Bab 12
DAHLIA berselisih dengan kereta milik Datuk Azmi yang dipandu oleh pemandu peribadinya. Dia hanya mampu melambai ketika dihon secara tiba-tiba. Hatinya berkali-kali berdoa agar kereta Datuk Azmi tidak berhenti. Apatah lagi menanyakan soal Nasri Haikal. Belum hilang lagi rasa terkejut terhadap perubahan Nasri yang berlaku semalam. Takut berbual dengan Datuk Azmi, terlepas cakap pula mengenai Nasri. Dah naya! Habis janji yang diminta agar berita ini tidak dihebohkan. Silap-silap Nasri menoreh tangannya pula. Bukan boleh percaya sangat dengan perangai Nasri. Nasri masih belum berada dalam keadaan stabil pada pandangan Dahlia. Kelihatan masih lagi sewel.
Doa Dahlia tidak termakbul saat kereta milik Datuk Azmi serta-merta berhenti. Rasa seperti mahu memulas sahaja handle motosikalnya dan meninggalkan Datuk Azmi di tepi jalan. Tetapi, nampak kurang ajar pula. Sudah namanya majikan, takkan dia mahu berkelakuan begitu?
"Dahlia... On the way nak pergi rumah saya ke?" Sudah terang lagikan bersuluh... Takkan Datuk Azmi meminta pemandunya menghentikan kereta semata-mata menanyakan Dahlia soalan begini? Macam tak logik aje...
"Ya. Saya on the way nak pergilah ni. Datuk nak pergi ofis ke?" Dalam hati, Dahlia memarahi diri sendiri. Apa bezanya soalan Datuk Azmi kepada dirinya? Dua kali lima sahaja.
"Yes. Saya nak pergi ofis. Bulan ni saya dengan Datin mungkin sibuk sikit. Jadi, kalau ada apa-apa call kami," pesan Datuk Azmi. Dahlia mengangguk laju. Sekali lagi hatinya berdoa meminta Datuk Azmi beredar dengan segera. Dia mahu mengelak untuk berbual lama dengan Datuk Azmi.
"So far, Nasri okey?" Berderau darah Dahlia mendengar soalan Datuk Azmi. Dugaan betul bercakap dengan Datuk Azmi. Dugaan menahan sabar daripada menjelaskan apa yang berlaku mengenai Nasri Haikal.
Dahlia tersengih. "Okey. Dia okey aje."
"Dia tak behave bukan-bukan, kan?"
Dahlia mencubit paha sendiri supaya dirinya sentiasa berada dalam keadaan sedar.
"Tak. Tak okey." Senyum Dahlia. Senyuman yang dipaksa terukir.
"Dia tak okey?"
Dahlia tergamam. Dia ada cakap Nasri tak okey ke? Terlepas cakap tanpa dia sendiri sedar ke? Terbaik, Dahlia!
"Tak, Datuk. Dia okey. Tak behave bukan-bukan pun. Hesy, tengok jam ni... cepat betul masa berlalu. Nasri nak kena sarapan ni." Sengaja Dahlia mencari alasan.
Datuk Azmi turut melihat jam di tangan. "Saya pergi dulu, Dahlia. Ada apa-apa call saya, ya?"
Dahlia mengeluh lega. Dia menarik nafas sedalam mungkin saat kereta milik Datuk Azmi mula meluncur pergi. Kemudian Dahlia menghidupkan kembali enjin motornya yang terhenti. Dia menunggang motosikal sambil berharap agar tidak terserempak dengan Datin Sarah pula. Jika tidak, sekali lagi dia perlu berdrama.
Dahlia meletakkan sarapan di meja kopi. Semalam, sebelum pulang ke rumah, Dahlia sudah memeriksa keadaan Nasri. Suhu badannya sudah turun. Cuma masih lagi belum berada pada tahap suhu badan normal. Menu sarapan pagi ini Dahlia terpaksa masak sendiri. Dia menyediakan bubur untuk Nasri. Semalam Nasri meminta Dahlia buatkan bubur. Mentang-mentanglah lelaki itu sudah bercakap, ada sahaja kerenahnya. Tak pernah-pernah minta menu, sekarang sudah pandai nak demand bagai. Entah-entah, Nasri sengaja melakukan begitu kerana dia mahu melihat reaksinya? Ujian ketahanan buat dirinya ke?
"Nasri... Saya ada bawakan bubur. Awak tak nak sarapan?" Dahlia memandang Nasri yang duduk di lantai sambil bersandar di katil. Tiada jawapan daripada lelaki itu.
