Truyen3h.Co

Mr. Dud Next Door

Bab 8

karyaseni2u

MAYA berlari ke muka pintu apabila mendengar bunyi enjin motosikal.

"Kak Ju dah balik. Horeee!!!"

Kenapa budak ni seronok sangat nampak aku ni? Ke dia nak aku jadi mak dia? Eh, jangan. Aku tak nak mamat pokai tu!

Julia senyum lebar. Senyum yang dibuat-buat. "Kakak dah makan?"

"Belumlah. Tunggu Kak Ju."

Pehal pulak tunggu aku ni? Habislah, dia dah suka aku ni. Aku juga yang ngada, baik sangat kat dia. Baik aku buat-buat garang. Eh, kesian pulak. Anak yatim tu!

Maya membuntuti Julia masuk ke dalam bilik. Julia membuka tudung. Menguraikan rambutnya yang terkurung di dalam anak tudung sejak pagi.

"Kak Ju ni cantiklah," puji Maya sambil senyum.

Aduyai, puji-puji lagi tu!

"Betul ke Kak Ju cantik?"

"Cantik la. Macam dalam drama petang-petang tu. Siapa ya? Fathia, kan? Hidung dia mancung macam hidung Kak Ju."

Aku macam Nur Fathia? Biar betul ni? Confuse mak cik!

Julia bergerak ke hadapan cermin yang diletakkan berdiri di biliknya.

"Betulkan, Kak Ju macam pelakon tu?"

"Ye ke? Tipulah kakak ni."

"Kak Ju sukalah tu, kakak puji. Kan? Kan?"

"Tak adalah. Kak Ju bukan jenis perasan. Jomlah makan. Mak cik masak apa?"

"Tak tau. Tadi kakak ikut mak cik beli ikan."

"Mak cik dah makan?"

"Dahlah. Makan dengan pak cik tadi. Kakak yang tak nak makan. Nak makan dengan Kak Ju."

Julia melihat dua bungkusan polistirena di atas meja.

Mr. Dud beli apalah tu untuk anak dia?

"Ayah beli apa untuk kakak ni?" Julia memegang sebungkus polistirena.

"Tak tau. Pagi tadi ayah beli dua bungkus. Pak cik makan satu. Ni tengah hari ayah bagi satu bungkus. Kakak tak nak. Kakak nak makan apa yang mak cik masak. Mak cik masak sedap," panjang jawapan daripada Maya. Jawapan yang menyesakkan Julia.

Boleh tahan budak ni. Mak mesti sayang gila kat dia. Bahaya, bahaya!

Julia meletakkan kembali bungkusan polistirena yang dipegang. Tudung saji dibuka. Ikan bawal masak merah, sayur tauge goreng dan sambal belacan terhidang di atas meja. Julia mencedok nasi untuk Maya dan dirinya.

"Ambiklah lauk."

"Tapi ikan tu macam pedas aje!" Maya berwajah suram.

Julia kembali memegang polistirena di atas meja.

Bihun goreng lagi? Ni dud bihun goreng ke? Nasib baik ni ada ayam goreng!

"Ni ayah beli ayam goreng. Nak?"

Maya senyum.

"Amboi, dah macam anak-beranak mak tengok kamu, Ju." Jaliah yang tiba di dapur, senyum meleret.

"Apa mak ni? Cakap bukan-bukan. Nanti timbul salah faham. Jangan, mak!"

"Alah, apa salahnya. Kalau dah jodoh..." Jaliah ketawa.

Maya senyum. Entah faham entah tidak akan gurauan Jaliah.

Petang itu Jaliah menggoreng pisang sebagai sajian minum petang. Maya masih tidak berenggang dari Julia, berada di bilik. Fikiran Jaliah tertumpu kepada nasib Maya.

Macam manalah nanti kalau Maya dapat mak tiri yang jahat? Ataupun ayah dia tu tak boleh pakai. Haruan makan anak? Kesiannya budak tu!

"Opps! Mujur tak hangus!" Jaliah dengan cepat menterbalikkan pisang goreng di dalam kuali. Haruman pisang goreng yang lazat menguasai ruang dapur.

