Bab 9
SETELAH menulis waktu kedatangannya di pejabat, Julia berjalan pantas ke bilik guru. Mengingati waktu pertama, dirinya tiada kelas, Julia jalan berlenggang.
Control ayu! Itu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan Julia sewaktu berjalan.
"Pewittt!" Cikgu Razak yang boroi dan meniti waktu untuk pencen menegurnya.
Julia senyum kelat. Lelaki tua ni nak buat apa? Buang karan betul. Tak ingat diri tu dah isyak ke?
Julia hanya berani melontarkan kata-kata tersebut di dalam hatinya sahaja.
Takkan nak cakap depan-depan. Diadunya pada pengetua, terus aku kena buang kerja. Mana pulak Si Zaini ni? Dibuatnya hari ni dia ada kursus ke... bawak budak kat mana-mana ke... buat rugi aku pakai cun hari ni. Baju cun lain mana ada!
Julia tiba di bilik guru. Matanya melilau memandang tempat duduk guru-guru lelaki. Tiada kelibat Zaini di situ.
Aku buat kerja dululah. Kalau dah jodoh nampak dia hari ni, tak ke mana, kan? Julia memujuk hatinya sendiri. Buku rekod mengajar dikeluarkan dari beg. Julia tekun menulis rancangan pelajaran harian untuk hari itu. Ingatan Julia terhadap Zaini hilang seketika.
Perut Julia berbunyi minta diisi. Jam sudah menunjukkan pukul 10.20 pagi. Waktu rehat bagi pelajar-pelajar telah tiba.
Lapar pulak. Kang kena berasak di tangga kantin dengan budak-budaklah ni!
Julia melangkah laju menuju ke kantin. Masuk sahaja di ruang makan untuk guru, Zaini senyum memandangnya. Dada Julia berdebar kencang.
Control, control, control Ju! Aku tak boleh obvious sangat suka dia ni. Malu Bedah. Imej wanita Melayu Terakhir perlu dipelihara!
Julia membiarkan sahaja Zaini memandangnya. Tidak luak apa pun. Tangan Julia lincah mengambil nasi dan lauk. Julia duduk di meja yang telah dihuni beberapa orang guru perempuan.
"Cantik Julia hari ni. Macam nak bertunang aje." Cikgu Latifah menguntum senyum.
"Tak adalah. Akak ni... buat saya malu aje!"
"Dah ada belum?" Cikgu Latifah bertanya soalan yang mencemaskan Julia.
Nak jawab apa ni? Zaini mesti dengar ni!
"Belum! Akak nak carikan ke?"
"Ha, dengar tu Zaini, Julia ni solo lagi." Cikgu Hafsah pula bersuara.
"Isy, apa akak ni. Apa kaitan saya dengan Zaini?"
"Eh, mestilah ada kaitan. Zaini saja satu-satunya cikgu bujang. Kamu nak cikgu sebelah Zaini tu ke?" Cikgu Latifah ketawa besar.
"Nak saya pun apa salahnya. Ada lagi dua kosong." Cikgu Razak mencelah.
Ada lagi dua kosong? Mean? Err, lagi mau gatal. Nak muntah hijaulah!
"Dia dah ada dua bini ke?" Julia berbisik kepada Cikgu Hafsah.
Cikgu Hafsah angguk.
"Hati-hati, laki dua bini ni bahaya." Cikgu Latifah pula berbisik kepada Julia.
"Oiii... apa yang dibisikkan tu? Tak baik mengumpat tau!" Cikgu Razak melaung dari mejanya. Sememangnya lelaki tua dan beristeri dua ini miang. Terbukti. Lihat sahaja Zaini yang masih solo. Tidak langsung miang seperti Cikgu Razak.
Aduh, yang solo senyap... yang tua wife dua pulak banyak songeh!
Julia mula menyuap nasi ke mulut. Cikgu Razak dan Zaini berlalu daripada ruang makan guru.
Uhhh, lega!
Usai menjamu selera, Julia melangkah meninggalkan kantin, menaiki tangga menuju ke bilik guru.
