Bab 11
CIKGU Hafsah berjalan laju menuju meja Julia di dalam bilik guru.
Sampai di meja Julia, guru berumur empat puluh lima tahun itu termengah-mengah kepenatan.
"Kenapa akak ni?"
"Habislah kau, Ju!"
"Apa yang habis ni? Gaji saya belum dapat pun," Julia sengih lawa.
"Kamu ni lawa tapi dah terlambat!"
"Confuselah akak ni. Kejap habis, kejap terlambat. Duduk dulu. Cuba cerita elok-elok. Bagi Cikgu Bedah faham," Julia ketawa kecil pula.
"Begini, Cikgu Bedah. Akak baru dapat tahu, Zaini tu dah bertunang. Bulan Jun ni kahwin. Memang kamu tak ada peluanglah!"
Berderau darah Julia. Cepat-cepat Julia menguasai diri bagi mengelakkan dikesan oleh Cikgu Hafsah.
"La, biarlah. Saya pun ada boyfriendlah," Julia berkata yakin.
"Syukur. Akak takut kamu betul-betul suka pada Zaini tadi. Menangis ke apa. Okeylah, akak ada kelas ni."
Cikgu Hafsah terkocoh pergi. Julia menelan air liur.
Dah nak kahwin? Tapi tengok-tengok aku tu kenapa? Mujur aku belum parah. Dasar lelaki!
Pen merah di tangan dicampak perlahan di atas meja. Mood untuk menanda esei bahasa Melayu pelajar-pelajar tingkatan lima itu terus hilang.
Habislah. Satu-satunya calon harapan aku dah terlepas. Mana ada ikan lain. Aku tak ada kerja tetap, tak ada boyfriend. Tolonggg!
Julia memandang ke hadapan. Ke meja di mana guru-guru lelaki berada. Meja Zaini kosong. Bayang Zaini juga tidak kelihatan.
Pergilah sayang. Tinggalkan aku. Pergilah sayang. Cewah, macam lagu Ella dan Korie pulak! Mak, macam mana ni? Macam manalah nak berhadapan dengan Kak Hani? Raya nanti dia mesti balik, kan? Aduyai Nur Julia Arina!
Petang itu Julia pulang dengan wajah sepuluh sen. Tidak berseri. Lebih tepat, tidak cantik! Maya telah menantinya di hadapan pintu.
Kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun itu telah bersiap cantik, bersikat rapi dan berbedak, amat berbeza dengan Julia yang busuk hangit seharian bekerja. Tanpa mempedulikan Maya, Julia terus masuk ke rumah, berlalu ke biliknya.
Maya pelik.
"Kak Ju!"
Tiada jawapan daripada Julia. Julia menutup pintu rapat, malah menguncinya. Maya berdiri di hadapan pintu bilik Julia.
"Kak Ju! Kakak nak masuk, boleh tak?"
"Kak Ju penatlah. Nak rehat. Kakak tengok TV lah!"
Tiada respons Maya yang kedengaran. Tanpa membuka tudung, Julia merebahkan badannya ke katil.
"Zaini!"
Apa hal pulak aku masih sebut nama dia ni? Bikin rosak mood aje. Kentut punya mamat! Dah bertunang tu, buatlah cara dah bertunang. Ni duk control handsome depan aku. Mestilah aku tergoda. Akukan perempuan biasa. Dapat cikgu lelaki tu dah kira okey sangat bagi aku. Huwaaa!
Julia memeluk bantal peluknya.
"Benci! Benci! Benci!"
JULIA terjaga daripada tidur. Jam di dinding tepat menunjukkan pukul 6.00 petang. Ingatan Julia terhadap Maya menerpa.
"Eh, kakak! Kesian kakak!"
Julia dengan pantas membuka pintu biliknya. Maya tiada. Di ruang tamu juga tiada.
"Mana Maya, mak?"
Jaliah yang sedang menghirup kopi panas di dapur, tidak terus menjawab soalan Julia.
"Comot betul ayah tengok kamu, Ju," sapa Salman perlahan.
"Ayah ni!"
