Bab 7
Dahlia beristighfar selepas menguap beberapa kali. Mengantuk pula pagi ini. Ni semua sebab dia lambat tidur malam tadi. Sibuk berangankan Doktor Ridzwan sepanjang malam. Apatah lagi Ridzwan sudi berbual lama dengan dirinya malam semalam. Hampir pukul dua belas, baru Ridzwan menyatakan dia mahu pulang. Barangkali rasa segan melihat Danish keluar masuk dari rumah beberapa kali meninjau keadaan mereka tak ubah seperti pengawal keselamatan.
Selesai memarkir motor, Dahlia masuk ke dalam kediaman Datuk Azmi. Mulutnya pantas memberikan salam.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam." Bibik Tini yang berada di muka pintu menyambut salamnya.
"Bagus kamu dah sampai. Datuk sama Datin mahu ketemu sama kamu," ujar Bibik Tini dengan reaksi muka masam mencuka.
Memandang reaksi muka wanita itu, Dahlia mula kecut perut. Apa yang terjadi sehingga dia dipanggil untuk bertemu dengan Datuk Azmi dan Datin Sarah? Ada apa-apa yang berlaku kepada Nasri Haikal ke? Atau bibik di hadapannya ini mengadu tentang pertengkaran kecil yang berlaku antara mereka semalam? Tak boleh jadi ni!
"Datuk dengan Datin nak jumpa saya?" Dahlia memastikan lagi.
Bibik Tini mengangkat kening sebelah. Dia mencekak pinggang menjawab soalan Dahlia. "Iya... Iyalah. Mahu ketemu sama kamu. Kalau bukan kamu, siapa lagi? Ada orang lain namanya Dahlia?"
"Relakslah. Tanya aje. Tak payah nak tunjuk muka ketat." Dahlia berjalan masuk ke dalam rumah dan meninggalkan Bibik Tini di muka pintu. Baru tanya soalan, dah tayang muka masam begitu. Belum minta tolong lagi. Mahu terangkat rambut wanita itu agaknya.
Dahlia terus menuju ke ruang makan memandangkan dia tahu Datuk Azmi dan Datin Sarah akan menikmati sarapan pada waktu begini. Dari jauh lagi Datin Sarah melambaikan tangan ke arah Dahlia. Dia yang masih berjalan ke arah meja makan hanya menguntumkan senyuman manis. Apa agaknya yang mereka mahukan? Apa yang mahu dibincangkan? Ketar pula kaki ni...
"Lia... Duduk sini. Kita breakfast sekali," pelawa Datin Sarah. Dari segi percakapan dan reaksinya, tidak nampak seperti marah. Itu petanda baik.
Dahlia mengalihkan pandangan melihat wajah Datuk Azmi. Ini kali kedua dia bertentang mata dengan Datuk Azmi. Kali pertama ketika dia diperkenalkan oleh Ridzwan tempoh hari.
"Duduk, Dahlia," ucap Datuk Azmi. Barangkali sedar dirinya diperhatikan oleh Dahlia.
Dahlia mengangguk perlahan. Kerusi bersebelahan Datin Sarah ditarik lantas punggungnya dilabuhkan ke kerusi.
"Awak nak makan apa? Nasi goreng ada, roti ada, atau awak nak saya minta bibik buatkan breakfast lain?" tanya Datin Sarah. Dahlia tersenyum kecil. Ini masanya untuk dia mengarah Bibik Tini. Menu sarapan barat seperti pancake tentu membuatkan Bibik Tini pening kepala. Tak. Nasi lemak bersama ayam masak rendang. Memang terkejut besar wanita itu nanti. Hahaha...
"Dahlia?"
Dahlia tersentak.
"Ya, Datin?"
Datin Sarah tersenyum manis. "Saya tanya awak nak makan apa. Saya ambilkan. Atau awak nak sarapan lain?"
"Tak apa, Datin. Saya ambil sendiri." Jahat pula jika dia sengaja menyusahkan bibik. Memang dia suka bertengkar dengan wanita itu tapi tidak sehingga membesarkan pertengkaran antara mereka. Cukuplah dengan gaduh-gaduh manja.
"It is okay. Saya ambilkan. Nasi goreng, okey?" Bersungguh Datin Sarah.
Dahlia mengangguk laju. Dia layankan sahaja kerenah Datin walaupun dia berasa kurang selesa untuk makan semeja bersama mereka berdua.
