Truyen3h.Co

MAHARANI

Bab 14

karyaseni2u

Edan Israq

Minggu ini memang cukup meletihkan aku. Salvatore Ferragamo undang aku dan beberapa orang rakan artis ke Hong Kong. Setahu aku, dalam rombongan kali ini, patutnya ada Cahya bersama-sama kami. Entah macam mana, aku dengar Cahya tarik diri. Atas alasan apa, aku tak pasti. Memang banyak sosek-sosek yang aku dengar. Tapi tak kuasa aku nak masuk perut.

Tiga hari di Canton Road, Hong Kong untuk sama-sama raikan pembukaan semula flagship store Salvatore Ferragamo ni, umpama ruang bertapa untuk aku. Sempat juga aku hafal skrip drama berantai yang aku dah terima.

Jejak saja kaki di KLIA, aku terkejut tengok ada beberapa geng media sudah menanti. Tak tergamak untuk aku beri alasan penat. Jadi dengan wajah manis, aku ajak mereka berbual seketika di Jonker Walk Kopitiam sambil-sambil aku mengopi.

"Nak gambar-gambar di Hong Kong ke? Nanti Kinah e-melkan, ya." Sakinah macam biasa cekap dan pantas bab-bab menyediakan segala keperluan aku dengan sahabat media.

"Oh, yang tu tak apa. Pihak Ferragamo Malaysia ada share gambar dengan kami." Uden wakil dari Hello Malaysia memberitahu.

"Kami nak sembang panjang ni, tapi Edan penat, ya?" Kak Vee antara yang aku kenal, memang pandai mengambil hati.

"Kami nak mintak Edan komen sikit," ujar Kroll yang sudah siap siaga dengan telefonnya untuk merakam suara aku.

"Saya nak komen apa, ya?" Aku betul-betul tak faham awalnya.

"Edan baru-baru ni ada bekerjasama dengan Cahya, mungkin boleh rasa sesuatu ke?" Uden cuba merisik.

"Rasa sesuatu? Haha... Kalau air sirap boleh juga rasa-rasa. Rasa macam mana?" Aku semakin blur. Aku pandang Sakinah dan Abang Mail. Mereka sudah menggeleng. Isyarat minta aku berawas apabila menjawab.

"Alah, janganlah cakap macam tu. Maksud kami, takkan Edan tak nampak kelainan Cahya?"

"Saya cuma rakan kerja. Hal peribadi dia, saya tak masuk campur. Saya tengok dia biasa aje."

"Tak ada marah-marah, tak ada sedih ke?" Kak Vee cuba nasib mengorek kisah.

"Sungguh, saya tak perasan apa-apa."

"Ke Edan coverline untuk Cahya?" Aku berkerut memandang Uden.

"Untuk apa pula saya coverline? Saya hormat Cahya sebab dia jauh lebih senior dengan saya dalam industri. Banyak yang saya belajar dari Cahya."

"Boleh Edan kongsi apa yang Edan belajar tu?" Lembut Kak Vee bertanya.

"Banyak perkara. Antara yang dia pernah sebut pada saya, untuk dapatkan hasil berkualiti sama ada untuk modeling atau lakonan, kena faham bahasa. Antaranya bahasa gambar, bahasa kamera, bahasa lakonan dan bahasa alam."

"Hebat tu! Ada ke itu maknanya Edan memang rapat dengan Cahya?"

Haish, lain macam nada ayat Kroll. Ni nak bikin sensasi... Aku meneka sendiri.

"Kawan. Macam saya berkawan dengan semua oranglah. Semua sama aje."

Macam biasa, aku beri jawapan yang paling selamat.

"Atau, Edan sendiri ada hati pada Cahya?"

Dush! Terasa kena hempuk kepala ketika itu.

"Astaghfirullah... Saya tak pernah terlintas untuk bercinta sesama rakan satu industri. Cukuplah, ya... Takut pula saya nak jawab banyak-banyak."

