Truyen3h.Co

Mr. Dud Next Door

Bab 7

karyaseni2u

"ASSALAMUALAIKUM."

Jaliah menanti dengan sabar salamnya dijawab.

Mana pulak duda ni? Eh, betul ke duda ni? Baik aku siasat. Kenapa pulak aku kecoh, dia duda atau apa!

"Waalaikumussalam." Pintu dibuka. Maya sengih memandang Jaliah.

"Ayah mana?"

"Tu!" Maya menuding jari ke arah Zafran yang sedang mengemop lantai. Maya menyalami Jaliah.

"Siapa nama?"

"Maya."

Zafran berjalan ke hadapan pintu.

"Baru pindah?" Jaliah memulakan perbualan.

Memanglah baru pindah. Apalah yang mak cik ni tanya sebenarnya! Zafran memandang Jaliah lama.

"Haaa. Err, mak cik masuklah. Tapi..."

"Tapi apanya? Hah, tepi sikit. Mak cik nak masuk tengok rumah."

Zafran tidak dapat berbuat apa-apa, cuma beralih ke tepi memberi laluan kepada Jaliah.

Maya mengekori Jaliah.

"Isy, kotor sangat ni. Malam ni... err siapa nama kamu?"

"Zafran, mak cik."

"Malam ni kamu nak tidur sini?"

Zafran angguk.

"Anak kamu tak boleh tidur sini. Kotor sangat ni. Kalau kamu nak tidur sini, ha lantaklah!" Jaliah mendengus.

"Tapi, tapi..."

"Tapi apanya? Bukan mak cik nak culik anak kamu."

"Ayah, bolehlah. Kakak tak nak tidur rumah ni." Maya merengek manja kepada Zafran.

"Kamu tengok anak kamu tu. Budak-budak lagi dah pandai tentang kebersihan. Malam ni kamu basuhlah rumah ni. Esok mak cik tengok macam mana. Kalau dah bersih, baru anak kamu boleh balik sini. Kamu faham tak?"

Zafran menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Overnya mak cik ni. Ketua lorong ke? Aduyai betul!

Maya membuntuti Jaliah masuk ke dalam rumah. Sebuah beg tergantung di bahu.

"Tu Kak Ju. Maya tidur dengan Kak Ju tau, malam nanti."

Maya sengih. Langkahnya diatur laju ke arah Julia yang sedang menonton televisyen. Tangan dihulur kepada Julia.

Mak bawak balik anak duda ni, pehal pulak? Tapi macam comel aje. Macam boleh jadi kawan aku!

"Maya ya? Duduk sini! Letaklah beg tu? Dah makan?" Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Julia.

"Biarlah budak tu duduk dulu. Selesakan diri. Pergilah ambik air untuk Maya," perintah Jaliah.

Senyuman mendarat di bibir Julia.

"Maya nak minum apa? Dah makan ke?"

"Kakak dah makan. Air siraplah."

Sirap? Taste budak ni ikut bapak dia ke? Isy, tak baik aku ni!

"Kalau nak tengok kartun, tengoklah. Mak cik nak solat ni," ujar Jaliah perlahan.

Jaliah berlalu ke bilik air, di mana Julia terlebih dahulu meninggalkan ruang tamu.

Maya duduk di sofa dengan penuh sopan. Tidak mengusik alat kawalan jauh televisyen yang terletak di atas meja. Sememangnya Amira telah mendidik Maya dengan baik sekali. Tidak mengusik barang yang bukan haknya.

"Nah!"

Maya senyum menyambut gelas berisi air sirap daripada Julia.

"Mekacih, kakak cantik."

"Sama-sama, kakak comel..." Julia ketawa. Maya juga ketawa.

Lewat petang itu Maya dimandikan oleh Jaliah di bilik air. Resah Jaliah melihat Maya yang baginya 'belemuih' bak kata orang Kedah. Comot! Satu perkataan yang menggambarkan keadaan Maya.

Jaliah sedar, apa yang boleh diharapkan daripada seorang bapa yang serba kekurangan dalam menguruskan anak perempuan.

"Dah berapa hari kakak tak syampu rambut ni?"

"Tak ingatlah, mak cik. Empat hari rasanya," jawab Maya jujur.

"Ermm."

