Truyen3h.Co

Mr. Dud Next Door

Bab 12

karyaseni2u

PERKAHWINAN itu indah. Islam menciptakan perkahwinan bagi menzahirkan kasih sayang, cinta, rindu dendam, amukan gelora dan juga keinginan untuk saling memiliki di antara teruna dan dara melalui ikatan pernikahan.

Hubungan yang menghalalkan segalanya antara dua individu berlainan jantina ini, begitu digalakkan di dalam Islam.

Sesiapa kahwin (beristeri), maka dia telah melindungi (menguasai) separuh agamanya, kerana itu hendaklah dia bertakwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi. (HR: Al Hakim dan Ath-Thahawi).

Zafran melepaskan keluhan.

Berapa hantaran nak bagi Kak Ju Cantik ni? Bukan rate sekarang ni lima belas ribu? Reput badan aku bawak lori dari Perlis sampai Tangkak pun belum tentu dapat kumpul lima belas ribu dalam waktu terdekat ni.

Cukup ke lima ribu ni untuk gadis yang ada degree? Boleh ke belasah aje masuk meminang? Confirm ke Julia sukakan aku? Ke suka pada kakak aje? Nak tanya dia ke?

Zafran gelisah tidak menentu dalam mengawal amukan hati lelakinya yang mulai menggilai Julia.

"Aku nak bercinta sakan dengan perempuan sombong tu lepas nikah." Zafran sengih sendiri.

Percintaan selepas perkahwinan terlalu manis berbanding percintaan sebelum perkahwinan.

Alaf baharu ini, menyaksikan fenomena baharu dalam kalangan muda mudi Islam yang memilih untuk bercinta selepas bernikah bagi mendapatkan reda dan keberkatan Allah S.W.T.

"Aduhai Juliaku sayang!"

Ahhh... pening kepala aku macam ni! Masak dululah.

"Nasi goreng lagi ke ni? Jemu pulak kakak nanti!"

Dua biji telur dikeluarkan dari peti sejuk. Begitu juga dengan sosej di bahagian dingin beku. Tangan Zafran lincah mengupas bawang dan memotong cili besar.

"Harap-harap kakak tak bising nanti. Tak sedaplah. Boringlah. Nak makan dengan Kak Ju, lah!"

"Opocot! Kakak!"

Maya ketawa setelah berjaya mencucuk pinggang ayahnya tanpa disedari si ayah.

"Asyik sebut Kak Ju aje, ayah ni. Cepatlah kahwin dengan Kak Ju."

"Kakak janganlah buat lagi. Lain kali bagi salam dulu. Kalau ayah terpotong jari tadi, macam mana?"

"Mesti Kak Ju tak nak kahwin dengan ayah. Padan muka ayah!" Maya ketawa lagi.

Jari masih ada pun, Kak Ju belum tentu nak ayah, sayang!

"Nasi goreng lagi?"

"Taklah. Malam ni chicken chop pulak." Giliran Zafran ketawa.

"Tipu! Tak mau kawan ayah!"

"Kakak nak pergi rumah Kak Ju, lah. Mesti mak cik masak sedap."

"Bukan mak cik perangat masak siang tadi? Kan kakak dah makan tadi?" Zafran tidak puas hati dengan kenyataan Maya.

"Alah, kat sana best. Ada pak cik. Paling best, ada Kak Ju Cantik."

"Ayah macam mana?"

"Ayah makanlah nasi goreng coklat ayah tu. Kakak dah jemu!" Tanpa menunggu kata-kata persetujuan daripada Zafran, Maya berlari meninggalkan dapur, menuju pintu.

"Kakak!!!"

Maya telah menyarung sandal, lalu berjalan pantas ke rumah sebelah.

"Kak Ju! Kakak datang ni!"

Salman yang berada di ruang tamu membuka pintu. Maya sengih comel.

"Nak masuk!"

Maya berjalan laju masuk ke dalam rumah. Salman hanya senyum.

"Kak Ju!" Maya menolak daun pintu bilik Julia.

Julia yang asyik dengan telefon bimbit baharunya tidak mempedulikan Maya.

"Kak Ju buat apa?"

"WhatsApp!"

"Apa tu? Nak main!"

"Sembang dengan kawan-kawan. Oh, tak boleh sama sekali. Kang jatuh phone Kak Ju macam mana? Kakak pergilah tolong mak cik di dapur. Mintak mak cik goreng telur mata kerbau untuk kakak."

Maya patuh. Maya turun dari katil, keluar dari bilik.

