Bab 10
Dahlia memarkir motor skuternya sebaik dia tiba di Klinik Harmoni. Bungkusan plastik yang sengaja disangkut di handle motor dibawa bersama setelah dia mengunci motosikalnya. Memandangkan hari ini Datin Sarah membenarkannya mengambil cuti, Dahlia tidak sia-siakannya. Disebabkan dia sudah berjanji untuk berjumpa dengan Juliana, pagi-pagi lagi Dahlia sudah bangun tidur. Dia membuat kek dan bersiap untuk keluar. Bising juga ibu setelah mendengar tujuannya hari ini. Tapi apa boleh buat? Anak perempuan kesayangannya ini merangkap lembaga penting di dalam negara. Sibuk memanjang.
"Kak Ju!" teriak Dahlia. Kemudian dia pantas menutup mulutnya. Tak sangka dia menjerit memanggil nama Juliana begitu kuat. Rasanya seperti menggunakan ton biasa dia memanggil Danish. Disebabkan suaranya yang macam Tarzan itu, semua pesakit memandang ke arah dirinya. Tak pasal-pasal menarik perhatian pesakit klinik. Apa lagi yang mampu dia buat ketika ini? Senyum dan lambai sahaja...
"Kenapa jerit nama akak kuat-kuat? Kenapa datang tak beritahu akak?" soal Juliana apabila melihat Dahlia mula memasuki ruang kaunter. Sempat kepalanya menggeleng beberapa kali melihatkan gelagat gadis itu.
"Ingatkan Lia panggil perlahan aje. Ini pun datang sebab nak jumpa akak. Dah dua minggu kan Lia kerja dekat situ. Tak pernah dapat jumpa akak. Bos bagi cuti hari ini, Lia terus terfikir nak singgah klinik. Nah." Dahlia menghulurkan bungkusan plastik yang dipegangnya kepada Juliana.
"Apa ni?" Juliana mengambil plastik yang dihulurkan. Ada dua biji mangkuk terletak di dalam plastik.
"Makanan sikit. Lia buatkan kek pagi tadi. Kek coklat. Nanti akak bagilah dekat Kak Syu dengan Lee. Kongsi dengan yang lain."
Juliana mengangguk-angguk. Plastik yang berada di tangan diletakkan di atas kaunter.
"Kenapa Lia tak datang waktu tengah hari? Kita boleh berbual lama masa akak rehat nanti." Dahlia tersenyum kecil. Memang waktu pagi waktu penting sepanjang klinik ini beroperasi. Dia bukan tidak tahu. Tetapi, Dahlia ada hal penting bersama ibu. Mereka mahu ke rumah Damia. Damia mengajak mereka makan tengah hari di rumahnya. Jadi, waktu pagi sahaja masa terluang yang ada.
"Lia! Kenapa datang sini?"
Dahlia menoleh ke belakang. Dia memandang Syuhadah yang turut berada di bahagian kaunter.
"Saja datang lawat Kak Ju. Kak Syu sihat?" Dahlia tersenyum.
Syuhadah berdiri sambil berpeluk tubuh. Dahlia dipandang dari atas hingga ke bawah. Gaya pandangan yang tampak seperti tidak berpuas hati saja.
"Ada nampak macam aku sakit ke?" soal Syuhadah.
Senyuman Dahlia sedikit pudar. Dia biasa sangat dengan reaksi Syuhadah yang langsung tak mesra dengannya sejak dia bekerja di klinik ini lagi. Alasannya, Dahlia kurang berpengalaman walhal Dahlia sedar kenapa Syuhadah selalu memberi reaksi begini terhadapnya. Disebabkan Ridzwan semata-mata. Cara layanan Ridzwan terhadap Dahlia berbeza jika dibanding kepada pekerja lain.
"Ini... Lia ada bawakan kek coklat. Nanti kau share dengan Lee. Aku share dengan yang lain." Juliana menghulurkan semangkuk kek coklat yang berada di dalam plastik kepada Syuhadah.
