Truyen3h.Co

Mr. Dud Next Door

Bab 13

karyaseni2u

MAYA menangis teresak-esak. Puas sudah Jaliah memujuk, namun tangisan Maya belum menunjukkan tanda-tanda mahu reda.

Apa yang dibimbangkan oleh Jaliah ternyata benar. Maya tidak menerima pemergian Julia.

"Kak Ju pergi kerjalah, kakak. Nanti bila cuti, Kak Ju baliklah," pujukan Jaliah berterusan.

"Kak Ju tak sayang kakak lagi, kan?" Maya bertanya bercampur sedu.

Hati Jaliah luka mendengar pertanyaan Maya.

"Kak Ju sayang Maya. Tapi Kak Ju kena kerja jugak. Kat KL sana Kak Ju dapat kerja."

"Kenapa Kak Ju tak tunggu kakak? Tak ucap goodbye pun. Kak Ju tak nak kahwin dengan ayah, kan?"

Banyaknya soalan budak ni. Aku tak tau la nak menjawabnya. Tak ada jodoh agaknya Kak Ju dengan ayah kamu!

"Kakak nak Kak Ju! Nak Kak Ju! Nak Kak Ju! Nak Kak Ju!!!" Maya menghentak-hentakkan kaki di lantai.

Jaliah memegang kepala yang mula berdenyut.

"Janganlah macam tu, kakak. Nanti cuti, Kak Ju baliklah. Tengok, mak cik dah pening dah ni."

Maya berhenti daripada menghentak kaki. Jaliah dipandangnya ragu. Maya cuba mencari kebenaran akan kata-kata Jaliah.

Maya mengesyaki Jaliah hanya berpura-pura pening kepala sekadar untuk menghentikan tangisan dan hentakan kakinya. Sememangnya Maya seorang budak yang bijak, tidak mudah untuk diperdayakan.

"Betullah mak cik pening. Pergi ambik minyak atas almari solek dalam bilik mak cik."

"Mak cik tipu!"

"Ya ampun, budak ni. Tak kesian mak cik ke, kakak?"

"Yalah, yalah." Maya berjalan menuju ke bilik Jaliah dengan kasar.

"Sayang jugak kakak dengan mak cik, ya. Ingatkan sayang Kak Ju Cantik saja!"

Laungan Jaliah tidak dipedulikan oleh Maya.

"A bad day, my dear?" Dahlia senyum mesra. Pelukan mesra diberikan kepada Julia.

"Hangitlah kau ni? Kerja apa ni sebenarnya? Bau belacan pun ada."

"Nak buat macam mana? Cari makan. Macam biasa ikan tarak mau tanggung."

"Cepatlah buka pintu. Aku penat nak pengsan dah ni."

Dahlia membuka mangga grille.

"Kau bukan penat fizikal ni, penat hati luka, kan?" Dahlia cuba cungkil rahsia.

"Macam-macam ada. Macam Mydin, Astro. Kau beli apa tu? Lapar!!!"

"Uit, lapar? Orang kecewa tak lalu makan beb. Kan orang tu cakap tak ada selera tadi. Silakan masuk Cik Julia Arina."

"Kau lupa Nur aku tu!"

"Haha."

"Thanks my best friend! Mana housemates yang lain? Tak kesah ke aku duduk sini?"

"Mestilah kesah. Kau bayar sewa, senyaplah tu. Duduklah. Aku buat air. Eh silap, aku ambik air kosong."

Julia melepaskan penat di sofa. Ruang tamu apartmen dilihat menyeluruh.

"Cantik apartmen ni. Sewa berapa?" Julia sedikit melaung kepada Dahlia di dapur.

"Dapur kat sebelah pun kau nak jerit ke? Seribu empat. Relaks, lepak-lepak dulu. Baru fikir soal sewa. Nah!"

Muk di tangan Dahlia disambut oleh Julia. Air kosong diteguk laju.

"Mi goreng mamak okey, beb?" Sudu dan garpu pula diserahkan kepada Julia.

"Layan!"

Julia mula menyuap mi goreng ke mulut.

Kakak makan tak ni? Takkan pukul enam setengah tak makan lagi. Mak mesti pujuk kakak tu!

"Menung apa lagi tu?"

"Nothing!"

"Ceritalah. Apa kes di kampung?"

"Nantilah cerita. Lapar ni. I'll tell you later."

"BETUL kau tak nak ikut aku buat sale ni?"

Diam. Tiada jawapan.

Dahlia yang sedang menyikat rambut menjeling Julia.

"Kau WhatsApp siapa tu?" soal Dahlia lagi.

Masih tiada jawapan daripada Julia.

"Woi!" Dahlia sedikit menjerit.

