Bab 4
"Assalamualaikum," ucap Darwisy. Pintu jeriji dan gelangsar hadapan rumah ditolak. Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, dia terus mengunci pintu jeriji. Pintu gelangsar hanya dibuka kecil. Sebelum keluar rumah tadi, rasanya pintu rumah sudah berkunci. Siapa pula yang berada di rumah ketika ini?
"Lia tak pergi kerja?" soal Darwisy sebaik melihat tubuh adiknya bersandar di sofa. Bukan Dahlia sepatutnya berada di klinik? Bekerja? Ini tak, seronok sahaja menonton rancangan kartun di TV.
"Lia cuti hari ni."
Darwisy berjalan ke arah sofa. Dia melabuhkan punggung di sebelah Dahlia.
"Abang ingatkan Lia pergi kerja." Memandangkan Darwisy bekerja sebelah malam, dia lewat bangun pagi tadi. Tahu-tahu sahaja hanya tinggal Puan Aina seorang diri di rumah. Tiada pula kelibat Dahlia. Jika bukan pergi bekerja, ke mana gadis itu pagi tadi? Bukan Danish menghantar Dahlia ke tempat kerja?
"Lia pergi mana pagi tadi?" soal Darwisy.
"Ada hal dekat luar. Settlekan masalah bos Lia."
Darwisy senyap. Tentu gadis itu diberikan cuti kerana menguruskan masalah majikannya.
"Ibu mana?" Dahlia melentokkan kepalanya di bahu Darwisy. Sengaja mahu bermanja dengan abangnya itu. Ketika dia pulang dari kediaman Datuk Azmi, pintu rumah mereka berkunci. Tiada seorang pun berada di rumah. Nasib baik ibu sering mengingatkan tentang kunci pendua yang diletakkan di bawah pasu kecil. Kod rahsia yang hanya penghuni rumah sahaja yang tahu.
"Abang hantar ibu pergi pasar. Lepas tu abang pergi hantar motor Lia dekat bengkel. Kejap lagi abang pergi ambil ibu. Ibu cakap, nanti ibu call kalau dah siap belanja."
"Abang Arwi dah hantarkan motor Lia?"
Darwisy mengangguk. "Dah. Dah tukar tayar dah."
"Abang Arwi sorong pergi bengkel ke?"
"Yalah. Takkan abang nak angkat motor pula. Manalah abang larat."
Dahlia tersenyum lebar. Nak harapkan Danish, hanya berjanji sahaja.
"Terima kasih."
"Sama-sama." Darwisy mencubit pipi Dahlia. Adik perempuannya itu membiarkan sahaja kelakuannya. Dahlia kembali tekun menonton kartun span kuning berbentuk segi empat. Suka betul Dahlia menonton rancangan kartun. Seperti yang selalu Dahlia katakan, tengok kartun adalah terapi yang bagus untuk dirinya menghilangkan stres.
Fikiran Dahlia pula melayang memikirkan tentang tawaran kerja di rumah Datuk Azmi untuk menjadi jururawat peribadi anak lelakinya, Nasri Haikal. Sebelum balik ke rumah, Ridzwan ada memberikan fail yang mengandungi beberapa maklumat tentang penjagaan Nasri. Aturan ubat, jadual makan dan segala info yang diperlukan tentang Nasri Haikal. Diambil juga fail yang dihulurkan. Ridzwan ada mengatakan tentang keputusan yang perlu dibuat dengan kadar segera. Jika Dahlia tidak boleh menerima tawaran kerja ini, Ridzwan perlu mencari pengganti lain secepat mungkin.
"Abang Arwi... Lia ada benda nak bincang dengan abang." Dahlia menegakkan kepalanya. Dia bersila di atas sofa sambil menghadap Darwisy. Dia ingin mendengar pendapat Darwisy jika abangnya itu berada di tempatnya.
"Apa dia?"
"Doktor klinik tempat Lia kerja tu suruh Lia kerja jadi private nurse dekat rumah Datuk Azmi..."
"Datuk Azmi?" Mata Darwisy terbeliak. Terkejut betul mendengar nama Datuk. Kenal ke?