"Untuk Kak Ju satu tau!" Sempat Julia melaung biarpun Maya telah hilang daripada pandangan.

Julia kembali memandang skrin telefon bimbitnya. Perbualannya dengan Dahlia yang terganggu disambung semula.

Come on lah beb.

Turun KL lah.

Sampai bila nak lepak kampung?

Relaks arr. Bagi aku rehat dulu.

Baru seminggu jobless! So, how's KL?

Hahaha...

Still happening, and species Aaron Aziz Junior ramai!\

Aku baru kecewa. Malaslah fikir jantan ni!

Really? Bila masa pulak kau bercinta?

Bukan bercinta, syok sendiri dengan cikgu di sekolah aku la!

Apa cerita? Dia reject?

Peot punya jantan. Dah tunang apa kes usha-usha aku? Kan aku dah tergoda. Huwaaa...

Dia tau kau suka dia?

Taulah. Malu aku. Poyo aje mintak maaf sebab tak dapat balas cinta aku! Cis!

Hahaha. So sweet. Baik jugak dia tu. Tak layan kau... honest!

Maya kembali masuk ke bilik.

"Mak cik panggil makan. Cikgu cakap, having dinner."

Eh, okey... cau.. nak dinner!

Julia dan Maya tiba di meja makan. Salman yang terlebih dahulu sampai, menjeling Julia yang masih memegang telefon bimbitnya.

"Nak ambik gambar masuk dalam Facebook ke Ju?"

"Taklah ayah. Menu siang tadi, apa barang nak upload."

"Itulah kerja kau ya, Ju. Dah seminggu asyik upload gambar, apa tu? WhatsApp? Ada faedah ke Ju oi!" Jaliah meletakkan pinggan berisi telur mata kerbau di atas meja.

"Adalah mak. Ju survey kerja dengan kawan-kawan. Takkan nak petik anggur lagi macam dulu."

"Kak Ju nak kicap," Maya merengek perlahan.

Julia bangun, bergerak ke peti ais. Botol kicap dituang perlahan di pinggan Maya.

"Ayah masak apa?" Jaliah memandang Maya.

"Chicken chop," Maya menjawab selamba.

"Apa? Biar betul! Kakak ambiklah sikit bagi Kak Ju." Julia teruja mendengar Maya menyebut perkataan chicken chop.

"Kih! Kih! Kih!" Maya ketawa.

"Kenapa ketawa?" Julia masam.

"Kakak tipulah. Ayah masak nasi goreng campur telur. Kak Ju nak?"

"Sorry, Kak Ju tak makan masakan lelaki."

"Melalutlah tu. Yang kamu makan di kedai makan, restoran tu apa? Bukan lelaki yang masak?"

Julia hanya senyum.

"Malam ni, kakak tidur dengan Kak Ju ya?" Maya berhenti menyuap nasi, menanti jawapan Julia.

"Nanti ayah marah?" soal Julia.

"Ala... ayah tak marah. Esok cuti. Ayahkan suka Kak Ju."

Burrr!

"Ju!" Jaliah merengus.

Julia mengelap air di sekeliling mulutnya.

"Sopan sikit, Ju tu anak dara. Tak malu ditengok Si Maya tu?"

Salman senyum lebar.

"Nape ayah sengih panjang tu? Jangan ayah, Ju tak suka."

"Kak Ju tak suka apa?" Maya memandang Julia dengan wajah pelik.

JULIA meletakkan beg pakaiannya di tepi pintu. Jaliah duduk sugul di sofa.

Salman berwajah tenang bangun dari sofa, lalu mengangkat beg pakaian Julia. Julia duduk di sebelah Jaliah.

"Mak, Ju pergi ya?" Tangan dihulur memohon diri.

"Sampai hati kamu tak bagitau Maya. Kurang-kurang tunggu dia balik. Nanti dia balik sekolah, mak nak jawab apa?" Jaliah sebak.

"Mak cakaplah apa yang patut. Ini masa depan Ju, mak. Ju harap mak faham. Biarlah Ju cari masa depan Ju di sana."

"Kalau kamu tak nak dia pun, tak payahlah buang anak dia sekali. Maya tak salah apa pun."

"Bukan tu masalahnya, mak. Ju kena cari kerja di KL. Patutnya dari dulu Ju cari kerja di sana. Ju harap mak faham." Julia bingkas bangun.

"Cakap pada Maya, Kak Ju Cantik sayang dia. Tapi kena cari kerja di KL."

