi menantu dah tidur baring rumah bakal mentua ke?" Abang Mail pun sama kepoci. Aku terus menoleh memandang Abang Mail. Sungguh aku tak berkenan.

"Iyeee! Feeling-feeling nak buat surprise. Jumpa bakal mentua. Alih-alih bakal mentua bagi kejutan. Kena humban beg, kena lempang sedas dua." Jijie, budak yang jaga wardrobe sama menambah perisa gosip. Ramai yang terlopong mendengar. Aku sendiri terkejut dan pura-pura bertenang.

"Kau biar betul, Jijie?" Kak Zareeny bulat mata merenung Jijie.

"Kak, kalau tak betul, saya tak berani nak cerita," pangkah Jijie.

"Alah, Malaysia ni gitulah... Yang gosip tu selalunya betul! Kalau tanya balik, semua kata fitnah sebab kita kan suka coverline!" ujar Rissa sambil mengenyit mata nakal. Aku terdiam. Terasa liur tersekat di halkum. Aku memandang Kak Zareeny. Tampak kemarahannya reda apabila mendengar khabar yang satu ini.

"Dahsyat wei! Bapak dia humban terus luggage! Rumah family Alriz tu dahlah macam istana! Campak dari balkoni bilik tingkat atas tu! Hah, kalau siapa tak percaya, cuba usyar orang gaji dia yang berderet-deret tu. Paling tidak pun pergi belanja driver dia sekotak rokok. Mesti dia orang buka cerita." Jijie dengan nada nakal menambah rengsa perasaan kami yang mendengar khabar itu.

"Tingkat berapa tak sempat siasat pula. Yang pasti, memang confirm bapak dia mati hidup balik tak nak ambil Cahya ni buat menantu! Tak mahu tiga B katanya." Ikram sudah mula terbahak-bahak. Kami tidak mengerti.

"Amenda tiga B ni?" Kak Zareeny semakin ingin tahu.

"Beauty, brain, bitch."

Serius semua melopong secara berjemaah mendengar ayat Ikram itu.

"Kita tak tahu hal sebenar, tak baik cerita belakang." Aku menyampuk selepas rasa semakin tak sanggup mendengar gosip ini. Nama pun gosip, entah ya, entah tidak. Kalau tidak, sudah jatuh fitnah.

"Come on... Ni Si Alriz sendiri mengadu pada geng dia dekat Armada. Tu ayat dari mulut bapak Si Alriz."

"Hei... Dasar jantan. Jaja cerita girlfriend sendiri pada kawan-kawan ya! Buat joke apa?" Sakinah spontan menyampuk dengan muka menahan geram.

"Dia bukan jaja cerita. Dia mengadu." Ikram tetap mahu menang.

"Samalah tu! Jantan apa kalau kuat bercerita?" bidas Sakinah sambil menghadap skrin komputer riba. Menyusun jadual aku agaknya. Aku terus menghela nafas berat. Cuba mengawal mulut, mengunci bibir. Tak mahu berkata apa-apa dalam isu ini.

"Ouch! Pedih, babe... Kalau betul statement bapak Alriz macam tu!" Rissa turut sama menggeleng. Ya, kami semua terkejut dengan cerita tiga B itu.

"Yalah! Kalau dah bapak dia sampai campak beg baju ke tanah. Kau gila?" Ikram masih mahu memanjangkan cerita. Kak Zereeny aku lihat sudah menopang dagu pada tangan.

"Tak apalah. Kita dengar aje. Percaya jangan. Tak baik tuduh tau! Kalau silap, boleh jadi fitnah!" Aku cuba menjernihkan perasaan tegang kami.

"Eh? Sejak bila Edan ni jadi husnuzon?" Abang Mail menyampuk.

"Tak adalah... Kalau orang lambat, mesti ada sebab, kan?" Aku sedaya upaya tak mahu fikir yang bukan-bukan.

Sepanjang aku kenal Cahya, orangnya sangat berdisiplin.

"Yalah, inilah kot sebab dia lambat," ujar Rissa yang sebenarnya aku tahu sudah penat sejak awal pagi tadi.

"Tak baik buat assumption, nanti dia sampailah tu," ujar aku sambil kembali ke skrin komputer Ikram untuk melihat gambar-gambar yang diambil tadi.