Tak apalah Zaini tak tegur aku pun. At least dia nampak aku yang pakai kurung moden cun ni. Mesti malam ni kau ingatkan aku, Zaini handsome oi!
Julia tiba di mejanya. Kelas berikutnya hanya akan bermula pada pukul 12.10 tengah hari.
Banyak masa ni. Nak buat bajetlah kalau dah dapat gaji. Mesti habis tiga bulan baru dapat gaji. Harap-harap kuranglah cuti umum, dapatlah aku gaji banyak sikit. Nak beli phone baru. Taklah aku malu. Ni orang asyik tanya aku ada WhatsApp ke tak. Aduyai!
Julia menulis anggaran gajinya untuk tempoh tiga bulan.
Sebulan – 20 x RM 100.00= 2K
– 2K x 3= 6K
Phone baru – 1K
Mak – 1K
Ayah – 1K
Shopping – 1K
Baki – 2K.
Harap-harap kalau kurang pun, dapatlah lima ribu setengah gaji aku. Huhuhu.
Maya? Oh ya, kawan baikku itu. Bolehlah jalan-jalan dengan dia. Bajet untuk Maya seratus ajelah. Masa pergi shopping tu, suruh Maya mintak duit ayah dia sikit. Haha. Pandai pulak aku ni. Eh, Zaini idamanku masuk bilik gurulah. Dia tak nak tegur aku ke?
Ekor mata Julia mengekori langkah Zaini hingga Zaini duduk di tempatnya.
Aduh, nampak belakang dia pun, okeylah. Macam orang zaman dulu bercinta, nampak bumbung rumah pun hilang rindu. Haha!
Apa kata aku tegur dia? Eh, buat-buat mintak sesuatu kat dia. Kontrak latihan pelajar ke? Tapi dia ajar subjek PJK. Apa kaitannya dengan subjek BM dan Sejarah yang aku ajar ni? Macam manalah nak tegur dia ni? Macam mana ni?
"Ha, berangan ya?"
Cikgu Razak yang boroi muncul di tepi meja Julia. Julia tiba-tiba merasa geli-geleman. Tidak seperti pagi tadi, yang hanya menyampah terhadap Cikgu Razak.
Setelah mengetahui Cikgu Razak beristeri dua, dan miang pula, Julia merasa geli tiba-tiba.
Perempuan tu rabun ke? Sanggup jadi second kat cikgu yang boroi meniti senja ni? Berapa sangat gajinya. Ngok punya perempuan. Opss... tak baik aku cakap camtu. Mungkin cinta kut!
"Apa yang dimenungkan?" Cikgu Razak masih belum bergerak.
"Gajilah. Dah dapat gaji barulah ceria hidup ni." Julia membelasah sahaja jawapan untuk soalan Cikgu Razak.
"Kalau tak ada duit, I boleh tolong. Berapa you nak?"
I – you bagai! Gelinya aku! Macamlah banyak betul duit dia. Udah la separuh usia baru dapat degree. Banyak mana gajinya?
Julia masih lagi mengingati cerita tentang Cikgu Razak dari mulut Cikgu Latifah dan Cikgu Hafsah pagi itu.
"Waktu sambung degreelah, dia jumpa cikgu andartu sambung degree dengan dia. Kesian bini dia kat rumah lintang-pukang mengajar dan sara anak-anak. Dasar jantan gemuk!" Kata-kata Cikgu Latifah masih terngiang-ngiang di telinga Julia. Julia senyum sendiri.
"Tadi kata tak ada duit, ni senyum pulak."
"Tak banyak duit, tapi masih okey. Saya nak buat kerja ni." Julia menyibukkan diri dengan menyusun buku latihan pelajar di atas meja. Cikgu Razak berlalu pergi.
MAYA menarik beg sekolahnya, laju.
"Bye Kak Ju, mak cik. Kakak balik dulu." Maya sempat meminta diri untuk pulang tika kelam-kabut menyarung kasut.
"Kelam-kabut balik bila dengar bunyi motor ayahnya," gerutu Julia sedikit kesal. Dia belum puas berbual dengan Maya sebenarnya.
"Huh, kamu ni kenapa Ju? Dah itu bapak dia."
