Bab 10
ZAFRAN tiba di rumah kira-kira pukul 5.30, petang itu.
Kakak dah balik ke ni? Baik aku jenguk di rumah sebelah!
Zafran menanti pintu dibuka setelah memberi salam. Julia yang berwajah selamba muncul di sebalik pintu.
"Err, kakak?"
"Dia tidur. Penat kut!" Julia menjawab garang.
Aku mesti berlagak sombong ni. Nanti dia suka aku. Biarlah anak dia aje yang suka aku!
"Err, tak apalah. Saya balik dulu."
Nak balik pun kena cakap ke? Balik jelah! Dud pokai! Julia menutup pintu dengan kasar.
Zafran memandang tingkah laku Julia dengan wajah pelik.
Perempuan ni angin apa entah. PMS ke? Zafran senyum sambil melangkah ke rumah sewanya. Masih Zafran teringat akan perangai pelik Amira apabila datang haid. Begitulah keadaannya. Sama seperti Julia yang marah tanpa punca.
Perempuan sombong... perempuan sombong! Entah-entah kau memang mama Maya yang baru. Aku pasrah padamu, Ya Allah!
"SERONOK keluar dengan Kak Ju?"
Maya tidak terus menjawab soalan Zafran, sebaliknya sibuk membelek buku-buku yang dibeli oleh Julia untuknya.
"Tengok tu, ayah tanya pun tak jawab. Tak sayang ayah lagi ya?"
"Sayanggg..." Maya menjawab tanpa memandang wajah Zafran.
"Ceritalah, pergi mana tadi? Buat apa?" Zafran sebenarnya tidak sabar untuk mendengar cerita Maya tentang Julia.
"Seronok, ayah."
"Yalah, apa yang seronok?"
"Kakak cerita dari mula, ya. Mula-mula makan kat rumah mak cik. Makan sedap. Pak cik beli roti canai. Lepas tu pak cik hantar tempat best. Kak Ju bawak makan KFC. Lepas tu, tengok wayang. Cerita Star Wars. Seronok, ayah. Lepas tu pulak, Kak Ju pergi sembahyang."
"Sembahyang?" Zafran terkejut.
Bukan perempuan sombong tu PMS ke? Eh, apa aku ni!
"Yalah. Kak Ju sembahyang. Kakak tengok aje. Lepas tu Kak Ju bawak kakak beli buku. Ha ni, lah. Dia suruh ayah ajar."
"Ayah yang ajar? Ayah tak pandai macam Kak Ju. Balik naik apa?"
"Naik teksilah. Tapi bukan teksi pak cik. Teksi ni baru. Teksi pak cik buruk. Haha..." Maya ketawa.
"Amboi, kakak. Tak baik tau, kutuk macam tu."
"Alah, kakak gurau aje. Nanti ayah dapat gaji lagi, bagi duit pada Kak Ju tau. Kami boleh jalan-jalan lagi."
Perempuan sombong tu bukan wife ayahlah, sayang. Mana boleh bagi duit kat dia!
Kata orang, jika orang memperkatakan tentang kita, kita juga akan mengingati orang tersebut. Begitulah halnya dengan Julia. Walaupun agak penat seharian melayan kerenah Maya, Julia merasa amat gembira.
Kesian kakak. Mesti dia rindukan mamanya. Kat akulah dia tumpang kasih. Hah! Dibuatnya bapak dia pun nak tumpang kasih dengan aku macam mana? Ah, macamlah aku tak boleh tolak. Mana ada kahwin paksa dalam dunia alaf baru ni. Mak nak paksa aku? Aku larilah! Harap-haraplah dud tu kahwin dengan perempuan yang betul. Janganlah dapat perempuan jahat. Kesian kakak kena dera nanti!
Penat membelek wajahnya di hadapan cermin, Julia melangkah perlahan ke katil.
"Penatnya!!!" Bantal peluk dicapai oleh Julia.