"Macam mana awak boleh balut luka Nasri semalam?" Seperti petir pula soalan yang ditujukan oleh Datuk Azmi. Terbeliak juga mata Dahlia mendengarnya. Dalam penerangan Ridzwan, memang sepatutnya luka Nasri Haikal berbalut dan dirawat sehingga sembuh. Tapi, kenapa soalan Datuk Azmi kedengaran seperti tak puas hati? Nak biarkan luka anaknya dijangkiti kuman? Tidak perlu disembuhkan? Begitu?
"Kenapa? Saya tak boleh balut luka Nasri ke?"
Datuk Azmi ketawa. "Saya tak kata awak tak boleh balut luka dia. Saya cuma tanya macam mana awak dapat balut luka dia. Nasri kan takut dengan orang. Lagi-lagi dengan orang asing macam awak."
Dahlia tersengih. Salah faham rupa-rupanya. Suka sangat bersangka buruk. Daulat hasrat dengki terhadap bibik agaknya. Tak pasal-pasal rasa malu dengan kenyataan sendiri. Kenyataan yang membuatkan Datuk Azmi bergelak ketawa.
"Abang pun tanya macam nak marah Dahlia. Dah dia fikir lain," sokong Datin Sarah. Dia baru selesai menghidangkan nasi goreng untuk Dahlia. Air kopi juga sudah siap dituangkan ke dalam cawan.
"Awak takut dengan saya ke, Dahlia?" Ketawa Datuk Azmi mula perlahan tapi masih berbaki.
"Sikit." Ringkas Dahlia menjawab. Bukan disebabkan Datuk Azmi nampak tegas mahupun pemarah, tetapi kerana Dahlia belum pernah bercakap dengan Datuk Azmi. Belum pernah berbual sambil bertentang mata begini. Tentu darah gemuruh akan datang. Takut tidak terkecuali.
"Tak payah nak takut dengan Datuk ni. Dia tak makan orang," pujuk Datin Sarah. Sejuk hati Dahlia mendengar.
"So, macam mana awak balut luka dia? Nasri tak mengamuk ke?" Datuk Azmi meneruskan lagi soalannya.
"Mengamuk? Tak pun. Dia okey aje." Reaksi wajah Datuk Azmi dan Datin Sarah berubah. Senyuman mereka sedikit pudar. Sudah! Aku dah terlepas cakap ke? Atau dah tersalah cakap pasal Nasri? Rasanya tak ada...
"Dia tak takut dengan awak?" Datuk Azmi rasa curiga.
"Takut. Dia tak nak dekat dengan saya mula-mula. Tapi saya approach dia dulu... Lepas tu baru dia tak berapa takut dengan saya. Saya cakap nak rawat luka dia, dia diam aje. Jadi, saya balutlah luka dia."
"Mungkin sebab Dahlia berani dengan dia tak, abang?" Datin Sarah mengajukan soalan kepada suaminya.
Datuk Azmi mengangguk-angguk. Mungkin ada betulnya kenyataan Sarah. Dahlia berani hendak berdepan dengan anak lelakinya itu. Selalunya jururawat yang datang bekerja untuk kali pertama tentu terkejut dengan Nasri Haikal. Dengan keadaan Nasri yang suka menyendiri begitu, terperuk di bawah katil. Malah adakalanya Nasri akan mengamuk.
Tetapi mendengar cerita Dahlia berkenalan dengan Nasri mampu membuatkan Datuk Azmi menarik nafas lega. Walaupun dia tahu sikap Nasri boleh berubah dengan sekelip mata, namun Datuk Azmi sangat berharap agar Dahlia mampu bertahan lama. Dia malas untuk meminta Ridzwan mencarikan jururawat baru. Datang silih berganti. Apa yang diharapkan ialah seseorang yang mampu menjaga Nasri Haikal dengan baik. Setakat ini, Dahlia adalah orang yang dimaksudkan.
Berkali-kali Juliana melihat pintu masuk Klinik Harmoni dari ruang kaunter. Sudah satu jam klinik beroperasi, Doktor Ridzwan masih tidak kelihatan. Lambat pula Ridzwan masuk ke klinik hari ini berbanding semalam. Tentu ada hal yang perlu diuruskan. Atau barangkali terlambat bangun. Doktor Anis sudah mula menjalankan tugas sebaik klinik dibuka. Memang dia belum pernah melihat wanita itu lewat bertugas. Berbanding Ridzwan, Anis rasanya lebih banyak berkhidmat di dalam klinik ini. Malahan ada pelanggan yang lebih biasa dirawat oleh Anis berbanding Ridzwan.
