Bab 5
Dahlia menghentikan motor skuternya di hadapan pintu pagar besar milik kediaman mewah Datuk Azmi. Malam semalam, Dahlia telah berbincang bersama ibu dan Danish sebelum perbincangan itu berakhir dengan keizinan daripada mereka. Dahlia diingatkan supaya menjaga diri sebaik mungkin. Tidak melencong ke tempat lain ketika pulang dan sebagainya.
Dahlia masih lagi berdiri di hadapan pintu pagar.Kali ini dia tidak berteriak memberi salam. Buat hilang suara saja. Dahlia membunyikan loceng beberapa kali. Melihat pintu pagar besar itu terbuka secara automatik, Dahlia memulas handle motornya.
Dia memarkir motor bersebelahan kereta Mercedes Benz milik Datuk Azmi. Berkali-kali kepalanya menoleh ke kiri dan ke kanan. Memandang kereta Mercedes milik Datuk Azmi dan mengamati skuter miliknya. Macam tak setaraf sahaja nak diparkir bersebelahan. Lantas Dahlia menghidupkan semula motosikalnya lalu diparkir sedikit jauh dari deretan kereta milik Datuk Azmi. Kalau boleh, mahu sahaja motornya diletakkan di luar. Tapi, takut hilang pula.
"Sini pun okeylah." Kunci motor ditarik selepas meletakkan motornya di tempat yang memuaskan hati. Dahlia membuka helmet. Tudung dan blaus yang dipakai, dibetulkan. First impression sangat penting bagi Dahlia. Jadi, dia tidak mahu nampak selekeh di mata keluarga Datuk Azmi.
"Nervous... Seriously nervous..." Dahlia bersuara sendiri. Tak semena-mena dia membuat lompat bintang beberapa kali di luar rumah. Sengaja membuang perasaan gemuruh daripada menguasai diri.
"Awak buat apa?" Hampir terjatuh Dahlia saat mendengar suara yang datang dari arah pintu hadapan rumah. Boleh pula dia terkinja-kinja di hadapan pintu rumah Datuk Azmi. Gemuruh punya fasal.
"Senaman ringkas," jawab Dahlia sambil tersengih.
"Kenapa tak masuk? Saya dengar motor awak dari luar. Tapi, awak tak masuk lagi. Ingatkan awak buat apa. Rupa-rupanya tengah bersenam." Datin Sarah senyum. Cantik betul wanita itu. Penuh dengan gaya elegan. Sejak kali pertama jumpa lagi Dahlia menyukai wanita itu. Ingatkan anak sulung kepada Datuk Azmi, rupa-rupanya isteri Datuk Azmi sendiri. Tampak ada jurang di sebalik umur mereka. Agak jauh. Tak sama seperti jurang umur antara dirinya dan Ridzwan. Lapan tahun jaraknya. Tapi, apa yang ada pada angka? Sekadar usia semata-mata.
"Saya nak masuk. Tapi nervous pula. Itu yang melompat dekat luar. Ingatkan tak ada orang yang perasan," terang Dahlia tanpa segan. Dia selesa berbual dengan Datin Sarah.
"Nak nervous apanya? Masuklah. Lain kali, tak payah nak bersenam dekat luar. Terus masuk aje. Saya dah beritahu bibik pasal awak." Dahlia mengangguk faham. Dia mengekori Datin Sarah masuk ke dalam rumah. Memandangkan ini hari pertama kerja, agak sukar untuk Dahlia menyesuaikan diri. Perlu mengambil masa. Lokasi bilik dan ruangan yang terdapat di kediaman mewah ini juga perlu dihafal.
"Jom, saya tunjukkan awak ruang yang ada di dalam rumah ni," pelawa Datin Sarah. Dahlia sekali lagi mengangguk. Dari dapur sehingga ke ruang rehat ditunjukkan oleh Datin Sarah kepada Dahlia. Kolam renang di luar pun turut ditunjuk sekali. Mungkin dia faham keadaan Dahlia yang tidak biasa dengan suasana rumahnya ini.
