Bab 6
Ridzwan membelek jam tangannya. Pukul sepuluh setengah malam. Hampir setengah jam juga dia berbual kosong bersama Danish di luar rumah Dahlia. Topik mereka berubah seiring masa berlalu. Mula-mula topik mengenai Dahlia. Kemudian beralih ke topik kehidupan Danish. Selepas itu, cerita mengenai seluruh ahli keluarga Dahlia pula dibuka. Ridzwan layankan sahaja sikap peramah Danish yang rajin menceritakan salasilah keluarga Dahlia. Ketika kali pertama berjumpa, Danish kelihatan agak tegas orangnya. Tak sangka lelaki itu mudah didekati.
"Sepatutnya Lia dah sampai rumah ni..." rungut Danish. Kedatangan Ridzwan dilayan begitu mesra. Hendak diajak masuk ke dalam rumah, kelihatan seperti tidak manis pula. Lewat malam begini. Lagipun Ridzwan sendiri yang meminta untuk menunggu Dahlia di luar.
"Dia tu bawa motor macam kura-kura. Macam baru dapat lesen motor. Terpaksa doktor tunggu lama sikit," ujar Danish. Ridzwan hanya tersenyum kecil. Tak sangka dia sanggup menunggu kepulangan Dahlia sehingga setengah jam.
"Tu... Dia dah sampai." Ridzwan menoleh ke arah kanan. Motor skuter Dahlia mula mendekati kawasan rumahnya.
"Lambatnya Lia balik? Abang long telefon tak angkat pula tu. Dah setengah jam Doktor Ridzwan tunggu Lia," hambur Danish. Dia hampir buntu idea untuk berbual dengan Ridzwan. Sudahlah lelaki itu berat mulut. Sepatah dua sahaja menjawab pertanyaan Danish. Tak seronok langsung!
"Lia lambat keluar. Kenapa doktor nak jumpa saya? Kan boleh call aje?" Dahlia mematikan enjin motor. Helmet di kepalanya dibuka.
"Nak call... Tapi saya fikir lebih baik jumpa awak. Senang nak berbual." Dahlia berkerut kening. Senang nak berbual? Kenapa lain macam aje bunyinya?
Danish menggaru-garu belakang kepala. Dia pula tak selesa berada di samping mereka berdua.
"Doktor, aku masuk dululah. Lia, abang long masuk dulu," ucap Danish kemudian berjalan masuk ke dalam rumah. Sebaik berada di dalam rumah, pintu hadapan rumah dibiarkan terbuka. Senang untuk memerhatikan Dahlia dari jauh. Senang hendak menyergah mereka kalau ada apa-apa perkara sumbang yang berlaku. Manalah tahu... Doktor pun bukan boleh percaya.
"Abang awak tu... Ada perangai yang sama macam awak." Senyum Ridzwan.
Dahlia tersenyum sama. Nanti dulu! Itu pujian ke... Atau kenyataan yang memerli dirinya?
"So, macam mana keadaan Nasri hari ni?" sambung Ridzwan.
Dahlia buat muka tak puas hati. Senyum di bibir pudar serta-merta. Ceh! Ingatkan nak tanya pasal keadaan aku, rupa-rupanya bangkit soal Nasri pula. Tak romantik betul...
"Ini first time saya tengok dia. Macam mana saya nak bandingkan keadaan dia dengan hari lain?"
Ridzwan tergelak kecil. "Betul juga kan. Saya pun boleh tanya macam tu pula dekat awak."
"Doktor datang jumpa saya semata-mata nak tanya pasal keadaan Nasri ke?" Soalan Dahlia menghentikan gelak tawa Ridzwan. Hanya bibirnya masih mengukirkan senyuman. Dia mengetahui makna di sebalik soalan Dahlia. Memang Ridzwan mampu meneka gadis itu menyimpan hati terhadap dirinya.
"Taklah. Tentu nak jumpa awak. Nak tanya keadaan awak juga."
Hati Dahlia mula berbunga-bunga. Macam bunga sakura rasanya. Begitu indah tercipta dalam hati kecil miliknya itu. Suka... Suka!
"Tak nak cerita dengan saya apa yang berlaku dekat awak hari ni?"
Senyuman Dahlia makin lebar. Sengaja dia alihkan perhatiannya melihat pintu pagar rumah.
"Saya terkejut dengan keadaan Nasri. Doktor tak maklumkan pula keadaan dia macam orang sewel."