Jaliah membatu. Hatinya makin sebak mengenangkan Maya yang pastinya menangis dengan pemergian Julia.

Julia masuk ke dalam perut teksi. Salman mula memandu.

"Ayah marah Ju?"

"Tak. Ini masa depan Ju. Ayah hormat keputusan Ju. Nanti lama-lama, lupalah Maya pada Ju. Masakan boleh ubat segalanya."

"Amboi, macam dialog drama TV aje ayah cakap."

"Sebab anak ayah ni, buat drama hari ni. Tak ucap selamat tinggal pada Zafran?"

"Biarlah Mr. Dud tu. Nanti adalah perempuan lain nak kat dia."

"Ayah ni lelaki. Ayah tau perasaan Zafran. Tapi nak buat macam mana. Benda ni bukan boleh dipaksa-paksa. Mana ada kahwin paksa zaman ni," komen Salman prihatin.

"Naik bas nanti, nak terus tidurlah. Penat sungguh." Julia lari daripada topik perbualan.

Rasa bersalah, tolonglah pergi. Pergilah. Aku nak mulakan hidup baru ni. Tolonglah! Aku ada impian, dan Zafran bukan impian aku. Kuala Lumpur, aku kembali lagi. Mengharap impian menjadi realiti!

Julia menyelesakan dirinya. Bas yang tidak dipenuhi penumpang membantu Julia berasa selesa dengan menguasai tempat duduk di sebelahnya.

Rindu pulak pada Maya. Kesian kakak. Ni semua sebab kaulah, Mr. Dud. Mengada ada hati pada aku bagai. Terpaksalah aku lari ke KL. Tapi bukan sebab Mr. Dud pun, aku akan pergi juga ke KL!

"Peot punya Mr. Dud!"

Kenangan tiga hari lepas kembali di ingatan Julia. Maya menerpa Julia di katil sejurus menolak daun pintu.

"Rindu Kak Ju!" Maya memeluk Julia kuat.

"Eee, kakak busuklah," Julia ketawa.

"Kakak baru mandilah. Ayah ada kat luar, jumpa mak cik."

"Jumpa mak cik? Buat apa?"

Maya angkat bahu.

Tak boleh jadi ni. Mesti ada yang tak kena ni!

Julia bangun dari katil, bergerak merapati pintu biliknya.

"Kak Ju buat apa?"

"Syyy!" Julia meletakkan jari di bibir.

Tak dengarlah. Apalah yang Mr. Dud tu nak?

"Kenapa ayah jumpa mak cik? Kakak mesti tau. Tipu Kak Ju ya?"

Maya sengih manis.

Sudah, jangan-jangan Mr. Dud ni...

"Ayah nak kahwin dengan Kak Ju!"

"Hah?"

"Ya, lah. Kakak sayang Kak Ju. Ayah pun sama. Kak Ju sayang kakak, kan? Kita boleh duduk satu rumah."

Aduh, apa kes pulak ni? Bencana apakah ni? Stresss!!!

Julia memegang tombol pintu. Ingin sahaja dia keluar menerpa Zafran, memberitahu pinangannya ditolak!

Isy, takkan nak kurang ajar tahap tu. Ustaz cakap tak boleh malukan orang. Di akhirat nanti, cakar muka sendiri pulak. Ampun! Macam mana dia boleh ingat aku suka kat dia ni? Salah faham ni. Kau memang handsome wahai Mr. Dud, tapi bukan jejaka idaman aku. Sorry beb. Aku tak nak hidup susah!

"Kak Ju nak cakap dengan ayah ke?"

"Taklah." Julia kembali ke katilnya.

"Nanti Kak Ju masak untuk kakak dan ayah. Ayah masak tak sedap."

"Hmmm."

"Bila nak pindah masuk rumah kakak?"

"Errr?"

Menjelang maghrib, Maya memohon diri untuk pulang.

"Peluk Kak Ju dulu."

Maya memeluk Julia kejap, seperti tidak mahu dilepaskan. Hati Julia juga pilu.

Maaf Maya, Kak Ju tak dapat jadi mama kakak. Kak Ju ada impian yang belum tertunai. Harap satu hari nanti, kakak akan faham.

Ingin sahaja Julia menuturkan kata-kata itu kepada Maya, namun lidahnya kelu.

Maya terlalu muda untuk faham. Kalau kakak besar nanti, kakak akan tahu hakikat pahitnya dunia. Tanpa harta dan pangkat, ada ke orang yang pandang?

"Bye, Kak Ju!"