"Okey, sekarang awak dah tahu, kan?" ucap Datin Sarah sebaik lawatan dari satu ruang ke satu ruang selesai.
"Bilik Nasri Haikal?"
Datin Sarah tersenyum nipis.
"Bilik dia dekat tingkat dua. Hujung sekali. Pintu berwarna hitam. Maaflah, saya tak boleh nak tunjukkan semua bilik. Saya ada kerja." Memang masih ada lagi beberapa bahagian rumah yang tidak ditunjukkan. Jika dia menunjukkan kesemua sekali, mungkin hari ini dia akan lewat masuk ke pejabat.
"Tak apa... Saya faham." Yakin Dahlia. Takkanlah di dalam rumah pun boleh sesat? Buat malu aje. Lagipun bibik warga Indonesia tu kan ada. Pandailah aku menyoal siasat dia nanti. Jangan tak faham sudah. Macam seorang cakap bahasa itik, seorang cakap bahasa ayam.
"Awak tahu prosedur jaga Nasri, kan? I mean medicine dia dan makanan yang dia perlu ambil. Ridzwan ada beritahu, kan?"
Dahlia menepuk beg sandang yang melilit tubuhnya. Segala informasi melibatkan Nasri Haikal ada tersimpan di dalam beg miliknya itu. Ada yang terlebih dahulu difahami supaya senang menguruskan penjagaan Nasri.
"Saya ada segala info pasal dia di dalam beg ni. Insya-Allah tak ada apa-apa." Dahlia memastikan.
"Good. Oh ya, Ridzwan ada cakap pasal cuti hari Ahad. Saya luluskan. Cuma kalau ada cuti emergency, saya harap saya well informed terlebih dahulu," pesan Datin Sarah lagi. Dahlia hanya mampu mengangguk sahaja.
"Actually husband saya pun nak jumpa awak, but dia sibuk. Awal lagi dia dah pergi ofis. Sepatutnya saya pun sibuk. So, jangan segan-segan. Buat rumah ni comfortable as your house. Kalau ada apa-apa, saya ada tinggalkan nombor pejabat and nombor handphone dekat peti sejuk."
Dahlia mengangguk lagi seperti burung belatuk. Dia melihat sahaja Datin Sarah meninggalkan ruang tamu. Hilang kelibat Datin Sarah, Dahlia melangkah ke ruang dapur. Di dalam jadual, tertulis tentang penjagaan Nasri yang bermula dengan sarapan. Jadi, dia perlu dapatkan sarapan untuk Nasri Haikal.
Tiba di ruang dapur, Dahlia terus mendekati pembantu rumah warga Indonesia itu.
"Bik... Saya Dahlia. Nurse untuk Nasri." Dahlia mengenalkan diri kepada Bibik Tini yang sibuk mencuci pinggan. Senang untuk dia menjalankan kerja di belakang hari.
"Ya. Saya sudah kenal. Datin sudah beritahu namanya. Saya, Bibik Tini."
Dahlia tersenyum kecil. Setakat ini, tidak pekat sangat loghat Indonesia yang digunakan dan masih boleh difahami. Mungkin wanita di hadapannya ini sudah lama bekerja di Malaysia.
"Saya nak ambil sarapan untuk Nasri. Ada tak?"
"Bukan kamu mampu bikin sendiri?"
Tercengang Dahlia mendengar kata-kata Bibik Tini. Bikin sendiri? Aku kena buat sarapan untuk Nasri? Mana ada tulis di dalam jadual. Ridzwan pun tak ada cakap apa-apa.
"Saya cuma pastikan Nasri makan sarapan. Bukan buatkan sarapan untuk dia."
"Saya bisa buat... Tetapi kamu sudah diambil bekerja untuk Tuan Nasri. Segala hal Tuan Nasri, kamu urus sendiri."
