Bab 3
Seperti yang diminta oleh Puan Aina, Danish yang menghantar Dahlia ke tempat kerja. Bukan tempat kerja, tapi rumah mewah yang mampu menjadikan mata Dahlia membuntang mengamati kediaman itu. Dahlia membaca alamat yang berada di atas kertas sekali lagi. Kertas yang berada di tangan turut dihalakan ke arah Danish yang berada di sebelah.
"Abang long, betul ke alamat yang ditulis ni... Rumah ni?" tanya Dahlia. Danish yang tidak berganjak dari tempat duduk pemandu mengangguk laju.
"Betullah ni. Takkan sesat pula. Jalan dekat Melaka ni, abang long dah mahir sangat." Bangga Danish. Dia pernah bekerja sebagai delivery boy untuk restoran makanan segera. Memang setiap pelosok jalan berada di dalam genggamannya.
"Kaya betul bos Lia."
Dahlia senyap sahaja mendengar kata-kata Danish. Berdebar jantungnya memikirkan kenapa dia perlu berada di kediaman ini. Perbualan bersama Ridzwan semalam menimbulkan tanda tanya. Tampak lelaki itu mahu berahsia. Paling menghairankan, kenapa dia perlu bersiap bagai untuk ke rumah Ridzwan? Jangan-jangan...
Dahlia menggeleng-geleng. Mulalah fikirannya berfikir perkara yang bukan-bukan. Tapi, fakta yang tinggal menyebabkan Dahlia tidak mampu memikirkan alasan lain.
"Tak nak turun ke? Abang long nak pergi kerja ni," ujar Danish. Nak tunggu Dahlia berangan di dalam kereta, memang lambatlah dia masuk ke tempat kerja nanti.
"Abang long... Abang long rasa kenapa dia nak jumpa Lia? Kenapa nak Lia datang rumah dia?" Dahlia tidak mampu menyorokkan persoalan yang bermain dalam fikirannya. Dia perlukan jawapan dengan kadar segera.
"Manalah abang long tahu. Dia kan bos Lia. Adalah tu perkara yang dia nak bincangkan. Abang long dah lambat ni. Lia nak ajak berbual pula..." bising Danish lagi.
Dahlia menghulurkan salam kepada Danish. Dia keluar dari kereta kemudian melambai beberapa kali kepada Danish sebelum kereta Proton Saga Aeroback milik abangnya itu meluncur laju.
Berdiri di hadapan pintu pagar yang jauh lebih luas, Dahlia mula gementar. Dia cuba menenangkan hatinya sebaik mungkin.
"Assalamualaikum," ucap Dahlia. Senyap sunyi aje rumah ni? Tak ada orang ke?
"Assalamualaikum... Assalamualaikum." Dua tiga kali juga Dahlia memberi salam namun langsung tidak berjawab. Pintu pagar juga tidak bergerak. Tidak dibuka untuk dirinya.
Dahlia memandang jam di tangannya. Pukul 8.50 pagi. Hesy... Takkan nak menunggu tepat pukul sembilan pagi?
Dahlia mengambil telefon bimbit Samsung Galaxy Ace di dalam beg galasnya. Dia mencari nombor telefon Ridzwan. Sebaik jumpa, nombor milik lelaki itu didail segera.
"Assalamualaikum, doktor."
"Waalaikumussalam. Ada apa, Dahlia?"
Dahlia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dah sudah! Dia cakap ada apa? Maksudnya, dia tak ingat ke yang dia suruh aku datang rumah dia ni? Tak ingat arahan yang dia bagi semalam? Dasar pelupa!
"Doktor tak ingat ke? Semalam doktor yang suruh saya datang rumah. Saya ada dekat depan rumah doktor ni," terang Dahlia dari hujung talian.
"Depan rumah saya? Saya ada di dalam kereta ni. Tengah drive. Awak tunggu kejap." Ridzwan mematikan panggilan.
Dahlia menepuk dahi. Ke mana pula mamat ni keluar pagi-pagi? Joging ke? Tak pasal-pasal aku kena tunggu dia pula.
Lima minit kemudian, kereta berwarna biru berhenti di hadapan kediaman mewah itu. Ridzwan yang melangkah keluar dari kereta terus mendapatkan Dahlia. Peliknya, Ridzwan bukan berpakaian sukan tetapi seperti pakaian biasa dia ke klinik. Jadi, ke mana lelaki itu keluar pagi-pagi begini dengan berpakaian begitu kemas?
"Awal awak sampai?" Ridzwan tersenyum. Dia mengamati pakaian Dahlia yang tampak ringkas tapi manis dipandang.