Kerja apa pulak Si Zafran tu? Naik motor saja. Isy, kalau kahwin... boleh ke bagi makan bini? Kalau tak kahwin, bahaya budak Maya tu. Aku tak percaya betul dengan lelaki sekarang ni. Lagi-lagi yang dah kenal benda tu!

"Apa yang awak fikir tu, Ja? Abang balik pun, awak tak perasan." Salman menarik kerusi di meja makan.

"Kus semangat. Kok ya pun abang ni, bagilah salam."

"Sedap nampaknya pisang ni. Budak-budak mana?"

"Budak-budak mana pulak?"

"Maya dengan Ju, lah. Kan dua-dua masih budak." Salman sengih.

"Ada dalam bilik tu. Maya tu saya tengok suka sangat dengan Ju. Tak boleh berenggang."

"Dia rindu emaknyalah tu. Kesian. Kecik-kecik dah yatim."

"Itulah yang saya fikir tadi. Saya risaukan Si Maya tu, bang. Zafran tu kena kahwin. Takut saya kalau jadi apa-apa kat budak tu."

"Jadi apa pulak? Isy, sampai ke situ pulak awak ni!"

"Kaum bapa memang kurang sensitif bab ni, bang. Kaum ibu ni ha, seriau dengan anak-anak yang duduk dengan ayah saja. Abang tak tengok TV? Baca surat khabar? Facebook, dan entah apa lagilah!"

"Janganlah kata macam tu. Doa tu, Ja. Kita harap yang baik-baik saja pada Zafran tu," komen Salman perlahan.

"Ni kejap lagi saya nak cek rumah tu."

"Cek buat apa pulak, Ja oi."

"Ceklah. Dah bersih ke belum. Boleh ke budak perempuan tidur di situ. Yang penting, bilik Maya. Bilik untuk duda tu, saya tak kesah."

"Awak ajak sekali ke ketua lorong kita tu?"

"Tak payah. Senah dah serah tugas kepada saya pagi tadi," Jaliah ketawa. Cukup bersedia dengan usikan daripada suaminya itu.

ZAFRAN senyum puas. Katil bujang berserta tilam telah siap bercadar. Cadar berwarna merah muda itu pilihan Amira dulu.

Bilik untuk Maya telah siap. Tentu mak cik ketua lorong tu puas hati nanti. Taklah Maya terpaksa tumpang rumah orang lagi. Dibuatnya dia cek bilik aku, macam mana? Kantoi! Ah, aku okey saja tidur di lantai alas tilam. Mak cik tu mesti faham, kan!

"Assalamualaikum."

Alamak! Dia datang dah. Kacau betullah!

Zafran membuka pintu.

"Waalaikumussalam. Oh, mak cik. Masuklah."

Maya berlari masuk ke dalam rumah dari rumah sebelah.

"Boleh mak cik masuk?" Tanpa menunggu jawapan Zafran, Jaliah masuk ke dalam rumah. Jaliah mencari Maya yang telah hilang dari pandangannya.

"Cantik tak mak cik?"

"Err... boleh tahanlah." Jaliah agak janggal untuk berpura-pura. Bagi Jaliah, bilik Maya itu 'ala-ala' sahaja.

Sepatutnya perlu ada meja tulis untuk Maya belajar. Biarpun Jaliah tidak terpelajar, dia sedar akan keperluan seorang anak untuk belajar. Begitulah yang dilakukan terhadap Hani, Julia dan Shamsul dahulu.

"Boleh Maya balik, mak cik?" Zafran menanti jawapan Jaliah penuh debar.

"Bolehlah. Nanti dah ada duit, beli meja tulis untuk Maya. Kesian dia. Nak belajar macam mana?"

Aku dah agak dah! Dia mesti tak puas hati punya! Zafran senyum tawar.

"Mak cik balik dululah. Jaga anak kamu ni elok-elok. Sayang mak cik tengok Maya tu."

"Err... mak cik..."

"Ada apa?" Jaliah yang telah sampai di muka pintu, berhenti melangkah.

"Saya nak mintak tolong mak cik, boleh?"

"Tolong apanya? Nak mak cik carikan calon?"

Aduh, orang tua ni. Tak habis-habis lasernya!