Julia turut keluar dari bilik, mencari Jaliah.

"Mak, Ju nak cakap sikit."

"Eh, mak yang ada hal nak cakap dengan Ju."

"Ju tau apa yang mak nak cakap. Mak mesti tau jawapan Ju, kan?"

"Ju, cubalah fikir dulu. Baik Si Zafran tu. Mak bukan nak paksa Ju terima, tapi Ju fikirlah dulu," pujuk Jaliah lembut.

"Ju ada impian, mak. Ju takkan ubah keputusan Ju walaupun mak paksa."

"Apa kata Ju solat istikharah. Mintak petunjuk Allah. Dia tau apa yang terbaik untuk kita." Jaliah bersuara lemah, cukup sedar, keputusan bukan di tangannya.

Julia bungkam. Gadis itu sedar akan perlunya solat istikharah bagi meminta petunjuk dari Allah apabila mahu membuat keputusan. Hadis tentang solat istikharah jelas menyatakannya.

Dari sahabat, Jabir Bin Abdillah Radiallahuanhu, beliau berkata: Rasulullah SAW, mengajari kami solat istikharah dalam setiap perkara/urusan yang kami hadapi, sebagaimana beliau mengajarkan kami suatu surah daripada al-Quran. Beliau berkata:

Jika salah seorang di antara kalian berniat dalam suatu urusan, maka lakukanlah solat dua rakaat yang bukan solat wajib, kemudian berdoalah. (Hadis Riwayat:Al-Bukhari).

"Maaf, mak. Ju tak boleh kahwin dengan Zafran."

Julia kembali masuk ke dalam bilik, meninggalkan Jaliah termangu keseorangan.

Ingatan tentang Zafran, Maya dan Jaliah hilang. Bas yang dinaiki oleh Julia berhenti.

Dah sampai R&R mana ni? Dengkil? Lajunya bas ni. Mujur tak accident. Eh, cabul pulak mulut aku!

Julia melangkah turun dari bas. Langkahnya diatur menuju tandas wanita. Hajat kecilnya perlu ditunaikan segera. Selesai melunaskan hajatnya, Julia membelek wajah di cermin.

Lawa jugak aku ni. Kenapalah masih gagal dalam percintaan? Bila masa pulak aku bercinta ni? Kentut punya Zaini! Mr. Dud? Tak nak la... Kena gelak dengan Kak Hanilah aku seumur hidup nanti!

Julia keluar dari tandas wanita. Matanya memandang ke kiri dan kanan.

Aku nak makan apa ni? Beli jagung cawan ajelah.

Langkah longlai diatur menaiki tangga bas. Punggung dihempas perlahan di kerusi. Botol air mineral pemberian Salman dicapai.

Kenapalah air ni tak ada rasa?

Julia tersenyum sendirian.

Memanglah tak ada rasa. Kan air kosong. Aku memang sasau dah ni.

Penutup bekas jagung dibuka. Sesudu disuap ke mulut. Ingatan terhadap Maya kembali mengetuk hati.

"Kakak tentu suka jagung ni."

Julia pilu. Biarpun pilu, jagung masih mampu disuap ke mulut. Jam di tangan dikerling.

"Pukul tiga? Kakak mesti sibuk tanya aku pergi mana ni!"

JULIA meraba beg tangannya dengan kalut.

"Siapa pulak kacau aku tidur ni?"

"Hello..." Julia masih mamai.

"Hello, nak cakap dengan siapa?"

Eh, siapa yang call siapa ni? Julia sedar daripada mamainya.

"Woi Lia, kau jangan buat lawak bodoh ya!"

"Haha. Kau buat tahi mata ya? Tak ada lelaki handsome ke di sebelah?" Dahlia ceria di talian.

"Lelaki handsome tak ada. Week daylah, dol. Bas tak ramai orang!"

"Pity you! No worries okay, mereka menanti di kota raya ni," Dahlia ketawa lagi.

"No, thanks. Aku tak nak... aku nak kerja, okey!"

"Alahai, sedihnya bunyi. Orang lain putus cinta jugak. Bercinta bertahun lagi. Taklah macam kau ni. Bunyi macam mati laki saja!"

"Kau balik pukul berapa ni? Dibuatnya aku sampai awal. Kang tidur pulak aku depan pintu."

"Relaks. Before six, sure aku dah sampai rumah. Kau nak aku beli dinner siap-siap?"

"Tak payah. Aku tak berselera."

"Parah kawan aku ni. Okey-okey. Apa-apa, call aku."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co