"Sewel?"
"Sewel... Ala..." Dahlia memusingkan jari telunjuknya di tepi kepala. Lantas Ridzwan tersenyum kecil.
"Gila? Kenapa tak cakap gila aje?" Sengih Ridzwan.
"Gila macam jahat sangat bunyinya. Sewel macam lebih berperikemanusiaan. Kurang siuman berbanding gila." Ridzwan terus tersenyum. Memang dia tidak maklumkan keadaan sebenar Nasri kepada Dahlia. Tidak dijelaskan ciri lelaki itu atau sebaliknya. Sesuatu yang perlu dilihat pada mata bukan diceritakan begitu sahaja.
"Keadaan dia teruk sangat ke pada pandangan awak?"
Dahlia mengangguk. Kemudian dia menggeleng. Tidak sampai dua saat, dia mengangkat bahu pula. Tidak tahu bagaimana nak putuskan tahap keadaan Nasri Haikal. Melalui luka, tampak teruk. Melalui reaksi, macam tak. Entahlah...
"Doktor dah kenal lama ke dengan keluarga Datuk?"
"Lama juga. Since saya di universiti lagi."
"Dengan Nasri Haikal?"
Ridzwan berpeluk tubuh. "Saya tak berapa rapat dengan dia. Tak sama umur dan mungkin juga sebab dia jarang ada di sini. Dia belajar di luar negara. Di Jerman."
"Habis, doktor tak tahu... Macam mana Nasri boleh jadi macam tu?"
Ridzwan menggeleng perlahan.
"Datin tak beritahu doktor?"
Ridzwan tersenyum dan menggeleng lagi.
"Apa yang saya tahu... Dah hampir setahun dia jadi macam tu. Lepas habis belajar. Masa beberapa bulan pertama, keadaan dia lebih teruk. Sampai kena dimasukkan ke hospital. Jahit luka dia. Nasri cukur rambut dia. Sepanjang tempoh tu, jururawat yang jaga Nasri silih berganti. Ramai takut nak jaga Nasri sebab keadaan dia. A few weeks tak ada nurse, Nasri macam dah okey sikit... Seminggu yang lepas saya dapat khabar daripada Datuk yang Nasri mula behave semula. Terus saya tolong Datuk carikan jururawat peribadi untuk jaga Nasri. Pantau keadaan dia," jelas Ridzwan. Dahlia menggeleng-geleng. Kasihan pula mendengar keadaan Nasri.
"Doktor tak pernah tanya dekat Datuk atau Datin pasal Nasri?"
"Tak pernah. Tak nak campur urusan peribadi mereka."
Dahlia senyap. Simpan sahajalah hasrat hendak bertanya Datin Sarah tentang keadaan Nasri Haikal. Ingatkan nak tanya. Tetapi lepas mendengar kenyataan Ridzwan, dia tidak jadi bertanya. Biarkan urusan peribadi terus menjadi urusan peribadi buat mereka. Dia sebagai orang luar dalam keluarga Nasri hanya perlu menjalankan kerja sahaja.
"Lagi satu... Awak jangan terkejut pula kalau Nasri tak bercakap. Memang dia tak bercakap dengan orang lepas dia trauma ni," terang Ridzwan.
"Dia tak bercakap dengan orang yang dia tak kenal aje ke?"
"Taklah. Dia tak bercakap dengan semua orang. Termasuk saya, Datuk dan Datin sendiri."
Dahlia melopong kecil. Patutlah Nasri tidak bersuara dengannya. Ibu bapa sendiri pun tidak bercakap, inikan pula dengan orang luar seperti Dahlia.
"Hmmm... Setakat ni belum ada perubahan ke? Nampak macam dia tak pernah sembuh aje?" Hampir setahun Nasri Haikal menghidap trauma kemurungan. Takkan Datuk Azmi tidak berusaha mencari ubat untuk Nasri? Setakat menggajikan jururawat peribadi bukan menyelesaikan masalah anak lelakinya itu. Barangkali Nasri perlukan rawatan daripada doktor psikiatri yang lebih baik.
"Tak. Still the same. Beza cuma kadang-kadang dia jadi tak terkawal."
"Mungkin doktor psikiatri yang Datuk gajikan tu tak bagus. Tak pun, ubat yang dia bagi tak sesuai dengan Nasri Haikal," luah Dahlia. Ridzwan melabuhkan punggung di bonet keretanya. Matanya tidak lari daripada memandang gadis yang masih lagi duduk di motor skuternya.