"Aku tak kempunan kut nak makan kek dia."
Juliana berkerut muka. "Kenapa kau cakap macam tu? Lia penat-penat buat. Kalau kau tak nak makan pun, janganlah cakap macam tu. Kau bagi aje dekat Lee. Pandai dia habiskan nanti."
"Nanti kau bagilah dekat dia sendiri." Syuhadah terus-menerus memprotes dengan kehadiran Dahlia. Dahlia yang berada di tengah pula rasa tak selesa kerana menjadi punca pergaduhan antara mereka berdua.
"Ni, kau datang ni... Sebab nak jumpa Ju ke atau nak jumpa Doktor Ridzwan?" Soalan Syuhadah agak menyakitkan hati Dahlia. Tapi, dia sudah biasa. Selama dua minggu dia melayani Nasri Haikal, hati kecilnya dah berubah menjadi kental. Setakat ayat pedas datang daripada Syuhadah, apalah sangat...
"Lia selalu jumpa Doktor Ridzwan dekat luar. Dah muak jumpa dia. Ni datang khas nak jumpa Kak Ju."
Kata-kata Dahlia seperti berdesing di telinga Syuhadah. Selalu jumpa dekat luar? Muak? Amboi, spesial betul layanan Ridzwan kepada Dahlia?
"Ingat aku hairan kau jumpa Doktor Ridzwan dekat luar? Harap pakai tudung segala. Tapi adab sopan tak jaga. Buat malu kaum aje." Syuhadah meninggalkan kaunter dengan jelingan tajam yang ditujukan khas kepada Dahlia.
Dahlia menarik nafas lega. Biarlah dia tidak mampu menang dalam perbalahan ini. Apa yang penting, dia mampu bersabar dengan baik. Kalau tak, memang dah tunggang terbalik tudung Syuhadah tu dia kerjakan! Geram!
"Jangan layan sangat dengan Syu tu, Lia. Dia memang dari dulu macam tu, kan?" pujuk Juliana.
Dahlia mengangguk perlahan.
"Tak hairan pun dengan dia, Kak Ju."
"Itulah masalah Syu tu... Tak boleh nampak orang lebih sikit daripada dia. Mulalah nak bergaduh," ucap Juliana. Memang sikap Syuhadah begitu jelas. Mudah cemburu dengan kejayaan orang lain.
Dahlia diam sahaja. Pada mulanya, Dahlia juga tertanya-tanya akan sikap Syuhadah yang begitu kasar. Ingatkan cemburu kerana mahu memiliki Ridzwan. Tapi tak. Bukan kerana mahu memiliki Ridzwan. Syuhadah sendiri sudah bertunang. Tetapi cemburu atas layanan yang diberikan oleh Ridzwan dan orang sekeliling terhadap Dahlia. Hanya kerana Dahlia sering diberikan peluang untuk menimba pengalaman berbanding Syuhadah yang katanya tidak diberikan peluang yang serupa ketika dia mula bekerja di klinik ini.
"Lia datang nak jumpa Doktor Ridzwan ke?" Soalan Juliana mengejutkan Dahlia. Lantas dia tersedar daripada lamunannya.
"Apa dia, kak?"
"Lia ni... Akak tanya, Lia datang nak jumpa Doktor Ridzwan ke?"
Dahlia menggeleng-geleng. "Tak adalah. Tak ada hal pun nak jumpa dia. Lia memang datang nak jumpa akaklah."
"Bukan apa. Doktor Ridzwan dah seminggu tak masuk klinik. Ambil cuti katanya."
Keliru pula Dahlia mendengar berita yang disampaikan oleh Juliana. Sejak seminggu lepas, beberapa kali juga Ridzwan menelefonnya. Bertanyakan tentang kerja dan sebagainya. Mereka berbual kosong untuk masa yang lama. Tak tahu pula Ridzwan mengambil cuti untuk seminggu. Tidak dimaklumkan pula.