Kami kemudian berehat seketika sebelum menyambung kerja. Sedang aku menunggu Ikram dan team jurugambar membuat setting lampu, tiba-tiba Sakinah menjerit.

"Haaa, tu pun Cahya dah sampai!" Semua menoleh ke arah Cahya. Di belakangnya macam biasa ada Ney, ada Kay dan Shuk.

"Guys... Sorry... Sorry... I punya kereta problem, dengan jalan sesak lagi... I'm so sorry..." Cahya sampai dalam keadaan kalut. Mata kami bersatu dari jauh. Aku angguk dan senyum. Cahya melarikan pandangannya dari aku. Matanya tampak bengkak dan sembap.

"Amboi... Divanya... Sejam setengah kami tunggu!" Rissa menyakat dengan nada kakak tiri.

"Ada nampak mummy happy?" Kak Zareeny yang bercekak pinggang di sebelah Ikram kerana mahu melihat frame kamera, tersenyum kelat ke arah Cahya.

"Ada nampak kami senyum?" Abang Mail pula menambah. Aku terkejut. Bukan main Abang Mail.

"I'm so so so sorry, guys... I didn't mean it. Kak Zareeny, sorry sangat-sangat, kak!"

"Itulah... Berjanggut den nak nunggu. Daripada janggut sejemput, dah boleh jadi Santa Claus!" Ikram menyindir dalam gelak.

"Dah, cepat! Cepat tadah muka sini! Akak ni nak balik dah!" Rissa pantas bersilat mendandan Cahya. Wajah itu benar-benar pucat di mata aku. Seperti kain putih tanpa warna. Mata yang selalu berkaca-kaca jernih itu tampak layu.

Cahya kelam-kabut meletak barang-barang dan handbag, terus duduk di depan meja make up.

"Tak fasal-fasal Edan kena tunggu you. Part Edan dah lama settle. You tahu kan you kena ganding dengan Edan untuk page fashion spread ni." Kak Zareeny masih lagi mahu membakar hati Cahya.

"That's okay, kak. Nak buat macam mana? Kereta Cahya buat hal." Aku membalas lembut.

"Busy cari luggage baru kot... Luggage hari tu kan pecah." Suara Jijie yang nakal itu membuat semua yang ada di lokasi terdiam. Cahya kulihat tertunduk. Pipinya berubah merah.

"Luggage pecah?" Ikram buat-buat dungu bertanya.

"Ooopsss! Sorry!" Jijie tertawa dengan membuat muka bertanduk dua, di belakang Cahya.

Aku cuma mampu beristighfar.

Menunggu Cahya membuat rambut dan bersolek agak lama. Aku sempat menunaikan solat zohor di balik bilik stor studio Ikram itu. Sewaktu aku menadah tangan, membaca doa dan wirid panjang, telinga aku menangkap jeritan di luar bilik.

"Edan! Calling for Edan!"

"Edan, where are you!"

"Edan, beg baju kau pula ke pecah!"

Dan kemudian studio kecil gamat dengan gelak. Astaghfirullah! Aku bingkas bangun dan melipat sejadah kecil aku.

"Ya, ada apa, Ikram?"

"Kau ke mana?"

"Mana hilang pula Edan... Semua dah ready ni?" Kak Zareeny sekali lagi menunjukkan muka mak tirinya.

"Saya solat, kak."

"Hah?"

"Dah masuk waktu zohor."

"Oh..." Ikram terkejut.

"Ohhh..." Kak Zareeny termalu-malu sendiri. Aku senyum saja. Aku nampak Sakinah sudah angkat kening nakal.

Dan wajah bening Cahya tampak seperti terpegun memandang aku. Ada sebak pada wajah itu. Cahya yang tadinya tampak gelisah kini seperti terpaku. Aku pantas mengalihkan pandangan mata apabila terdengar suara Sakinah berdehem gatal. Aku mencari kelibat Sakinah.

"Nak solat, solat ajelah... Sakit tekak, makan ubat!" ujar aku pada gadis yang tampak sedang mencari port untuk bersolat juga. Sakinah yang sudah berwuduk dan mencapai beg telekungnya, tersengih-sengih memandang aku.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co