Bab 6
"KAKAK mandi sendiri, tau! Dengar cakap ayah baik-baik."
"Kenapa ayah tak tolong kakak mandi pulak?" Maya cebik tanda protes akan kata-kata Zafran.
"Kakak dengar dulu apa ayah nak cakap. Kakak dengar cakap ayah, kan?"
Maya mengangguk, namun wajahnya masih mencuka.
"Kakak dah tujuh tahun. Ayah tak boleh..."
"Bukanlah. Bulan sembilan baru tujuh tahun." Maya memotong kata-kata Zafran.
"Kakak! Dengar dulu apa ayah nak kata. Tak kesahlah bulan berapa pun. Tahun ni, kakak dah masuk tujuh tahun. Ayah tak boleh tengok badan kakak lagi. Kakak sabun badan. Lepas tu gosok gigi. Dua hari sekali, kakak kena syampu rambut tau!" Panjang keterangan Zafran kepada anaknya itu.
"Kenapa ayah tak boleh tengok badan kakak?"
"Tak eloklah. Kakak dah besar. Kan semua badan kita tu rahsia. Kalau kakak tak percaya cakap ayah, kakak tanya ustazah di sekolah. Ayah tak pernah tipu kakak, kan?"
"Tapi selalu mungkir janji. Bila nak pergi kubur mama ni?"
"Okey, esok kita pergi. Cepatlah mandi, dah petang ni."
"Esok? Kan ayah ambik kakak pun dah lewat sangat."
"Esok ayah cuti lagi. Lepas balik sekolah, kita terus pergi," terang Zafran dengan wajah redupnya.
Nasi goreng menjadi menu utama Zafran malam itu, sama seperti malam-malam sebelumnya.
"Kakak rasa ayah kena belajar masak lainlah," cadang Maya tiba-tiba.
"Kenapa pulak?"
"Tiap-tiap malam asyik nasi goreng aje. Kakak nak ayah masak lain pulak. Bihun goreng ke?" Maya kedip-kedip mata dengan manja.
"Ala, bihun goreng ayah boleh masak. Tak ada masalahlah. Esok ayah masak bihun goreng. Setuju?"
"Okey. Jangan ayah masak nasi goreng lagi pulak esok ya?"
Nasi goreng yang dicampurkan telur sebagai perencah itu Maya suap menggunakan sudu ke mulut. Maya senyum manis.
"Kenapa kakak senyum-senyum? Macam kerang busuk ayah tengok," usik Zafran.
"Sedap nasi goreng ayah ni. Maya sayang ayah."
Hati Zafran berbunga mendengar pujian Maya.
Sedap pulak! Tadi suruh aku masak bihun. Aduhai kakak ni!
"Ayah perasanlah tu. Ayah tak nak kahwin lagi?"
Tersembur nasi goreng dari mulut Zafran.
"Ayah minum! Minum! Jangan gabra!" Maya ketawa mengekek. Dalam usia tujuh tahun, Maya telah pandai mengusik ayahnya.
Gelas berisi air kosong yang dihulur oleh Maya, disambut cepat oleh Zafran.
"Kenapa ayah kena kahwin pulak? Ayahkan sibuk jaga kakak."
"Petang tadi ayah kata, ayah tak boleh tolong kakak mandi. Kalau ada mama baru, dialah tolong kakak. Nak syampu rambut tu susah tau! Nanti masuk mata kakak," Maya bercerita bersungguh-sungguh.
"Boleh aje ayah tolong syampu. Tapi masa tu kakak mandi dengan pakai baju lengkaplah," bidas Zafran.
"Susah tu. Kakak tak nak. Ayah kahwinlah ya?" Maya sengih lagi.
Lewat pukul 12.00 tengah malam, Zafran masih bersandar di sofa.
Kakak ni bijak sangat. Ada ke disuruhnya aku kahwin!
Zafran tersenyum mengingati kebijaksanaan anak perempuan tunggalnya itu.