"Busy sangat kut sampai dia stres..." ucap Dahlia. Dia memberikan kesimpulan atas tindakan Ridzwan. Bebanan kerja di klinik tentu menjadi faktor kenapa Ridzwan mengambil cuti. Terpulanglah kepada Ridzwan sendiri. Dia boleh bercuti selama mana atau bila-bila masa sekalipun. Itu hak Ridzwan. Tak perlu dipertikaikan atau memikirkan ke mana Ridzwan pergi. Tak perlu.
"Lia! Doktor Anis nak jumpa kau." Syuhadah kembali ke kaunter membawa pesanan untuk Dahlia.
"Dia nak jumpa? Ada apa?"
"Manalah aku tahu. Dia cakap dia nak jumpa," terang Syuhadah lagi sebelum meninggalkan kaunter klinik.
Dahlia terus memandang Juliana. Juliana mengangkat kedua-dua belah bahunya. Tanda tidak mengetahui apa yang dimahukan oleh Doktor Anis kepada Dahlia.
Nasri berdiri di balik langsir yang menutupi dinding cermin biliknya. Beberapa kali dia merenung ke luar. Melihat kolam renang yang berada di tingkat bawah. Kemudian pandangannya beralih. Menjauhkan lagi skop penglihatannya. Cuba mengamati kawasan luar taman perumahan Alai Perdana yang tampak lengang dan tenang.
Nasri mengeluh kecil. Dia berjalan mendekati katil kayu berlangsir yang menjadi antara tempat kegemarannya di dalam ruang bilik ini. Baik di atas katil mahupun ruang bawah katil. Kedua-dua tempat selalu digunakan bagi mengisi masa terluang Nasri Haikal. Daripada duduk di atas tilam queen size, Nasri memilih untuk duduk di atas lantai bersandarkan katilnya. Tangannya dibelek seketika. Sepanjang dua minggu Dahlia bekerja di sini, kebanyakan luka yang berada di tubuhnya kelihatan beransur pulih. Tetapi, parut luka jelas kelihatan.
"Awak tahu tak dah berapa kali Allah bagi awak peluang? Dah berapa kali Allah tunjukkan kepada awak yang bunuh diri bukan jalannya? Kenapa awak tak faham? Awak murung pasal apa? Siapa yang buat awak macam ni?"
Nasri memeluk lututnya. Kata-kata Dahlia seperti bermain-main dalam fikirannya. Allah bagi peluang? Kenapa Allah bagi aku peluang? Untuk apa?
Sepanjang hidup Nasri, dia tidak pernah meminta hidupnya bertukar begini. Kemurungan ini datang daripada pemikiran tak waras yang membiarkan dia terus mencari kesalahan diri. Kesalahan orang lain. Semuanya serba tak kena. Semuanya tak betul pada pandangan mahupun memori Nasri. Paling teruk, memori buruk asyik menjengah fikirannya hingga dia tidak berpeluang untuk merasai hidup normal. Hidup dengan pemikiran yang lebih terbuka.
Tapi, gadis itu berbicara seolah-olah dia begitu menghargai kehidupan sendiri. Berbeza sama sekali berbanding dirinya yang asyik inginkan penamat dalam hidup. Suatu cerita yang diakhiri sendiri. Pemikiran melampau yang mampu ditamatkan. Kematian yang dimahukan datang menghampiri.
Nasri memegang hujung kepala. Kepalanya dirasakan berdenyut terlalu kuat. Kuat hingga Nasri terbaring di atas lantai. Kemurungan yang menghantui dirinya seolah-olah takkan pergi. Bukan Nasri tidak mahu berubah. Cuma dia tidak mampu. Ia terlalu sukar.
Nasri meletakkan tangannya untuk menutup mata. Tanpa sedar, air matanya mengalir perlahan. Menangisi kesakitan berada dalam dunianya sendiri. Dunia yang membuatkan dirinya digelar sewel.