Dahlia memandang tubuh sendiri. Blaus lengan panjang berwarna coklat paras paha, seluar jean dan tudung di kepala. Imej biasa yang sering dikenakan setiap kali dia berjalan keluar. Mungkin Ridzwan jarang melihat dirinya memakai pakaian begini melainkan uniform klinik. Sebab itu Dahlia rasa janggal membiarkan dirinya diperhatikan oleh Ridzwan.
"Kenapa saya kena datang sini?"
Ridzwan tersentak dengan soalan Dahlia. Dia ketawa kecil sebelum menekan loceng rumah. Dibunyikan beberapa kali.
"Kenapa bunyikan loceng? Ini bukan rumah doktor ke?" Hairan Dahlia.
Ridzwan mengeleng. "Bukan rumah saya."
"Habis rumah siapa?"
"Datuk Azmi."
Dahlia tercengang. Datuk Azmi? Siapa pula lelaki itu? Kenapa dia dan Ridzwan perlu berada di sini?
"Kenapa doktor tak terus terang aje dengan saya? Saya peninglah. Perkara apa yang penting sangat?"
Ridzwan hanya tersenyum lagi. Dahlia pula sakit hati. Memang senyuman Ridzwan sedap mata memandang, tapi dalam keadaan begini, naik pedih pula matanya melihat. Beria-ia nak berahsia. Ingat aku apa?
Pintu pagar besar yang tertutup rapat mula terbuka luas. Ridzwan berjalan masuk ke dalam rumah. Dahlia hanya mengekori rapat. Entah apalah yang dia perlu buat di sini. Apa kena-mengena dirinya dengan Datuk Azmi?
"Doktor Ridzwan. Mahu ketemu sama Datin?" sambut seorang wanita warga Indonesia saat mereka berada di pintu hadapan rumah.
"Ya. Datuk ada di rumah?"
"Masih ada, doktor. Doktor duduk dulu saja, saya permisi dulu. Panggil Datin sama Datuk," ujar wanita itu.
Ridzwan menunjukkan sofa empuk berwarna emas meminta Dahlia duduk bersamanya. Dahlia tidak menolak. Dia duduk walaupun dalam keadaan tertanya-tanya dengan situasi yang berlaku.
"Apa kita buat dekat sini, doktor?" bisik Dahlia.
"Kerja." Makin berkerut Dahlia mendengar jawapan ringkas Ridzwan. Kerja? Kerja apa?
"Kerja apa dekat sini?"
"Ridzwan! Awal sampai?"
Dahlia terkejut dengan kehadiran seorang lelaki bersama seorang wanita yang tidak dikenalinya. Ridzwan berdiri. Dahlia tidak terkecuali. Dia berdiri sama.
"Yes. Seperti yang saya janjikan." Ridzwan bersalam dengan Datuk Azmi dan Datin Sarah.
"Datuk, kenalkan... Ini Dahlia. Dahlia, kenalkan... Ini Datuk Azmi dan Datin Sarah." Dahlia menyambut salam wanita yang digelar Datin itu.
"So, inilah nurse baru untuk Nasri?" soal Datin Sarah. Dahlia kelu untuk bersuara. Dia tidak faham langsung dengan apa yang dibincangkan ketika ini. Siapa gerangan Nasri?
"Ya." Ridzwan mencelah.
"Great. Nanti you beritahulah apa yang penting kepada dia."
Ridzwan mengangguk-angguk.
"Actually, we are having breakfast... You guys boleh join sekali," pelawa Datuk Azmi.
"Saya nak bercakap dengan Dahlia. Datuk dan Datin boleh breakfast dulu."
"Okey. Saya dengan Datuk pun nak keluar pergi ofis. You terangkanlah apa yang patut dekat dia."
Ridzwan mengangguk lagi. Kemudian Datuk Azmi dan Datin Sarah meninggalkan mereka di ruang tamu.
Hilang sahaja kelibat mereka, Dahlia terus bersuara. "Apa yang dah jadi ni? Apa pasal saya kena kerja dengan dia orang? Kenapa saya? Kenapa nak berahsia? Kenapa tak terangkan awal-awal?"
"Sabar. Saya terangkan dekat awak. Relaks."
Relaks? Naik berasap kepala aku ni. Pening ada. Pelik ada. Marah ada. Semua sekali dalam satu masa. Kau boleh kata relaks? Nasib baik hati aku ni dah tangkap cintan dengan kau. Kalau tak, tak ada maknanya aku nak relaks! kutuk Dahlia dalam hati.
Dahlia menghempaskan badan di sofa sambil menanti keterangan daripada Ridzwan.
"Awak notice kan, saya tak masuk klinik untuk seminggu?" Dahlia senyap. Nak mengangguk pun dah tak ada mood. Geram punya fasal.