Kakak, kakak! Kakak tak tau banyak perempuan jahat yang suka dera budak? Bukan semua perempuan sayang budak-budak!
Berita tentang kanak-kanak berusia dua tahun yang menjadi mangsa liwat teman-teman ibunya sehingga mati dan hancur tulang belakang di berita malam itu, masih kekal di ingatan Zafran.
Nauzubillahiminzalik kalau dapat mak macam tu!
Persoalan tentang Maya dan mama baharu hilang. Benak Zafran kini berpusat kepada masalah utama dirinya.
Kat mana aku nak cari kerja ni? Berapalah saving yang masih ada... Aku kena cepat ni. Mira, tolonglah abang!
Zafran merangka perjalanannya untuk hari esok. Esok dia sudah berjanji dengan kakak untuk ke pusara Mira.
Lusalah aku mula cari kerja. Ya Allah, kuatkan semangatku yang rapuh ini.
Zafran bangkit dari sofa.
Baik aku solat. Jauh lagi perjalanan hidup ni!
"KAKAK baca surah al-Fatihah ya. Sedekahkan pada mama," ujar Zafran perlahan.
Maya angguk tanda setuju. Tangannya dirapatkan. Mulut Maya kumat-kamit membaca sesuatu. Zafran meneruskan bacaan surah Yasin. Suasana petang itu amat indah. Angin yang bertiup menyegarkan tubuh Zafran dan Maya.
Zafran menyimpan kembali surah Yasin yang dipegang.
"Nak cakap sesuatu dengan mama, boleh?"
"Kakak nak cakap apa?" Zafran agak keliru.
"Adalah. Bolehkan ayah?"
"Boleh. Tapi jangan merepek ya?"
"Mama, izinkan ayah kahwin lain tau. Mama jangan marah ayah. Nanti mama baru tu boleh tolong syampukan rambut kakak. Ayah tak boleh lagi tolong kakak di bilik air. Mama bagi, tau!"
Zafran yang mendengar kata-kata Maya menjadi sebak.
"Kakak, dah! Jom balik."
Zafran bangun, diikuti oleh Maya. Tikar yang dibawa oleh Zafran dilipat kemas. Zafran memimpin tangan Maya keluar dari tanah perkuburan.
"Lepas ni ayah bolehlah..."
"Bolehlah apa?"
"Yang kakak cakap dengan mama tadilah. Eh, ayah malu ya?"
"Isy kakak ni. Dah petang ni. Malam ni nak ayah goreng bihun?"
"Haaa! Dalam ada telur kecik-kecik."
Telur kecik-kecik? Ooo... ni mesti telur hancur buat perencah bihun tu!
Zafran singgah di pasar mini tika dalam perjalanan pulang. Maya berlari masuk ke dalam pasar mini tersebut.
"Kakak! Jangan lari! Jatuh nanti!"
Maya tidak mengendahkan larangan Zafran. Sekelip mata sahaja Maya hilang daripada pandangan. Zafran melangkah laju ke dalam pasar mini.
"Maya! Maya! Maya!"
"Kakak kat sinilah." Maya muncul dengan tangannya memegang lolipop berwarna merah jambu.
"Jangan jauh-jauh dari ayah. Bahayalah kakak!"
"Kenapa pulak?"
"Nanti kalau ada orang tangkap kakak macam mana? Culik kakak ke? Lepas tu potong tangan kakak."
"Eee... betul ke macam tu? Kenapa nak potong tangan kakak pulak? Kakak bukan buat salah pun." Lancar sahaja respons Maya terhadap nasihat Zafran.
"Buat kakak jadi cacat. Lepas tu suruh kakak mintak sedekah. Mintak singgit encik, mintak singgit mak cik! Kakak nak jadi macam tu?"
Maya terkebil-kebil, memikirkan kebenaran kata-kata Zafran.
"Dulu ayah tak cakap pun?"
"Dulu mama ada. Mama boleh tengok kakak. Ni ada ayah saja. Kalau ayah tak sempat kejar kakak pergi mana-mana... susah, kan?"