Selesai makan malam, Dahlia terus mengambil tempat di atas sofa menyertai Danish, Darwisy dan Puan Aina yang sudah berada di ruang tamu. Masing-masing sibuk dengan aktiviti sendiri. Ibu memang tak lari daripada menonton cerita yang ditayangkan di TV. Danish pula tak lekang dengan telefon bimbit di tangan. Clash of Clans katanya. Darwisy juga turut berada di rumah malam ini. Selalunya Darwisy mengambil syif malam. Adakalanya sahaja dia menukar syif. Tapi kalau ada masa terluang, Darwisy rajin membelek buku.
Duduk di antara Darwisy dan Danish, Dahlia mula mengacau seorang demi seorang. Beberapa kali Dahlia melarikan jarinya di skrin telefon bimbit milik Danish. Naik rimas abang longnya itu. Kemudian Dahlia menggesel-gesel bahu Darwisy pula.
"Lia ni... Cuba duduk diam-diam. Abang nak baca buku pun susah," ucap Darwisy. Tidak tahan dengan usikan Dahlia yang berterusan.
Dahlia memuncungkan bibir. Macam tak biasa pula dengan perangainya ini. Tidak berfikir panjang, Dahlia kembali mengganggu Danish. Bergerak-gerak juga tangan Danish bagi mengelak gangguan Dahlia.
"Alamak, abang long tengah war ni. Janganlah kacau."
Dahlia bersandar di sofa. Dia berpeluk tubuh sambil melihat kaca televisyen. Yang seorang, ulat buku. Seorang lagi, ulat telefon. Bukan selalu Dahlia mendapat cuti. Seminggu sekali. Minggu ini sahaja Dahlia diberikan dua hari cuti. Hari ini dan hujung minggu nanti. Ingatkan mahu bergurau senda dan bermanja dengan abang sendiri. Tapi, semuanya sibuk. Tinggal ibu aje...
"Cerita apa ni, ibu?" tanya Dahlia. Tinggal Puan Aina sahaja tempat dia melepaskan bosan ketika ini.
"Cerita orang putih," jawab Puan Aina. Dia baru sahaja mengalih rancangan ke saluran lain. Melihat cerita Inggeris yang ditayangkan di saluran HBO, terus menarik perhatiannya. Lantas cerita itu menjadi pilihan Puan Aina untuk ditonton.
"Lia tahu... Tapi, apa tajuk ceritanya?"
"Jack apa entah..."
"Jack the Giant Slayer. Lia dah tengok rasanya." Selepas melihat hero cerita Hollywood itu, Dahlia teringat cerita ini pernah ditontonnya. Tonton untuk sekali sahaja. Cerita mengisahkan kisah dongeng dari Jack and The Green Beans digarap menjadi filem. Asas cerita masih lagi sama. Cuma ada beberapa plot penting yang diubah bagi menarik perhatian penonton.
"Lia dah tengok, nak tanya ibu lagi..." ujar Puan Aina. Dahlia hanya tersengih.
"Tak perasan mula-mula. Tengok hero dia baru perasan. Hero sama dalam cerita Warm Bodies." Bersungguh Dahlia bercerita padahal ibunya bukan tahu-menahu tentang tajuk filem yang dikatakan. Tentang filem, memang Dahlia cukup pakar. Bukan nak kata dia banyak menghabiskan masa dengan menonton wayang, tapi lebih ke arah menonton TV di rumah.
"Nanti ending cerita ni..."
"Janganlah beritahu ibu. Ibu nak tengok."
Dahlia tersenyum nakal. Sengaja mengusik ibunya.