Sakinah dengan Abang Mail sangat pantas. Mereka awal-awal sudah bayarkan minuman kami. Jadi dengan segera juga, Abang Mail minta izin dari rakan media untuk aku beredar. Aku tahu semakin lama aku di situ, makin panjang dan rumit soalan yang perlu aku jawab. Aku meminta maaf dengan memberi alasan ada janji temu lain di Hartamas.

Sebenarnya sudah tak sabar aku mahu jumpa emak. Sejak minggu lepas tak berkesempatan untuk pulang makan bersama-sama emak dan keluarga. Dan yang paling penting aku mahu qada tidur.

"Abang Edan, bangunlah!"

"Abang Edan... Bangun! Mak bising tu!"

"Abang Edan tidur matilah, mak!"

Nojie entah sudah berapa kali ulang-alik, gegarkan badan aku. Memang aku tak terdaya untuk buka mata. Mengantuk sangat-sangat.

"Ambil separuh gelas air, simbahkan aje ke muka abang tu!"

Mata saja pejam tapi aku dengar arahan emak pada adik kecil aku itu. Sebelum aku kena simbah air, sebelum tilam dan bantal aku basah, melompat aku bangun.

"Hah, berani nak simbah abang, ya!" Aku menangkap tangan Nojie sambil si kecil itu ketawa terkekeh-kekeh.

"Nak masuk maghriblah... Abang tidur aje!" Nojie mengomel. Ikutkan malas, aku masih mahu tergedang di atas katil. Tapi sebaik terdengar suara emak yang melangsing, aku cepat bingkas untuk bersihkan badan dan berwuduk.

"Dah biasa culas solat kot sejak glamor ni!" Pedih berdarah rasanya telinga bila emak sudah mula membebel.

Selesai maghrib, Abang Mail dan Sakinah sudah muncul di depan pintu rumah. Emak macam biasa memaksa dua beradik itu makan bersama-sama kami.

"Nak ke mana kelam-kabut ni? Hidup dah macam berlari atas jarum jam rasanya!"

"Dah janji dengan satu tauke butik dekat KLCC. Sebelum pukul sembilan ni, Edan nak kena cuba baju dekat sana." Abang Mail memberitahu. Aku pandang emak sambil tersengih. Nampak jelas emak seperti menarik nafas lelah.

"Hujung tahun ni berhentilah ya, Edan?"

"Hah? Kenapa, mak?"

"Takut mak dengar cerita-cerita kau orang ni."

"Mak dengar cerita apa? Mak dapat tahu dari siapa ni?"

Aku menjeling Abang Mail dan Sakinah.

"Eh, nak jeling-jeling kita orang pula."

"Mak pun dah pandai layan gosip ke?"

Semua tergelak mendengar usikan spontan aku pada emak.

"Kalau benda betul, macam mana kita nak percaya?"

"Fasal apa yang mak dengar ni?"

"Cerita fasal kawan Edanlah."

"Kawan yang mana?"

"Alah, yang gambar dengan video tak elok dia tu dah bersepah merata-rata."

"Mak? Mak tengok ke?"

"Taklah!"

"Habis tu, kalau mak sendiri tak tengok, macam mana mak boleh percaya? Tak bolehlah mak nak tuduh orang benda yang kita sendiri tak pasti."

"Kau jangan main-main, Edan. Acik Syimah dah pandai tengok Instagram. Dah pandai baca gosip dekat forum."

Aku terbeliak mendengar kata-kata Abang Mail. Biar betul?

"Hah, siapa yang ajar ni?" Mata aku terus melirik ke arah Sakinah yang sibuk mengupas bawang dan jagung untuk dibuat cucur.

"Edan, jangan nak banyak bunyi, ya. Acik mintak aku ajar cara nak buka YouTube, cari Google. Aku asalnya ajar untuk acik cari surah-surah al-Quran yang acik suka. Cari sekali untuk tafsir ayat. Hah, habis tu kau ingat acik tak reti nak taip nama-nama artis kat situ kalau acik tiba-tiba dapat seru nak baca fasal gosip?"