"Busuk sangat ke rambut, kakak?"

"Ermm."

Julia menjenguk pintu bilik air yang tidak ditutup rapat oleh Jaliah.

"Wei... Kakak Maya bau busuk!" usik Julia.

"Isy, buat apa kacau Maya ni!" jerkah Jaliah geram.

"Bye Maya busuk." Julia ketawa sambil berlalu ke biliknya.

Suara orang memberi salam menyebabkan Julia terus ke ruang tamu. Pintu dibuka pantas.

"Waalaikumussalam."

Aduh, duda ni nak apa pulak datang? Jangan dia pun tidur kat rumah ni, sudahlah!

"Err... err... saya nak bagi ni pada Maya." Zafran menghulurkan plastik tipis berwarna merah berisi dua bungkusan polistirena makanan kepada Julia.

Hah, mujur dua bungkus. Kalau sebungkus saja tadi, aku hambur!

"Tolong bagi Maya."

Julia menyambut huluran daripada Zafran dengan pantas. Zafran bergegas meninggalkan ruang laman keluarga Julia.

Rugi betullah kau ni bapak Maya. Handsome, tapi pokai. Aduyai sungguh!

Julia menutup pintu. Bungkusan makanan pemberian Zafran dibawa ke dapur. Maya yang berbalut tuala keluar dari bilik air, berlari anak menuju ke bilik Julia.

"Alamak, dah macam anak aku pulak!"

"Ha, Ju. Suka nampaknya dengan Maya tu. Siapa datang?"

"Ayah Maya bagi makanan kat anak dialah. Handsome, tapi pokai, kan mak?" selamba sahaja Julia menjawab soalan emaknya itu.

"Kamu ni Ju... dengar nanti Si Maya dalam bilik tu," tukas Jaliah tidak puas hati.

"Kan Ju puji handsome... cuma... tak dapeklah den nak nolong ae...." Julia sengih penuh makna.

"Pergi tengok Maya di bilik tu. Jangan banyak komen pulak. Kecik hati budak tu nanti. Kesian mak nengoknya. Kecik-kecik dah tak ada mak."

"Relakslah mak. Janganlah tangkap sentimental pulak senja-senja ni. Ju layan dia macam adiklah. Dah mak tak nak beranak lagi."

"Kamu dah tercabut plag ke apa, Ju? Mak dah isyak ni kamu suruh bagi adik?" Serentak itu tangan Jaliah bergerak cuba mencapai rambut Julia. Julia pantas berlari meninggalkan Jaliah.

"Uish, bertuah punya anak. Dah boleh jadi mak budak, boleh main kejar-kejar lagi," gerutu Jaliah seorang diri.

Maya menyikat rambut di hadapan cermin. Julia memerhatikan anak yatim tersebut dengan perasaan simpati.

Walaupun Julia seorang yang 'gila-gila', namun Julia mempunyai naluri keibuan. Julia amat menyukai kanak-kanak. Kerinduannya terhadap Qila sedikit terubat apabila melihat Maya.

"Kenapa Kak Ju tengok kakak?"

Alamak! Budak ni perasan ke aku tengok dia? Dia tau ke aku kesian dengan dia?

"Tengok rambut kakaklah. Cantik sangat. Ikut rambut arwah mama, ya?"

Maya berjalan mendekati Julia, lalu duduk.

"Kakak rindu kat mama. Kesian kakak, kan? Mengapa Allah ambik mama kakak cepat sangat?"

Julia sebak.

Aduh, aku pula yang sentimental karat senja ni. Tadi yo-yo o aku mengata Hajah Jaliah jiwang. Ni aku pulak!

Julia memegang tangan Maya perlahan.

"Kakak dengar sini, Allah sayang sangat pada mama kakak. Sebab tu Allah ambik mama kakak cepat. Isy, tak maulah sedih-sedih. Lapar tak?"

Senyum tawar singgah di bibir Maya.

"Kak Ju solat dulu. Nanti kita makan sama ya?" Julia bangun dari katil, bergerak ke pintu.

"Kakak nak ambik air sembahyang juga. Kakak nak sembahyang jugak."

Julia senyum lebar mendengar kata-kata Maya.

Malam itu di meja makan, Julia membuka bungkusan polistirena yang diserahkan oleh Zafran kepadanya.