Menyirap darah Dahlia mendengar kenyataan Bibik Tini ni. Nak aniaya aku pula. Tak ada Datin Sarah, nak tunjuk lagak dengan aku. Sabar... Sabar. Tak salah kalau aku nak buatkan sarapan untuk Nasri. Daripada aku bertekak dengan bibik ni, baik aku beristighfar panjang. Banyak ganjarannya, ucap aku dalam hati.
"Fine. I will do it. Leave the kitchen so that I can cook happily." Bibik Tini buat muka kurang pasti. Tentu tak faham dengan apa yang aku hujahkan tadi. Bagus! Sekurang-kurangnya tak adalah sesak hati aku mengata kau dalam hati. Aku cakap aje dalam bahasa Inggeris. Puas hati aku! bebel Dahlia dalam hati.
Dahlia menggeleng perlahan. Beristighfar dulu. Jangan terus nak mengata orang. Kalau tak tahan, baru aku speaking London.
Dahlia membuka peti sejuk lalu memerhati beberapa barangan untuk menyediakan sarapan. Rasanya dia akan menyediakan sandwic tuna sahaja. Senang dan ringkas. Beberapa menu makanan Nasri juga perlu diatur memandangkan Nasri agak cerewet ketika menikmati makanannya. Contohnya sarapan yang menggunakan roti. Dia perlu diberikan roti yang berserat tinggi dan juga kulit tepi roti perlu dibuang. Seperti yang tertulis dalam informasinya, Dahlia cuba terapkan pada pemakanan Nasri sebaik mungkin.
"Dah siap," ujar Dahlia. Dia tersenyum sendiri. Kemudian dia meletakkan segelas air oren dan sandwic tuna di atas dulang.
"See, surprise that I can cook? See the leg la..." Sengaja Dahlia menyakat Bibik Tini. Wanita warga Indonesia itu terkulat-kulat cuba memahami kata-kata Dahlia.
Sebelum Dahlia membawa dulang dari ruang dapur, terdengar Bibik Tini bersuara lantang.
"Kamu usah berlagah deh... Belum tahu lagi Tuan Nasri mahu makan makanan kamu. Dia mungkin benci sama kamu."
"Jealous." Perlahan Dahlia menjawab. Dia menatang dulang sehingga ke tingkat dua. Dalam hatinya, masih ada juga perasaan takut dengan apa yang dikatakan oleh Bibik Tini. Takut dengan penerimaan Nasri Haikal. Gambaran Nasri sendiri sudah cukup merunsingkan Dahlia.
Tiba di tingkat dua, Dahlia mencari bilik yang terletak di bahagian hujung tingkat itu. Dahlia mula tidak keruan apabila berdiri di hadapan pintu berwarna hitam. Macam nak lari tinggalkan bilik ini aje. Tapi perasaan itu perlu dibuang jauh-jauh. Takkan nak tengok Bibik Tini gelakkan dirinya sampai berguling-guling? Biarkan wanita itu menang? No way! Dia tak boleh mengalah... Dia kena kuat.
"Takutnya nak buka pintu." Tewas. Dahlia tewas dengan semangat yang tadinya datang berkobar-kobar. Semangat yang hadir bagai angin. Sepintas lalu sahaja.
"Aku nak takut apa? Dia bukan makan orang pun." Dahlia cuba memujuk dirinya. Dulang yang dibawa, diletakkan ke atas lantai. Pintu bilik Nasri Haikal diketuk perlahan.
"Assalamualaikum, Nasri Haikal. Saya datang bawa sarapan."
Tiada jawapan dari dalam bilik. Sunyi sepi. Mungkin Nasri belum bangun tidur. Tapi, dalam jadual ada mengatakan Nasri mengalami masalah tidur. Tentu Nasri Haikal sudah bangun lebih awal.
"Nasri. Saya bawakan sarapan."
Sekali lagi Dahlia mencuba. Hampa. Bukan kata pintu bilik terbuka, suara yang menyahut juga tak ada. Macam bercakap dengan pintu. Dahlia memulas tombol pintu bilik. Berkunci. Terpaksa Dahlia menggunakan cara akhir yang diberikan oleh Ridzwan dalam maklumatnya.