"Apa jerit-jerit ni?" Julia menjawab akhirnya.

"Betul tak nak buat sale dengan aku ni?"

"Malaslah. Aku nak duduk office. Bukan pergi sana sini. Aku cari kerja dulu, ya. Kalau masih tak ada kerja, aku join kaulah."

"Kau WhatsApp siapa? Mr. Dud tu?"

"Eh, nombor phone dia pun aku tak tau. Nak WhatsApp apanya?"

"Erk, boleh percaya ke ni?"

"Aku rindu Maya. Kesian kakak."

"Ni kes rindu anak saja atau dua-dua ni? Confuse aku tengok kau. Macam tak ikhlas turun KL. Macam tinggalkan laki di kampung. Kau suka kut Mr. Dud tu. Cuma kau tak perasan. Atau kau nafikan perasaan kau kat dia."

"Uish, merepek!" bentak Julia. Tidak suka dengan pandangan Dahlia.

"KAKAK tak nak makan. Ayahlah makan. Nak Kak Ju! Nak Kak Ju jugak!" Hentakan kaki Maya makin kuat seiring dengan tangisannya.

Jika petang itu Jaliah pening kepala dengan 'drama' Maya, malam ini giliran Mr. Dud pula resah. Kepala yang tidak gatal digaru. Kata-kata pujukan telah lali di telinga Maya.

Kanak-kanak cerdas itu tidak ambil pusing akan kata-kata ayahnya. Apa yang Maya mahu cuma melihat Julia di hadapan mata.

"Okey kakak, kalau tak dapat jumpa Kak Ju, cakap di telefon boleh?" Zafran mendapat idea tiba-tiba.

Tangisan dan hentakan Maya terhenti.

"Cepatlah telefon Kak Ju."

Zafran garu kepala lagi.

"Mana ayah ada nombor telefon Kak Ju. Jom, kita mintak mak cik. Kakak ni..."

Maya mengheret tangan Zafran keluar dari ruang tamu.

"Rindu Kak Ju." Maya berkata perlahan.

Zafran yang mendengarnya begitu luka.

Aku tau kau tak suka aku, Ju. Siapalah aku di mata kau. Tapi macam mana dengan kakak? Macam mana nak buang ingatan Maya pada kau? Hina sangat ke aku di mata kau? Harta dan pangkat tak ke mana, Ju. Kasihku pada kau lebih berharga daripada harta!

"Mak cik! Mak cik!"

"Kakak, bagilah salam dulu."

Jaliah muncul di muka pintu.

"Ada apa, kakak? Zafran? Masuklah."

"Nak nombor telefon Kak Ju. Kakak nak cakap dengan Kak Ju," ujar Maya laju.

Jaliah tidak terkejut dengan permintaan Maya. Segaris senyuman dilontar kepada bakal menantu tidak jadinya.

Kesian kamu, Zafran!

Tiba di ruang tamu rumahnya, Maya terus mencapai telefon bimbit milik Zafran.

"Cepatlah telefon Kak Ju," pinta Maya riang. Sisa tangisan masih terpamer di wajahnya.

Dalam serba salah, Zafran menyambut huluran telefon bimbit daripada Maya.

Aduh, malunya! Sah-sah dia tolak pinangan aku. Siap lari lagi tu. Nak ke dia jawab call ni?

"Ayah, cepatlah. Nanti Kak Ju tidur."

Zafran memandang wajah anak perempuan kesayangannya.

Mungkin belum rezeki kakak dapat mama baru. Sabar ya, kakak!

"Ayah!" Maya menggoncang tangan Zafran kuat.

"Ayah call lah ni." Cebisan kertas di tangan dibuka oleh Zafran. Nombor telefon Julia ditekan lambat.

"Hello... siapa ni?" Suara Julia yang masih segar menjawab panggilan Zafran.

"Hello, err... saya ni. Minta maaf ganggu."

"Yalah. Saya ni siapa? Saya putuskan line nanti!" gertak Julia.

"Zafran. Jangan putuskan line, kakak nak sangat cakap," Zafran berkata lembut.

Julia kelu.

"Sekejap ya, kakak nak cakap." Zafran menyerahkan telefon bimbitnya kepada Maya. Maya sengih gembira.

"Kak Ju, kakak ni. Kak Ju kat mana? Kenapa Kak Ju tinggalkan kakak? Kak Ju tak sayang kakak?"

Soalan berubi-tubi Maya kepada Julia bergema masuk ke dalam cuping telinga Zafran. Harga diri seorang lelaki yang ditolak cintanya tercipta. Zafran bingkas bangun meninggalkan Maya yang sedang berbicara dengan Julia.