"Kakak mintak maaf ya, ayah handsome." Maya memeluk Zafran.
"Jangan buat lagi." Zafran mengelus rambut Maya, lembut.
SUDAH dua minggu Zafran memegang status sebagai pemetik buah anggur. Status yang sangat menyeksa. Duit simpanannya juga semakin kering.
Pagi itu, selepas menghantar Maya ke sekolah, Zafran tidak pergi mencari kerja seperti selalu. Minda Zafran tidak berfungsi dengan baik. Semangatnya untuk memperoleh kerja semakin luntur. Perut yang mula berbunyi tidak dihiraukan.
Nantilah aku masak nasi goreng untuk kakak sekali! Zafran memujuk keroncong dalam perutnya agar berhenti. Jeritan telefon bimbit buruknya memaksa Zafran bangun dengan malas dari sofa.
"Takkan tuan rumah. Bukan hujung bulan lagi ni."
"Helo, kau buat apa tu?" Zamri bersuara lantang di telefon tanpa memberi salam.
"Waalaikumussalam. Aku duduk rumah saja hari ni."
"Hahaha. Berani kau perli aku ya? Assalamualaikum. Erk... dah bosan cari kerja ke?"
"Aku off cari kerja hari ni. Banyak kau punya free, call aku. Kalau macai tu nampak macam mana?"
"Macai tu tarak ini hari. Cuti awal Gong Xi Fa Cai! Malam ni aku datang rumah kau. Ada projek bagus untuk kau."
"Projek apa? Kau jangan ajak aku merompak pulak." Zafran ketawa kecil.
"Adalah. Itu pun kalau kau naklah."
"Kerja?"
"Ha, lah! Takkan nak bagi kau isteri." Zamri ketawa kuat.
"Kalau isteri pun aku tak naklah," balas Zafran dalam tawa.
"Janda gemuk sikit tu, adik aku kata baik beb. Cuba kau pertimbangkan." Zamri ketawa semakin kuat.
"Apa kata kau yang ambik?"
"Aku ada bini. Problem... problem."
Kerja apa Zam nak bagi aku ni? Biar betul mamat tu!
Zafran langsung tidak dapat meneka apakah pekerjaan yang akan ditawarkan oleh Zamri kepadanya. Zafran melangkah malas menuju dapur.
Takkan nak masak nasi goreng lagi ni! Masak nasi dengan telur masak kicaplah. Kakak mesti suka ni!
Peti sejuk dibuka.
"Nasib baik ada lagi telur!"
Tiga biji telur ayam yang berada di tempat menyimpan telur itu diambil oleh Zafran. Botol kicap juga dikeluarkan.
"Mesti kakak pujilah masakan aku tengah hari ni!"
Bawang besar dan cili besar diambil dari peti sejuk.
Zafran memecahkan sebiji telur ke dalam kuali. Akhirnya ketiga-tiga biji telur tersebut telah siap menjadi telur mata kerbau.
Dengan bantuan kicap, bawang besar dan cili besar, akhirnya telur masak kicap masakan Zafran siap. Zafran menyanyi-nyanyi kecil sewaktu mencedok telur masak kicap itu ke dalam mangkuk.
APA yang bising-bising ni? Aku nak tanda buku pun tak senang. Udah la aku pun tak faham apa aku ajar. Lantak la. Asal aku tak ditukarkan sekolah serta-merta sebab pakaikan student loceng macam lembu, sudah la! Tukar apa pulak. Aku guru ganti aje!
Julia bangun dari sofa, bergerak pantas ke arah tingkap.
Siapa pulak yang pindah tu? Takkan nak duduk rumah berkerak tu? Biar betul ni!
"Mak! Mak! Oh mak!"
Jaliah yang berada di dapur, tidak menyahut teriakan Julia.
"Isy mak ni. Ada gosip Melodi ni. Takkan tak nak ambik pot kut! Tak boleh jadi ni!"