"Tak dapat peluk Tengku Hazrin, peluk Zaini pun kira okeylah! Duhai Zaini, hadirlah kau dalam mimpi-mimpiku," Julia ketawa.
Kepenatan tubuh badan yang menguasai, menyebabkan Julia terlena.
"You tetap pertahankan cinta kita, sayang? Walaupun Puan Sri akan memusuhi you? Atau mungkin akan membuang you?"
"Yup, that's my decision! Mummy tentu akan faham satu hari nanti. I bukan nak buang dia. I just wanna be with someone that I love. Melalui indahnya dunia ini bersama you. You tak percaya dengan I, baby?" Tengku Hazrin berwajah tenang, cukup meyakinkan Julia.
"Bukan I tak percayakan you, sayang. Tapi..." Julia berhenti daripada meneruskan kata-katanya.
"You takut mummy akan pisahkan kita juga? Dengan pelbagai cara? Dan muncul ex-girlfriend I yang mummy suka? Itu drama TVlah baby. Mummy takkan buat bukan-bukan. Kalau kita ada baby, lagilah mummy akan terima kita kembali."
"Itu lagi drama TV, sayang. Dalam realiti kalau dah tak suka, sampai mati mummy tak suka." Air mata Julia mulai mengalir ke pipi.
Tengku Hazrin bungkam. Apa dayanya lagi mahu memujuk Julia.
"I relakan perpisahan ini, sayang. Mungkin ini takdir cinta kita. Allah sedang menguji kita. I tetap doakan you bahagia bersama pilihan Puan Sri..." Air mata Julia semakin galak bercucuran.
"You kejam, baby! You kejam! You never fight for our love!"
"Apa yang I buat demi sayang I pada you, Haz? I tak nak you hidup susah gara-gara memilih untuk bersama dengan I. Terimalah takdir cinta kita. Mungkin kita akan dipertemukan semula suatu hari nanti. You takkan mati dalam hati I," Julia berkata dalam sendu.
Tengku Hazrin bangun.
"I don't know what to say, baby. Selamat tinggal Julia!"
Julia pantas mencapai tangan Tengku Hazrin.
"I tak boleh hidup tanpa you, sayang!"
"We will try to fight for our love, okay baby? I akan cari kerja. Kita kahwin?" Tengku Hazrin kembali duduk. Air mata Julia dikesat perlahan dengan jemarinya.
"Just answer me, baby."
Julia diam, sedikit keliru dengan keputusan yang mahu dibuatnya.
"You janji akan sayang I selamanya? Jaga I sampai bila-bila?" Julia menjawab lambat.
Tengku Hazrin tersenyum. Wajah tampan itu kembali membenihkan warna-warna pelangi.
"Tak juga. Lepas you pregnant, you gemuk, I keluar dengan my-ex!" Tengku Hazrin ketawa kuat.
"You buatlah. Berani you ya?" Cubitan Julia singgah di lengan putih melepak Tengku Hazrin. Tengku Hazrin memegang tangan Julia, kuat.
"That's it. Don't you ever do that again. Ingat satu perkara, I love you more than you love me. Jangan merajuk dengan mummy lagi. Nanti I pujuk mummy lagi ya? Nothing to worry, okay?"
Julia angguk.
PAGI itu Julia begitu ceria sekali. Wajah Tengku Hazrin masih melekat di ingatan.
"Oh sayang, engkaulah jejaka idaman," Julia menyanyi riang sewaktu menyikat rambut.
"Kalau tak dapat Tengku Hazrin, dapat Tengku Zaini pun jadilah. Haha. Janggal betul nama Tengku Zaini. Macam tak masuk je nama Tengku tu!"
Julia keluar dari bilik mencari Jaliah.
"Mak, Ju beli breakfast ya?"
"Rajin kamu pagi ni? Ada apa-apa ke?"
"Ju rajin pun tak boleh ke? Mak nak apa?"
