Truyen3h.Co

MAHARANI

Bab 13

karyaseni2u

Cahya Kartika

Aku tahu, ini saja cara aku untuk bertemu Alriz. Aku paksa Ney risik jadual Alriz daripada setiausaha sulitnya di Armada Holdings.

"Apa yang urgent sangat? You know very well how packed is my schedule, kan? I have to rush for another meeting."

Alriz sedikit berang tatkala aku menahannya di lobi JW Marriott. Aku tahu dia baru saja selesai aktiviti amal Louis Vuitton & World Vision. Dari jauh aku dapat melihat masih ada wartawan, tetamu dan mereka yang terlibat dalam program pendidikan kanak-kanak istimewa itu.

"Boleh tak kita duduk tempat tersorok sikit? You nak satu Malaysia bercerita fasal kita lagi ke?" Alriz memberi arahan agar bodyguard dan pembantunya mengawasi keadaan sekeliling. Aku mengikutnya ke ruang yang jauh dari laluan orang ramai.

"Ada apa ni, Cahya?" Dia bertanya bagai tiada perasaan. Aku kaget beberapa saat.

"Alriz, please. You kena tolong I..." Aku tak peduli. Aku merayu selagi terdaya.

"What kind of favour are you asking me, babe?" Alriz tenang saja.

"Video I... Dah viral... Macam mana ni? Mesti you dah tahu, kan?" Aku dah tak boleh nak kawal air mata yang berjurai.

"Cahya... Poor you, darling. So, you nak I buat apa?"

"Please! Alriz... Segala benda tak elok tu I dengan you aje. Tak ada orang lain! Tolong I, please?"

"Wait... Wait... Wait... So you are saying, I lelaki dalam video tu?"

"Alriz!" Aku terpempan.

"Apa bukti you yang lelaki tu I? That video shows your face clearly. Unfortunately... Not that man's face. You boleh claim konon I am the only guy in your life, but honey, I am not certain." Kata-kata Alriz buat aku terdiam. Nada sarkastik dia sangat menikam perasaan.

Matanya memandang aku tanpa sedikit simpati. Dia mengejek aku sebenarnya. Aku tahu! Aku boleh baca bahasa tubuh itu. Bukan ke selama ini setiap inci ranah badannya milik aku? Segenap tubuh aku juga adalah ranah subur lagi bahagia buatnya.

"You better pull yourself together, Cahya." Alriz mengusap pipi aku sebelum dia pergi seperti tidak berperasaan.

Aku terpempan. Bukan ke sebelum ini, kalau aku yang merajuk, dia akan merentap tangan aku? Dia akan merangkul pinggang dan mengusap kepala aku? Dia akan memujuk aku dengan bisikan berahinya.

"Alriz! You nak ke mana?"

"Nak baliklah."

"Habis tu, I ni macam mana?"

"You nak I buat apa? Apa yang I boleh tolong?"

"Kita nikah?" Sepantas kilat jari-jemari aku menggenggam tangan Alriz. Seluruh sarafku terasa menggeletar. Alriz, tahu ke engkau ada rindu yang tertumpah pada jiwa ini?

"Hah? Pardon me, darling?"

Aku renung matanya dalam-dalam. Genggaman aku terlerai. Aduhai, lukanya hati!

Aku tahu dia menganjing aku. Senyum segaris itu menyakitkan hati sebenarnya. Mahu aku sagat bibir yang selalu kucup aku itu.

"Kita nikah."

"Kalau kita nikah, you ingat masalah you selesai ke? You ingat segala video yang dah tersebar itu, boleh hilang dari Google? You fikir orang boleh lupa semua tu? Atau you fikir dengan nikah, dosa you tu boleh terampun macam tu aje. Come on, girl. Be realistic!"

Aku terbeliak. Menggeletar seluruh badan. How dare you, Alriz!

"Alriz, kenapa you tiba-tiba berubah, ya? Makna betullah rumours yang I dengar?"

"You dengar apa?"

"Ada benda yang I tak tahu berlaku antara you dengan Dida."

"Cahya, tak ada kena-mengena dengan sesiapa hal kita ni."