"Saya handle kes anak Datuk Azmi. Nasri Haikal. Dia ada masalah sikit. Dia menghidap trauma kemurungan. Tahap bahaya di mana dia mencederakan diri sendiri. Untuk seminggu ni, keadaan dia bertambah parah. Jadi, saya terpaksa rawat dia." Dahlia angkat muka memandang Ridzwan yang berdiri di hadapannya.
"Trauma kemurungan? Bukan dalam bidang doktor, kan? Kenapa tak letakkan dia dekat hospital mental?" Ridzwan duduk di sofa. Penat berdiri bagi menjelaskan kepada Dahlia.
"Dia bukan gila. Lagipun Datuk memang nak letakkan dia di rumah. Dia memang hanya berkurung di dalam bilik. Faktor nama yang perlu dijaga. Awak faham, kan?"
Dahlia mengangguk lemah. Hanya kerana bapanya memegang status Datuk, anak yang sakit terima padahnya. Tentu Datuk Azmi takut orang mengatakan anak lelakinya gila. Sebab itu Datuk Azmi terpaksa mengambil jalan bagi mengurung Nasri.
"So, saya nak awak jadi private nurse untuk dia. Gaji awak sekali ganda daripada apa yang awak dapat sebab awak bekerja under Datuk." Ridzwan cuba menawarkan syarat yang sukar ditolak. Gaji. Bayaran yang lebih besar daripada apa yang diperolehi ketika ini.
"Saya tak tahu apa nak buat. Saya tak tahu nak jaga orang macam dia. Ini bukan bidang kerja saya."
"Tak ada apa yang berubah. Sama aje. Provide ubat... Nanti saya bagi description. Always bagi on time. Lepas makan tengah hari and dinner. Rawat luka dia. Make sure dia ambil every meal. That's it." Dahlia mengetap bibir. Dengar penjelasan Ridzwan seperti senang sahaja.
"Ubat yang disediakan bukan datang daripada saya tapi daripada doktor peribadi sendiri. Doktor psikiatri yang Datuk upah untuk Nasri. Nanti saya bagi maklumat pasal dia. So, apa-apa pasal ubat, awak boleh contact dia."
"Saya tak kata saya setuju..."
"Awak tak nak ke?" Ridzwan mengangkat kening sebelah. Berat Dahlia mahu menjawab. Tawarannya mengaburi matanya.
"Kalau tak nak, saya terpaksa cari nurse lain. Mungkin Syuhadah ke, Khaleeda ke..." Ada beberapa orang lagi jururawat di kliniknya yang boleh menggantikan Dahlia. Tapi, dia berharap Dahlia menerima kerja yang ditawarkan. Sikap prihatin Dahlia terhadap pesakit membuatkan Ridzwan sendiri tertarik untuk mencalonkan gadis itu.
"Saya nak..." Perlahan Dahlia bersuara.
"Bagus. Awak kena stay sini. So, awak kena bawa pakaian awak. Esok boleh start kerja." Dahlia mengangkat kedua-dua belah tangan. Nanti dulu! Bawa pakaian? Kena tinggal di sini? Itu termasuk dalam terma dan syarat pekerjaan yang ditawarkan ke?
"Saya kena tinggal di sini? Tak boleh ulang-alik dari rumah?"
"If you insist nak balik... masa penjagaan Nasri bermula dari pukul sembilan pagi sehingga sepuluh malam. Awak sanggup?"
Pergi kerja pukul sembilan pagi dan balik kerja pukul sepuluh malam? Satu jangka masa yang lama berbanding waktu kerja di klinik.
"Cuti?"
"Awak kena minta cuti sendiri dengan Datuk and Datin. But dia orang always busy. Kalau dapat cuti maybe hari Ahad. Bergantung kepada mereka."
Waktu kerja yang dikenakan seperti memenatkan dirinya. Memang mendengar penjelasan tentang penjagaan Nasri begitu senang. Tapi apabila difikirkan semula, umpama tidak berbaloi pula.
"Kalau awak nak, saya boleh cakap dengan Datin. Apply cuti awak setiap hari Ahad."
Dahlia hanya meleretkan senyumannya. Dia tidak mengangguk atau menggeleng. Berbelah bagi hatinya untuk bersetuju mengambil peluang pekerjaan ini. Takut ibu atau Danish bising nanti. Jadual waktu kerja yang terikat mungkin akan menjadi faktor utama mereka untuk menghalang Dahlia daripada bekerja di kediaman Datuk Azmi.
"I wish... awak boleh kerja dekat sini. Sebab saya dah lama kenal dengan keluarga Datuk. Saya tak sampai hati nak tolak permintaan mereka. Nasri perlukan penjagaan daripada seseorang. Kalau awak perlukan apa-apa, saya sedia bantu awak."
Lagi serba salah Dahlia mendengar harapan setinggi gunung yang terselit pada kata-kata Ridzwan. Serius, dia tidak mampu menolak permintaan lelaki itu. Tension!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co