Truyen3h.Co

My Sewel Guy

Bab 13

karyaseni2u

Ridzwan menghentikan kereta yang dipandu sebaik keretanya memasuki pekarangan rumah. Dia mematikan enjin kereta lalu bersandar di kerusi dengan mata yang ditutup rapat. Tangannya beberapa kali memicit-micit kepala. Pening dengan pelbagai masalah dan urusan yang datang bertimpa-timpa. Cuma hari ini dia lebih tertekan. Pertengkaran dengan Anis tengah hari tadi menambahkan kusut di dalam kepalanya.

"Kau tahu tak apa masalah kau? Dahlia tu sukakan kau! Tapi, kau ni bodoh! Ego! Kenapa nak fikir pasal Aleesa lagi sedangkan dia dah lama tinggalkan kau? Kau tahu tak kau dah lepaskan peluang? Kalau kau tak buka hati kau untuk orang lain, sampai bila-bila kau tak boleh lupakan Aleesa."

Ridzwan menukar posisi tubuhnya pula. Dia membiarkan kepalanya terletak di stereng kereta. Bagi Ridzwan, cinta bukan senang untuk hadir. Dan cinta bukan senang untuk pergi. Banyak kenangan yang berlaku antara dirinya dan Aleesa. Memori itu bukan mudah untuk hilang begitu saja.

Pertengkaran itu tidak sepatutnya berakhir dengan teruk. Ketika Anis datang ke bilik bagi bertanyakan tentang hubungan Dahlia dan dirinya, Ridzwan sepatutnya tidak berterus terang dengan wanita itu. Dia hanya perlu meminta Anis untuk tidak masuk campur sahaja. Itu lebih baik daripada bertengkar untuk perkara kecil.

Sebenarnya Ridzwan faham apa yang dimarahkan oleh Anis. Dia marah kerana meletakkan Dahlia sama seperti dirinya juga. Sebagai kawan semata-mata. Tetapi Anis tidak boleh memaksa. Hatinya benar-benar mencintai Aleesa. Masih lagi mencintai dan akan terus mencintai wanita itu.

Ridzwan membuka pintu keretanya. Dia melangkah keluar lalu menutup pintu kereta. Semasa kepala berserabut begini, perkara terbaik yang boleh menghilangkan masalah adalah mandi. Berendam lama di dalam tab mandi. Memang itu yang akan dilakukannya setiap kali dilanda masalah. Dia memanjakan diri dan berfikir lama di dalam tab mandi.

Selesai menunaikan sembahyang maghrib, Dahlia keluar dari bilik kosong yang memang digunakan untuk menunaikan solat di kediaman Datuk Azmi. Dia tidak berjalan ke arah bilik Nasri sebaliknya dia turun ke tingkat bawah menuju ke ruangan dapur. Dia mahu mengambil makan malam buat Nasri dan mengisi perutnya juga. Semenjak bekerja di sini, belum pernah Dahlia terserempak dengan Datuk Azmi dan Datin Sarah melainkan waktu pagi. Ketika mereka bergerak ke pejabat. Jadual kerja mereka begitu padat sehingga sering balik lewat malam. Pernah juga Bibik Tini mengatakan mereka tidak balik ke rumah. Outstation katanya. Memang tak faham kerenah kehidupan orang kaya. Berlumba-lumba mencari kesenangan sehingga lupa dengan tanggungjawab terhadap anak sendiri. Kasihan, Nasri.

"Bik, malam ni masak apa?" soal Dahlia ketika sampai di meja makan. Kelihatan Bibik Tini sedang khusyuk menikmati makanan di hadapan mata. Langsung tak pelawa.

"Ringkas aja deh. Telur sama sayur." Dahlia mengangguk. Memang setiap kali makan malam, Bibik Tini akan masak menu ringkas sahaja. Kadangkala Bibik Tini panaskan makanan tengah hari sahaja. Bukan Datin Sarah dan Datuk Azmi akan makan di rumah. Sekadar mereka bertiga.

Setelah mengambil makanan di dapur, Dahlia kembali ke meja makan dengan membawa pinggan. Dia duduk di hadapan Bibik Tini. Dia mengisi perutnya dahulu sebelum membawa makan malam untuk Nasri.

"Bik, tanya sikit boleh?"

Bibik Tini mengangguk-angguk. Hendak menjawab, mulutnya penuh dengan makanan pula.

"Bibik dah kerja lama ke dekat sini?" Dahlia mula menyuap nasi ke dalam mulut selepas membaca doa makan.

"Sudah lama juga. Sudah lebih dua tahun," jawab Bibik Tini selepas menelan nasi yang dikunyah.