Ada kunci yang diletakkan di dalam laci berdekatan bilik Nasri. Gunakan jika bilik Nasri berkunci.
Dahlia mengingatkan kembali setiap maklumat yang ditulis. Matanya mencari meja kecil yang berada berdekatan kawasan bilik Nasri Haikal. Sebaik membuka laci, Dahlia mendapatkan kunci dan berdiri di hadapan pintu bilik Nasri semula. Cabaran betul dia menjadi jururawat untuk Nasri. Berbeza sungguh jika hendak dibandingkan dengan kerja di klinik.
Pintu bilik yang tidak lagi berkunci, dibuka luas. Perkara pertama yang menangkap perhatian Dahlia tentu sekali mencari gerangan Nasri. Bergetar pula kaki Dahlia melangkah masuk ke dalam bilik. Dengan dulang di tangan, Dahlia gagahkan juga untuk masuk ke dalam.
Ruang bilik Nasri yang besar membuatkan Dahlia tergamam. Elemen warna hitam bercampur putih memang mengasyikkan mata Dahlia. Dilengkapi sofa dan TV Plasma bersama home theater. Tidak ada sebab untuk Dahlia melihat televisyen di ruang tamu jika bilik ini diberikan kepadanya. Silap-silap dia akan terperuk lama di dalam bilik sebegini. Syok!
Cuma bilik Nasri agak bersepah. Selimut dan beberapa helai baju kotor di atas lantai. Cakera padat berselerakan. Gelas dan pinggan kotor masih belum diambil. Memang Bibik Tini makan gaji buta. Langsung tak menitik berat penjagaan Nasri Haikal. Hanya menjalankan kerja yang mampu menutup mata Datin Sarah dan Datuk Azmi sahaja.
Pandangan Dahlia terhenti di bahagian dinding bilik yang diperbuat daripada cermin. Bahagian itu sekadar ditutup menggunakan langsir labuh. Cermin itu membantu ruang bilik kelihatan lebih terang. Dahlia menarik langsir yang menutupi cermin untuk membiarkan matahari menyinari segenap ruang bilik Nasri. Dulang di tangan diletakkan di atas meja kopi. Dia tertanya-tanya pula ke mana perginya Nasri Haikal. Tidak kelihatan di mana-mana pula.
Risau dengan keadaan lelaki itu yang perlu diawasi, Dahlia bergerak ke arah pintu berdekatan katil. Entah bilik apa yang berada di sebalik pintu itu. Saat pintu dibuka luas, Dahlia memerhati ruang bilik air. Ruang itu kosong tidak berpenghuni.
Dahlia berjalan lagi ke arah pintu yang terletak di sudut bilik. Bilik pakaian rupa-rupanya. Penuh dengan pakaian dan kasut. Memang cukup untuk setahun. Kalau tak basuh pakaian pun tak apa. Tak habis pakaian yang ada.
Dahlia menutup pintu bilik pakaian Nasri. Dia mengeluh kecil. Ke mana pula perginya Nasri Haikal? Kalau Nasri tak ada di dalam bilik, takkan bilik berkunci dari dalam? Mustahil!
"Tak boleh jadi ni. Kena telefon Datin." Dahlia menarik nafas. Baru hari pertama bekerja, pelbagai masalah yang muncul. Paling memeningkan, ketiadaan Nasri ketika ini.
Sebelum keluar dari bilik, Dahlia mengambil selimut tebal yang hampir membuatkan dirinya terjatuh. Daripada letak di atas lantai, lebih baik diletakkan di atas katil. Saat mengambil selimut di atas lantai, Dahlia jatuh terduduk. Matanya tidak berkelip memandang sepasang mata yang memerhatikan dirinya dari bawah katil. Galak mata itu melihat dirinya. Nafas Dahlia makin laju. Kepalanya seperti berpinar-pinar. Tolong jangan cakap yang Nasri Haikal berada di bawah katil... Tolong...