"Tak seronoklah Maya balik."
"Kalau kamu tak nak berpisah dengan Maya... ha apa lagi, pindahlah rumah sebelah. Mak setuju saja. Tapi kena nikahlah dulu," usik Jaliah sambil senyum.
"Mak ni, dengar si dud tu, mau dia perasan. Ju tak suka dialah. Takkan suka. Menyampah betul tengok lelaki naik motor. Usahalah sikit dalam hidup ni. Hidup di dunia ni hanya sekali. Ni asyik pasrah dan reda aje. Dia kena lebih berusaha, mak. Islam kan galakkan umatnya berusaha."
"Kamu tau ke dia tak usaha? Kita baru kenal dia. Baru sebulan dia pindah sini. Ju dah cakap macam-macam. Tak baik, Ju."
"Okey. Ju takkan kutuk dia lagi. Tapi ada syaratnya. Mak dan ayah jangan sekali-kali buat lawak nak kenenkan Ju dengan dia. Ju tak suka. Tetap tak suka. Lelaki pokai!"
"Maya, masuklah!" Jaliah bersuara kuat.
Julia menoleh dengan cepat. Maya berdiri di belakangnya dengan wajah murung.
Alamak! Budak ni dengar ke apa aku cakap tadi?
"Ni ayah bagi mak cik. Duit makan dan jaga kakak." Maya menghulur kepingan wang lima puluh ringgit kepada Jaliah.
Jaliah tergamam. Wang kertas huluran Maya disambutnya. Maya berlari pulang.
"Kakak! Kakak! Kakak!"
Jeritan Julia tidak diendahkan oleh Maya.
"Tulah kamu, Ju. Mesti Maya dengar apa yang kamu cakap tadi. Kamu memang tak sayang mulutlah Ju. Tak ada pun tanda bapak Maya suka kamu. Perasan betul kamu!" bentak Jaliah marah.
Julia diam. Rasa terpukul dengan kata-kata Jaliah.
Mesti kakak merajuk ni dengan aku!
"La, banyaknya! Apa sangat yang Maya tu makan di rumah ni? Zafran ni pun. Dah, pergi rumah Maya. Pulangkan duit seratus ni. Mak ambik seratus saja. Eh, cepatlah! Mintak maaf dengan Maya sekali. Kalau tak malu, mintak maaf dengan Zafran jugak. Mesti duda tu terpinga-pinga nanti."
Dua keping duit lima puluh ringgit yang dihulur oleh Jaliah disambut perlahan oleh Julia.
"Apa lagi, cepatlah! Dah nak maghrib ni. Nanti makan malam kat sana pulak kamu, Ju." Jaliah senyum, masih sempat mengusik Julia di dalam marahnya.
"Ju pergilah ni, mak. Mak ni!"
Julia melangkah pantas menyarung sandal di muka pintu. Salam diberi laju, sesampai sahaja di muka pintu rumah sebelah.
Pintu terkuak. Zafran berdiri di hadapan pintu.
"Err..."
"Kakak mandi. Nak masuk?"
Eh, kau gila ke apa ajak anak dara masuk dalam rumah!
"Ni, mak suruh pulangkan. Banyak sangat." Julia menghulurkan wang yang dipegangnya kepada Zafran.
"Awak ambiklah."
"Kenapa pulak?"
"Upah layan anak saya dengan baik. Nanti belanja kakak makan KFC ke? Kan awak tak ada gaji lagi," Zafran senyum.
Eleh Mr. Dud ni, lebih-lebih pulak. Macam mana dia tau aku tak ada gaji lagi ni? Mesti maklah ni yang kecoh. Bikin malu aje. Kalau kakak sampaikan aku kutuk dia pokai, malu ni!
"Nak jumpa kakak, masuklah. Dia masam saja balik tadi," pelawa Zafran dengan wajah ikhlas.
Okey jugak ni. Aku nak pujuk kakak!
"Saya masuklah. Terima kasih ya."
"Sebab apa pulak?" Zafran memandang wajah Julia.
"Ni!" Julia menunjukkan duit yang dipegangnya.
Zafran sekadar senyum.