"Kenapa Datuk tak ambil pekerja lain? Bantu bibik? Tak penat ke buat kerja satu rumah ni?" Kalau Dahlia berada di tempat bibik, barangkali tinggal tulang sahaja. Tak ada tenaga nak kemas rumah besar ni setiap hari. Tu... Kolam renang dekat luar nak kena cuci lagi. Memang taklah... Penat!

"Penat juga. Tapi, nak buat bagaimana lagi? Dulu ada seorang lagi pembantu. Sekarang tinggal saya seorang. Datuk kata saya seorang bisa aje deh."

"Serius? Habis, kolam renang tu bibik kena cuci. Rumah hari-hari kemas. Tak penat ke, bik?"

"Biasa-biasa aja."

Dahlia melopong seketika. Biasa-biasa aja? Tahap mengemas rumah besar begini tiap-tiap hari, masak tiap-tiap hari, siram pokok bunga tiap-tiap hari dan cuci kolam renang dikatakan biasa-biasa aja? Jamu Indonesia apa yang bibik makan? Bertenaga sangat? Aku yang jaga Nasri ni pun, kalau balik rumah terus nampak katil. Dia yang dah berumur lewat 30-an itu pula yang lebih bertenaga. Rahsia kekal cergas ni...

"Kalau saya la, bik... Penat kerja macam bibik ni. Mesti dah pengsan. Silap-silap koma. Tak bangun-bangun. Hari-hari kemas rumah pula tu." Geleng Dahlia.

"Biasa-biasa aja. Saya bukan kemas rumah hari-hari."

"Tak kemas hari-hari?" Bersungguh Dahlia bertanya. Bibik Tini mengangguk sebelum menjawab.

"Setiap tiga hari saja saya kemas. Tidak susah mana."

"La, patutlah biasa-biasa aja. Kemas setiap tiga hari. Habis, kolam renang dekat luar tu... Bibik yang cuci ke?"

Bibik Tini menggeleng pantas.

"Bukan saya. Tukang cuci yang uruskan. Digajikan sama Datuk."

"Datuk panggil tukang cuci?" tanya Dahlia. Bibik Tini mengangguk perlahan.

"Ingatkan bibik ni Hulk. Kuat sangat tenaganya," omel Dahlia sendiri. Dia sambung menyuap nasi ke dalam mulut.

"Saya pula mahu tanya sama kamu." Bibik Tini menguis-nguis nasi di atas pinggan sambil memerhati Dahlia yang berada di hadapannya.

"Nak tanya apa?"

"Kenapa sih saya dengar kamu selalu bersuara di dalam bilik Nasri? Kelmarin ada juga. Hari ni saya juga dengar. Kamu bicara sama Nasri?"

Macam tak lepas pula nasi yang berada di dalam mulut untuk ditelan. Rasa seperti tercekik pun ada juga. Laju Dahlia meneguk air milik Bibik Tini. Dia terlupa membawa minuman sendiri dari dapur.

"Sorry, bik. Saya tercekik. Terlupa nak bawa air. Dah terpaksa minum air bibik," jelas Dahlia. Takut Bibik Tini menganggap dirinya kurang ajar pula.

"Jangan makan pantas. Makan perlahan-perlahan saja," bising Bibik Tini.

Dahlia mengangguk. Bukan masalah makan dengan pantas, tapi soalan bibik yang mengejutkan dirinya. Soalan cepumas mengenai Nasri. Jangan cakap yang bibik dengar suara Nasri sudah. Lagi gawat!

"Bibik ada dengar saya cakap dengan Nasri ke?"

Bibik Tini mengangguk. Dahlia mengajukan soalan lagi.

"Ada dengar suara orang lain ke?" Dahlia mula terasa debarnya. Mana tahu jikalau Bibik Tini mengatakan dia mendengar suara Nasri? Nak cakap apa dengan wanita itu? Nak ceritakan hal sebenar? Bagaimana pula janji antara dirinya dan Nasri?

"Suara siapa lagi? Suara kamu saja."

Perlahan Dahlia menghela nafas. Lega. Susah betul jaga rahsia Nasri. Dah macam menjaga rahsia kerajaan pula. Begitu sulit.

"Saya memang cakap dengan Nasri. Suka berbual dengan dia."

"Kenapa kamu bicara sama dia? Dia tidak akan bercakap sama kamu."

Dahlia tersenyum nipis. "Memanglah. Tapi tak salah bercakap dengan dia. Dia tak rasa sunyi."