"Kak ngah nak apa tadi, bu? Lia nampak dia bisik-bisik dengan ibu dekat dapur?" Baru Dahlia teringat tentang apa yang terjadi tengah hari tadi ketika mereka berdua dijemput datang makan di rumah Damia. Jarang sebenarnya mendapat tawaran untuk makan di rumah kakaknya itu. Selalunya memang Damia dan Zubir yang datang ke sini. Merasa air tangan Puan Aina. Tengah hari tadi sahaja yang berlainan sedikit.
"Dia nak pinjam duit." Perlahan Puan Aina bersuara.
Danish yang sibuk dengan telefon bimbitnya lantas mencelah. Sensitif mendengar perkataan duit yang keluar daripada mulut ibu.
"Dia nak pinjam duit untuk apa? Kenapa dia tak beritahu Danish? Kenapa nak minta dengan ibu?"
"Tentulah dia segan nak minta dengan Danish. Asyik minta tolong Danish aje."
Danish menggeleng perlahan. Bukan Damia tidak tahu yang ibu mereka tidak bekerja. Hanya mendapat duit pencen arwah ayah sahaja. Jika Puan Aina ada duit simpanan sekalipun, datang daripada mereka bertiga. Duit untuk kegunaan Puan Aina sendiri mahupun simpanan Tabung Haji.
"Kak ngah nak pakai duit untuk apa, bu?" Perbincangan ini turut menarik perhatian Darwisy. Buku tebalnya diletakkan di atas paha.
"Damia cakap dengan ibu, Zubir yang nak pakai duit. Dia nak minta sendiri, dia segan. Jadi, dia minta tolong Damia sampaikan. Tak apalah tolong dia. Sama macam kita tolong Damia juga," jelas Puan Aina.
"Dia nak pinjam berapa?" Danish menyoal lagi.
"Lima ratus."
Danish dan Darwisy berpandangan sesama sendiri.
"Kau nak pakai duit untuk universiti. Tak payah nak tolong." Danish memberi arahan kepada Darwisy sebelum adik lelakinya itu berhasrat untuk mengeluarkan duit bagi membantu Damia. Duit gaji sementara cuti semester itu perlu digunakan sebaik-baiknya.
"Nanti Lia bagi kak ngah la." Dahlia menawarkan diri. Bukan baru kali pertama Damia meminjam duit dengan mereka. Sudah beberapa kali.
"Lia ada duit ke? Belum gaji lagi, kan? Baru dua minggu kerja dekat rumah Datuk tu," soal Darwisy.
Dahlia menggeleng. "Ada duit sikit. Lagipun abang long dengan Abang Arwi lagi banyak nak pakai duit."
Danish dan Darwisy senyap sahaja. Bersetuju dengan cadangan Dahlia.
"Assalamualaikum..." Suara yang datang dari arah luar membuatkan mereka sekeluarga pantas menoleh ke arah pintu hadapan rumah.
Darwisy sudah berdiri tegak. Mahu melihat gerangan yang memberi salam di hadapan rumah mereka. Terdetik juga dalam hatinya menanyakan siapa yang datang waktu malam begini.
"Doktor cinta dah datang."
"Siapa datang, abang long?" Agak terkejut Darwisy mendengar kenyataan Danish. Doktor cinta? Takkan telinganya salah dengar?
"Doktor cinta la. Doktor Ridzwan."
Bertambah hairan Darwisy mendengar jawapan abang longnya itu. Doktor cinta yang bernama Doktor Ridzwan? Siapa pula gerangannya? Apa yang dimahukan pada waktu begini? Darwisy mula berjalan. Belum jauh dia melangkah, Dahlia laju berjalan masuk ke dalam bilik untuk memakai tudung dan keluar semula.
Darwisy sekadar menjauhkan pandangan melihat pintu pagar. Pintu jeriji hadapan rumah dibiarkan bertutup. Mahu melihat dahulu gerangan orang yang datang ke rumah mereka.
"Ada apa, encik? Cari siapa?" tanya Darwisy.
"Saya cari Dahlia. Dahlia ada?" jawab lelaki yang berdiri di balik pintu pagar rumah mereka.