"Eh, kamu nak beli di mana dengan rambut mengurai tu?"
"Gerai mak cik hujung lorong tu aje. Malaslah nak pergi jauh-jauh. Tak apa, kan... tak pakai tudung. Mak nak apa? Ayah?"
"Dosa kamu tanggung, ya Ju. Belilah nasi lemak. Kuih sikit. Eh, anak kamu. Opps, anak angkat mak, kamu jangan lupa pulak!"
"Mak ni merepeklah. Ju pergi dulu."
"Ada ke duit tu?"
"Ada. Baki duit Mr. Dud semalam." Julia ketawa.
"Orangnya tak suka, duit ambik juga!" Jaliah berkata perlahan.
JULIA terkebil-kebil mendengar pertanyaan Mak Leha di hadapannya.
"Nasi lemak berapa bungkus?" Mak Leha mengulangi pertanyaannya.
Aduh, terpaksalah beli untuk Mr. Dud sama ni. Lain kali aku tak nak dah beli!
"Nasi lemak lima bungkus. Asingkan satu plastik tu dua bungkus, satu plastik lagi tiga bungkus. Kuih karipap seringgit, kuih keria seringgit dan apam kukus tu seringgit."
Dalam perjalanan pulang, Julia berkira-kira untuk singgah memberikan nasi lemak dan apam kukus kepada Maya.
"Maya mesti suka apam kukus. Tak pedas. Janganlah Mr. Dud yang bukak pintu. Malas aku tengok muka lelaki belum mandi ni."
"Maya! Maya! Maya!" Julia menolak pagar yang tidak berkunci mendekati pintu rumah.
"Waalaikumussalam!" Suara Zafran kedengaran dari balik pintu.
Bila masa pulak aku bagi salam ni? Perli aku ya!
Sangkaan Julia meleset. Wajah Zafran kemas bergaya. Zafran telah mandi.
Handsome siot, dud ni. Tapi apakan daya!
"Ya? Ada apa Kak Ju Cantik?" Zafran memandang wajah Julia.
Julia mengelak pandangan Zafran pantas.
"Nah, mak suruh bagi Maya!"
"Mak cik yang bagi atau Kak Ju yang bagi?"
Eleh, gatal jugak kau ya!
"Untuk Maya saja. Saya?" Zafran masih belum melepaskan Julia.
"Yalah, untuk awak sekali. Ambiklah!" Julia pantas meninggalkan pekarangan rumah sewa Zafran.
Zafran masih memegang beg plastik pemberian Julia dengan wajah berbunga. Dia merasakan Julia masih di hadapannya, dengan rambut melepasi paras bahu yang cantik menawan.
Zafran cuma lelaki biasa, yang mungkin telah tersentuh hatinya melihat kejelitaan Julia.
Adakah abang suka padanya, Mira?
"Ayah!"
"Eh, cepatnya siap."
"Kan nak makan roti canai di kedai. Siapa bagi kuih ni? Kak Ju ya?"
Zafran senyum.
"Kakak nak makan nasi lemak. Tak jadilah makan kat kedai. Ayah buatlah air." Maya seolah-olah memberi arahan.
"Buli ayah ya? Pergilah breakfast dengan Kak Ju Cantik kakak tu."
"Tak naklah. Kesian ayah nanti makan sorang-sorang. Kalau Kak Ju tinggal sini, bestkan ayah?"
Zafran tidak menjawab, sebaliknya melangkah perlahan menuju dapur.
Nak ke perempuan sombong tu duduk sini? Hati Zafran bertanya perlahan.
KERETA Toyota Camry 2.0 berhenti betul-betul di hadapan rumah Jaliah.
Ponnn!
Jaliah menyelak langsir tingkap rumahnya.
"Kereta siapa pulak tu? Takkan saudara mara Zafran. Mustahil! Eh, bukan anak aku ke tu? Ju! Ju! Tengok siapa datang ni!" Jaliah sedikit menjerit memanggil Julia.
