Truyen3h.Co

My Sewel Guy

Bab 9

karyaseni2u

Berdebar-DEBAR pula Dahlia berdiri di hadapan pintu bilik Nasri Haikal. Dulang masih lagi di tangan. Dia langsung tidak cuba membuka pintu bilik lelaki itu dan masih berdiri kaku di depan pintu. Sebelum ke pejabat, Datin Sarah ada juga menanyakan tentang apa yang berlaku semalam. Meminta Dahlia menceritakan hal kecemasan yang sengaja dijadikan alasan. Tapi Dahlia hanya mampu mengatakan hal kecemasan itu adalah hal privasi keluarga kepada Datin Sarah. Terus wanita itu senyap dan mengangguk seperti memahami situasi Dahlia. Padahal hal kecemasan yang dinyatakan melibatkan anak lelakinya semata-mata. Seratus peratus berkaitan Nasri.

"Saya minta maaf. Saya tak sengaja sakitkan hati awak. Awak bukan sewel. Sebenarnya saya nak cakap sweet. Lelaki sweet. Bukan lelaki sewel."

Dahlia menghentak kaki. Kedengaran seperti kenyataan tidak masuk akal, tapi itu sahaja yang boleh difikirkan ketika ini. Naik buntu fikirannya memikirkan cara untuk meminta maaf daripada Nasri sebelum mendapat idea sebegini. Bukan itu saja, bermonolog di depan pintu tidak membantu dirinya untuk menghilangkan gemuruh. Dah macam orang gila pun ada. Mengulang kenyataan yang sama dan bercakap di depan pintu. Kalau Bibik Tini nampak apa yang dilakukannya ini, mesti berguling-guling dirinya ditertawakan.

Dahlia menarik nafas panjang. Dulang di tangan diletakkan ke atas lantai. Takut air susu yang dibawa terjatuh pula ketika dia membuka pintu bilik Nasri Haikal. Beberapa kali mengetuk pintu, Dahlia memulas tombol. Tidak berkunci seperti sangkaannya.

"Kalau dia marah dekat aku, tentu dia kunci pintu bilik ni, kan?" Dahlia berkata sendiri. Tangannya memulas tombol lalu membuka luas pintu bilik. Sengaja dibiarkan pintu itu dibuka luas. Senang jika ada perkara buruk berlaku. Mana tahu kalau Nasri mengamuk. Fikiran negatif perlu diambil kira juga.

Dahlia cuba melarikan pandangan daripada melihat ruang di bawah katil ketika melangkah masuk ke dalam bilik. Takut matanya terpandang ke arah sepasang mata yang begitu tajam merenung dirinya semalam.

Tetapi sebaik berjalan beberapa langkah, Dahlia sekali lagi kaku. Kelihatan Nasri sedang duduk di atas sofa. Dengan TV yang bernyala! Adakah Dahlia perlu melompat kegirangan? Tak. Tapi, kenapa hatinya begitu gembira dengan keadaan Nasri Haikal ketika ini? Gembira dengan perubahan lelaki itu?

"Nasri..." panggil Dahlia. Nasri yang berada di hadapannya tidak menoleh ke belakang tetapi hanya menoleh ke sisi kanan sahaja.

"Awak tak duduk bawah katil?" Dahlia menggigit bibir. Soalan apa yang ditujukan ini? Seperti sengaja hendak membiarkan pertengkaran yang terjadi semalam berlarutan pula.

"Tak... Tak... Saya nak minta maaf dengan awak. Sebab saya cakap pasal lelaki sewel semalam. Sebenarnya saya tak ada niat nak cakap awak macam tu. Saya nak cakap sweet tapi tercakap sewel. Sorry sangat-sangat."

Nasri kembali menonton TV. Dia diam seribu bahasa.

"Saya ada bawakan awak breakfast. Saya buat sendiri. Pancakes dengan chocolate syrup. Sedap ni." Dahlia meletakkan hidangan di atas meja kopi di hadapan Nasri.

"Saya pandai buat desert. Saya pernah cakap dengan awak, kan? So, breakfast hari ni... Saya buat desert breakfast."

Nasri hanya memandang sekilas sebelum kembali menonton TV. Barangkali sarapan yang dihidangkan di hadapan Nasri tidak menarik perhatian lelaki itu.

Dahlia tersenyum lebar. "Saya tahu awak tentu tak biasa makan. Tak salah kalau nak ubah menu. Gula bagus untuk stres tau."

Dahlia mengamati suasana bilik. Kemas. Tidak bersepah seperti semalam. Satu lagi perubahan yang mampu membuatkan senyuman Dahlia berterusan. Apa agaknya yang membuatkan Nasri berubah? Adakah Datin Sarah atau Datuk Azmi mengatakan sesuatu kepadanya dan membuatkan sikap Nasri berbeza berbanding semalam?

"Saya rawat luka awak, okey?" ucap Dahlia lalu berjalan mendapatkan kotak rawatan.