Darwisy mengerutkan dahi. Lelaki itu mencari Dahlia? Pada waktu begini? Ini ke Doktor Ridzwan yang digelarkan doktor cinta oleh Danish?
"Lia..." Baru sahaja Darwisy mahu memanggil adik bongsunya itu, Dahlia sudah berjalan ke arah dirinya.
"Ibu, Lia keluar jumpa doktor kejap," ucap Dahlia sambil berjalan ke arah pintu hadapan rumah. Puan Aina mengangguk perlahan.
"Siapa tu, Lia? Lia kenal ke?" curiga Darwisy. Tampak Danish dan ibunya seperti tidak ambil kesah dengan gerangan lelaki yang mahu menjumpai Dahlia. Tak risau akan keselamatan Dahlia ke?
"Kenallah. Dia bos Lia."
Darwisy hanya terkedu. Jawapan Dahlia menjawab segala teka-teki mengenai doktor cinta mahupun gerangan lelaki itu yang langsung tidak membuatkan Danish dan ibunya risau. Patutlah mereka berdua kelihatan seperti tak ambil kesah.
Dahlia membuka pintu jeriji lantas berjalan keluar. Dia mendapatkan Ridzwan yang sudah berdiri di balik pintu pagar.
Memandang Ridzwan ketika ini, serta-merta dia teringat kembali saat Dahlia dipanggil berjumpa dengan Anis. Saat di mana mereka berbincang mengenai lelaki di hadapannya ini. Apa yang lebih mengelirukan, Juliana ada memaklumkan Ridzwan sedang mengambil cuti. Tapi, kenapa lelaki itu berdiri di hadapan rumahnya? Bukan Ridzwan sepatutnya masih bercuti ke?
"Doktor bukan tengah bercuti ke?" Soalan itu terus terpancul keluar dari mulut Dahlia.
"Awak tahu saya tengah bercuti? Macam mana awak tahu?" Ridzwan menyingsing pergelangan baju kemejanya. Dilipat sehingga ke siku.
"Kak Juliana beritahu saya. Dia cakap doktor dah seminggu ambil cuti."
Ridzwan tersenyum nipis. "Ambil cuti tak bermaksud saya tengah bercuti, kan?"
Dahlia senyap sahaja. Dia hanya mengukirkan senyuman kecil. Ketika dia berjumpa dengan Anis pagi tadi, wanita itu sendiri mengatakan Ridzwan sedang bercuti. Makan angin katanya. Cuba melupakan bekas kekasih bernama... Alamak, apa nama dia? Aisyah? Alaisyah? Apa pula nama perempuan tu?
"Anis ada jumpa awak pagi tadi. Betul tak?"
Terus hilang nama yang cuba diselongkar dalam memori fikiran Dahlia. Dia tersentak dengan pertanyaan Ridzwan. Macam mana lelaki itu mengetahui tentang perjumpaannya dengan Anis? Anis ada beritahu Ridzwan ke?
Dahlia mengangguk perlahan. "Doktor Anis beritahu doktor ke?"
Ridzwan berpeluk tubuh. Dia bersandar di kereta Lexus IS miliknya.
"Dia cakap apa dengan awak?" Ridzwan bukan menjawab soalan, sebaliknya menghantar soalan semula kepada Dahlia.
"Rasanya saya tak perlu ceritakan apa yang saya bualkan dengan dia. Ini perbualan antara kami. Tak baik kalau..."
"Awak bualkan pasal saya, kan? Anis dah beritahu saya."
Bertambah terkejut Dahlia mendengar kenyataan Ridzwan. Anis sudah menceritakan perbualan antara mereka kepada Ridzwan? Semua sekali ke? Termasuk apa yang Dahlia katakan kepada Anis tentang Ridzwan? Serius?
"Doktor Anis... Doktor Anis ada... Ada cakap apa dengan doktor?" Gugup pula Dahlia ketika ini.