Zafran masuk ke bilik air lalu berwuduk. Ego yang mula menjalar di dadanya perlu disimbah segera dengan wuduk. Zafran sedar, wuduk yang sempurna dapat membuat dirinya kembali stabil malam itu.

Dari Uthman Bin Affan Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda,

Barang siapa yang berwuduk dan membaguskan wuduknya, maka akan keluarlah dosa-dosa dari badannya, sampai-sampai ia akan keluar dari bawah kuku-kukunya. (Hadis Riwayat Muslim dalam Kitab At-Thaharah).

Zafran mengambil wuduk dengan tertib. Resah hatinya menunjukkan darjah penurunan.

"Ya Allah, aku tidak berhak untuk marah dengan penolakan Julia. Semua perasaan itu dari-Mu, Ya Allah. Jika aku marah kepada Julia, bererti aku marah kepada-Mu juga. Ampunkan aku, Ya Allah."

Langkah Zafran terhenti apabila melihat Maya di hadapannya.

"Kenapa, kakak?"

"Kak Ju tak nak balik. Sampai hati Kak Ju tak nak jumpa kakak."

Wajah Maya murung.

"Kak Ju gurau saja tu. Bila cuti, Kak Ju baliklah tu. Kakak tidur ya? Esok nak sekolah."

"Tapi, kakak..."

"Tak ada tapi-tapi. Kakak tidur. Esok kita telefon Kak Ju lagi."

"Janji?"

"Janji ditepati!" Zafran senyum.

"Eh, macam iklan TV pulak." Maya akhirnya senyum.

"Ayah!" panggil Maya yang hampir tiba di pintu biliknya.

"Apa lagi?"

"Bila nak kahwin dengan Kak Ju?"

"Err..."

"Err... err... Kak Ju pun jawab macam tu."

Aduh, hari yang penat! Aku lelaki sejati, perlu berani menerima kenyataan. Kena reject dan juga mereject itu adalah lumrah kehidupan. Takkan nak tumbuk meja kerana cinta ditolak oleh Julia. Ego tu namanya.

Aku harus hormati keputusan Ju. Siapa aku untuk bertakhta kukuh di hatinya? Mira, cinta abang ditolak, dan usaha abang untuk mencari penggantimu gagal.

Maya cukup merana. Kesian dia! Abang? Tipu kalau abang tak merasa apa-apa dengan penolakan Julia. Dan juga tipu jika abang kata abang tak menyayanginya. Hati manusia ni rapuh, Mira. Terlalu mudah tersentuh, dan kerap menyayangi insan lain.

Abang dah cintakan Ju, sama seperti abang cinta Mira dulu. Wajah Ju mulai memburu abang. Doakan abang agar boleh melupakan Ju. Dia berhak mendapat lelaki yang sempurna berbanding abang.

Cuma masalahnya Maya, bagaimana abang dapat membuang Ju daripada ingatan Maya? Bagaimana?

Penat memandang siling, Zafran mengiring pula. Malam makin larut, sedangkan Zafran sedikit pun tidak mengantuk. Pemergian Julia sekali gus menolak pinangannya memberi tamparan hebat kepada hatinya yang kosong.

"Julia, selamat malam sayang," ucap Zafran lirih.

MATA Julia tidak menunjukkan tanda-tanda mahu lelap walaupun waktu menunjukkan pukul 2.00 pagi. Bunyi dengkuran Dini, teman sebilik Dahlia benar-benar menambah keserabutan Julia.

Apa keslah minah ni? Tulah, makan banyak sangat. Kan dah gemuk. Eh, dengkur dan gemuk ada kaitan ke? Lantaklah. Bukan dengkur ni lelaki aje.

Apa kata aku ambik senduk. Orang tua-tua kata, kalau orang sedang berdengkur, kita boleh ambik dengan senduk, transfer dengkur kat orang lain, dan pastikan orang tu tak sedar daripada tidurnya. Nak buat ke? Dibuatnya gemuk tu terjaga, dilempang aku. Yang Lia ni, lena semacam aje. Dia tak dengar ke? Ke dia dah lali? Apa orang kata, alah bisa tegal biasa? Aduyai betullah!

Julia mengambil telefon bimbitnya di sebelah.

Pukul dua suku dah? Bengkaklah mata aku ni esok. Alah, bukan aku nak catwalk kat stage pun esok. Bukan kerja atau mula cari kerja pun esok. Rindu Mayalah pulak. Mesti dia dah tidur ni. Rasa nak balik aje esok, tunggu Maya balik sekolah. Mesti dia melompat gembira tengok aku nanti!

Ingatan Julia berlayar kepada perbualannya di telefon bersama Maya beberapa jam yang lalu.

"Kak Ju, kakak ni. Kak Ju kat mana? Kenapa Kak Ju tinggalkan kakak? Kak Ju tak sayang kakak?"