"Kalau benda tak jadi, orang tak bercerita."

"It's up to you. Siapa yang you nak percaya."

"You nak I buat sidang akhbar ke? Nak sebut nama you sekali ke?"

"Jangan nak ugut I."

Tanpa diduga, satu sentuhan yang amat kasar singgah ke bahu aku. Di luar jangkaan aku, Alriz sanggup merentap aku. Hampir saja mulut aku terjerit menahan sakit.

"Diam! Jangan nak bising-bising. Dengar sini!" Alriz merapatkan mukanya ke muka aku. Aku meronta tidak selesa.

"Sakitlah..."

"Jangan cuba nak kaitkan dengan I. Jangan cari fasal. I boleh buat satu industri ni pulaukan you. Sampai you langsung tak ada job nanti! Jangan cabar I."

Aku tersentak. Terkejut bukan kepalang. Dalam samar-samar lampu dari ruang lobi, aku dapat melihat wajah bengis Alriz. Tangan aku masih dalam cengkaman dia. Aku meronta dan merayu minta dilepaskan.

"Jangan cuba-cuba ya, Cahya. Yes, I really love you. Tapi jangan keruhkan keadaan I dengan my parents."

Bibir aku terkumat-kamit, pandangan aku berkabus tapi aku tarik nafas dalam-dalam. Seperti mahu menarik kekuatan dalaman. Menelan titis air yang bakal pecah dari kelopak mata. Masih terngiang-ngiang aku dicerca dan dihamun oleh bapa Alriz. Masih terdengar-dengar bunyi dentuman bagasi aku yang dicampak dari balkoni bilik langsung terhumban dan terburai isi bagasi itu di halaman vila Alriz. Dan tentunya terasa-rasa lagi perit pipi aku dilempang oleh bapa Alriz.

"Okey, Cahya... I need to go now. See you, darling." Lelaki itu terus pergi tanpa mempedulikan aku. Tiba-tiba sahaja aku terasa lesu dan tidak berdaya. Longlai seluruh tubuh.

Ini yang aku terima setelah sekian lama aku setia menunggu Alriz?

Pada saat aku memerlukan lelaki ini, dia langsung tidak peduli.

Fikiran aku semakin berselirat. Bersimpang-siur memikirkan segala kemungkinan.

Apa perlu aku buat?

Benarkah apa yang aku baca? Sungguhkah apa yang aku lihat? Ya Allah, bertahun-tahun aku mencarinya di dalam diam! Bertahun-tahun aku menangis siang malam kala teringatkannya.

Apa agaknya rasa bunuh diri?

Apa cara paling murah, tak sakit dan mudah untuk bunuh diri?

Bagai ada sesuatu yang liar berbisik di telinga.

Arghhh! Aku lemas dalam masalah yang berpusar-pusar. Aku terasa diri ini terkapai-kapai tanpa aku mampu berpaut di atas dan tanpa aku mampu memijak di dasarnya.

Selamat tinggal, dunia!

Waktu-waktu begini, itu saja yang aku fikirkan. Akan kusimpan cerita pedih, kisah luka ini dalam-dalam. Alriz! Selepas bertahun-tahun, mengapa langkah kita tak pernah seiring?

Selepas 'peristiwa' itu aku terasa semakin jauh dari semua orang. Terasa setiap langkah dan pergerakan aku menjadi bahan ejekan orang sekeliling. Seboleh mungkin aku akan berkurung di rumah.

"Tak apalah, Cahya. Benda nak jadi." Lirih suara Ney. Ada air mata yang cuba aku tahan. Kepala aku semakin berdenyut-denyut.

"Jadual aku macam mana, Ney?"

"Cahya, kalau tak sihat, baik kau rehat. Pucat muka tu..." Pujuk Ney sambil menyuakan aku semangkuk bihun sup panas.

"Kejap lagi aku makan. Tak lalu sekarang ni." Tatkala itu aku tahu badan ini sudah tidak tertanggung panasaran. Semuanya serba menghimpit. Dunia semakin kelam dan kabur. Tanpa dapat ditahan, aku menangis semahunya sambil merapatkan bantal kecil di dada. Sebak tidak terucap. Terlalu banyak perkara bersimpang-siur dalam jiwa.