"Mak! Apa ni, mak? Mak dah tua, janganlah layan gosip ke, layan forum tu semua... Tak sesuai, mak."

"Eh, mak kalau taip tu nama anak mak aje. Mak tak cari orang lain. Dah aku nak tahu hal anak aku, aku taiplah. Nak juga baca apa orang kata fasal kau."

"Mak duduk diam-diam mengaji dengan baca tafsir sudahlah. Mak kan selalu sibuk dengan geng mengaji mak dekat masjid tu. Tak payahlah nak baca benda merepek-repek. Nanti bila mak risau, mak fikir bukan-bukan. Lepas tu mak bising suruh Edan berhenti kerja."

"Kalau kau tak buat benda yang salah, tak payahlah takut."

"Edan beritahu aje..."

"Mak pun beritahu juga. Kalau ada peluang berhenti, berhentilah. Bumi Allah s.w.t ni luas. Banyak lagi cara lain boleh kita cari rezeki. Mak tak kata salah, tapi kalau kau selalu diuji, mak takut kau tersalah langkah."

"Insya-Allah, mak. Selagi mak doa untuk Edan, selagi tu semuanya baik-baik aje." Aku tahu aku kena meyakinkan emak. Lagipun rasanya setiap kali jumpa emak, itu saja yang emak bimbangkan.

"Edan muda. Orang muda ni selalu ikut hati. Mak risau sangat."

"Dia kalau ikut hati, kami katukkan aje kepala dia, acik." Abang Mail pantas menyampuk cakap emak. Alah, tahu sangat... Abang Mail kena bagi mak yakin. Kalau tidak, semua benda emak larang aku buat.

"Kau orang berdua pun... Jangan sesekali tinggalkan solat, ya."

"Insya-Allah, acik." Sakinah pantas berjanji.

"Dengan Kinah tu mak kena pesan... Jangan sesekali mengumpat. Nanti dekat neraka, kena makan daging saudara sendiri."

Terbeliak mata Sakinah memandang aku.

"Eh, apa pula... Dia yang jadi retis, kita pula dia pesan," sanggah Sakinah dengan muka yang tak puas hati.

"Huh, macamlah kita tak tahu dia selalu bergosip berjemaah dengan mekap artis. Lepas tu buat report dekat mak. Kemudian mak pula yang susah hati." Aku sebenarnya sengaja menyakat Sakinah.

"Hish, ni fitnah, okey! Mana pernah kita ambil port fasal orang lain. Kerja sendiri pun buat sakit kepala, lagi nak layan cerita orang. Sambil menunggu interview ke, shooting ke, selalu kita..."

"Tidur, ternak lemak!" Pantas aku memotong ayat Sakinah. Kali ini perempuan itu betul-betul bercekak pinggang.

"Dia ni saja nak cari fasal tau!"

"Alah, Abang Edan lagi kuat membongkang. Tengah duduk tegak pun boleh lelap... Muka tunduk aje macam bagus. Pandang lantai. Kalau jengah, dah hanyut mimpi agaknya..." Nojie tiba-tiba mencelah dan kemudian pantas Sakinah menyampuk.

"Betul tu! Tu sebab malam ke subuh ke, dia pakai cermin mata hitam kalau kerja. Nak cover mata bila nak tidur."

"Tu belum masuk time solat pun dia nak terlelap. Sujud tak bangun-bangun. Kadang-kadang tu alih-alih dengar bunyi berdebuk. Rupa-rupanya Edan dah tergolek sebab terlelap masa sujud." Berderai gelak ketawa Abang Mail sama Sakinah yang bikin aku rasa meletup-letup di dalam dada.

"Malas solat ke sekarang, Edan?" Tak fasal-fasal emak sudah menjeling.