Julia berjalan pantas. Tiba di dapur, dilihatnya Jaliah sedang membersihkan sayur terung.
"Mak ni... Ju panggil buat dek aje. Tak sayang la tu."
"Udah kamu yang ada hal dengan mak, kamu la datang cari mak. Ni tidak, terjerit-jerit macam kena kejar hantu. Kamu dah kenapa, Ju? Tolong mak masak, tak nak pulak!" Jaliah mula mengomel.
"Pajeri terung ya, mak? Memang terbaiklah mak gojes ni. Muahhh sikit." Julia mendekati Jaliah sambil memuncungkan mulut mahu mencium emaknya itu.
"Mengada budak ni. Udah la hangit. Nikan ayah kamu suka. Bukan untuk kamu."
"Tak baik tau, mak cakap macam tu. Ju bukan tak nak tolong. Tu, tengah tanda karangan budak tu. Empat puluh orang tu, mak. Apa pasal entah, semua budak hantar. Pening Ju ni, mak."
"Kamu jangan main-main, Ju. Kamu dapat gaji kerja tu. Tak baik kamu buat gitu."
"Gitu apanya?"
"Kamu baca tak karangan budak-budak tu?"
"Bacalah. Tapi..." Julia ketawa kuat.
"Jom la, mak. Jomlah tengok."
"Tengok apa pulak ni? Melodi? Tak hingin aku nak buat dosa mengumpat hal orang ni. Mak ni dah tahap senja. Tak nak mengumpat dah. Fikir nak buat baik aje. Cari pahala," sungut Jaliah.
"Bukan dah isyak ke mak?" Julia ketawa lagi.
Jaliah mengangkat pisau yang dipegangnya.
"Jangan, mak. Tu kes dera tu. Jomlah, nak tolong mak cari pahalalah ni." Julia mengheret Jaliah lembut keluar dari dapur.
"Mak tak nak tegur sapa ke? Tolong ke?"
Jaliah turut memberi tumpuan ke arah lori kecil yang berhenti di hadapan rumahnya.
"Terus masuk pindah? Tak bersihkan dulu? Basuh ke? Kotor berkarat rumah sebelah tu." Jaliah bersuara sambil matanya terus tertancap kepada lori di hadapan rumah.
"Mak tolong la. Sapu sampah ke... angkat barang ke?"
"Habis kamu nak masak? Biarlah. Ayah kamu dah nak balik ni," bantah Jaliah.
Jaliah bergegas ke dapur kembali.
Julia masih terus mengintai orang di sebelah rumahnya mengangkat barang.
Macam sikit aje barang. Motor aje? Siap bawak naik lori tu! Aduh, mesti family pokai ni. Tapi handsome jugak laki orang ni. Anak sorang je ke? Eh, mana wife dia? Tak ikut pindah ke? Takkan dud kut? Ini mesti story hangat kalau Mak Senah Internet taman tau ni. Ah, tak siap la aku menanda ni. Aduyai... bila Melodi nak start ni? Lambat betullah!
Salman pulang empat puluh minit selepas peristiwa Julia mengendap jirannya yang baru berpindah itu. Jaliah kelam-kabut menghidangkan makanan yang baru sahaja siap dimasak.
"Tak panggil anak kesayangan abang tu makan?"
"Tengah tengok Melodi... ada dia nak makan? Suka betul pasal gosip artis. Tangkap basah, cerai, berebut Datuk. Ada faedah ke ambik tau semua tu?"
"Abang tanya saya pulak. Abang tanyalah anak abang tu. Jiran sebelah baru pindah tu pun digosipkannya tadi." Jaliah ketawa kecil.
"Saya nampak motor saja. Orang bujang ke yang pindah?"
"Itulah yang digosipkan Ju tadi. Dud katanya," jelas Jaliah.
"Dud? Apa tu?"
"La abang ni. Dudalah. Orang muda panggil duda tu, dud."