"Saya bawak lori, mak cik. Pagi saya hantar Maya pergi sekolah. Balik, van ambik dia. Takut jugak dia duduk rumah sorang-sorang. Boleh dia duduk dengan mak cik sampai saya balik?"

"Erm..."

"Saya bayarlah, mak cik. Dengan makan dia tu," sambung Zafran lagi.

"Mak cik bukan berkira sangat. Boleh sangatlah. Mak cik pun bosan duduk sorang-sorang. Ju tu kadang-kadang balik lambat. Koko, lah... sukanlah. Macam-macam hal di sekolah tu. Padahal guru ganti saja pun."

"Terima kasih, mak cik."

"Mak cik balik dulu."

Maya berlari ke muka pintu.

"Bye-bye, mak cik."

"Seronok duduk rumah mak cik tu? Sampai tak ingat ayah."

"Seronok sangat. Mak cik dan pak cik baik. Kak Ju lagi baik. Cantik pulak tu. Kami tidur sekatil. Nanti kakak boleh tidur lagi dengan Kak Ju?"

Zafran diam.

Cantik ke perempuan sombong tu? Senyum pun tak nak. Mentang-mentanglah aku pokai!

"Mana boleh kacau orang selalu. Nanti dia orang pun tak suka kita. Kakak ni..." ujar Zafran lemah.

"Tapi Kak Ju suka kakak. Sayang kat kakak. Ayah jangan jeles ya..."

"Pandailah kakak tu. Kak Ju ada cakap ke dia sayang kakak? Kakak perasan aje ni."

"Kak Ju tak cakap. Tapi kakak tau, lah." Maya menjawab yakin.

"Esok kakak mula sekolah tau! Esok pagi ayah hantar kakak ke sekolah. Balik naik van. Ayah tunjuk van yang mana esok. Lepas tu van akan turunkan kakak di rumah mak cik. Kakak duduk kat situ sampai ayah balik tau!" Terperinci penerangan Zafran.

"Kenapa ayah tak ambik kakak?"

"Ayah bawak lorilah kakak. Tak tentu waktu rehat. Boleh kakak, ya?"

Maya angguk.

"Tapi kakak lagi suka ayah yang ambik kakak naik motor ayah."

"Bila hari Sabtu dan Ahadkan boleh naik motor. Ayah bawak kakak jalan-jalan. Setuju?"

"Tak sekolah, kakak nak naik motor dengan Kak Ju. Mesti best jalan-jalan dengan Kak Ju," ujar Maya dengan wajah ceria.

Sayang betul la kakak ni kat perempuan sombong tu. Mau satu hari nanti disuruh aku kahwin dengan perempuan tu. Kakak ni, macam-macamlah!

"Malam ni ayah masak?"

"Ha, lah. Dapur dah ready. Master Chef Zafran akan masak!" Zafran ketawa kuat.

"Nasi goreng lagi?"

"Okey... kakak nak makan apa?"

"Mi goreng sedap!"

"Itu kalau kita beli kat kedai mamaklah ya?"

"Ayah ada duit lagi?"

Zafran sentap dengan soalan Maya.

"Kita kena berjimat, ayah. Kan ayah baru nak kerja."

"Setakat beli mi goreng tu, ayah ada duit lagi. Kakak jangan risaulah," jelas Zafran tenang.

Maya senyum.

"Rindu mamalah. Makin jauh dari kubur mama, kan ayah?"

"Nanti bila cuti sekolah, kita ziarah kubur mama, ya?"

"Boleh bawak Kak Ju sekali?"

Apa pasal nak bawak perempuan sombong tu pulak? Dah kronik kakak suka perempuan tu!

"Manalah Kak Ju kakak tu nak ikut. Lainlah pergi shopping."

"Kalau macam tu, bila ayah gaji, kita pergi shopping dengan Kak Ju, ya?"

Shopping dengan perempuan sombong tu? Kopaklah duit aku. Dahlah gaji ciput!

"Boleh tak, ayah?"

"Yalah, yalah. Sayang sangat dengan kakak tu. Siapa nama?"

"Julia. Kak Ju cantik!"

"Cantik ke? Ayah tengok biasa aje!"

Maya cebik tanda tidak puas hati terhadap komen Zafran.