"Kenapa tiba-tiba cakap macam tu?" Selama ini Ridzwan tak terfikir pula tentang mutu kerja doktor psikiatri yang digajikan oleh Datuk Azmi. Khidmatnya tidak pernah dipertikaikan. Bahkan ubat yang diberikan oleh doktor kepada Nasri juga tidak mendatangkan persoalan kepada Ridzwan. Kenapa Dahlia pula berfikiran jauh sebegitu?
"Tak adalah. Cuma pelik, dia tak sembuh padahal..."
"Lia, ini trauma kemurungan. Keadaan pesakit bukan bergantung pada perubatan. Tapi, condition di mana pesakit sendiri mahu berada dalam dunianya sendiri. Dia sama seperti orang lain. Apa yang membezakan Nasri, cuma dia tidak mahu menerima hakikat. Sengaja memberikan ruang kepada dirinya untuk terus berada di dalam keadaan trauma kemurungan ni. Awak tak boleh samakan keadaan Nasri dengan pesakit yang awak selalu jumpa dekat klinik. Keadaan Nasri berbeza. Saya tak rasa ini salah doktor atau salah ubat yang doktor bagi. Dia lebih tahu kes begini berbanding awak."
Dahlia mengangguk lemah. Dia memang kurang pengetahuan dalam kes begini. Bukan hal ehwal dirinya untuk berdebat lebih dengan Ridzwan. Dia juga bukan mahu menuduh doktor psikiatri yang digajikan oleh Datuk Azmi tidak berkualiti. Cuma dia rasa sedikit curiga dengan doktor itu. Sedikit sahaja.
"Saya tak bermaksud nak buat awak terasa dan nak ceramah awak tengah malam macam ni." Melihatkan Dahlia senyap begini, Ridzwan pula rasa bersalah.
"Taklah. Saya okey."
Okey? Serius ke aku okey? Smash panjang lebar yang dia bagi memang terus menusuk jantung. Tak ada maknanya aku tak terasa. Terasa sampai lubuk hati aku ni. Untung kenyataan itu datang daripada Ridzwan. Buat-buat tak terasa ajelah, ujar Dahlia dalam hati.
"Untuk minggu ni, mungkin Nasri susah nak terima awak. Nak bagi dia makan, nak bagi ubat or even rawat luka dia. Tapi jangan give up. Dia akan selesa lepas seminggu dua," pesan Ridzwan.
Dahlia hanya menghadiahkan senyuman. Istilah jangan berputus asa yang diberikan mungkin dapat menjadikan Dahlia terus bersemangat untuk menjaga Nasri. Dia akan terus bersabar sebaik mungkin. Dahlia merasakan Ridzwan akan lebih rapat dengannya disebabkan dia menjadi jururawat untuk Nasri. Manalah tahu... Pintu hati jejaka itu terbuka dengan ketulusan hati Dahlia menjaga Nasri?
Perlahan Datuk Azmi membuka pintu bilik Nasri Haikal. Suasana bilik Nasri agak gelap. Hanya lampu meja sahaja yang menerangi seluruh bilik Nasri yang luas itu. Sudah menjadi rutin harian Datuk Azmi untuk menjenguk keadaan anak lelakinya itu pada setiap lewat malam. Ketika Nasri sibuk dibuai mimpi. Walaupun sesibuk mana sekalipun, Datuk Azmi tetap akan cuba melawat Nasri walaupun untuk seketika. Melainkan dia mempunyai urusan perniagaan di luar sahaja membuatkan dia tidak berkesempatan menjenguk Nasri.
Datuk Azmi duduk di hujung katil. Melihat Nasri tidur lena, Datuk Azmi tersenyum kecil. Jari-jemari Nasri disentuh lembut. Hidup Nasri musnah pada usia yang masih muda. Menghidap trauma kemurungan pastinya mengambil masa untuk pulih. Cubaan Nasri membunuh diri adalah suatu kenyataan yang sukar diterima buat Datuk Azmi. Dalam tempoh itu, Datuk Azmi banyak menitiskan air mata. Menangisi keadaan Nasri yang teruk. Tapi, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
"Ayah tengok Nasri macam dah makin kurus. Nasri kena sihat. Nasri kena sembuh. Nasri jangan buat ayah susah hati." Perlahan nada suara Datuk Azmi. Dia tidak mahu mengejut Nasri Haikal. Dia sengaja berbual sedangkan dia sendiri mengetahui anak lelakinya itu sedang lena tidur.