Seketika kemudian, Dahlia mendekati sofa semula. Dia duduk di sebelah Nasri bersama kotak rawatan di tangan.

"Awak tak sunyi ke? Senyap aje. Tak bercakap dengan orang. Tak sunyi duduk di dalam bilik ni sorang-sorang?"

Sengaja Dahlia bertanyakan soalan begitu kepada Nasri walaupun dia pasti Nasri tidak akan menjawab soalan yang ditujukan. Sudah berbulan-bulan Nasri mendiamkan diri. Tidak bercakap dengan sesiapa. Barangkali Nasri sudah bisu. Sebab itu dia tidak bersuara. Dahlia menggeleng. Pandai-pandai pula dia membuat andaian mengatakan Nasri Haikal bisu.

"Saya duduk dalam bilik ni untuk lima minit pun dah rasa sunyi. Tengok tu, awak pasang TV... Tapi tak ada suara. Saya rasa... Saya lagi banyak bercakap di dalam bilik ni daripada awak," bebel Dahlia. Dia menggeleng melihat Nasri.

Nasri terus membisu dan hanya mendengar sahaja Dahlia petah berbicara di hadapannya. Gadis itu mampu bercakap banyak walaupun tangannya sibuk merawat luka. Suatu kebolehan yang tak patut dipandang rendah.

"Awak tak nak buka suara ke? Kesian tengok orang dalam cerita tu, diam aje. Macam awak," bising Dahlia. Dia tetap tekun merawat luka.

Nasri mengambil alat kawalan yang diletakkan di sisinya lantas alat kawalan itu ditekan untuk membuka suara TV yang senyap sejak tadi.

Mendengar ada suara yang datang dari arah TV, Dahlia terus menoleh ke arah TV Plasma yang berada di hadapan mereka. Kemudian pandangannya beralih melihat Nasri Haikal. Lelaki itu turut memandang dirinya.

"Awak dengar cakap saya..." Dahlia tersenyum. Nasri bersandar memandang TV. Tidak lagi bertentang mata dengan gadis itu.

"Not bad," ujar Dahlia. Selesai merawat luka, Dahlia bangun untuk meletak kotak rawatan di tempat asal. Sementara menunggu waktu tengah hari, Dahlia duduk di sofa semula. Kerja menjadi jururawat untuk Nasri ada kelemahannya juga. Bosan. Banyak waktu perlu diluangkan bersama Nasri tapi seolah-olah dia menghabiskan waktu bersendirian. Tak ada aktiviti yang menyeronokkan sepanjang hari.

Berbeza dengan kesibukan di klinik. Dahlia lebih rela bekerja di sana. Walaupun sibuk, sekurang-kurangnya masa bekerja sepanjang di klinik tidak begitu membosankan. Tidak seperti sekarang. Seperti makan gaji buta pula.

"Awak tak nak makan sarapan ke?" Dahlia membuka mulut. Tak sampai lima minit suasana antara mereka sunyi sepi.

"Kalau awak tak nak sarapan ni, saya tukar sarapan lain. Awak nak makan apa?" Dahlia mengetuk perlahan kepalanya. Buat apa dia bertanya kepada Nasri? Bukan lelaki di sebelahnya ini akan menjawab soalan pun.

"Apa kata awak mengangguk atau menggeleng? Saya tanya soalan, awak bagi respons macam tu. Okey?"

Nasri buat ekspresi muka yang sama. Tidak tertarik dengan permintaan Dahlia langsung.

"Nak makan sandwic?" Mata Dahlia membulat memerhatikan Nasri. Tak ada respons daripada lelaki itu.

"Tak pun... Awak nak makan breakfast Melayu? Nasi lemak, nasi goreng, soto ke..."

Kelihatan seperti pelayan restoran pula. Sibuk mempromosikan menu makanan.

Nasri masih lagi diam membisu. Bukan kata mengangguk, menggeleng pun tidak. Dahlia tarik muka masam. Baru sebentar tadi dia meminta maaf kepada Nasri. Tak sampai sejam, hatinya kembali sakit melihat reaksi lelaki itu. Jadi, sebelum sabarnya makin tipis, Dahlia pantas bersuara.

"Hesy... Saya turun dululah. Nanti saya bawakan awak makanan tengah hari. Saya nak ambil angin sebelum saya pula yang naik angin nanti."

Dahlia bingkas bangun lalu meninggalkan bilik Nasri. Dia membiarkan Nasri terus berada di dalam dunianya sendiri.

Nasri menatap pintu bilik yang tertutup buat seketika. Dia menggeleng perlahan sebelum mengambil pinggan yang diletakkan di atas meja kopi. Pancakes yang ditaburi dengan sirap coklat itu dihidu beberapa kali lantas disuap ke dalam mulut.

