Truyen3h.Co

My Sewel Guy

Bab 11

karyaseni2u

"So, macam mana cuti semalam? Dapat berehat?" Dahlia terserempak dengan Datin Sarah sebelum wanita itu bergerak ke pejabat. Awal pula Datin Sarah ke pejabat hari ini. Kereta Datuk Azmi juga sudah tiada. Selalunya ketika Dahlia tiba, Datin Sarah dan Datuk Azmi masih ada di kediaman ini lagi. Sedang bersarapan. Hari ini tidak pula. Aku datang lewat ke?

"Ya. Bolehlah..." Dahlia melihat jam di pergelangan tangan kirinya. Dia tiba seperti biasa. Tak lewat pun. Barangkali mereka ada hal penting di pejabat. Sebab itu mereka berdua bergerak awal.

"Awal Datin dengan Datuk hari ni?" Sengaja Dahlia menyoal Datin Sarah sebelum wanita itu merapati kereta mewah berwarna silver.

"Saya ada hal sikit dekat pejabat. Sebelum ni, banyak projek kat luar. Jadi, hari ni nak settlekan hal dekat ofis pula. Datuk hari ni ada meeting. Jadi, kami sama-sama sibuk." Senyum Datin Sarah. Dahlia hanya menganggukkan kepala. Faham dengan jadual kerja Datuk Azmi dan Datin Sarah yang sibuk.

"Saya pergi dulu, ya? Kalau ada apa-apa, call saya." Datin Sarah masuk ke dalam kereta. Dia menghidupkan enjin dan pantas meninggalkan kediaman mewahnya.

Dahlia masih berdiri di luar rumah. Dia menggeleng beberapa kali melihat kesibukan Datin Sarah. Sibuk sehingga Dahlia tidak sempat untuk bertanya langsung tentang keadaan Nasri Haikal. Bukan Nasri menjalani proses psikoterapi semalam? Kenapa tak diceritakan tentang keadaan lelaki pendiam itu? Tiada perubahan langsung ke?

"Kamu tidak mahu menghantar Nasri sarapan? Mahu berdiri terus di sana?" Suara Bibik Tini membuatkan Dahlia mengeluh kecil. Jika Datin Sarah dan Datuk Azmi sibuk, pembantu rumahnya ini sibuk juga. Sibuk dengan hal orang lain. Hal Dahlia. Memang tak boleh bagi Dahlia senang agaknya.

"Ya. Saya nak hantarlah ni. Bibik dah buatkan sarapan saya? Saya lapar ni," sakat Dahlia.

"Sejak bila deh saya harus bikin sarapan buat kamu? Bikin sendiri aja." Bibik Tini hilang dari muka pintu hadapan rumah.

Dahlia tersenyum lebar. Lantas dia turut melangkah masuk ke dalam kediaman Datuk Azmi. Dia terus menuju ke ruang dapur. Bayang Bibik Tini entah ke mana. Tiada pula di dapur. Malas mengambil tahu perihal wanita itu, Dahlia menyiapkan sarapan buat Nasri Haikal. Dia meletakkan sarapan di atas dulang kemudian menatang dulang itu hingga ke tingkat dua.

"Nasri, saya masuk ni," ucap Dahlia sebaik berada di hadapan pintu bilik Nasri Haikal. Pintu bilik dibuka luas sebelum Dahlia berjalan masuk ke dalam. Nasri sering kelihatan berada di atas sofa sambil menonton televisyen. Tidak lagi berada di bawah katil seperti selalu. Tetapi hari ini, Nasri berada di atas katil pula. Terbaring. Aksi berbeza berbanding dua minggu Dahlia bekerja di sini.

Selepas meletakkan dulang di atas meja kopi, Dahlia mendekati katil kayu berlangsir milik Nasri. Dia memerhati Nasri yang terbaring dengan mata yang tertutup rapat. Tiba-tiba Dahlia rasa hairan. Takkan Nasri masih tidur lagi? Dahlia melihat jam di pergelangan tangannya. Pukul sembilan sepuluh minit pagi.

"Nasri... Nasri Haikal?" panggil Dahlia. Nasri langsung tidak berganjak mahupun bergerak. Mengantuk betul lelaki itu. Lewat sangat ke Nasri tidur malam tadi?

"Nasri... Bangun, sarapan." Dahlia mencuba lagi. Nasri masih belum terjaga.