Bangun pagi, skroll aje handphone Ney, sudah ternampak gosip sendiri di Insta. Itu tak termasuk di Facebook atau di laman web hiburan. Entah berapa ribu yang sudah share. Entah berapa ribu juga yang mengutuk, memaki hamun dan mencerca di ruang komen. Aku longlai tak berdaya membacanya.

"Aku dah kata, benda ni semua jadi timingnya sangat elok. Kau hilang phone. Maknanya kau tak payah sibuk-sibuk belek handphone. Nanti kau stres."

Ney memang melarang dan mencegah aku daripada melayan perasaan sambil membaca ruang gosip.

Itu kisah gosip beg aku kena humban dik bapa Alriz. Belum lagi kisah gambar yang dah jadi viral tu. Bila kenangkan semua itu, sungguh, aku terasa lebih baik mati!

"Ney... Mati aku! Mati aku, Ney." Aku mengeluh selepas sekian lama menahan rasa.

"Just get another phone, darling. Apa yang risau sangat?" Ney macam biasa, wajahnya tenang sungguh.

"Kau tak fahamlah!" Aku semakin menggeletar. Sejuk seluruh tubuh. Terasa angin dingin yang bisa lagi tajam menyerkup diri.

"Contact kau semua ada pada aku. Apa-apa hal, aku ada untuk backup."

"Huh!"

Aku tak tahu macam mana hendak aku sampaikan pada Ney.

Go ahead, Cahya. Cakap aje terus-terang!

Gila apa! Beritahu Ney, mengaku dengan Ney, makna memang cari nahaslah!

Hati aku bertempik. Batin aku menjerit dan akal waras aku semakin bergelora menahan ketakutan yang luar biasa.

Aku mengadu pada Ney. Aku ceritakan semuanya pada Ney. Sahabat aku yang merangkap perempuan naif ini tampak terkejut-terkejut. Berulang kali dia beristighfar.

Aku sudah tak berdaya untuk menangis di depan Ney. Air mata kering rasanya.

"Cahya, aku kawan kau. Aku ada dengar cerita tu. Aku tengok sebenarnya gambar dengan video tu..." Suara itu terhenti di situ. Ney seperti mencari kekuatan menyusun ayat.

"You know what... Aku cuba tak mahu percaya itu kau. Kau ingat orang sekeliling tak bertanya aku? WhatsApp aku tu penuh dengan mesej orang nak tahu fasal kau. Semuanya aku buat tak tahu."

Suara Ney bergetar dan aku menjadi semakin terpempan. Tubuh terasa semakin menggeletar dan melayang entah ke mana.

Aku tidak tahu bagaimana mahu menerangkan pada Ney. Terasa tiada kata-kata maaf terindah yang mampu aku lafazkan.

"Aku rasa nak give up, Ney."

"Benda dah jadi. Dari dulu aku pesan kau. Jaga diri. Jaga diri. Buat apa menjeratkan diri dengan lelaki? Sekali terikat, sampai bila-bila perempuan yang nampak buruk dan jahat. Aku banyak kali ingatkan... Ada benda kau kena timbang buruk baik sesuatu benda tu sendiri. Kau banyak sangat ikut cakap geng-geng lain macam Shuk dengan Kay."

Aku merenung kosong wajah Ney.

"Kau jumpalah mama kau. Minta maaf. Mohon restu dengan doa dia. Apa lagi yang terbaik untuk kita, selain daripada doa seorang ibu?"

"Aku takut nak balik jumpa mama."

"Kau anak dia."

"Abah aku dah tak mahu jumpa aku."

"Itu abah kau. Kau ada mama lagi, kan?"

Aku diam tidak menjawab.

Aku minta Ney telefon mama. Ney janji dengan mama yang aku mahu jengah sekejap. Kebetulan abah tak ada di rumah. Kata mama, abah ke Perlis melawat Tok Telasiah. Lega aku mendengarnya.