"Tadi budak tu nak masuk bilik kamu, kamu kunci. Ni dia dah balik, baru kamu sibuk ya?" Pedas kata-kata Jaliah.
"Kenapa ni, Ju? Serabut ayah tengok. Pergi mandilah!" gesa Salman.
Julia berlalu ke biliknya tanpa sepatah kata.
"Kenapa anak awak tu? Pelik saya tengok. Masih sakit hati dengan Hani ke?"
"Takkanlah. Dekat seminggu, takkan kecik hati lagi. Adalah halnya tu di sekolah. Maya yang jadi mangsa. Monyok saja balik tadi. Terus kunci pintu bilik!"
"Kena marah dengan pengetua agaknya. Kan Ju tu tak tahu mengajar. Agaknya apalah yang diajarnya."
"Boleh ke nak marah guru ganti? Itukan nasib baik ada guru ganti. Kalau tak ada orang ganti, lagilah budak-budak tu melopong saja dalam kelas!"
"Betul jugak tu, Ja. Nanti abang bagitau Kementerian Pendidikan. Patutnya guru ganti ni dibagi gaji sama saja dengan guru betul. Ha, dah macam calon pilihan raya hilang wang pertaruhan pulak abang ni, kan?"
Jaliah ketawa.
"Kenapalah dengan anak kesayangan abang tu, ya Ja? Awak tu, sebagai mak, dengarlah keluhan dia sikit. Dia tu dahlah tak ada kerja tetap, tak ada buah hati lagi. Kenapalah di universiti dulu Ju tak cari ya?"
"Ju bukan nak sangat cerita hal peribadinya pada saya. Kan dia rapat dengan abang. Abanglah tanya, kenapa dia macam tu. Kan di universiti dulu sibuk belajar. Bukan nak cari lelaki. Bila dah habis belajar, susah pulak nak cari!"
"Susah sangat, kita carikan saja Ju tu calon," cadang Salman spontan.
JULIA bersiap rapi selesai menunaikan solat maghrib. Langkah diatur menuju bilik kedua-dua ibu bapanya.
"Mak, Ju keluar kejap ya?"
"Nak ke mana tu?" Jaliah menjawab dari dalam bilik.
"Keluar dengan kakak kejap."
"Ha, balik cepat. Elok-elok bawak anak orang tu jalan. Ni malam ni."
"Ju pergi, mak!" Julia cepat-cepat menyarung sandal.
Huh, mujur Mr. Dud tak keluar!
"Assalamualaikum. Maya! Maya!"
Tiada suara yang menjawab salam Julia, walaupun pintu berbunyi tanda orang membukanya. Wajah masam Maya muncul di hadapan Julia.
"Kakak dinner dengan Kak Ju ya? Kak Ju nak ajak kakak makan di kedai. Nak?"
Maya menggeleng pantas.
"Ala... kesian Kak Ju. Jemu dah makan malam di rumah. Kakak teman Kak Ju ya?"
"Pergilah kakak. Kesian Kak Ju tak ada teman," Zafran bersuara lembut.
Berdegup kencang dada Julia mendengar suara itu.
Cis, suara macam hero pujuk heroin pulak dah. Jauhlah. Jangan goda aku!
"Kan ayah dah masak. Siapa nak makan?"
"Ayahlah makan. Kakak teman Kak Ju ya?"
"Kesian ayah makan sorang-sorang!"
Sebak hati 'brutal' Julia mendengar perbualan dua beranak itu.
"Jomlah, ajak ayah makan sama kat luar." Lancar mulut Julia memberi cadangan kepada Maya.
Cis, sukalah tu. Ngada saja!
Zafran berwajah selamba.
Jual mahallah tu. Dalam hati mesti meronta tu! desis hati Julia lagi.
"Ayah nak ikut?"
"Boleh ke?" Zafran senyum simpul.
Dah macam dud gatal aku tengok. Tapi lantaklah. Asal aku dapat pujuk Maya. Kawan baik aku tu!
"Kakak naik dengan Kak Ju ya?" Julia senyum kepada Maya.