"Nasri, bangun. Awak tak nak sarapan ke? Kalau awak tak nak, saya makan." Tiada reaksi daripada Nasri Haikal membuatkan Dahlia berjalan mengubah tempat. Dia berdiri di sisi katil pula. Bahu lelaki itu cuba digoyangkan. Tapi sebaik merasa suhu panas di bahagian lengan Nasri, Dahlia jadi kaget.

"Nasri... Nasri... Awak sedar tak?" Dahlia menggoyangkan tubuh Nasri beberapa kali. Perlahan Nasri membuka mata. Dia berkelip beberapa kali memandang Dahlia yang sudah duduk di sisi katil.

Dahlia meletakkan telapak tangannya di dahi Nasri. Memang suhu badan Nasri agak panas. Kemudian Dahlia berjalan ke arah bilik air. Dia mengambil kotak kecemasan lalu diletak di atas meja kecil bersebelahan katil. Dahlia bergegas turun ke bawah. Dia mengambil semangkuk air dan sehelai kain kecil.

"Sejak bila awak demam ni? Sejak semalam ke?" soal Dahlia. Dia selalu lupa tentang Nasri tidak bercakap. Kemudian dia menyelongkar kotak kecemasan dan menjumpai termometer digital bagi menyukat suhu badan Nasri.

"Buka mulut. Saya cek suhu awak." Nasri diam sahaja. Tak ada tindak balas daripada lelaki itu. Dalam keadaan sakit begini, Nasri tetap berdegil. Ingat aku nak diam diri aje?

"Saya cakap buka mulut, Nasri Haikal." Dahlia memberikan renungan tajam. Laju Nasri membuka mulutnya. Kemudian Dahlia meletakkan termometer itu ke dalam mulut Nasri. Dia menunggu seketika sebelum mengeluarkan semula.

Takat suhu yang tertera agak tinggi. 38.6 Celsius. Kalau Nasri demam sejak semalam, takkan doktor yang merawat Nasri tidak perasan? Mungkin Nasri demam malam tadi atau awal pagi tadi. Barangkali.

"Tinggi suhu badan awak ni. Awak nak makan dulu tak? Nanti boleh makan ubat." Dahlia bangun mendapatkan dulang di atas meja kopi. Kemudian dia melabuhkan punggung di sisi katil.

"Nah, makan dulu. Lepas tu saya bagi awak ubat."

Nasri bangun lalu duduk bersandar di katil. Dulang yang diberikan, diletakkan di atas paha. Tidak menunggu lama, Nasri menyuap sandwic yang berada di atas pinggan.

"Kalau awak demam, kenapa tak beritahu dekat ayah awak? Dekat mama awak ke?" Dahlia melihat sahaja Nasri tekun mengunyah potongan roti berintikan ayam salai dan salad.

"Semalam... Doktor ada buat apa-apa dekat awak ke sampai awak demam macam ni? Psikoterapi tu... Teruk sangat ke?" soal Dahlia. Dia sengaja cuba bertanya meskipun jawapannya jelas sudah diketahui. Tiada komen.

Selesai menghabiskan separuh makanannya, Nasri kembali berbaring di katil. Dahlia meletakkan dulang di atas lantai. Kain kecil yang dibawa dari tingkat bawah dicelup ke dalam mangkuk air.

"Makan Panadol ni. Kalau petang nanti suhu badan awak tak kurang, saya minta ubat demam dekat klinik," arah Dahlia. Nasri hanya menurut. Dia mengambil dua biji Panadol yang dihulurkan kepadanya. Lantas dimasukkan ke dalam mulut bersama beberapa teguk air.

Dahlia membiarkan Nasri berbaring semula. Kemudian dia memerah kain kecil yang berada di dalam mangkuk air. Kain itu dilap di sekitar tangan dan leher Nasri Haikal. Kemudian diletakkan di dahi Nasri. Nasri sekadar memerhati aksi Dahlia. Wujud perasaan kurang selesa pada diri Dahlia ketika ini apabila diperhatikan sebegitu rupa. Tapi, Dahlia tidak ambil pusing. Apa yang penting, kesihatan Nasri kembali normal.

"Okey. Tidurlah. Kalau nak apa-apa... Panggil..." Dahlia terdiam seketika. Macam mana nak pesan kepada Nasri untuk memanggil dirinya jikalau lelaki itu mahukan apa-apa? Nasri sendiri tidak bercakap.