"Datuk Azmi Yusoff?" Darwisy minta kepastian.
"Ya kut. Kenapa?" Hairan Dahlia.
"Dia businessman terkenal. Syarikat dia ada banyak cawangan di Malaysia. Abang pun pernah apply kerja di syarikat Datuk sebelum sambung belajar. Tapi tak dapat."
Dahlia memuncungkan bibir. Kenapa dia tidak mengenali Datuk Azmi jika Darwisy mengatakan lelaki itu terkenal? Syarikat dia juga, Dahlia tidak tahu-menahu.
"Untunglah Lia dapat kerja dengan dia. Nanti abang boleh minta Lia rekomen abang dekat Datuk. Boleh bekerja dekat syarikat dia." Kenyataan Darwisy seakan-akan tidak membantu.
"Wait... Private nurse? Dia sakit ke sekarang?" Darwisy kembali ke tajuk utama. Takut menyimpang pula topik yang mahu dibincangkan oleh adik bongsunya itu.
"Bukan private nurse untuk Datuk."
"Jadi, untuk siapa?"
"Nasri Haikal. Anak dia."
Darwisy mengangguk perlahan. Dia tidak kenal pula dengan salasilah keluarga Datuk Azmi. Dia hanya mengetahui tentang kejayaan perniagaan syarikat milik Datuk Azmi itu sahaja.
"So, apa masalah Lia? Apa yang nak dibincangkan dengan abang?" Setakat yang dia dengar dari mulut Dahlia, belum ada sebarang masalah yang perlu dibincangkan atau diselesaikan. Semua yang dikatakan hanya fakta yang boleh didengari sahaja.
"Waktu kerja dia dari sembilan pagi sampai pukul sepuluh malam. Ahad cuti." Dahlia melihat muka Darwisy yang tampak tenang. Tidak terkejut dengan waktu kerja yang dinyatakan.
"Gaji yang dia bagi?"
"Dua ribu dua ratus. Doktor Ridzwan kata Datuk tawarkan sekali ganda daripada gaji Lia."
"Baguslah. Apa masalahnya lagi? Opportunity bukan selalu datang. Kalau Lia tak nak, rekomenkan abang." Sengih Darwisy walhal tahap pengetahuan dirinya dalam bidang perubatan berada pada skala bawah. Bagaimana nak menggalas tanggungjawab sebagai jururawat peribadi untuk anak Datuk Azmi? Belum sampai sehari, dah kena pecat nanti.
"Seriuslah Abang Arwi." Dahlia menggoyangkan tangan Darwisy.
"Abang seriuslah ni. Lia nak cakap apa? Waktu kerja dia panjang? Lia... Abang pernah kerja lebih lama daripada waktu tu. Dengan gaji yang sikit. Tak sampai seribu dua ratus pun. Lia kira beruntung tau. Abang tak rasa waktu kerja jadi satu masalah. Jauh sangat ke rumah dia dari sini?"
"Lima belas atau dua puluh minit dari rumah kita."
"Okeylah tu."
Dahlia senyap. Pendapat daripada Darwisy mengatakan tawaran kerja ini perlu diambil malah dikatakan cukup beruntung pula. Walaupun dengan waktu kerja yang panjang, dia diberikan gaji yang tinggi. Apa masalahnya lagi?
Darwisy mengusap kepala Dahlia beberapa kali. "Lia kena pandai ambil peluang. Pandai bersyukur dengan apa yang ada. Manusia kalau boleh nak semuanya sempurna... Tapi kita kena sedar yang kita sendiri tak sempurna. Jadi, belajar bersyukur. Okey?"
Lama Ridzwan berendam di dalam tab mandi. Sudah setengah jam. Dia selesa terbaring di dalam tab mandi sambil mendengar lagu klasik yang didendangkan melalui iPodnya. Lagu Michael Learn to Rock yang berjudul You Took My Heart Away sering menjadi pilihan Ridzwan. Adakalanya lagu itu diulang berkali-kali.