Julia masuk ke dalam rumah, mencari bilik Maya.
"Yang pintu terbuka tu."
Julia duduk di atas katil bujang Maya. Kelibat Maya keluar dari bilik air masih tidak kelihatan. Julia gelisah sendiri.
"Kenapa Kak Ju datang?" Maya yang berbungkus tuala takat pinggang tercegat di hadapan pintu. Julia melemparkan senyum sumbing. Senyuman bersalah.
"Kak Ju nak ajak kakak makan KFC esok? Nak? Ni ayah kakak bagi kita duit. Nak tak?"
"Kak Ju tak suka ayah, kan?"
Aduh, apalah yang budak ni meragam ni!
"Sukalah. Kalau tak suka, takkan Kak Ju ambik duit dia bagi ni," jawab Julia tidak jujur.
"Betul?"
"Betullah. Kenapa Kak Ju nak tipu pulak?"
"Yang Kak Ju cakap ayah pokai tadi?"
"Kak Ju gurau aje. Esok, kakak pakai cantik-cantik tau. Kita suruh pak cik hantar kita pergi mall. Nak?"
"Nak!" Senyuman Maya menguntum. Hati Julia lega melihat kanak-kanak tersebut kembali mempercayainya.
Aku dah sayang budak ni. Jangan sayang bapak dia jugak udahlah!
"Eh, Kak Ju tak nak balik?"
"Haahlah. Kak Ju balik dulu tau." Julia bangun, sambil mencuit pipi mulus Maya.
Melintasi ruang tamu, Julia berjalan pantas. Tidak mahu bertegur sapa lagi dengan Zafran yang memandang skrin televisyen. Laju Julia menyarung sandal.
Huh, lega dia tak tegur aku.
Tanpa disedari oleh Julia, mata Zafran memerhatikan langkah kalut Julia menyarung sandal di hadapan pintu.
Sayang betul dia kat kakak. Mungkinkah dia calon sesuai bagi pengganti Mira? Isy, awal lagi. Apalah yang aku merepek ni!
Zafran kembali memandang skrin televisyen.
MALAM itu Zafran tidak memasak. Memandangkan gaji pertama baru diperoleh, Zafran mahu membawa Maya keluar makan malam.
"Kita makan luar. Cepat siap!"
"Kita nak makan apa?"
"Apa-apa kakak nak. KFC ke?"
"Eh, makan KFC dengan Kak Ju, esok. Ayah nak ikut?"
"Kan ayah kerja esok. Kakak ni..."
"Ayah suka Kak Ju ya?"
"Tak adalah! Dengar Kak Ju nanti, mesti dia takut dengan ayah."
"Habis, kenapa ayah bagi dia duit?"
"Tukan duit ayah bagi mak cik. Mak cik kata banyak sangat. Kak Ju pulangkan. Ayah suruh Kak Ju makan KFC dengan kakak esok." Jawapan jujur diberikan oleh Zafran kepada Maya.
"Kak Ju cantik, kan?"
"Bolehlah!"
"Bolehlah tu cantik ke tak?"
"Cantiklah. Banyak betul tanya. Cepatlah tukar baju tidur tu."
"Yes, bos!"
Zafran memilih untuk makan sate malam itu di samping nasi goreng ayam untuk Maya. Bagi dirinya pula, Zafran memilih nasi kosong bersama sup ayam dan sambal belacan.
Mira, sup ayam ni tak sesedap sup ayam masakan Mira. Tapi tetap mengingatkan abang kepada Mira. Rindu abang pada Mira tak pernah padam. Percayalah!
"Ayah!"
"Ayahhh!" Maya memanggil Zafran lebih kuat.
"Ayah ingat siapa? Kak Ju?" Maya sengih.
"Ingat arwah mamalah. Kan mama suka masak sup ayam. Sedapkan sup ayam mama?"
"Yang tu?"
"Sedap. Tapi sup ayam mama lagi sedap." Zafran senyum pahit.
"Kita beli sate untuk Kak Ju ya?"
"Kan nak makan KFC esok. Tak payahlah."
"Ayah ni kedekut ya? Kata suka Kak Ju."