"Awak... Nasri Haikal?" Dahlia menguatkan semangatnya. Ayat Kursi sudah berulang kali dibaca dalam hati.
Tiada jawapan yang datang daripada lelaki itu. Bukan kata jawapan, tubuh lelaki itu juga langsung tidak bergerak. Dah macam hantu Ju-On pula. Gila seram!
"Saya Dahlia. Nurse awak. Awak boleh keluar dari situ?" Sekali lagi tiada jawapan. Dahlia mengeluh berat. Begini rupa-rupanya keadaan Nasri Haikal. Memang teruk seperti yang dikatakan oleh Ridzwan.
Dahlia mengambil dulang yang berada di atas meja kopi lalu diletakkan di atas lantai. Disorong dulang itu ke hadapan. Dia cuba memberikan sarapan kepada Nasri.
"Mulai sekarang, saya jaga awak. Ini sarapan awak. Saya buat tadi. Sandwich tuna. Makanlah." Lelaki yang berada di bawah katil langsung tidak berganjak. Matanya sahaja kelihatan berkelip-kelip memandang Dahlia. Okey... Memang nak kena ada jalan lain bagi menguruskan Nasri. Kena ada cara sendiri...
"Saya tahu awak lapar. Awak kena keluar juga sebab saya akan ada bersama awak sampai malam." Dahlia menunggu untuk seminit. Tidak berkesan lagi.
"Awak keluar dari situ, saya buatkan awak desert. Saya pandai buat desert. Awak cakap aje awak nak apa." Cara itupun tidak berkesan.
"Kita boleh tengok TV sama-sama. Awak nak tengok cerita apa?" Masih tiada perubahan.
"Awak tak nak keluar makan, saya makan sarapan awak." Tetap tidak berubah. Sama sahaja situasinya.
"Tolonglah keluar... Saya rayu dekat awak." Dahlia sudah putus idea. Daripada bercakap, meminta sehingga merayu, tetap tiada perubahan. Dahlia duduk bersila di atas lantai. Dia kebuntuan idea. Sejujurnya dia mahu melihat keadaan Nasri secara dekat. Melihat luka yang perlu dirawat. Ingatkan Nasri seorang yang senang untuk bekerjasama. Masa. Mungkin Nasri perlukan masa untuk mengenali dirinya. Sama seperti Dahlia juga.
Malas untuk terus memujuk Nasri, Dahlia bangun meletakkan selimut di atas katil. Tempat tidur Nasri dikemaskan. Bukan itu sahaja, Dahlia mengemas setiap barangan Nasri yang bersepah di dalam bilik. Sepanjang proses Dahlia mengemas, Nasri tetap tidak berganjak. Hanya meniarap dan memerhati dari bawah katil.
Ketika mengemas cakera padat yang berselerakan, Dahlia kembali bersila di hadapan Nasri. Ada sesuatu yang mungkin berjaya membuatkan Nasri keluar daripada terperuk di bawah katil. Dan cadangan ini mungkin gila. Tapi, lantaklah...
"Seronok ke duduk bawah katil? Saya pun nak duduk jugalah." Dahlia merangkak menuju ke hadapan. Jantung yang berdebar-debar memang membuatkan nafasnya naik turun. Ini sahaja jalan gila yang ada. Jalan gila yang mungkin mampu membuatkan Nasri Haikal keluar dari situ.
Ternyata idea Dahlia menggugat Nasri. Sebaik Dahlia memasukkan kepala, Nasri pantas keluar dari bawah katil. Dia tersandar di dinding cermin.
Dahlia tersenyum puas. Dia mengeluarkan kepalanya semula lalu mengeluh lega. Matanya menatap lelaki yang dari tadi terperuk di bawah katil. Lelaki itu...
"Awak, Nasri Haikal?"
Dahlia tergamam. Nasri Haikal tidak seburuk yang disangkakan. Tidak langsung seperti apa yang Dahlia gambarkan. Imej Nasri agak tak terurus tapi dia sememangnya mempunyai rupa paras yang kacak.