"Mana ada, mak. Bohong dia orang ni." Aku menjeling pada Sakinah. Perempuan seorang ini kadang-kadang selain kerjanya menjaga jadual aku, memang sama sibuk membuat report pada emak.

"Jangan buat macam tu, Edan... Banyak dah nikmat Allah s.w.t yang tak mampu kita dustakan. Daripada kita duduk dekat flat, sekarang Edan dah mampu buat keluarga rasa selesa. Allah bagi rezeki buat beli rumah besar sikit. Pakai kereta selesa. Dulu mak nak tanggung kau orang pun tak mampu. Kau dengan Mail, dengan Sakinah pakat-pakat berniaga kuih."

Emak sudah sebak. Aku terasa kering tekak.

Allahu... Tak sanggup dengar emak buka cerita lama kami. Memanglah tak lama mana... Tapi entah kenapa, memang betul cakap emak. Terasa beza benar hidup kami sekarang. Dulu emak tak kering kuku kerja siang malam. Cuci rumah orang, ambil upah gosok baju, jadi tukang cuci tandas hospital, tukang mop lantai 7-Eleven.

"Bila berkawan dengan perempuan tu hati-hati, Edan. Nanti macam-macam fitnah boleh timbul. Mak kadang-kadang risau baca cerita fasal kau. Tengok kau bergambar ke, berlakon ke dengan perempuan, rapat-rapat, berlaga bahu, bergesel pipi tu. Alahai... Bimbang mak dibuatnya."

Aku tertoleh memandang emak. Seperti tidak percaya mendengar kata-kata emak. Ya, ini kali pertama rasanya emak luahkan segala isi hatinya. Selama ini nampak emak tenang-tenang aje.

"Tak ada apa-apa, mak. Semua ni hal kerja. Lagipun kalau bergambar tu semua, ada ramai orang yang memandang. Bukan berdua dengan perempuan aje." Pantas aku menjawab.

"Terpulanglah pada Edan. Kalau suatu masa nanti, Edan buat benda lain, mak jadi orang paling seronok."

"Kenapa? Sekarang mak tak seronok?" Aku menduga hati emak lagi.

"Bukan tak seronok. Mak risau."

Aku diam. Memang aku faham maksud emak. Tapi nantilah dulu... Sampai masa aku berhenti juga nanti.

"Baiknya Allah. Pernah tak dalam kita rasa sangat terdesak, dan kita rasa tak ada siapa lagi yang dapat menolong kita? Saat itu kita benar-benar bergantung harap hanya pada Allah dan berdoa dengan hati yang pasrah. Maka sekilap itu juga, doa tersebut dimakbulkan Allah. Jangan lupakan Allah s.w.t ya Edan, Mail, Kinah... Kerja macam mana glamor pun, esok lusa kita ni balik ke tanah dengan kain putih, dengan amal ibadah aje buat bekal dekat sana." Seperti air dingin dari pergunungan, suara emak mengalir ke jiwa aku. Menusuk ke dasar kalbu. Aku lihat Abang Mail dan Sakinah sendiri menekur diam.

Aku angguk. Menahan rasa sebenarnya.

"Insya-Allah, mak. Insya- Allah..."

Aku menggumam perlahan. Terasa hiba tidak semena-mena.

Malam itu aku mencuri jengah wajah emak tatkala dia sedang pulas tidur. Allahu... Memandang wajah emak memang satu nikmat yang tidak terucap. Semoga Allah s.w.t meminjamkan usia aku lebih lama untuk terus berbakti pada emak.

Tuhan, terima kasih kerana mengirim aku ibu dari syurga yang sentiasa menanam, membenih keinsafan. Menghantar ingatan aku yang kian terlupa pada daerah terpinggir ini. Ya Allah, kalau ini ujian-Mu, aku reda. Mungkin ada daerah jiwa aku yang kontang dengan wirid dan zikir.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co