Maya juga senyum. Rajuknya kepada Julia telah hilang.
"EHEM-EHEM."
Julia yang baru melangkah masuk ke ruang tamu berhenti daripada terus melangkah.
"Tadi Ju nak pujuk Maya, tu ajak dia keluar makan. Tapi Maya tak sampai hati tengok ayahnya makan sorang-sorang. Ju ajaklah Mr. Dud sekali. Mak dan ayah jangan salah sangka pulak ya," cerita Julia panjang lebar. Dia tidak mahu ibu bapanya salah sangka pula.
"Ayah tak cakap apa pun," Salman senyum sumbing.
"Dah ayah bunyi ehem-ehem tadi kenapa?"
"Kalau ada apa-apa pun, apa salahnya. Ingat senang nak cari lelaki baik macam Zafran tu? Tak berfoya-foya. Elok saja jaga anak. Kalau mak ni bujang, hari-hari mak hantar lauk padanya."
"Bunyi macam ada hati saja Hajah Jaliah kita ni," pintas Salman.
"Abang tak tengok bapak punya handsome duda tu? Macam siapa? Pelakon hitam manis yang hidung mancung tu?"
Remy Ishak? Mak ni, memang sama cita rasalah bab lelaki!
"Remy ya mak? Ayah kenal ke Remy Ishak?" Julia memandang wajah Salman.
"Nak cakap depan TV atau belakang TV?"
"Yang betullah, ayah."
"Cakap belakang TV lah ya? Ayah kenal penyanyi dari Bagan Datuk, Perak tu saja. M. Daud Kilau!" ujar Salman selamba.
Ketawa Julia meletup. Jaliah senyum.
"Apa ke barang penyanyi dangdut lama tu, ayah. Ayah ni kena tengok Melodilah. Yang artis perempuan, ayah kenal siapa?"
"Kalau artis perempuan, ramailah ayah kenal."
"Yang paling hot sekarang ni?"
"Eleh, yang baru putus dengan siapa tu? Isak... Isak!"
"Isaac, lah ayah. Hans Isaac. Neelofa. Yang perempuan ayah kenal pulak?"
"Itulah namanya lelaki, Ju oi. Mak rasalah Ju... Zafran tu dah suka pada kamu. Dulu mula-mula pindah sini, bukan main muka sedih. La ni, mak nengok ceria semacam saja. Hati ada tamanlah tu."
"Sorrylah mak, not my taste. Mak dan Mak Senah tolonglah carikan, sebagai orang kuat lorong ya. Good night mummy. Good night my beloved perempuan."
Julia masuk ke bilik. Salman masih tersenyum simpul.
"Apa yang abang sengihkan lagi?"
"Ju tu macam ada hati saja pada duda sebelah rumah kita ni."
"Abang suka ke, kita bermenantukan duda?"
"Apa salahnya. Tak ada firman Allah dan hadis yang larang anak dara kahwin dengan duda. Awak tak perasan, balik saja keluar dengan Maya, hilang serabut anak kita tu."
"Ju tu sayang sangat dengan Maya. Dengan Zafran, tak tau nak katalah, bang. Tak berani saya nak membaca isi hati anak kesayangan abang tu. Abanglah tanya."
"Mula-mula, memanglah sayang anak. Lepas tu, apa cerita? Mesti sayang ayah jugak, kan?"
"Abang jangan lupa, Ju tu berangankan lelaki kaya. Lebih-lebih lagi lepas bertekak dengan Hani. Takkan dia nak berlakikan lelaki yang lebih sengkek daripada Zul!"
"Janganlah awak sebut nama menantu kurang ajar tu."
"Kurang ajar pun, menantu abang jugak. Hani bukan main sayang padanya. Saya ni makan hati saja masa kita makan malam tu."
DUDUK salah, baring salah, berjalan pun salah. Semuanya serba tak kena bagi Zafran.
Kenapalah dengan aku ni. Aku suka dia ke? Baru nak masuk empat bulan ni, takkan aku dah jatuh hati kat perempuan lain. Mira?