Nasi goreng biasa dan bihun goreng? Tak ada lauk untuk anak dia? Poket dia betul sakit nampaknya ni!

"Apa lagi tu, Ju? Bagilah pada Maya," arah Jaliah.

"Oh, lupalah pulak. Kakak nak yang mana? Nasi goreng atau bihun?"

"Bihunlah. Kak Ju makan nasi goreng tu. Entah-entah ayah memang nak bagi Kak Ju."

Eh, budak ni. Biar betul! Macam ejen pencari jodoh saja. Betul ke umur tujuh tahun ni?

"Ermm, ayah kakak nak bagi mak cik tu. Kak Ju tak makan nasi waktu malam. I'm on diet."

Salman senyum, begitu juga dengan Jaliah.

"Kenapa pulak ayah dan emak sengih-sengih ni?"

"Bak sinilah nasi goreng tu." Salman menghulurkan tangan kepada Julia.

"Ayah jangan macam-macam ya!"

"Macam-macam apanya? Makan nasi goreng Maya pun tak boleh?"

"Yalah bang. Selalu dia saja yang buat lawak sepuluh sen. Ni kita buat sikit tak boleh pulak. Ha Maya, makanlah. Tengok apa lagi?"

Maya tidak mengendahkan kata-kata Jaliah, sebaliknya asyik memandang Julia.

"Kak Ju makan apa?"

"Ni minum Milo aje. Kan Kak Ju nak jaga badan. Tak naklah gedempol. Nanti tak ada orang nak meminang akak."

"Ooo..."

Entah apa yang tersirat di sebalik kata-kata 'ooo' Maya itu.

PAGI-PAGI lagi Julia telah pergi ke sekolah, begitu juga dengan Salman yang awal mencari rezeki.

Maya yang telah mandi dan bersarapan duduk diam di sofa. Bosan duduk, Maya bangun, berjalan ke arah pintu yang telah terbuka.

Mana ayah ni? Tak nak ambik kakak ke? Maya berwajah kelat.

Baliklah tengok ayah! Maya melangkah keluar dari rumah, terus membuka pintu pagar.

Mana motor ayah ni? Ayah pergi mana ni? Maya yang menyedari Zafran tiada di rumah, kembali ke rumah keluarga Julia. Jaliah menyambutnya di muka pintu.

"Kenapa masam?"

"Ayah tinggal kakak."

"Alah, ayah Maya pergi kedai tu. Masuklah. Kejap lagi baliklah tu," pujuk Jaliah mesra.

Maya akur. Namun, wajahnya tetap kelat. Bunyi enjin motosikal menyebabkan Maya menoleh serta-merta.

"Ayah pergi mana?"

Zafran menguntum senyum. Tangannya mengangkat beg plastik mengandungi dua bekas polistirena.

"Tak payah susah-susah. Maya dah sarapan," jelas Jaliah tiba-tiba.

"Eh, tak apa mak cik. Saya nak mintak tolong dengan mak cik ni." Zafran menyerahkan bungkusan plastik tersebut kepada Maya.

"Tolong apa? Kamu nak pinjam duit ke?" Tersembur soalan cepumas daripada Jaliah. Siapa yang tidak mengenali Jaliah di taman itu. Seorang yang berterus terang dan 'laser'.

"Err, bukan mak cik. Saya nak pergi Pejabat Pendidikan Daerah. Uruskan sekolah Maya. Boleh Maya tinggal dengan mak cik kejap?"

"Ooo... mestilah boleh. Ha, pergilah cepat. Nanti lambat pulak anak kamu dapat sekolah. Maya, masuk. Nanti kamu diculik, ditangkap orang! Sekarang ni ramai sangat lelaki tak betul."

Zafran sengih.

Aduyaiii... lasernya orang tua ni. Jauhkanlah daripada jadi mak mertua aku. Eh, pehal ke situ pulak! Aiseyyy!

"Saya pergi dulu, mak cik... kakak."

"Ayah jangan balik lambat ya!"

Sepeninggalan Zafran menguruskan persekolahan Maya, Maya duduk diam lagi di ruang tamu. Hati kanak-kanak itu kebosanan. Ingatan Maya melayang mengingati mama kandungnya, Amira.