Jaliah pantas membuka pintu. Hani berjalan masuk membuka pintu pagar yang tidak berkunci dengan mendukung Qila.
"Ingat jugak kamu jalan balik rumah mak, ya? Mak ingat kamu lupa dah!"
"Mak ni, kan orang balik dah ni."
Jaliah mengambil Qila daripada dukungan Hani.
"Cucu nek sayang... Lamanya tak jumpa. Dah berlari kamu ya?"
Qila yang sudah melebihi empat bulan tidak berjumpa dengan nenek tercinta, meronta-ronta dalam pelukan Jaliah.
"Uyun! Mummy! Uyun!"
Jaliah menurunkan Qila daripada dukungan. Qila berlari mendapatkan Hani.
"Mak sihat?" Hani menyalami Jaliah.
"Sihatlah. Lama kamu tak balik. Sibuk sangat ya?"
Hani memegang tangan Qila, menuruti langkah Jaliah masuk ke dalam rumah.
Julia muncul dari bilik bersama Maya.
"Ha, anak siapa pulak kau pungut tu? Jadi mak segera ke?"
Julia terperanjat mendengar kata-kata kasar kakaknya.
Berlagak sangat dia ni, kenapa? Meroyan ke? Mujur kakak aku!
Julia senyum tawar. Salam dihulur.
MAYA leka bermain dengan Qila bersama longgokan alat permainan yang dibawa oleh Hani. Zul berwajah kelat menekan-nekan alat kawalan jauh Astro di tangan. Lagak seperti anak Datuk yang pertama kali menjejak kaki di rumah kos rendah yang merimaskan.
Julia muncul meletakkan dulang berisi jag dan dua biji gelas di hadapan Zul.
"Minum, bang."
"Ermm."
"Kereta baru ke?"
"Ermm."
Ni lagi sorang nak kena sepak dengan aku. Baru tukar Camry dah sombong semacam. Aduh, dulu Vios J berkerak je masuk site! Kau tunggu aku dapat laki kaya nanti. Tunggu!
"Kakak main elok-elok dengan Qila ya."
Maya sengih.
"Okey, Kak Ju."
Julia kembali mendapatkan Jaliah dan Hani di dapur.
"Seronoklah kau ya?"
"Apa yang seronok?" Julia tidak jelas dengan pertanyaan Hani.
"Yalah. Dapat anak segera, bakal dapat duda idaman tu. Handsome ke? Kerja apa, mak?"
"Ayah Si Maya tu bawak lori. Tak pulak dia cakap suka adik kamu ni. Takat laki kamu, handsome lagi duda tu. Tapi dia tak ada kereta besar macam laki kamu tu," jawab Jaliah tanpa selindung.
"Haha. Bawak lori? Patutlah bini dia lari."
"Mulut kamu tu jaga sikit. Dengar budak Maya tu nanti. Mak Maya tu dah meninggal," Jaliah berkata perlahan.
Julia diam. Tidak mahu mencaras kata-kata kakaknya. Kesabaran dan rasa hormat Julia terhadap kakak yang lebih tua empat tahun daripadanya itu masih kejap.
"Mengapa senyap aje? Buat apa sekarang? Dah boleh petik ke anggur yang kau tanam?"
Dia mula lagilah tu. Apa aku nak jawab ni? Kenapalah aku dapat kakak macam ni!
"Ju jadi guru ganti sekarang ni. Dah ada gaji sendiri dah!" Jaliah menjawab soalan Hani yang ditujukan kepada Julia.
"Guru ganti? Berapa sen kau dapat? Sehari seratus aje, kan?"
"Akak dah lupa ke?"
"Lupa apa?"
"Yang akak pun cikgu jugak! Berapa sen pulak gaji akak tu?"
Wajah manis Hani berubah.