"Tengok apa, Ju? Dari tadi asyik pandang pintu aje?" tegur Syuhadah. Dah lima minit dia perasan Juliana sibuk mengalihkan pandangan ke pintu masuk klinik. Menunggu siapa agaknya?
"Aku tunggu Doktor Ridzwan ni." Syuhadah pamer muka terkejut.
"Tunggu Doktor Ridzwan? Apa hal kau tunggu dia? Ada appointment yang yang aku tak tahu ke?"
"Hesy... Appointment apanya? Aku nak cakap dengan dia sikit."
"Pasal apa?"
Juliana menarik nafas. Syuhadah antara pekerja yang rapat dengannya di klinik ini. Mereka memang sudah mengenali antara satu sama lain sebelum bekerja di sini lagi. Jadi, Juliana sudah biasa dengan perangai Syuhadah yang serba ingin tahu. Sudah lali.
"Aku nak cakap dengan doktor pasal Dahlia la."
"Lia?" Syuhadah mengangkat kening. Juliana mengangguk sekali dua.
"Haah. Cakap pasal Lia, sejak semalam aku tak nampak dia. Dia tak datang kerja lagi ke hari ni?"
Juliana mengemas kaunter yang dipenuhi beberapa kertas semakan pesakit. Sekejap dia berjalan ke laci, sekejap dia tertunduk di bawah kaunter. Tak selesa Syuhadah melihatnya. Tak duduk diam.
"Lia dah berhenti kerja."
"Dah berhenti kerja?" Sekali lagi Syuhadah pamer muka terkejut.
"Ya. Dah berhenti. Dia mesej aku malam tadi." Lewat malam juga Dahlia menghantar mesej kepadanya. Nasib baik dia belum tidur. Sempat mereka berbalas mesej beberapa kali. Ketika itu baru Juliana dimaklumkan tentang Dahlia sudah berhenti kerja. Terkejut juga mendengar khabar yang datang daripada Dahlia sendiri. Sebab itu dia mahu bertanyakan kepada Ridzwan. Takut Ridzwan yang memecat Dahlia. Jadi, dia mahu penerangan daripada Ridzwan. Lagipun Dahlia mengatakan dia terpaksa berhenti kerana doktor itu.
"Kenapa tiba-tiba aje dia berhenti? Tak beritahu apa-apa, terus blah macam tu aje? Tak profesional langsung," kutuk Syuhadah. Dia yang bekerja lama di klinik ini, tak pernah terfikir untuk cabut lari. Memang orang muda seperti Dahlia suka sangat lakukan sesuatu perkara tanpa berfikir panjang. Perkara yang menyusahkan orang lain.
"Dia cakap Doktor Ridzwan yang minta dia berhenti. Kau pun janganlah tuduh orang sembarangan. Kau bukan tahu apa-apa. Buat dosa aje nanti."
Syuhadah menarik muka. Disebabkan Dahlia dianggap seperti adik, kawan lama pula yang dimarahinya. Memang tak adil.
"Perangai entah apa-apa... Macam mana Doktor Ridzwan tu tak berhentikan dia? Kalau aku jadi Doktor Ridzwan, aku pun buat perkara sama."
Juliana menggeleng beberapa kali. Apa yang buruk sangat tentang Dahlia di mata Syuhadah? Benci betul Syuhadah dengan gadis itu.
"Aku rasa selama dia kerja dekat sini, tak pernah pula aku nampak dia kacau kau. Ejek kau pun aku tak pernah dengar. Cakap belakang kau pun aku tak pernah dengar dari mulut dia. Tapi, kau pula yang lebih-lebih."
"Dah jadi adik angkat, tentulah kau backup dia. Aku cakap sikit pun kau serba tak kena."
"Aku bukan nak sebelahkan dia. Aku..."
"Dahlah. Malas aku nak dengar kau cakap. Buat habis masa aku aje gaduh dengan kau." Syuhadah mula berjalan meninggalkan kaunter. Panas telinganya mendengar Juliana bersungguh membidas sebarang kenyataan tentang Dahlia. Apa yang bagusnya Dahlia di mata Juliana agaknya? Langsung tak boleh ditegur!
"Dah salah, tak boleh nak terima," ucap Juliana sendiri. Dia kembali bertugas sambil menunggu ketibaan Ridzwan yang masih belum muncul.
Lama juga Dahlia berbual dengan Datin Sarah dan Datuk Azmi sebelum mereka bergerak ke pejabat. Tapi dalam perbualan mereka, tak ada pula mereka menyatakan tentang status Nasri Haikal mengalami trauma kemurungan. Tidak diceritakan kenapa atau bagaimana anak lelaki mereka menjadi begitu.