Zafran terperangkap dengan kata-katanya sendiri.
"Okey, okey!" Zafran mengalah. Tangan diangkat tinggi. Pekerja kedai makan tiba.
"Sate ayam campur sate lembu, dua puluh cucuk ya. Bungkus!"
"Siap!"
MAYA seperti tidak sabar-sabar turun dari motosikal. Tujuannya cuma satu, mahu menyerahkan bungkusan sate tersebut kepada Julia.
"Kakak, jatuh nanti. Tak payah lari!"
Maya tidak mempedulikan kata-kata Zafran. Maya telah tiba di hadapan pintu rumah keluarga Julia.
"Kak Ju! Kak Ju! Kak Ju!"
Pintu dibuka oleh Jaliah.
"Nah! Ayah bagi Kak Ju," pandai sahaja Maya mereka cerita. Telah jelas yang Maya mahu Julia menjadi pengganti mamanya.
Jaliah senyum sumbing. Dia tidak kesah sekiranya Zafran meluahkan hasrat mahu meminang Julia suatu hari nanti. Bagi Jaliah, Zafran seorang lelaki yang bertanggungjawab, ada budi bahasanya serta tampan.
"Cakap kat ayah, terima kasih tau!"
"Selamat malam, mak cik."
"Terima kasih, kakak!" Jaliah sedikit menjerit melihat Maya telah keluar dari pagar rumahnya.
"Sama-sama!"
Di ruang tamu, Zafran menanti Maya dengan senyum manis.
"Kenapa kakak cakap macam tu?"
"Cakap apa?"
"Cakap ayah yang bagi sate tu kat Kak Ju. Kakak yang nak bagi, kan?"
"Tapi ayah yang bayar. Jadi ayahlah yang bagi Kak Ju. Ayah malu ya? Bye ayah. Kakak nak tidur. Esok nak pergi KFC dengan Kak Ju Cantik!"
"SEDAP pulak sate free ni, kan Ja?" Salman mula memancing Julia yang asyik memandang skrin televisyen.
"Alang-alang dah keluar bilik tu, makanlah sate ni. Kecik hati duda tu, kan abang? Eh, kecik hati Maya, kan bang?"
"Hahaha," ketawa Salman menguasai ruang tamu.
"Ju tak nak makanlah. Dud tu yang bagi, kan?"
"Alah, mesti Maya yang nak bagi. Tapi mestilah bapak dia yang bayar. Kamu janganlah perasan sangat, Ju oi!"
"Betul ni? Dud tu tak suka Ju, kan ayah?" Julia memandang Salman menanti jawapan.
"Manalah ayah tau. Nak ayah tanya dia ke? Makan sajalah. Rezeki jangan ditolak. Musuh jangan dicari."
"Dia belum bagi tahu mak pun nak minang kamu. Jangan risau. Makanlah!" Jaliah pula ketawa.
Dengan wajah masam, Julia mencapai secucuk sate ayam di pinggan.
Sedap pulak sate ni. Jangan dud tu sihir aku sudahlah. Merana aku duduk rumah tu. Habislah masa depan aku!
Habis secucuk sate, Julia mengambil secucuk lagi.
"Amboi, bang! Tadi kata tak nak. Takut kena jampi dek duda tu. Ni bukan main selera lagi. Kalau bermenantukan duda tu, abang tak kesah ke?"
"Tak kesah. Lagi elok, ada orang tengok sakit pening kita. Abang pun dah anggap Maya tu macam cucu abang sendiri. Dah lama Qila tu tak balik. Mesti dah boleh jalan tu."
Julia tidak mempedulikan kata-kata Salman dan Jaliah lagi. Seleranya terhadap sate di hadapan matanya tidak dapat dibendung.
"Ju, cuba telefon kakak kamu. Suruh dia balik. Rindu mak ni pada Qila tu."
"Tunggu cuti sekolahlah mak. Nak ke Kak Hani balik waktu-waktu sekolah macam ni?"
"Kamu telefon sajalah dulu. Kamu tak rindu anak buah kamu tu?"
"Yalah. Esok Ju call!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co