"You took my heart away,
When my whole world was gray,
You gave me everything,
And a little bit more,
And when it's cold at night,
And you sleep by my side,
You become the meaning of my life..."
Kedua-dua belah mata Ridzwan tertutup rapat. Waktu paling tenang buat Ridzwan adalah ketika ini. Saat dia dapat memanjakan diri sendiri. Kalau tidak, jadualnya begitu padat hingga waktu untuk berehat pun tak ada. Jadi, dia perlu memanfaatkan masa yang begitu berharga.
Fikiran Ridzwan melayang mengingatkan SMS yang dihantar oleh Dahlia saat dia balik dari klinik.
Salam, doktor. Saya terima tawaran doktor. Esok saya akan mula kerja. Seperti yang doktor cakapkan, saya boleh harapkan doktor kalau saya perlukan bantuan. Jadi, saya harap doktor tak lupa... dan saya harap saya dapat jumpa doktor lagi.
Ridzwan tersenyum lebar. Lega dia membaca SMS yang diterima. Memang dia tidak salah memilih Dahlia. Dia tahu gadis itu tidak akan menolak walaupun jauh di sudut hatinya masih ada kesangsian. Sebelum Dahlia, ada juga beberapa orang yang pernah menjadi jururawat peribadi buat Nasri Haikal. Tapi, semuanya tidak bertahan lama. Bagi Ridzwan, dia seperti mengetahui kenapa Dahlia sanggup menerima tawaran yang diberikan. Kali ini, fikirannya melayang lebih jauh...
"Wan, aku nak cakap sikit." Doktor Anis yang turut bekerja di Klinik Harmoni tekun memandang dirinya.
Ridzwan mengangkat muka. "About what?"
"Dahlia." Nama yang meniti keluar dari mulut Anis membuatkan Ridzwan tidak mampu meneka topik yang cuba dikatakan. Kenapa pula dengan Dahlia? Hendak membincangkan soal kerja gadis itu? Setakat ini, prestasi Dahlia agak memberangsangkan. Sekadar satu dua kesalahan tidak membawa masalah kepada Ridzwan.
"Kenapa dengan Dahlia?"
"Kau ada affair dengan dia ke?"
Tersengih Ridzwan mendengar tuduhan Anis. Dia dan Anis sudah berkawan lama. Sejak di universiti lagi. Ketika Ridzwan nekad membuka klinik, Anis diberikan tawaran oleh Ridzwan untuk bekerja di bawah satu bumbung. Patutnya Anis lebih memahami soal isi hatinya. Sudah namanya kawan baik. Jadi, kenapa Anis dengan senang mengutarakan tuduhan sebegitu?
"Mana ada. Siapa yang cakap?" ujar Ridzwan. Masih tersengih.
"Tak ada siapa yang cakap. Aku aje yang nampak."
Ridzwan menyandarkan badannya. Dia menguntumkan senyuman kepada Anis.
"Well, apa yang kau nampak salah. Sebab aku dengan dia memang tak ada apa-apa hubungan pun."
"Susah aku nak percaya. Kau layan dia tak sama macam kau layan pekerja lain." Bersungguh Anis membela tuduhannya.
"Sebab dia jenis perempuan yang fun to be around. Sebab tu kau nampak aku rapat dengan dia berbanding pekerja lain. Aku suka kawan dengan dia," jujur Ridzwan menjawab tentang perasaannya. Sifat bersahaja yang dimiliki oleh Dahlia membuatkan Ridzwan lebih gemar mendekati gadis itu.
"Be careful... Aku takut dia end up sukakan kau. Kau mungkin anggap macam kawan, tapi perasaan dia... Kau tak tahu."
Ridzwan membuka matanya. Dia membuang pandangan dengan melihat dinding bilik air. Perbualan antara dirinya dan Anis masih segar dalam ingatan meskipun sudah berlalu beberapa hari. Kerana perbualan itu juga, Ridzwan banyak memikirkan tentang Dahlia. Sehingga hari ini. Dan untuk kali pertama dia merasakan sesuatu ketika memandang Dahlia semalam. Seolah-olah perasaan gadis itu mudah dibaca. Entahlah...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co