"Ni... Nampak kayu katil awak ni. Awak ketuk kuat-kuat. Nanti saya datang," cadang Dahlia. Nasri memandang Dahlia tanpa berkelip.

"Saya tak pergi mana. Saya dekat sofa," ucap Dahlia lagi. Dia bangun membawa dulang dan bergerak ke sofa. Kemudian dia melambai ke arah Nasri lalu menunjuk ke arah sofa beberapa kali. Dia meminta agar Nasri faham dia sentiasa berada berhampiran dengan lelaki itu.

Dahlia terjaga setelah tertidur hampir empat jam. Dia melihat jam di tangan. Sudah pukul dua belas setengah tengah hari. Macam mana pula dia boleh terlena di atas sofa di dalam bilik Nasri Haikal? Selama dia bekerja untuk Nasri, ini kali pertama dia tertidur ketika menjaga Nasri. Lena sehingga tidak bermimpi apa-apa. Nasib baik Bibik Tini tak nampak dia tertidur di sini. Tentu mulut wanita itu bising nanti. Lebih teruk jika Bibik Tini menghantar repot kepada Datin Sarah atau Datuk Azmi. Memang masak!

Dahlia sempat membetulkan tudungnya yang senget. Kemudian dia bangun berdiri. Dia menoleh ke belakang. Kelihatan Nasri sedang duduk bersandar di katil sambil melihat dirinya. Kaku Dahlia memandang Nasri. Sejak bila Nasri memerhatikan dirinya? Baru sekejap tadi atau sudah lama Nasri memerhati?

Pandangan Nasri masih tidak beralih. Masih memerhatikan Dahlia dari ruang katilnya.

"Awak nak apa-apa ke, Nasri?" tanya Dahlia. Takut Nasri memarahi dirinya kerana tertidur ketika waktu kerja sedangkan dia perlu mengawasi lelaki itu. Apatah lagi dengan keadaan Nasri yang demam. Aku pula lena betul tidur sampai berjam-jam. Kenapa aku ni cuai sangat? soal Dahlia dalam hati.

"Tak."

Dahlia mengangguk. Lega mendengar Nasri menjawab soalannya.

"Saya ingatkan awak nak apa-apa. Muka awak macam nak sesuatu aje."

"Kau tak terkejut?"

"Kenapa pula nak terkejut?" Mata Dahlia membulat. Pantas tangannya menutup mulut. Tunggu dulu! Nasri bercakap? Nasri... Nasri Haikal bercakap ke dengan aku tadi? Serius aku dengar Nasri bercakap!

"Nasri! Awak bercakap!" lantang Dahlia bersuara sebelum kembali menutup mulut dengan tangannya. Kenapa tiba-tiba sahaja Nasri bercakap dengannya? Aku tengah mimpi ke ni?

Dahlia menepuk pipi sendiri. Dia tak bermimpi. Maksudnya Nasri memang sudah boleh berinteraksi. Ini berita tergempar. Kena beritahu Datuk Azmi dan Datin Sarah.

"Kau cakap, kau tak terkejut." Makin besar mata Dahlia saat dia benar-benar pasti Nasri Haikal bertutur dengannya. Menjawab soalannya. Nafas Dahlia serta-merta naik turun. Macam kena serangan panik pun ada.

Nasri menolak selimut yang menutupi separuh badannya. Dia bangun lalu berjalan perlahan ke arah Dahlia. Dahlia yang masih berdiri berdekatan sofa mula mengundur langkah ke belakang. Selaju mungkin.

"Kau takut dengan aku?" Nasri menghentikan kakinya. Dia memandang Dahlia yang tampak begitu terkejut. Gadis itu bersungguh menjauhi dirinya.

"Kenapa tiba-tiba awak bercakap?" soal Dahlia. Dia mengusap dadanya perlahan. Kemudian tangannya mengibas muka. Kenapa terasa panas pula suhu di dalam bilik ini?

"Maknanya kau lebih rela kalau aku diam?"

Dahlia mengangguk pantas. Kemudian dia menggeleng pula.

"Saya terkejut sebab saya ingat..."

"Aku gila?"

Dahlia menggeleng laju. "Bukan gila."

"Sewel? Macam yang kau pernah cakap dengan aku? Lelaki sewel, kan?" ucap Nasri. Dahlia menganggukkan kepala. Teringat dengan peristiwa pertengkaran mereka, Dahlia menaikkan jari telunjuk dan jari hantunya. Memberi isyarat 'peace' kepada Nasri. Harap Nasri tidak terasa.