NAK pakai baju apa ni? Boring betul asyik pakai baju kurung aje ni!

Julia menarik sepasang baju kurung moden berwarna ungu cair.

Haaa, ni baru okey. Baru Cikgu Zaini pandang aku sikit. Esok pakai shawllah. Biar cun!

Zaini satu-satunya guru bujang di SMK Taman Selasih, tempat Julia bekerja. Sebagai guru lelaki, saham Zaini tinggi. Ini kerana bilangan lelaki yang menjadi guru sedikit, sedangkan guru perempuan ramai. Peluang Julia mendampingi, dan seterusnya memiliki Zaini adalah tipis.

"Zaini pandang ke guru ganti? Aduyai betullah!"

Julia menggosok kurung moden kesayangannya dengan penuh hati-hati. Julia tidak mahu peristiwa bajunya terbakar akibat berangan berulang lagi.

Selesai menggosok pakaian, Julia membaringkan tubuhnya ke katil. Penat dan lesu rasanya kerana pulang agak lewat dari sekolah hari itu.

Tak dapat nak borak dengan kakak hari ni. Cepat pulak Mr. Dud tu ambik anak dia hari ni. Rindu Maya!

Eh, aku ni. Biar betul! Sayang dah ke kat budak tu?

Jangan, Julia! Kau nak hidup kat rumah sebelah yang buruk tu ke? Kau nak Kak Hani kau gelakkan kau?

Julia senyum sendiri.

Apalah aku merepek ni? Baik aku fikir cara nak ngorat Zaini.

Eleh, takat Zaini apa barang! Bukan kau nak lelaki kaya? Suara hati Julia bergema lagi.

Zaini pun aku belum tentu dapat, nikan pulak lelaki kaya. Mimpilah aku. Ah, mengarut semua tu. Baik aku tidur. Harap-harap Zaini tegur aku esok!

Julia menarik selimut. Mengharapkan pagi esok yang menanti, memberi sinar indah dalam hidupnya.

"Selamat malam Nur Julia Arina!"

JULIA bernyanyi kecil sewaktu keluar dari bilik. Senang benar hatinya pagi itu.

"Mak, Ju pergi dulu, ya!"

"Eh, cantik kamu hari ni. Di sekolah ada apa? Hari guru ke?"

"Hari guru apanya. Tukan bulan Mei. Pakai cantik nak ceriakan dirilah, mak. Mak tak suka anak mak ni cantik? Comel?"

Jaliah senyum.

"Kamu nak pikat ayah Si Maya ke?" Jaliah ketawa.

"Mr. Dud pokai tu? Sorry ya. Ju ada mangsa lain. Ni okey sikit," terang Julia tanpa selindung.

"Ju jangan cakap macam tu. Diterbalikkan Allah hati Ju nanti, Ju yang terkejar-kejar duda tu. Mak okey saja. Siapa yang Ju nak pikat tu?"

"Adalah. Cikgu di sekolah." Julia menghulurkan tangan kepada Jaliah.

"Ha, jangan bawak motor laju-laju!"

"Selamat pagi, Kak Ju."

Julia senyum memandang Maya yang telah berada di atas motosikal Zafran.

"Ayah tengok, Kak Ju cantik hari ni."

Zafran diam, tidak memberi sebarang respons.

Julia agak malu. Cepat-cepat Julia memakai topi keledar. Zafran mula memacu motosikalnya.

"Bye-bye Kak Ju!"

Julia sekadar membalas lambaian tangan Maya.

Budak ni... tak habis-habis promote aku kat ayah dia. Malukan aku aje. Dibuatnya duda tu ingat aku betul-betul suka kat dia, haru. Ah, lantaklah dia nak perasan. Yang penting Zaini aku ni. Takkan tak boleh melutut kat kaki aku kut! Aku ni cun. Cuma kureng gaya aje. Maklumlah, pokai!

"Alamak! Dah tujuh lima minit. Lambat lagilah aku ni!"

Dengan pantas kunci motosikal dimasukkan ke rumahnya. Motosikal yang ditunggang Julia meluncur laju. Jaliah yang berdiri di muka pintu menggeleng kepala.

"Masih minah rempit budak tu rupanya."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co