Dahlia bersila di tepi kolam renang yang berada di kawasan luar rumah Datuk Azmi. Berkali-kali tangannya mengocak air kolam yang begitu jernih. Sengaja mengambil angin di luar meskipun matahari makin meninggi. Masuk hari ini, baru tiga hari dia bekerja di kediaman Datuk Azmi. Tapi macam sudah bekerja untuk setahun. Tak seronok langsung. Dahlia menyeluk poket seluar jean. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Belum sempat menyalakan skrin telefon bimbit yang tertutup, namanya dipanggil oleh Bibik Tini. Apa lagi yang wanita itu mahukan? Tak boleh tengok orang senang agaknya...

"Ya... Saya kat swimming pool ni." Dahlia tidak berganjak. Sengaja membiarkan Bibik Tini mencarinya sendiri. Entah bibik tahu atau tidak apa yang dimaksudkan dengan swimming pool. Takkan bibik tu sesat pula...

"Sememangnya kamu banyak masa terluang. Bisa ambil angin di luar. Bermain air segala." Itu kenyataan pertama yang keluar dari mulut Bibik Tini selepas tiba berdekatan kolam renang. Memang ada sahaja yang tak kena di mata wanita itu.

"Mana ada main air. Tengah duduk aje. Nak apa?"

"Enggak ada apa-apa. Hanya memerhatikan kamu," ucap Bibik Tini sambil berpeluk tubuh. Dah gaya seperti supervisor pula. Nak memerhati bagai.

"Saya mahu lihat kamu mampu bertahan lama atau tidak."

Dahlia berkerut. "Apa pasal pula?"

"Kerana orang yang jaga Nasri selalu bangat berhenti. Tidak tahan sama Nasri. Kamu baru beberapa hari, sudah main kocak air di kolam. Sudah tidak tahan bukan?"

Dahlia menelan liur. Pandai-pandai saja wanita itu meneka. Walaupun tuduhan itu benar, sekurang-kurangnya jangan cakap begitu. Buat putus semangat aje.

"Taklah. Mana ada tak tahan," bela Dahlia.

"Usah bohong deh... Saya bisa melihat gaya kamu. Mungkin tidak sampai seminggu, kamu minta berhenti sama Datin."

Makin menjadi-jadi pula wanita ini bercerita. Stres macam ni. Naik atas, jumpa Nasri yang berkelakuan tak ubah seperti robot. Turun bawah, jumpa bibik yang nampak dah macam ahli sihir. Rasa tak aman rumah ni. Tak selesa. Patutlah kebanyakan jururawat peribadi berhenti. Sudah begini gayanya, mereka pun boleh jadi gila.

"Kalau saya tahan lebih seminggu, macam mana?" cabar Dahlia. Biar wanita itu tutup mulut mendengar cabarannya ini.

"Bisa aja... Kalau benar biar tahan sehingga sebulan. Saya mahu lihat."

Dahlia berdiri tegak. Sahutan itu diterima dengan hati yang membara.

"Okey. Janji. Saya tunjukkan bibik, saya tahan sebulan."

"Terus, kamu mahu apa? Duit?" soal Bibik Tini. Dahlia menggeleng beberapa kali.

"Jangan bertaruh pakai duit. Berdosa. Kalau saya dapat bertahan, saya nak bibik pergi jumpa Nasri... Cakap dengan dia, I love you sambil buat tangan macam ni..." Dahlia menunjukkan gaya tangan yang melambangkan cinta. Tentu kelakar jika itu benar-benar terjadi.

Bibik Tini yang melihat gaya Dahlia pantas menggeleng. "Apa yang kamu minta, teruk bangat deh... Masakan saya bikin gaya begitu kepada Nasri?"

"Takut? Tak berani nak bertaruh?" Dahlia mula merasakan kemenangan. Wanita di hadapannya ini cakap sahaja besar. Hati kecil macam semut. Penakut!

"Saya enggak takut. Baik. Saya terima. Tapi kalau kamu kalah, kamu mahu bagi apa sama saya?"

Dahlia menyentuh dagu. Berfikir lama. Apa yang mampu ditawarkan kepada bibik? Duit? Memang tak...Berdosa bertaruh menggunakan duit. Tiket kapal terbang? Hadiahkan kepada bibik untuk balik ke Indonesia? Macam melampau sangat malah tetap bertaruh menggunakan duit...

"Kalau saya tak tahan, sebelum saya berhenti, saya gantikan tempat bibik. Bibik boleh bercuti untuk sehari."

Bibik Tini tersenyum lebar. "Benar?"

"Benarlah. Ingat saya main-main. Jadi, macam mana? Janji?" Dahlia menghulurkan tangan. Mahu berjabat tangan dengan wanita itu.

"Janji." Pantas mereka berjabat tangan mengikat satu perjanjian. Satu pertaruhan antara mereka berdua. Apa yang pasti, Dahlia suka mengambil cabaran ini sebagai satu motivasi untuk dirinya juga. Supaya dia terus bertahan untuk bekerja di sini. Ada sebab kukuh untuk menjaga dan terus mengawasi Nasri Haikal.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co