"Ooo, duda. Mana Ju tau? Pandai-pandai saja budak tu."
"Katanya tak nampak isteri pindah sama. Ada anak. Perempuan."
"Awak tak tegur sapa ke tadi? Bukan awak ketua lorong ni? Eh silap. Penolong. Ketuanya Si Senah, kan?" Salman ketawa.
"Abang asyik buli saya aja. Saya tak nak masak pajeri kesukaan abang lagi nanti. Nilah pajeri abang yang terakhir." Jaliah menarik muka masam.
"Ni kira pajeri terakhirlah ya? Dah macam tajuk drama TV pulak ya, Hajah Jaliah oi." Semakin kuat Salman ketawa.
Julia tiba di ruang dapur.
"Eh, ayam goreng Ju mana?"
Jaliah mencebik, geram dengan tingkah Julia yang tidak melihat dengan teliti akan hidangan ayam goreng di atas meja.
"Kok ya pun, duduklah. Makan." Salman memberi arahan.
"Okey, bos. Beres."
Julia laju sahaja mencapai seketul ayam goreng di dalam piring.
Pap!
Jaliah memukul tangan Julia, kuat.
"Uish! Apa mak ni?"
"Dah basuh tangan belum?" Jaliah bertanya kasar.
"Ampun! Lupa. Tengok ayam goreng mak yang penuh gelora ni, hilang semua di fikiran. Melayang jauh..."
"Ju, jangan main-main depan rezeki. Tak baik," Salman menasihati Julia.
"Maaf ayah, mak."
Julia membasuh tangannya perlahan. Nasi dicedok, dan ayam goreng yang telah dipegangnya tadi diambil semula.
"Sedapnya ayam ni. Resipi baru ke? Mak ada friend dengan Chef Wan ke di Facebook?"
"Ju," Salman melirik Julia.
Julia mengunyah ayam gorengnya dengan laju. Tidak lagi membuat jenaka yang mungkin membuat Jaliah jengkel. Salman mencedok sebiji pajeri terung ke pinggan Julia. Julia tersenyum. Tiada lagi kata-kata yang keluar dari mulutnya.
Jaliah menghabiskan makan tengah harinya. Kelat di wajahnya hilang.
"Kamu ngendap lagi duda tu?"
"Mr. Dud tu? Eh, tak la mak. Ju, kan tengok Melodi. Tanda buku pun belum siap lagi. Lepas ni, mak buat apa?"
"Hah, kenapa?"
"Mana tau, mak nak risik-risik rumah sebelah. Tanya khabar. Mak Senah mesti busy hari Ahad ni. Jadi maklah yang kena jalankan tugas. Mana tau, dia perlukan bantuan," terang Julia berjela.
"Eh, boleh ke bang?"
Salman yang telah selesai menghadap makan tengah hari, memegang gelas air kosongnya dengan wajah keliru.
"Apa yang boleh ni?"
"Ayah ni, buat tak faham pulak. Boleh tak mak pergi rumah sebelah tu. Tengok apa yang patut. Kan mak, kan?"
"Yalah bang. Kesian pulak saya tengok. Rumah tukan kotor. Terus saja masuk. Kalau bujang, lantak dialah. Ni dia bawak anak. Boleh ke tidur tempat kotor macam tu?"
"Eloklah tu. Tapi hati-hati. Jangan dibuatnya awak pulak terpikat dengan duda tu. Parah nanti." Salman ketawa besar.
"Abang ingat saya ni muda lagi ke bang? Dah kerepot ni. Ha, Ju. Lawaklah tu!"
Julia tersengih-sengih mendengar lawak ayahnya. Sememangnya perangai Julia yang selalu membuat lawak bodoh itu menurun daripada Salman.
"Udah sengih tu, Ju. Basuh pinggan. Mak nak solat ni. Lepas tu nak jenguk jiran tu pulak. Abang nak kerja semula ke?"
"Yalah Ja oi. Petang Ahad ni lagilah ramai orang nak guna khidmat abang."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co