"Dia tak jelaskan semua. Dia cuma cakap yang dia berbual dengan awak pasal saya. Pasal Aleesa."
Mata Dahlia membulat. Itulah nama yang diterangkan ketika Dahlia berbual dengan Anis. Bekas kekasih Ridzwan yang bernama Aleesa. Anis asyik meminta kepada Dahlia supaya membuatkan Ridzwan melupakan gadis bernama Aleesa itu. Kata Anis, Ridzwan begitu mencintai Aleesa sehingga tiada wanita lain yang pernah bertakhta dalam hati Ridzwan bagi menggantikan wanita itu.
"Anis tu kawan baik saya. Sejak universiti lagi. Dia sukakan saya sejak kali pertama kenal saya. Tapi masa tu... Saya ada Aleesa. Until we graduate, Aleesa tinggalkan saya. Since then, Anis sentiasa di sisi saya. Mengharapkan saya boleh mencintai dia. Lepas jumpa awak, Anis beritahu saya yang dia nampak awak macam suka dekat saya. I know exactly what she trying to do. Jadi matchmaker. So, saya tak nak kita feeling awkward to each other. Saya selesa macam ni. Sebab tu saya nak..."
"Doktor... Nanti dulu. Saya tak nak kita sama-sama salah faham. Apa yang Doktor Anis cakap, saya tak ambil kesah pun. Saya pun selesa macam ni. Tak nak kita awkward setiap kali jumpa. Mungkin kita nampak mesra sebab kita ni sekepala. Jangan risau, saya faham. Doktor jangan ambil serius sangatlah pasal hal ni. Tak ada apalah." Senyum Dahlia. Senyuman yang diukir khas untuk menyembunyikan pelbagai perasaan yang wujud ketika ini.
Sebelum Ridzwan cakap yang dia tak pernah suka dekat aku, lebih baik aku bersuara dulu. Biar dia fikir aku tak serius pun suka dekat dia. Ya. Maruah kena jaga. Aku tak nak dipandang lemah sebab tak diterima. Tak nak dan takkan, tekad hatinya.
"Lega saya dengar. Actually saya ambil cuti sebab nak uruskan hal klinik sikit. Anis nak berhenti kerja. Jadi, saya kena cari doktor baru untuk gantikan Anis. Then, saya dengar Datin bagi awak cuti hari ni. Itu yang saya datang nak jumpa awak. Sekaligus cakap pasal Anis," jelas Ridzwan.
Dahlia mengangguk-angguk. "Memang Datin bagi cuti hari ni. Dia kata Nasri kena buat proses psikoterapi. Doktor yang rawat Nasri ada datang."
"Oh... Patutlah. Proses psikoterapi makan masa sikit. Sebab tu Datin bagi awak cuti."
Dahlia mengangguk lagi. Mendengarkan khabar bahawa Anis akan berhenti kerja menjawab kehilangan Ridzwan untuk tempoh seminggu. Agaknya kenapa Anis mahu berhenti kerja? Adakah kerana Ridzwan? Ingatkan Ridzwan mengambil cuti selama seminggu untuk menghilangkan stres. Rupa-rupanya tidak. Ridzwan sedang sibuk mencari pengganti Anis. Nanti! Buat apa fikir pasal Ridzwan? Ketepikan dia jauh-jauh...
"Saya sebenarnya ada hal dekat dalam ni. Tadi, saya tengah... Tengah tolong ibu saya. Kalau doktor tak ada apa lagi, saya nak minta diri dulu. Assalamualaikum." Dahlia berjalan mendekati pintu pagar. Dia melemparkan senyuman kepada Ridzwan dan pantas melangkah masuk ke dalam rumah. Kalau mahu ketepikan bayangan Ridzwan, baik dia mengambil langkah awal. Jangan berbual lama dengan lelaki itu. Biar hubungan mereka pada tahap selesa sahaja. Ya. Ini jalan terbaik.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co