Mira dah tak ada. Empat bulan cukup lama untuk kau kembali memulakan hidup baru. Mira tentu suka kalau kau bahagia. Dan yang lebih penting, Maya pun gembira! Entah dari mana suara itu kedengaran, walaupun Zafran merasakan terlalu hampir dengan cuping telinganya.
Kalau dia tak suka? Buat malu aku aje!
Penat duduk di sofa, Zafran bangun membuka tingkap.
Biar betul ni?
Zafran memejamkan mata, lalu membuka matanya semula. Wajah Julia yang dilihatnya sebentar tadi hilang.
Kronik aku ni. Macam mana boleh suka perempuan lagi lepas kehilangan Mira? Mira yang aku gila. Aku cinta. Aku telah hilang segalanya demi Mira. Tapi kini, aku jatuh cinta lagi? Rapuhnya cintaku kepada Mira. Maafkan abang, Mira. Maafkan abang!
Tingkap ditutup. Zafran melangkah longlai menuju bilik. Tilam bujangnya yang terbentang di lantai sedia menerima tubuh lesunya.
"Nak ke Kak Ju Cantik tu tidur dalam bilik tak ada katil ni? Dengan duda pokai ni? Pokai? Mana aku nak cekau duit hantaran ni? Huh! Memang gila betullah nak pinang anak dara orang tapi pokai!"
Kipas berkarat di siling berpusing perlahan, turut bersimpati dengan impian Zafran yang kelam.
Kipas, kau sama macam aku. Hina besi kerana karat, hina manusia kerana miskin. Nasib kita serupa!
JULIA melalui minggu terakhir di sekolah dengan hati yang kosong. Tawar dan penuh dengan luka.
Lukalah sangat aku ni. Macamlah dah bercinta sakan dengan Zaini. Aku yang SS lagi nak salahkan orang!
"Esok hari akhir, kan?" Zaini yang entah dari mana, muncul di tepi meja.
Terkejut aku. Mamat ni!
"Err. Haa..." Julia menjawab gugup.
"Jom minum! Saya belanja."
"Err... tak apalah," Julia mulai kalut.
"Lepas ni tak jumpa lagi, kan? Apa salahnya saya belanja makan. Biarlah nak gosip pun. Awakkan last day esok!"
"Okeylah," Julia mengalah.
Zaini mula melangkah. Dalam terpaksa, Julia menuruti langkah Zaini.
Dapat tengok kau dari belakang pun, cukuplah wahai pujaanku!
Tiba di kantin, makanan yang disediakan untuk guru telah tiada kerana jam telah menunjukkan pukul 12.00 tengah hari.
"Saya order mi gorenglah untuk awak ya?"
"Okey."
"Air?"
"Apa-apa aje."
"Okey. Awak duduk dulu."
Sepuluh minit berlalu, Zaini tiba membawa dua pinggan mi goreng, sementara pekerja kantin membawa dua gelas teh O ais limau.
Sampai pun. Tadi dia tolong goreng mi tu ke?
"Maaf, tadi terborak dengan owner kantin pulak. Sorry ya."
Julia menyedut air minumannya sambil 'control malu'.
"Saya minta maaf lagi," Zaini bersuara perlahan.
"Untuk apa?" Julia berwajah pelik.
"Tak dapat terima cinta awak."
"Apa?"
"Saya tau awak sukakan saya. Kita lewat ditemukan. Saya percaya jodoh semua perancangan Allah."
Isyyy... malunya aku!
"Saya juga sukakan awak. Tapi kita tak ada jodoh. Maaf. Saya memang pendiam, tapi saya suka berterus terang," akui Zaini penuh yakin. Amat budiman lelaki itu di mata Julia kerana berterus terang.
Begitulah jodoh, hanya Allah yang mengetahuinya kerana ia rahsia Allah. Maka bersabarlah menunggu cinta sejati dan jodoh dari-Nya kerana Dia telah menetapkan untuk kita semua pasangan yang ideal.
Firman-Nya:
Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) (Surah Adz-Dzaariyaat: Ayat 49).
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co