Ada juga Dahlia berkeinginan hendak bertanya. Tapi apabila difikirkan semula apa yang dikatakan Ridzwan, ada benarnya juga. Itu privasi keluarga mereka yang tak boleh disentuh. Soal peribadi yang sepatutnya menjadi rahsia buat orang luar. Jadi, biarkan sahaja rahsia keluarga yang mereka sembunyikan. Apa yang penting, gaji jalan. Sudah...
Dahlia membuka pintu bilik Nasri Haikal sambil menatang dulang berisi sarapan untuk Nasri. Menu nasi goreng yang dimasak oleh Bibik Tini terus disenduk ke atas pinggan. Tak kuasa nak buat menu lain. Membazir sahaja.
Sambil berjalan masuk ke dalam bilik, Dahlia mengamati suasana bilik yang bersepah. Kebanyakan barang sudah berselerak walhal Dahlia sudah pun mengemas bilik tidur Nasri semalam. Mahu dihempuk sahaja kepala Nasri dengan dulang yang berada di tangan. Biar elok sikit perangai keanak-anakan yang menguasai lelaki itu. Ini baru hari kedua Dahlia bekerja. Kalau hari-hari Nasri bertindak begini, sabar pun boleh hilang.
"Nasri. Saya ada bawa sarapan." Dulang di tangan diletakkan di atas meja. Nasri seperti biasa. Terperuk di bawah katil.
"Kenapa awak sepahkan bilik awak ni? Awak mengamuk dekat siapa? Atau awak memang tak suka tengok bilik awak kemas? Tak suka tengok ke?" Dahlia mengambil selimut yang berada di atas lantai. Dikemaskan di atas katil. Entah apalah perangai Nasri ni. Kalau ya pun nak mengamuk, carilah hobi yang bagus untuk melepaskan amarah tu. Ini tidak, bilik yang serba luas juga menjadi mangsa. Tak. Aku yang tak bersalah ni yang jadi mangsa. Tak ada di dalam jadual yang aku kena kemas bilik bagai. Nasib baiklah aku ni orang yang bertimbang rasa. Agaknyalah...
"Mengamuk?" Tangan Dahlia yang sibuk menepuk bantal, terhenti. Mengamuk? Bermakna Nasri buat perkara yang menjangkau mindanya lagi ke? Menoreh tangannya sendiri? Dah sudah!
"Nasri! Keluar. Saya tengok keadaan awak kejap," arah Dahlia. Dia tunduk melihat di bawah katil. Lelaki berkepala batu itu tetap berdegil meskipun mendengar arahan yang dinyatakan.
"Keluarlah. Saya tengok badan awak dulu. Lepas tu, awak menyoroklah balik. Saya takut awak ada luka lagi. Nak kena rawat tu."
Nasri senyap sahaja. Buat bodoh pula. Sakit hati Dahlia melihat reaksi Nasri yang begitu tenang.
"Penat saya cakap dengan awak ni." Dahlia cuba menerjah masuk ke bawah katil. Dengan cara itu sahaja Nasri akan bingkas keluar.
Nasri duduk melihat Dahlia selepas bergerak dari 'markas rahsianya'. Dia memerhati Dahlia sehingga gadis itu menghampiri dirinya. Kedua-dua belah tangannya dibelek oleh Dahlia dengan teliti. Bahagian leher juga tidak terkecuali.
Dahlia menyentuh perlahan tangan dan leher Nasri bagi memastikan tiada luka baru yang berada di tubuh lelaki itu. Jika ada luka baru, luka itu perlu dirawat segera sebelum dijangkiti kuman. Lebih teruk lagi jikalau luka baru itu datang dari torehan pisau tajam. Ditoreh begitu dalam hingga menyebabkan kehilangan darah.
"Alhamdulillah... Tak ada apa-apa. Panik saya bila tiba-tiba fikir yang awak mengamuk. Rupa-rupanya salah anggap aje," omel Dahlia. Dia terduduk di hadapan Nasri. Dia rasa bertanggungjawab terhadap Nasri apabila mendengar Nasri menjadi harapan buat Datuk Azmi dan Datin Sarah. Takut jika ada sesuatu yang berlaku di bawah pengawasan dirinya. Ketika itu, tentu anggapan Datuk Azmi dan Datin Sarah akan berubah. Berubah sama sekali.