"Nasri... Awak dengar tak apa yang saya cakap? Awak tengok cermin tu macam nak tembus dah." Perlahan Dahlia berjalan mendekati Nasri Haikal. Melihatkan Nasri tidak menjawab pertanyaannya, Dahlia menyentuh lembut bahu Nasri. Dia ingin mengejutkan Nasri yang jauh mengelamun melihat dinding cermin yang berada di hadapannya.
"Kau nak apa?"
Kedengaran kasar sahaja bahasa Nasri di telinga Dahlia. Tersentak juga Dahlia mendengarnya. Tapi, apa yang Dahlia mampu buat... Dia hanya mampu bersabar.
"Saya ada bawa sarapan. Makanlah." Dahlia memusingkan badan. Dia mahu ke bilik air mengambil kotak rawatan.
"Dahlia..." Nasri memanggil.
"Sorry. Aku tak perasan tadi," ucap Nasri. Fikirannya melayang begitu jauh sehingga dia tak sedar realiti memanggil dirinya.
"Tak apa. Saya ambil kotak rawatan dulu." Dahlia terus berjalan ke arah bilik air. Dia mengambil kotak rawatan lalu melangkah keluar. Keluar sahaja dari bilik air, kelihatan Nasri Haikal sudah berubah tempat. Dia sudah duduk di atas sofa. Terus Dahlia menghalakan langkah ke arah sofa.
"Kau marah aku ke?" tanya Nasri selepas mendapati Dahlia mula mendekati sofa.
"Taklah. Nak marah kenapa pula?" Dahlia mula melabuhkan punggung.
"Marah sebab aku cakap kasar dengan kau."
Dahlia senyap. Mahu tak marah? Naik berasap telinga aku ni dengar kau cakap macam tu. Nasib baiklah kau ni merangkap status lelaki masih belum normal. Terpaksa buat bodoh ajelah... balas hati Dahlia.
"Kau tak beritahu sesiapa kan pasal aku?" Nasri menyoal.
"Awak cakap awak percaya dengan saya?" soal Dahlia. Semalam bersungguh kata mempercayai dirinya. Sekarang, tanya soalan berbau curiga pula.
"Aku belum sepenuhnya kenal kau. Nak letakkan kepercayaan sepenuhnya tu belum boleh lagi. Tapi, aku percayakan kau lebih daripada aku percayakan orang lain. Cuma aku takut kau tikam belakang aku."
"Saya tak beritahu sesiapa. Jangan risau. Saya tak tikam belakang orang lain. Nak bunuh, kena bunuh terus. Jangan seksa-seksa."
Nasri terkelip beberapa kali memandang Dahlia. Biar benar gadis yang duduk di sisinya ini? Cakap kedengaran seperti mafia pula. Nampak saja seperti Muslimah, tetapi hati rock kapak betul, desis hati Nasri.
"Sini, saya letak ubat." Dahlia mengambil tangan Nasri. Luka torehan yang hampir pulih sepenuhnya perlu sentiasa dipantau.
"Dah berapa lama kau jadi nurse?"
"Lima bulan."
Nasri tersenyum kecil. "Tak adalah lama sangat. Nurse junior rupa-rupanya kau ni."
Dahlia mencubit tangan Nasri. Tapi lelaki itu makin melebarkan senyumannya. Senyuman yang tampak begitu manis dipandang. Senyuman yang baru kelihatan di bibir Nasri semenjak Dahlia bekerja di sini. Ke mana senyuman itu menghilang selama ini? Kenapa membiarkan senyuman itu disembunyikan dengan kemurungan diri?
"Aku dah rasa sakitnya toreh tangan sendiri sampai aku tak rasa sakit bila kau cubit." Dahlia tergamam mendengar penjelasan Nasri Haikal.
"Masa awak toreh tangan awak... Awak tak rasa sakit ke?" Dahlia membalut pergelangan tangan kiri Nasri. Selepas ini, dia perlu merawat pergelangan tangan kanan lelaki itu pula.
"Kau tak fikir sakit, sebab kau fikir kau nak tamatkan kesakitan kau. Dekat sini." Nasri menyentuh dada kirinya.
"Dengan dekat sini." Nasri menuding ke arah kepalanya juga.
Dahlia menghentikan tangannya daripada terus membalut. Dia bertentang mata dengan Nasri Haikal.
"Apa yang awak buat ni, awak sedar tak selama ni?" Nasri mengalihkan pandangannya.