Nasri diam seketika. Dia memandang lantai sebelum kembali memandang Dahlia.

"Fine. Anggap aku sewel. As your wish," ujar Nasri. Dia berjalan ke arah katil lalu duduk di sisi katil.

"Kalau betul aku sewel..." Nasri melihat pergelangan tangannya.

"Kau kena tolong aku hentikan semua ni..." Nasri menoleh memandang Dahlia yang masih tidak berganjak.

Dahlia menarik nafas panjang. Kenapa dia begitu takut dan terkejut dengan keadaan Nasri sedangkan dia perlu bergembira dengan perubahan lelaki itu? Ini perubahan drastik yang tentu mengejutkan orang di sekeliling Nasri. Lebih-lebih lagi Datuk Azmi dan Datin Sarah.

"Kenapa sekarang? Kenapa sekarang baru awak nak bercakap? Kenapa bukan dari dulu lagi? Awak tahu kan awak dah berada dalam keadaan macam ni untuk berapa lama? Sudah hampir setahun." Dahlia melangkah setapak demi setapak. Dia berdiri di hadapan Nasri. Agak gementar tapi cuba dikawal sebaik mungkin.

"Sebab aku tunggu seseorang macam kau."

Dahlia berkerut.

"Maksud awak?"

"Seseorang yang aku boleh percaya. Seseorang yang sabar dengan aku. Bukan takut dengan aku. Seseorang yang aku rasa boleh bantu aku. Masa aku nampak kau tidur tadi, aku rasa aku boleh percayakan kau. Kau buat apa yang kau cakap walaupun sepatutnya kau jaga aku, bukan tidur." Dahlia terus meletakkan tangan di dahi Nasri. Masih lagi panas. Demam lelaki itu belum kebah sepenuhnya.

"Sorrylah. Saya tertidur. Bukan sengaja." Sengih Dahlia.

"Awak cakap awak tunggu seseorang macam saya. Seseorang yang awak boleh percaya. Percaya untuk apa? Kenapa awak nak cari orang yang boleh awak percaya? Lagi satu, nak saya bantu apa? Cuba awak terangkan kepada saya."

Nasri membaringkan tubuhnya semula lalu menutup mata. "Masalahnya, kau ni bising sangat. Banyak sangat soalan."

Dahlia mengetap bibir. Dia cakap aku bising? Dah dia tinggalkan soalan tak berjawab macam ni, macam mana aku tak bising? Ingat aku suka main teka-teki? Jawab kuiz bagai? Dah sah lelaki sewel... kutuk Dahlia dalam hati.

"Saya nak turun dulu. Nak ambil makanan tengah hari awak. Nanti saya berdiri lama-lama dekat sini, awak cakap saya bising pula," perli Dahlia.

"Nanti dulu." Dahlia memusingkan tubuhnya semula menghadap Nasri.

"Nak apa?"

"Apa yang berlaku dekat aku... Rahsia kita berdua. Janji dengan aku."

"Kenapa pula?" Baru sahaja dia mahu menghebohkan keadaan Nasri kepada Bibik Tini. Biar tercengang wanita itu mendengarnya. Malah dia sudah berhasrat untuk menelefon Datin Sarah dan Datuk Azmi bagi menyampaikan berita gembira mengenai Nasri. Tetapi, Nasri pula menghalangnya berbuat begitu. Atas alasan apa?

"Janji dengan aku. Ini rahsia kita berdua," arah Nasri lagi. Bersungguh dia meminta berita ini dirahsiakan daripada pengetahuan sesiapa.

"Masalahnya, beritahulah dulu... Kenapa kena rahsiakan? Bukan Datuk dengan Datin kena tahu hal ni ke?"

Nasri bingkas bangun. "Jangan beritahu sesiapa termasuk dia orang. Aku cuma harap kepada kau. Aku percaya dekat kau. So, please... Jangan beritahu sesiapa."

Berat untuk Dahlia bersetuju dengan permintaan Nasri. Tapi dia mahu mengetahui apa yang berlaku di sebalik kemurungan Nasri. Dan hanya dia seseorang sahaja yang mampu mengetahui segalanya dari mulut Nasri sendiri. Nasri mempercayai dirinya. Kalau Nasri berkehendakkan begitu, dia perlu menurut sahaja.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co