"Rindu kat mama." Maya berkata perlahan.

"Kalaulah mama ada," omel Maya lagi.

Jaliah muncul. Wanita yang berstatus nenek tersebut amat memahami akan kebosanan Maya.

"La, kenapa tak pasang TV? Kejap lagi ayah baliklah." Alat kawalan jauh televisyen dicapai oleh Jaliah. Siaran 610 Astro ditekan perlahan.

"Tengok rancangan 'Bijak Bahasa' ni. Kalau Maya lapar lagi, makanan ayah beli ada di meja tu," jelas Jaliah sambil tangan menunjuk ke arah dapur.

"Kakak dah kenyanglah. Mak cik makanlah."

"Mak cik lagilah dah kenyang. Dah tua ni, makan sikit saja."

Pon! Pon! Pon!

"Mak cik nak beli lauk dan sayur kejap."

Jaliah meninggalkan Maya, melangkah laju ke dalam biliknya. Jaliah keluar semula bersama dompetnya yang kusam.

"Kakak nak ikut."

Tiba di luar pagar, apek tersengih menanti.

"Yo, manyak comel. Manyak besar lu punya cucu." Apek menyentuh pipi Maya. Tiada respons daripada kanak-kanak itu.

"Lu jangan pegang-pegang, apek. Gangguan namanya!" Jaliah menjegilkan matanya.

"Ganggu? Haiya, saya bukan olang itu macam dalam TV, dalam Facebook semua. Rogol budak. Saya semayang juga."

"Eh, melawan! Sembahyang tak sembahyang... kalau dah syaitan masuk, ha..."

"Haiya, ini pelempuan... manyak prasangka!"

Dari jauh kelihatan Senah tiba dengan lenggang kangkungnya.

"Anak siapa pulak ni, Ja? Cantiklah pulak. Nama?"

Maya menyalami Senah.

"Maya." Maya menjawab pendek.

"Ha, udah dengan aku... cucu akulah. Ni tadi aku marah si apek ni."

"Kenapa pulaknya?" soal Senah ingin tahu.

"Berani dia pegang-pegang pipi budak ni. Aku pantang laki-laki tua gatal ni. Tersirap darah aku." Jaliah membuat penjelasan.

"Haiya! Saya talak itu macam punya laki wooo! Saya juga ada cucu ma."

"Apek, lu jangan main-main. Saya ni ketua lorong. Eh... ya ke? Lantaklah walau tak ada hitam putih pun. Saya jaga keselamatan semua penduduk lorong ni!" Senah memberi amaran kepada apek.

"Wokeh-wokeh. Saya talak buat lagi," apek mengalah.

Setelah selesai urusannya, Senah tidak terus pulang ke rumah.

"Udah aku masuk rumah kamu ni, Ja... mana airnya? Aduh, haus pulak aku."

"Air kosong boleh?"

"Ya Allah... sejak bila kau kedekut pahit ni?"

"Akukan nak buat kenduri. Mestilah berjimat." Jaliah ketawa sambil berlalu ke dapur.

Maya kembali menonton televisyen.

"Mak kamu mana?"

Maya menggeleng laju.

Jaliah muncul. Gelas berisi sirap diserah kepada Senah.

"Mak dia dah tak ada. Dia dengan ayahnya saja. Kau ni nama aje ketua lorong, orang pindah tak tau pun," selar Jaliah.

"Alaaa kesiannya. Sabar Maya, ya... Akukan pergi kenduri kahwin semalam. Eh, kau nak buat kenduri siapa? Si Man nak kahwin lagi ke? Jangan kau, Ja. Makan hati kau nanti. Apa orang kata, menjeruk rasa kau nanti." Senah ketawa.

"Uishh... Ju la. Mana tau aku mati awal. Nak jugak aku tengok dia di pelamin."

"Dia dah ada calon ke? Dah jumpa lelaki kaya yang dia berangan tu?"

"Ah, tak payah kaya. Aku ni nak menantu baik. Sejuk mata aku mandangnya."

"Sejuk mata memandang bagai. Dah ada ke orangnya?"

"Belum lagi."

"Belum? Dah kecoh nak buat kenduri?" Ketawa Senah bergema lagi.

Jaliah juga ketawa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co