Nasib bagai tidak menyebelahi aku malam itu. Dalam kekalutan mengejar masa berjumpa mama di rumah, ada pula pokok tumbang di Jalan Universiti, Petaling Jaya. Angin yang berpusar kencang, hujan yang lebat serta pokok tumbang menjadikan lebuh raya semakin bergerak perlahan.

"Aku ni banyak sangat dosa agaknya. Sampai nak jumpa mama pun macam banyak halangan."

Ney yang memandu senja itu menjeling dan mengomel. "Kalau tak merepek tu boleh tak?"

Menjelang azan maghrib, barulah aku dan Ney sampai di depan pintu rumah.

Pantas aku bersalam dan mencium tangan dan memeluk mama.

"Dah... Jangan nangis sangat. Nanti jatuh sakit pula." Mama berbisik.

"Pergilah mandi dulu. Mama dah masak nasi."

Aku dan Ney bergilir membersihkan diri.

"Mohlah kita solat jemaah sama-sama!" Pelawaan mama membuat aku tergamam. Solat... Ya, lama benar aku tak menyarung telekung. Aku sendiri tak ingat bila kali terakhir aku merasai nikmat sujud pada-Nya.

"Jangan nak tercegat. Rumah mak sendiri, takkan tak tahu dekat mana nak cari telekung?" sindir Ney apabila melihat aku terpinga-pinga.

Malam itu, segala rasa tercurah, segala cerita terzahir. Hanya aku dengan mama di ruang tamu.

Bila di rumah mama, aku mengaku pada mama yang aku jadi perempuan simpanan Alriz selama ni.

"Mama, Cahya minta maaf." Aku menangis pada mama.

Aku salam dan cium tangan mama. Aku genggam tangan mama kuat-kuat.

"Mama, Cahya nak mintak izin. Kalau tak ada lelaki yang nakkan Cahya, jijik dekat Cahya, Cahya nak duduk dengan mama forever..." Mama mengusap-usap kepala aku.

"Tak apalah, Cahya. Benda dah jadi. Yang penting sekarang ni, Cahya kena report polis pasal benda yang jadi ni."

Ney di dapur sempat menggoreng sayur kangkung campur ikan masin sambil menggulai lemak cili padi ikan tenggiri. Sambal belacan bercampur binjai mama sudah siap tumbuk.

"Makan lebih sikit. Muka tu dah cengkung, pucat. Tinggal tulang aje!" tegur mama di meja makan. Aku menyeka sisa air mata. Ney buat-buat tak nampak.

"Kurus ke, ma?" Aku bertanya semula dengan senyum lebar. Pura-pura senyum sebetulnya. Menghilangkan rasa sebak yang tidak terucap. Sudah lama aku tak kembali dalam pelukan mama. Terlalu mengejar impian, sehingga aku lupa, aku masih ada mama dan abah.

"Nampak benar Cahya susut berat badan. Itulah banyak sangat masalah. Sudah-sudahlah, Cahya. Kalau rasa orang dah tak terima, mama dengan abah kan ada."

Aku sedang menyuap nasi. Puas menahan air mata dari jatuh ke pinggan.

"Mama selalu sebut, dalam hidup, cari orang yang sayang kita. Bukan kita kejar orang yang kita sayang. Cahya lupa tu?"

Dug! Terasa jantung bagai jatuh ke tumit kaki. Kata-kata mama itu menikam jantung. Ya, aku terlalu mengejar Alriz. Aku biarkan diri menjadi hamba segala jutaan keinginan aku.

"Kalau orang dah tak sudi, kalau mak ayah orang pun dah hina kita, tak usahlah berharap lagi, Cahya. Biar dapat suami biasa-biasa, tapi hati tenang. Kita ni orang perempuan. Sekali terikat dengan ijab kabul, kalau boleh biarlah sampai akhir hayat. Orang lelaki masih boleh nak bernikah sampai empat. Takkan sebab cinta, kita nak merana seumur hidup?"

Nasi yang aku kunyah terasa sangat berpasir. Perlahan-lahan aku telan juga biar semuanya terasa payau, hambar dan pahit.