"Cuba awak berhenti duduk dekat bawah katil tu. Kalau ya pun awak suka main sorok-sorok, janganlah duduk dekat bawah tu sepanjang masa. Bilik awak kan besar. Tu... Ada sofa. Empuk lagi. Pergilah duduk situ. Jangan terperuk bawah katil lagi."
Dahlia menunjukkan ke arah sofa set tiga plus dua plus satu yang terletak berdekatan TV. Jauh lebih selesa berbanding meniarap di bawah katil. Entah apa yang ada di bawah katil hingga Nasri begitu suka terperuk di situ. Nak kata ada harta karun, tak ada. Hiburan langsung tak ada bahkan ruang di bawah katil sempit pula. Teringin nak jadi askar ke apa? Meniarap begitu?
"Kalau awak duduk dekat bawah katil lagi, saya letak perangkap tikus banyak-banyak dekat situ. Baru awak tahu," ugut Dahlia. Reaksi Nasri masih lagi tenang. Tak nampak tercabar dengan ugutan Dahlia. Dahlia pula yang tak senang duduk. Apa lagi yang boleh dikatakan kepada Nasri supaya tidak meneruskan tabiatnya itu? Takkan dia perlu lakukan apa yang diugut sebentar tadi? Letak perangkap tikus. Macam mana kalau perangkap itu mengena Nasri? Mencederakan Nasri? Paling teruk kalau terjumpa tikus yang banyak melalui perangkap yang dipasang? Serius... Geli!
"Jom. Saya teman awak tengok movie. Awak nak tengok cerita apa? Hollywood, Korea, Jepun, cerita Melayu... Semua saya layan. Daripada awak meniarap bawah katil, perhati saya satu hari macam semalam, lebih baik tengok cerita, kan?"
Nasri masih memilih untuk senyap. Dahlia mula berdiri. Dia menarik tangan Nasri untuk berdiri sama. Setelah berjaya membuatkan Nasri berdiri, Dahlia menarik baju di bahagian lengan Nasri. Mahu membawa lelaki itu ke sofa. Tetapi belum sampai ke sofa, Nasri menepis tangan Dahlia. Dahlia tersentak. Lebih mengejutkan apabila Nasri menolak bahunya dengan kasar. Begitu kasar hingga Dahlia jatuh terduduk.
"Ah... Sakitlah!" Suara Dahlia meninggi. Hilang sudah sabarnya. Pandangan Nasri yang berdiri di hadapannya ini begitu tajam hingga Dahlia berani mengatakan lelaki itu begitu marah. Marah dengan tindakan Dahlia sebentar tadi. Tapi, Dahlia sedikit pun tidak gentar bahkan geram pula yang menguasai hatinya.
"Kenapa? Marah saya buat awak macam tu? Tak puas hati?" Dahlia berdiri lalu mencekak pinggang berhadapan dengan Nasri Haikal. Niatnya tulus ikhlas. Mahu mengubah tabiat Nasri. Mungkin terlalu tergesa-gesa tapi sekurang-kurangnya Nasri tidak perlu menolaknya dengan begitu kasar hingga dia jatuh terduduk. Cukuplah hanya dengan menepis tangan. Dahlia tentu faham dengan kehendaknya ketika itu. Tapi tidak. Memang sengaja nak cari gaduh.
Nasri berjalan meninggalkan Dahlia. Dia kembali semula di bawah katil. Bukan meniarap. Tapi berbaring sambil menutup mata.
Dahlia mengusap dadanya beberapa kali. Cuba bersabar dengan kerenah Nasri.
"Hesy, lelaki sewel! Tak bertimbang rasa! Sewel!" Dahlia mengetap bibir. Terkeluar juga kata-kata itu. Dia tidak sengaja mengejek Nasri. Mungkin kerana dia terlalu marah.
Dahlia pantas melangkah mendekati pintu bilik. Dia keluar dengan segera meninggalkan bilik Nasri Haikal. Tak sangka mulutnya sudah terlepas cakap. Sabarnya hilang entah ke mana. Berkali-kali Dahlia menampar mulutnya sendiri. Dalam fikirannya, dia rasa begitu bersalah terhadap Nasri. Tak sengaja memanggil Nasri sebagai lelaki sewel.
Nasri membuka matanya semula selepas mendengar pintu bilik dihempas kuat. Dia masih lagi berbaring. Kemudian dia mengangkat kedua-dua belah tangannya. Menggerakkan jari-jemarinya lalu membelek lama. Kemudian sebelah tangannya menutup mata. Menggelapkan pandangannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co