"Ada antaranya yang aku sedar. Dan ada ketikanya aku tak sedar."
"Masa bila yang awak sedar?"
"Sekarang."
"Jadi, masa bila yang awak tak sedar?"
"Sebelum ni." Dahlia menutup matanya seketika. Panas matanya melihat Nasri. Langsung tak menjawab soalan. Kenapa dia rasakan Nasri belum sepenuhnya mahu berkongsi masalah dengannya? Lebih teruk, Nasri seperti suka memutarbelitkan kenyataannya sendiri. Tetapi jika Nasri kata ada ketikanya dia sedar dan ada ketikanya dia tidak sedar, apa maksudnya itu? Adakah orang yang mengalami trauma kemurungan memang begitu? Ah! Aku pula yang stres!
"Ju, kau nak tahu cerita? Tadi dekat dalam bilik Doktor Ridzwan, aku dengar Doktor Ridzwan bertengkar dengan Doktor Anis. Sampai dekat luar pun boleh dengar." Juliana mengurut dada. Terkejut dengan kehadiran Syuhadah di kaunter. Tahu-tahu sahaja, Syuhadah sudah bersuara di sebelahnya.
"Kau ni, bagilah salam dulu. Terkejut aku. Lagi satu, jangan buat cerita," ujar Juliana.
Syuhadah sudah bercekak pinggang. Punyalah laju dia berlari ke kaunter untuk membawa berita, Juliana mengatakan dirinya menipu? Amboi... Sedap-sedap mulut aje.
"Mana ada aku buat cerita? Telinga aku ni awas lagi tau. Aku dengar dia orang bergaduh dalam bilik. Ada nama Dahlia lagi. Buat apa pula aku nak menipu?" jelas Syuhadah.
Juliana senyap. Bibirnya tertutup rapat. Bukan tertarik dengan cerita yang dihebahkan oleh Syuhadah. Dia cuma risaukan nama Dahlia yang turut dibangkitkan. Jika nama Dahlia menjadi topik antara Anis dan Ridzwan, kenapa mereka berdua bertengkar pula? Ada salah faham antara Dahlia dan Anis ke?
"Aku dengar dari mulut Doktor Anis, dia cakap dia nak berhenti kerja. Lepas tu aku dengar dia bertengkar pula dengan Doktor Ridzwan. Dahlia tu memang bawa masalah aje. Tak pasal-pasal Doktor Anis tu nak berhenti." Syuhadah berdiri sambil berpeluk tubuh.
Juliana pantas menepuk lengan Syuhadah. "Jangan nak tuduh Dahlia. Belum tentu lagi Dahlia jadi sebab Doktor Anis tu berhenti. Kau tak dengar cerita betul-betul. Jangan nak main tuduh aje."
Syuhadah menarik nafas panjang. Mendengar nama Dahlia, Juliana tidak senang duduk. Takut sangat Dahlia dituduh yang bukan-bukan. Padahal kalau Dahlia menjadi penyebab Anis berhenti kerja, memang masuk akal. Kalau bukan Dahlia, siapa lagi? Selama ini Anis tidak pernah menyatakan dirinya mahu berhenti kerja. Selepas kehilangan Dahlia, Ridzwan sering tiada di klinik. Sering keluar dan meninggalkan Anis menguruskan klinik keseorangan. Tentu Anis tertekan diperlakukan begitu sehingga memilih untuk berhenti kerja.
"Kau ada dengar ke daripada mulut Doktor Anis, cakap yang dia berhenti kerja sebab Dahlia?" soal Juliana. Dia mahu mendengar cerita berdasarkan fakta yang sahih. Bukan andaian semata-mata.
"Dia tak cakap pun... Aku dah tahu. Aku dengar Doktor Anis tengking Doktor Ridzwan, cakap pasal Dahlia," bela Syuhadah.
"Kau dengar apa masa tu? Kau dengar dia orang cakap apa pasal Dahlia?"
Syuhadah memilih untuk mendiamkan diri. Sejujurnya dia mendengar Anis menengking Ridzwan tentang Dahlia. Mengatakan Dahlia sukakan Ridzwan malah Anis turut mengatakan kenapa Ridzwan begitu bodoh dan ego. Itu sahaja. Itu yang dapat didengari dari luar bilik Ridzwan. Tiada pula pertengkaran tentang berhenti kerja. Tetapi Syuhadah mampu membuat konklusi sendiri. Juliana sahaja yang buta. Sayang sangat dengan Dahlia.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co