"Macam mana dengan nurse baru, Nasri? Nasri suka dia tak? Nasri kena terima dia. Dah banyak kali ayah tukarkan nurse untuk Nasri. Semuanya lari sebab tak tahan dengan Nasri. Ayah harap nurse kali ni akan bertahan lama." Seperti berbual dengan diri sendiri, memang itu yang dilakukan oleh Datuk Azmi terhadap Nasri setiap malam. Jika dilakukan waktu siang sekalipun, belum tentu Nasri akan berbual dengannya. Nasri Haikal tidak akan berbual dengan sesiapa. Tidak selagi anak lelakinya itu belum sembuh.
"Abang..." Datuk Azmi pantas menoleh ke arah pintu. Kelihatan Datin Sarah mula membuka pintu dengan lebih luas. Isterinya itu mengambil langkah merapati dirinya di hujung katil.
"Sayang tak tidur lagi?" soal Datuk Azmi. Dia membiarkan Datin Sarah mengurut lembut kedua-dua belah bahunya.
"Tak. Nak tengok abang dengan Nasri."
Datuk Azmi menyentuh tangan Datin Sarah lalu mengucup tangan isterinya itu. Sikap prihatin Datin Sarah telah menarik perhatian Datuk Azmi sehingga dia memilih untuk memperisterikan wanita itu. Bukan prihatin saja, malah sikap penyayang dan juga lemah lembut merupakan kriteria Datin Sarah yang paling sukar dicari ganti.
"Bila agaknya anak kita nak sembuh?" keluh Datin Sarah. Dia berbisik di telinga Datuk Azmi.
"Pandai Dahlia jaga Nasri. Dah berbalut luka Nasri padahal baru hari pertama dia bekerja." Datin Sarah mengamati luka yang berada di tangan dan leher Nasri.
"Itulah. Tadi abang tengok juga. Selalunya nurse baru ambil masa nak rawat luka Nasri. Tak boleh nak dekat dengan Nasri. Ni, abang tengok luka dia dah berbalut dah. Pandailah Dahlia tu jaga anak kita." Datin Sarah mengangguk-angguk. Entah bagaimana Dahlia menarik perhatian Nasri sehingga membiarkan lukanya dirawat.
"Abang cakap nak jumpa dia? Pagi tadi Sarah ada juga beritahu dia yang abang nak jumpa tapi abang busy. Nanti pagi esok, abang lambat sikitlah masuk pejabat. Kita breakfast sama-sama dengan dia. Boleh abang jumpa dengan dia. Tak manis pula dia bekerja dengan kita, tapi tak pernah nak berbual dengan abang."
Datuk Azmi terdiam seketika. Cuba mengingat jadual sendiri. Rasanya dia tidak mempunyai agenda penting pada sebelah pagi.
"Lagipun kita kenalah jaga hati dia. Tak nak dia berhenti macam nurse yang lain. Kata puas hati sebab pandai jaga Nasri. Kenalah hargai dia." Datin Sarah terus memujuk.
"Yalah. Esok abang masuk ofis lewat sikit. Kita breakfast dengan dia sekali."
Datin Sarah tersenyum lebar. Dia berjalan keluar meninggalkan bilik Nasri. Sebelum hilang kelibatnya di muka pintu, sempat Datin Sarah bersuara.
"Abang, jom masuk tidur. Jangan ganggu Nasri. Nanti dia terjaga pula."
Datuk Azmi bingkas berdiri. Hujung dahi Nasri dikucup sebelum dia mematikan lampu meja yang bernyala. Dia keluar dari bilik Nasri lalu melangkah ke arah bilik tidurnya.
Setelah Datuk Azmi keluar dari bilik, Nasri mengubah posisi baringnya. Matanya dibuka sebaik mendengar pintu bilik ditutup rapat. Pandangannya dibiarkan menghala ke langsir labuh yang menutup dinding cermin. Dua jarinya menyentuh hujung dahi. Tempat sama Datuk Azmi mengucup dirinya sebentar tadi. Berkali-kali dua jari miliknya itu menggosok dahi. Dia cuba menghilangkan kesan kucupan itu. Penat menggosok dahi, Nasri menarik selimut tebalnya sehingga menutup seluruh tubuhnya. Matanya berkelip perlahan. Meminta dirinya kembali lena semula.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co