"Cahya... Tak payahlah lagi ya, bersaing-saing sesama kawan. Rebut itu, rebut ini, terkejar sana sini. Mama tahu, Cahya dengan Dida tu masih tak ikhlas, bukan?"

Aku memang tak mampu untuk terus makan. Aku tolak tepi pinggan nasi.

Aku mencari mata Ney. Aku mengharapkan dia menjawab bagi pihak aku. Huh, perempuan yang seorang itu selamba saja menambah lagi satu senduk nasi. Tampak berselera sungguh Ney.

"Mama masa muda pun ada buat silap, ada buat benda-benda yang tak sepatutnya. Teringin sangat nak rasa glamor. Nak orang puja. Tapi alhamdulillah, jodoh dengan abah, buat mama fikir banyak kali. Nak bawa ke mana glamor tu semua. Selagi Allah s.w.t tak ambil lagi nyawa kita, kita boleh lagi bertaubat, Cahya."

"Cahya mintak maaf sangat, ma... Cahya busukkan nama mama dengan abah. Cahya buat mama tak tidur malam."

"Mama tak peduli apa orang nak kata, Cahya. Mama lebih takutkan azab Allah s.w.t. Jika kita berasa hidup di dunia ini mencabar, ia bukanlah suatu yang pelik, kerana sememangnya Allah S.W.T telah menyuratkan kehidupan di dunia ini perlu kepada berpenat lelah. Tapi Cahya kena ingat, bentuk kesusahan itu berbeza dan lebih penting lagi ialah sama ada kesusahan itu menjadikan seseorang itu dekat atau jauh dari Allah S.W.T."

"Ma, mama menyesal ke apa yang dah jadi? Mama ampunkan Cahya tak?"

Aku tak mampu lagi menahan air mata.

"Dicincang lumat pun, Cahya tetap anak mama. Busuk macam mana pun, anak mama. Kalau Cahya gagal, mungkin silapnya ada pada mama. Bukan salah Cahya seorang." Sebak bergetar suara mama. Aku menarik nafas dalam-dalam.

Seribu rasa berbaur dalam jiwa. Tapi ya, buat masa ini aku lega. Setidak-tidaknya untuk saat dan detik di sisi mama.

"Pilihlah kawan yang bawa kebaikan, Cahya. Tinggalkan mana-mana yang lagha tu."

Aku terdiam. Faham sangat maksud kata mama. Ya, aku tahu. Mama memang tak berkenan aku berkepit ke hulu ke hilir dengan Shuk, Kay dan ramai yang semazhab dengan mereka. Kalau mama ternampak gambar atau video aku bergurau bertepuk tampar dengan geng yang itu pun selalu buat mama mesej aku bebel-bebel.

Sebelum pulang, mama peluk aku erat. Dikucupnya dahi aku berulang kali. Hangat rasa pelukan dan kucupan itu. Benarlah kata orang, emak itu syurga kita.

"Ingat pesan mama..."

"Insya-Allah, ma!"

"Ingat Cahya, cinta aje tak guna kalau hidup tak berkat. Duit ringgit boleh cari." Aku terkedu. Memang itu yang aku kejar tatkala aku bersama Alriz. Itulah juga pengikat cinta aku bersama Alriz. Lelaki itu memanjakan aku, memewahkan aku.

"Ney, jaga Cahya, ya. Tegur-tegurkan Cahya. Kalau perlu marah, marahkan dia." Mama berpesan dan Ney senyum melirik pada aku.

Tiba-tiba sahaja aku terasa sunyi dan sebak. Hidup terasa penuh keterasingan. Apalah sudahnya hidup dalam bayangan cinta yang tidak pernah wujud!

Lelaki... Kalaulah kau boleh mendengar aku menyeru namamu! Aku mengeluh, menghela nafas yang terasa berat. Sampai bila agaknya aku akan tegar menjadi reranting kering yang malang?

Hati... Mengapalah tidak mahu berubah? Sukarnya membuang kenangan lalu. Entah kenapa, dari seluruh jagat Tuhan, pada engkau hati terpaut!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co