"Hey! Aku ni cikgu tetap. Kira bulan. Ada elaun semua. Bukan kira hari macam kau. Satu lagi, aku ada laki. Laki tu ada duit. Bukan duda duduk rumah berkerak kat sebelah tu!"
"Sudah! Korang berdua, asal jumpa saja bergaduh. Tak boleh ke berbaik? Kamu berdua nak tengok aku mati ye?" Jaliah sebak. Tidak disangka kedua-dua orang anak perempuannya itu sanggup berbalah di hadapannya.
Julia berjalan pantas meninggalkan dapur, masuk ke bilik.
SALMAN merenung skrin televisyen di hadapannya tanpa perasaan. Perasaan kesal bersarang kukuh di hati.
Kurang asam punya menantu, nak tidur di sini semalam pun tak mau. Hani pun sama. Tu baru kahwin dengan jurutera legam kena panas di tapak pembinaan. Kalau dapat anak CEO syarikat, macam mana?
"Eh, abang tak siap lagi? Kejap lagi Hani dan Zul sampai, bising pulak budak-budak tu."
"Siap apanya? Jurutera kesayangan awak tu nak bawak makan di hotel ke nak bersiap bagai? Abang macam ni, lah. Nak bersiap apa lagi?" getus Salman tanpa perasaan.
"Dengar Si Hani nanti, kecik hati dia, bang."
"Kecik hati Hani awak risau, kecik hati kita, ada dia fikir? Ikut saja bongkak laki dia tu. Apa salahnya tidur di sini semalaman je. Nak tidur di homestay pulak."
"Saya pun sakit hati, bang. Tapi nak buat macam mana? Takkan nak hamun menantu dan Hani tu. Tak balik lagi nanti ke rumah ni."
"Tulah awak. Manjakan sangat Hani tu. Tengok sekarang ni. Mendongak ke langit!"
Jaliah bungkam. Tidak mampu lagi menepis kata-kata suaminya.
"Ju mana ni? Tak nak ikut?"
Jaliah menggeleng.
"Hah, kenapa pulak?"
"Tadi budak-budak tu bertekak."
"Balik sini nak jumpa keluarga ke, nak gaduh?" soal Salman kesal.
Sepeninggalan Jaliah dan Salman makan malam bersama Hani dan suami, Julia memerap sahaja di dalam bilik. Sakit hatinya terhadap Hani masih belum reda.
Kenapa Kak Hani berubah macam ni? Confuse aku. Kalau aku dapat laki kaya esok, aku jadi macam dia jugak ke? Isy, tak naklah sombong macam tu. Tapi kalau aku dapat laki pokai, sampai bila-bila Kak Hani akan buli aku. Huwaaa! Kesian Mr. Dud. Tak pasal-pasal kena kutuk teruk dengan Kak Hani. Eh, bukan aku pun ada kutuk dia ke? Aku pun banyak salah kat dia tu. Aduhai!
"Bosannya!"
Julia bangun dari katil lalu keluar dari bilik. Alat kawalan jauh dicapai, namun dicampak perlahan ke sofa. Julia melangkah ke luar rumah menghirup udara malam yang segar.
"Malangnya nasib!"
"Tak baik mengeluh begitu, Kak Ju Cantik!"
Julia menoleh. Zafran merenungnya dalam kesamaran malam.
"Awak ngendap saya ya?"
"Ngendap apanya? Saya lupa ambik kunci motor saya. Nanti kena curi pulak. Dahlah saya ni duda pokai. Nanti kena jalan kaki pulak pergi kerja," Zafran menjawab panjang lebar.
Apa pulak dia bebel ni? Aduh! Podah betullah!
"Huh! Malas layan!" Julia melangkah laju masuk ke dalam rumah.
Zafran senyum pahit.
Aduh, betul ke dia bakal mama kakak ni?
Julia menutup pintu tanpa menguncinya. Langkah diatur laju menuju bilik. Julia menghempas badannya di atas katil.
"Tidurlah!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co