Dahlia meneliti Nasri Haikal. Bibir merahnya terukir kecil. Kulitnya putih kekuningan. Rambutnya agak panjang dan tidak terurus sehingga menutupi separuh matanya. Agak tinggi dan ada beberapa luka di pergelangan tangan dan lehernya. Memang kritikal keadaan Nasri. Dia tampak begitu takut ketika ini.
"It is okay. Saya janji dengan awak, saya tak cederakan awak. Saya jadi kawan awak. Please..."
Nasri tidak menjawab kenyataan Dahlia.
"Saya nak bantu awak. Awak tak nak tengok dunia luar?" Kerdipan mata Nasri seperti menjawab pertanyaan Dahlia. Dahlia tersenyum manis. Sayang untuk seorang lelaki seperti Nasri terperangkap dalam dunia sendiri. Dia harus merasai keindahan dunia luar. Dia perlu segera sembuh. Cuma trauma kemurungan yang dialami memang mengambil masa untuk pulih.
Dahlia bangun lalu mendapatkan kotak rawatan yang sudah tersedia di dalam bilik air Nasri. Ridzwan sendiri yang meninggalkan kotak kecemasan itu. Memang sengaja ditinggalkan untuk kegunaan jururawat peribadi Nasri juga.
"Saya nak rawat luka awak tu, boleh?" Dahlia kembali duduk di hadapan Nasri bersama kotak rawatan di tangan. Nasri diam tidak berganjak. Seolah-olah membiarkan sahaja apa yang cuba dilakukan oleh Dahlia ke atas dirinya.
"Okey, bagi saya tengok luka awak dulu." Dia mengambil peluang yang ada untuk meneliti keadaan Nasri Haikal. Sementara lelaki itu belum berubah fikiran, dia harus cepat merawat luka yang ada di tubuh Nasri.
Dahlia memegang tangan kanan Nasri. Dia mengamati beberapa luka yang agak ketara. Dibelek lembut luka yang seperti ditoreh dengan senjata tajam. Barangkali pisau cukur yang terdapat di dalam bilik air. Ada beberapa kesan jahitan lama berada di sekitar nadi tangan Nasri menunjukkan keadaan yang dilalui oleh lelaki itu memang teruk. Tahap trauma kemurungan yang agak tinggi sehingga Nasri mahu membunuh diri.
"Apa yang awak dah buat dengan diri awak, Nasri? Tak sakit ke?" Dahlia menggeleng. Entah apa yang menjadikan Nasri begini. Kawasan leher Nasri turut diperiksa. Tidak seteruk luka di tangan tapi luka di lehernya kelihatan baru.
Nasri diam seribu bahasa. Dia tekun memandang gadis yang berada di hadapannya itu. Setiap sentuhan yang dilakukan oleh gadis itu menangkap perhatian Nasri.
"Awak tahu kan apa hukumnya kalau umat Islam bunuh diri?" Sengaja Dahlia mengutarakan soalan itu. Nasri perlu sedar sebagai umat Islam, membunuh diri adalah dosa besar dan Allah s.w.t mengharamkannya syurga.
"Dalam riwayat Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya sesiapa yang membunuh diri dengan benda tajam... Benda tajam itu yang akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka Jahanam. Hal itu akan terjadi selama-lamanya. Awak tak takut ke, Nasri?" Petikan hadis al-Quran yang didengarkan kepada Nasri langsung tidak mengubah reaksi wajah lelaki itu. Tak terkejut mahupun rasa bersalah dengan perbuatannya.
Dahlia mengetap bibir. Dia meletakkan pembasmi kuman dan antibiotik di kawasan luka Nasri Haikal. Belum cukup lagi untuk dirinya mengubah pemikiran Nasri yang begitu kuat menghayati kemurungannya. Dahlia ada juga teringin untuk bertanya tentang faktor yang menjadi penyebab Nasri begini, tapi dia sendiri yakin persoalan itu tidak akan dijawab oleh Nasri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co