Dahlia menghabiskan nasi di atas pinggan. Selesai makan, Dahlia pantas berdiri. Takut terlambat beri makanan kepada Nasri pula. Jam menunjukkan tepat pukul lapan malam.

"Lagi satu, bik... Bibik kan dah kerja dekat sini lebih dua tahun, kan?"

Bibik Tini mengangguk.

"Bibik tak pernah bercakap dengan Nasri ke sebelum ni?" soal Dahlia lagi sebelum menuju ke ruang dapur. Dia mahu mendengar dahulu jawapan wanita itu mengenai Nasri Haikal.

"Tidak. Nasri balik dari luar negara terus ke kampung. Selepas sebulan di kampung, dia terus datang ke rumah ini. Ketika itu, dia dibawa masuk dengan kerusi roda. Dia sudah cedera. Semenjak itu, dia tidak bisa bercakap sama sesiapa. Termasuk saya," terang Bibik Tini.

Kenyataan Bibik Tini membawa seribu satu pertanyaan kepada Dahlia. Dia tertanya-tanya tentang apa yang menimpa Nasri. Hendak tanya lebih-lebih kepada Bibik Tini, takut ada kesan sampingan pula yang menimpa dirinya nanti. Biarkan sahajalah. Jika masa mengizinkan, tentu Dahlia akan membincangkan topik ini semula. Kalau ditanya soalan ini kepada Nasri, rasanya lelaki itu akan menjawab soalan dengan tepat tak? Atau Nasri memilih untuk menyembunyikan perkara itu?

"Tengah tengok cerita apa?" Dahlia menutup pintu bilik Nasri Haikal. Nasib baik ada Bibik Tini dua puluh empat jam di rumah ni. Taklah takut sangat nak duduk di bilik Nasri setiap masa. Adakalanya, Dahlia risau juga berdua-duaan dengan Nasri di dalam bilik. Takut pihak dari jabatan agama menerjah mereka. Tapi, Datin Sarah sudah memaklumkan agar tidak perlu bimbang soal itu. Bibik Tini sentiasa ada di rumah. Malah tidak pernah berlaku sebarang kes sepanjang Nasri berkeadaan begini.

Dahlia meletakkan dulang di atas meja kopi kemudian duduk di hujung sofa. Nasri di hujung kanan dan dirinya duduk di hujung kiri.

"Cerita hantu."

Dahlia segera mengalihkan pandangan dari terus menonton TV selepas mendengar jawapan Nasri. Memang terbaik betul lelaki ini. Ada ke buka cerita hantu waktu malam begini? Dia tak tahu ke yang aku ni balik naik motor? Buatnya hantu tu bertenggek di belakang motor aku, tak ke naya? Astaghfirullah... Jauhkan, desis hati Dahlia.

"Tak ada cerita lain ke?" tanya Dahlia. Dia berpeluk tubuh dan memandang dinding di sebelah kiri. Sebelum Nasri mampu bersuara, Dahlia sering menonton TV sebelum balik ke rumah. Jadi, Dahlia akan menonton rancangan yang dia suka sahaja. Cerita hantu memang tak ada dalam senarai rancangan yang dia mahukan.

"Kau takut tengok cerita hantu ke?" soal Nasri. Dia melihat gaya Dahlia seakan-akan gadis itu takut untuk menonton cerita bergenre begini.

"Taklah takut sangat kalau tengok siang hari. Ini dah malam. Nanti saya nak balik seorang pula tu. Naik motor. Tentulah takut."

Nasri tersengih. "Bukan nurse yang jaga aku kena tinggal dekat rumah ni ke?"

"Saya lain sikit. Rumah saya dekat aje. Buat apa nak tidur rumah ni? Baik tidur rumah sendiri."

"Kalau takut tak payah balik. Banyak lagi bilik kosong dalam rumah ni. Tidur aje dekat mana-mana bilik yang kau nak," ujar Nasri. Dia kembali melihat kaca TV.

"Tak naklah. Saya nak balik." Dahlia menolak tawaran Nasri. Dia lebih selesa tidur di dalam bilik sendiri. Rumah sendiri. Ada keluarga yang menunggu dirinya. Berbanding rumah yang serba lengkap milik Datuk Azmi, Dahlia merasakan ada kurangnya juga. Sunyi. Terlalu sunyi.

"Suka hati kau." Nasri mengambil alat kawalan yang berada di sisi. Sengaja dia menaikkan suara TV di hadapannya itu.

Makin tak senang duduk Dahlia mendengar muzik menakutkan yang keluar dari TV. Tak cukup dengan muzik, kedengaran pula bunyi perempuan menangis begitu sayu. Kurang ajar betul Nasri ni. Sengaja nak menyakat dirinya.