Soalan pertama daripada Maya yang bertalu-talu itu masih kukuh di ingatan Julia.

"Kak Ju di Kuala Lumpur. Kak Ju dapat kerja. Tu kena pergi Kuala Lumpur cepat. Bukan nak tinggalkan kakak," Julia membohongi Maya.

"Bila nak balik? Jumpa kakak. Jumpa ayah."

Jumpa ayah? Tak nak la!

"Err..."

"Bila?" Maya mendesak.

"Cuti nantilah. Eh, Raya..." Julia menjawab serba tak kena.

"Janji?"

"Eh, mestilah. Takkan Kak Ju nak tipu kakak pulak."

"Kahwin dengan ayah, bila pulak?"

Kahwin? Dengan Mr. Dud pokai? Tak ada dalam agendalah!

"Err..."

"Bila?"

"Tanya ayah, eh. Nantilah bila Kak Ju dah ada duit." Julia semakin kalut.

"Nanti kakak tanya ayahlah."

"Tanya apa?"

"Bila nak kahwin dengan Kak Ju, lah."

"Eh, jangan!"

"Bila Kak Ju nak balik? Esok balik. Kakak nak peluk Kak Ju."

"Tak boleh, kakak. Cuti nanti Kak Ju balik, ya. Dah ya, kakak kena tidur."

"Okeylah. Sayang kakak dulu."

"Cuppp! Sayang kakak busuk kat pipi montel dia."

Rindunya kat kakak!

Julia masih tidak dapat melelapkan mata. Dengkuran Dini masih kedengaran.

Kesian laki kau esok ni!

PAP!

Dahlia menepuk kuat kedua-dua telapak tangannya tepat di tepi cuping telinga Julia.

"Amboi, minah ni. Malam tadi kemain tak tidur. Ingat si dud kut. Pagi ni tak mau bangun solat subuh nampak!"

Julia masih lena.

"Nak kena minah ni! Woi bangun!!!"

Julia terjaga.

"Apa ni? Buat bising malam-malam."

"Malam apanya? Dah dekat pukul tujuh tu. Kau tak nak solat ke? Tak elok camtu. Kau kena bagi teladan kat anak kau." Pendek kuliah subuh yang disampaikan oleh Dahlia, diakhiri dengan ketawa.

"Anak apa pulak?"

"Anak dud tu, lah. Senanglah jaga anak dah besar. Tak payah pakai Pampers dan buat susu." Dahlia menyambung tawa.

"Podahlah kau!"

Julia bangun, bantal dibaling kepada Dahlia.

"Dud mana? Siapa bercinta dengan dud?" Dini yang baru muncul dari bilik air sibuk bertanya.

Ni lagi sorang. Berdengkur sampai nak tercabut cuping telinga aku. Sibuk pulak!

Julia pantas masuk ke bilik air. Wuduk diambilnya tanpa menggosok gigi terlebih dahulu. Sudah subuh gajah. Julia keluar dari bilik air. Sejadah dibentang tanpa mempedulikan Dini yang sengih sambil mengenakan mekap.

Sambil menggantung sejadah dan telekung, Julia menjeling Dini yang masih berdiri mengenakan alat solek.

Tak habis lagi ke si bambam ni mekap? Aduh, dah macam opera Cina aku tengok. Udah-udahlah tu sapu bedak. Kontra sangat dengan warna kulit muka!

"Ooo, ada boyfriend dud ya, di kampung!" Dini sengih.

Isy, Lia ni kecoh betullah!

"Tak adalah. Tu jiran mak aku je. Anak dia duduk rumah aku balik sekolah."

"Handsome?"

"Bolehlah!" Julia menjawab malas.

"Kau ingat dud tu, kan malam tadi?"

"Tak adalah. Mengapa pulak?"

"Dah aku tengok kau macam tak boleh tidur aje?"

Bodoh punya minah. Dia tak tau ke aku tak boleh tidur sebab dia dengkur!

Dahlia masuk ke bilik.

"Eh, nak tidur lagi?"

"Yalah. Jangan jealous."

"Siapa jealous? Aku? Tak ada maknanya. Pagi ni nak jumpa customer handsome."

"Bye!" Dini melangkah meninggalkan bilik.

"Kunci rumah atas meja di dapur. Roti Gardenia yang original tu boleh kau makan. Aku punya. Jangan makan benda lain pulak. Bukan aku punya." Dahlia memberi penerangan sambil sengih.

"Roger!"

"Ada apa-apa, call aku. Aku kena cepat ni."

"Okey, okey. Bye!!!" Julia menarik selimut ke paras dada. Dahlia keluar.

Kalut betul minah tu!

Julia senyum sendiri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co