"Perlahanlah sikit." Tak tahan Dahlia mendengar bunyi dari TV yang sekejap kuat dan sekejap perlahan itu.Irama yang selalu wujud setiap kali filem berunsurkan paranormal.

"Kalau aku perlahankan, tak thriller la cerita ni."

Dahlia menoleh ke arah Nasri secepat mungkin. Takut terpandang kaca TV pula.

"Awak sengaja nak kacau saya ke?" Berkerut Dahlia memandang Nasri.

Nasri turut menoleh ke arah Dahlia. "Aku ada kacau kau ke? Aku rasa... Aku tak ada sentuh kau langsung."

"Bukan kacau yang itu..."

"Habis, kacau yang mana satu? Banyak kali ke aku kacau kau?"

Dahlia merampas alat kawalan yang berada di tangan Nasri. Laju dia menekan punat berbentuk tolak. Dia perlahankan bunyi TV yang begitu kuat.

"Kacau macam ni. Kan saya cakap tadi, saya takut nak tengok. Awak sengaja kuatkan suara TV, kan?" marah Dahlia. Dahlia mengalih saluran rancangan lain. Biar dia pula balas dendam pula.

"Kenapa alih siaran lain? Kan aku tengah tengok cerita hantu tadi?"

"Saya nak tengok cerita lain. Awak tengok ajelah apa yang ada. Lepas saya nak balik nanti, awak bukalah cerita apa yang awak nak."

"Boleh pula macam tu..." Macam tak percaya saja Nasri melihatkan kerenah Dahlia. Dia melihat kaca TV yang memaparkan rancangan kartun dari saluran Cartoon Network.

"Cerita apa yang kau tengok ni?" Nasri mengelipkan mata beberapa kali ketika menatap kaca TV. Kartun anjing bergigi jarang bersama seorang lelaki tua. Kartun apa pula yang menjadi pilihan Dahlia ini? Menonton rancangan entah apa-apa.

"Cerita Courage The Cowardly Dog. Anjing tu namanya Courage. Nama dia aje Courage tapi penakut. Yang lelaki tua tu, tuan dia... Eustace. Dia tak sukakan Courage. Tuan dia yang perempuan tu, Muriel. Dia yang selalu backup Courage. Sayang dengan Courage ni." Senyum Dahlia. Beria-ia dia menceritakan watak di dalam rancangan kartun itu kepada Nasri. Dia mahu menghilangkan rasa takut terhadap cerita seram tadi.

Nasri tersenyum lebar. "Kau suka tengok cerita kartun ke?"

"Suka. Release tension. Awak pun patut cuba."

Nasri mengambil pinggan di atas dulang. Dia menikmati makanannya sambil menonton TV. Melayan cerita kartun anjing yang memang tampak begitu penakut.

Mendengar Nasri ketawa kecil walaupun untuk beberapa saat, senyuman Dahlia terukir. Setiap kali Dahlia memerhati Nasri, entah kenapa Dahlia merasakan Nasri sebenarnya seorang yang sangat sunyi. Bukan gila. Kesunyian yang sebenarnya memburukkan keadaan Nasri Haikal. Kalau tidak, Nasri tentu sudah lama pulih. Sembuh seperti orang lain.

"Nasri, saya nak tanya awak sikit... Boleh?" Dahlia mengajukan soalan. Kelihatan Nasri begitu fokus menonton TV.

"Ummm..." Nasri mengunyah perlahan. Dia tidak memandang Dahlia sebaliknya pandangan itu tidak beralih langsung daripada menonton TV. Rancangan kartun itu menarik perhatiannya pula. Sifat anjing yang begitu penakut membawa kelucuan dalam rancangan itu. Malah kekuatan melebihi seekor anjing juga turut membawa faktor jenaka.

"Awak nak suruh saya bantu awak. Tapi, awak tak cakap pun dengan saya. Nak bantu apa?"

Soalan Dahlia menyebabkan Nasri menoleh ke kiri. Dia memandang Dahlia yang masih setia duduk di hujung sofa.

"Aku perlukan masa dulu..." jawab Nasri.

"Masa untuk apa? Kalau awak terangkan dekat saya apa sebenarnya yang terjadi dekat awak, apa bantuan yang awak perlukan... Kan bagus?" pujuk Dahlia. Dia mahu melihat Nasri terus sembuh. Tetapi, proses itu memerlukan kerjasama daripada Nasri Haikal sendiri. Kalau Nasri asyik mengelak, takut keadaan Nasri bertukar pula.

Lama juga Nasri mendiamkan diri sebelum bersuara.

"Ubat yang kau selalu bagi dekat aku tu..."

Dahlia mengangguk. Kenapa dengan ubat tu? Laju Dahlia berdiri. Dia mengambil kotak ubat yang terletak di dalam laci rak di luar bilik Nasri Haikal.

Kemudian dia masuk semula ke dalam bilik dan melabuhkan punggung di atas sofa. Dahlia membuka kotak ubat di hadapan Nasri sendiri. Tersusun beberapa ubat. Ubat yang memang diberikan kepada Nasri semenjak Dahlia masuk bekerja di kediaman Datuk Azmi.

"Kenapa dengan ubat-ubat ni?" Sangsi pula Dahlia melihat ubat-ubatan yang berada di dalam kotak ini. Jika ditanya pendapat Dahlia, dia tidak merasakan ada sesuatu yang menghairankan pada ubat itu. Nampak sama seperti kali pertama Dahlia melihat setiap ubat yang ada di dalam kotak.

"Ada masanya, ubat tu akan ditukar."

Dahlia tersentak. Penjelasan Nasri begitu mengejutkan.

"Maksud awak?"

"Aku tak tahu... Tapi ada masanya, aku akan okey bila makan sesetengah ubat. Dan ada masanya, keadaan aku jadi teruk. Sampai aku buat macam ni..." Nasri menunjukkan pergelangan tangannya kepada Dahlia. Maksudnya, Nasri menoreh tangan sendiri dalam keadaan dirinya dipengaruhi ubat? Bermakna betullah firasat hatinya yang pernah disuarakan kepada Ridzwan. Mengatakan ubat yang diberikan oleh doktor psikiatri mungkin tidak sesuai.

"Sebab tu aku nak cari seseorang yang aku boleh percaya. Nak minta tolong cari info pasal ubat aku ni." Dahlia mengangguk-angguk. Kotak ubat yang dibuka, ditutup semula.

"Doktor psikiatri awak tu... Mungkin bagi ubat yang tak sesuai. Nanti saya tanya dengan Ridzwan," cadang Dahlia.

Nasri meletakkan pinggan di atas dulang semula. "Siapa Ridzwan tu?"

"Doktor Ridzwan la. Doktor Ridzwan bin Mokhtar. Dia kata dia dah lama kenal dengan keluarga awak. Awak kenal dia, kan?"

Nasri mengangguk perlahan. Kenal dengan orang yang dimaksudkan oleh Dahlia. Dia tidak begitu rapat dengan Ridzwan. Datuk Azmi dan Datin Sarah sahaja yang mempunyai hubungan rapat dengan lelaki itu.

"Nanti! Kau jangan beritahu dia juga."

"Kenapa pula?" Ridzwan sendiri sudah mengatakan jika Dahlia memerlukan sebarang bantuan, dia boleh mencari Ridzwan dan mendapatkan pertolongan lelaki itu. Tapi, Nasri menghalang pula. Atas alasan apa?

"Aku tak nak sesiapa tahu pasal hal ni dulu. Termasuk Ridzwan. Janji dengan aku. Hanya kau dengan aku aje yang boleh tahu pasal hal ni. Jangan beritahu sesiapa termasuk BFF kau," kata Nasri dengan tegas.

Dahlia menarik muka. "Tapi kenapa pula kena rahsiakan?"

"Sebab ni, fail sulit milik Nasri Haikal." Nasri senyum dan mengenyitkan sebelah matanya kepada Dahlia.

Dahlia bersandar di sofa. Main-main pula Nasri ni. Fail sulit milik Nasri Haikal konon. Agaknya kenapa Nasri memilih untuk merahsiakan daripada semua orang? Apa alasan sebenar Nasri? Takkan aku nak cari segala info pasal ubat Nasri dekat doktor lain? Ridzwan kan ada... Tak! Aku kena amanah. Sekurang-kurangnya aku boleh bantu Nasri. Tentu Nasri ada sebab tersendiri kenapa dia memilih untuk merahsiakan semua ni. Barangkali Nasri tak percaya dengan orang di sekeliling. Sudah tahu dengan reaksi mereka terlebih dahulu. Tentu Datuk Azmi dan Datin Sarah menganggap keadaan Nasri tidak akan berubah dan tidak mempercayai lelaki itu. Jika dia berada di tempat Nasri, entah apa yang Dahlia akan pilih. Merahsiakan semua ini atau tidak? Satu lagi, macam mana aku nak tanya doktor? Aku bukan dapat cuti melainkan hari Ahad. Bila masa aku boleh jumpa doktor untuk tanya ubat milik Nasri ni?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co