Bab 8
"Lia. Kenapa terkuis-kuis nasi tu? Makanlah. Tak sedap ke kak ngah masak?" Lamunan Dahlia terhenti sebaik mendengar Damia bersuara. Pantas kepalanya menggeleng. Bukan kerana masakan Damia, tetapi dia sedang memikirkan tentang apa yang terjadi hari ni.
Oleh sebab bergaduh dengan Nasri, Dahlia menelefon Datin Sarah bagi meminta pelepasan untuk hari ini. Dia langsung tidak kembali ke bilik Nasri selepas melangkah keluar dari bilik lelaki itu. Pelbagai perasaan mula muncul saat Dahlia memikirkan semula apa yang berlaku. Kerana hilang sabar, dia mengherdik Nasri yang langsung tidak bersalah. Sepatutnya Dahlia memahami keadaan Nasri ketika ini. Bukan sebaliknya.
"Kalau Lia ada masalah, Lia boleh ceritakan dekat ibu. Mana tahu ibu boleh tolong." Puan Aina pula risau. Bukan dia tidak kenal dengan perangai Dahlia yang begitu mudah dibaca. Dilanda masalah, sikap periang Dahlia akan bertukar serta-merta. Tentu Dahlia ada masalah di tempat kerja barunya. Hari ini Dahlia pulang awal dari tempat kerja. Tak sampai tengah hari, Dahlia sudah sampai ke rumah. Ditanya mengapa pulang begitu awal, Dahlia senyap sahaja. Terus masuk ke bilik. Terperuk lama.
"Dah menyesal kerja dekat situlah tu. Tak pun dah berhenti. Abang long dah cakap dengan Lia, kan... Nak buat keputusan, fikir masak-masak. Jangan fikir masa tu aje. Fikir belakang hari juga," sampuk Danish membebelkan sikap Dahlia yang begitu senang membuat keputusan dan akhirnya menyesali keputusan itu.
"Abang long ni bisinglah," ujar Dahlia perlahan. Dia menyuap nasi ke dalam mulut lalu mengunyah beberapa kali.
"Lia dah tukar kerja ke? Kenapa kak ngah tak tahu pun?" Damia berkerut. Memanglah dia sudah mendirikan rumah tangga. Ada tanggungjawab sendiri. Tapi, sekurang-kurangnya jangan ketepikan dirinya. Mereka masih lagi satu keluarga. Kalau tak mampu menolong, Damia masih lagi mampu jadi teman pendengar.
"Baru tukar." Ringkas Dahlia menjawab.
"Kerja dekat mana?"
"Dekat rumah Datuk Azmi." Danish mencelah.
"Wow... Kerja dekat rumah Datuk. Jadi apa? Baby-sitter? Maid baru?"
Dahlia menggeleng. "Private nurse."
"Baguslah. Kerja dekat rumah orang kaya. Ada kerja kosong lagi tak dekat rumah Datuk? Mana tahu dia nak pakai maid ke... Boleh apply kan untuk kak ngah." Sengih Damia.
Danish yang duduk di sebelah menepuk perlahan lengannya. "Bukan suami angah tak bagi kerja ke?"
"Nak harapkan Zubir, semua tak bagi. Lepas tu, tengah bulan... Kering. Tak ada duit. Manalah cukup nak harapkan gaji dia seorang. Kerja despatch aje," luah Damia. Jika mereka belum mempunyai anak, mungkin Damia boleh menerima gaji suaminya itu. Menerima kehidupan mereka yang sederhana. Ini anak dah ada di dalam perut ni. Mana cukup dengan gaji suaminya itu.
"Minta izin dengan Zubir dulu. Cakap nak kerja. Nanti abang long try tengok kerja kosong yang dekat dengan rumah angah. Yang penting, minta izin lelaki angah dulu."
"Dah minta. Dia tetap tak bagi."
"Kalau Zubir tak bagi, angah tak payahlah kerja dekat luar. Cuba try kerja dekat rumah aje. Try buat business online. Orang banyak buat macam tu," pujuk Danish.
"Susah nak cakap dengan Zubir tu. Kita ni fikir nak tolong dia. Nak kurangkan beban dia. Tapi dia tak fikir macam tu. Dia fikir dia mampu nak sara keluarga dengan gaji dia seorang." Damia melepaskan rasa tidak puas hatinya. Rumah tangga yang dibina hampir tiga tahun ini mula dirasakan begitu sukar untuk dihadapi. Pengenalan dengan Zubir yang mengikat kepada perkahwinan, tidak dijanjikan bahagia semata-mata.
"Dia risau kat Mia. Dahlah anak sulung dalam perut. Kalau apa-apa kan susah." Puan Aina pula bersuara. Terus-menerus memujuk Damia supaya bersabar dengan dugaan hidup berumah tangga. Susah dan senang tentu ada.
"Abang long kena ingat. Nanti nak kahwin dengan anak dara orang, kena ada pendapatan kukuh dulu. Nanti isteri yang jadi mangsa," pesan Damia.
"Apa pasal abang long pula yang kena? Ni cerita pasal angah. Bukan pasal abang long."
"Angah bagi pesanan."
Danish menarik muka. "Itu bukan pesanan. Itu macam marah aje. Dengar ton pun dah lain."
Damia tergelak kecil. Dia kembali memandang Dahlia. Gadis itu senyap membisu sejak tadi. Selalunya jika dia berkunjung ke rumah ini, tidak pernah pula Dahlia memberikan reaksi sebegini.
"Lia... Lia termenung lagi?"
Dahlia tersentak.
"Taklah. Lia tengah makanlah ni."
"Lia senyap aje?"
Damia menyuap nasi ke dalam mulut.
"Ada hal sikit nak fikir."
"Pasal doktor serius tu?" Danish menyoal pula. Dia turut tertanya-tanya tentang masalah yang membelenggu Dahlia.
"Taklah. Bukan pasal dia."
"Habis, pasal anak Datuk?" Kunyahan di mulut Dahlia terhenti. Tepat pula Danish meneka.
"Lia dah tengking dia. Cakap dia sewel." Perlahan sahaja nada suara Dahlia.
"Sebab tu aje?" Danish mengangkat kening. Tak adalah kritikal sangat masalah Dahlia. Tapi gaya dia berfikir umpama menyelesaikan urusan negara.
"Minta maaflah dengan dia. Lia takut dengan dia ke?" cadang Damia. Dahlia menggeleng. Bukan soal takut kepada Nasri.
"Lia rasa bersalah sebab tengking dia. Cakap dia sewel. Lebih-lebih lagi dengan keadaan dia macam tu."
Damia berkerut. "Keadaan dia macam tu? Keadaan dia yang macam mana?"
"Dia trauma kemurungan," jawab Dahlia. Entah bagaimana dia hendak berdepan dengan Nasri esok. Mungkin Nasri akan bertindak lebih teruk lagi. Siapa tahu? Protes dengan apa yang telah dikatakan kepada dirinya.
"Lain kali Lia kena banyakkan bersabar. Beristighfar. Jangan sampai kita lepaskan marah dekat orang lain," pesan Puan Aina. Dahlia mengangguk faham. Dia mengambil apa yang terjadi sebagai satu pengajaran.
"Nanti Lia minta maaf ajelah dengan dia. Cuba ambil hati dia. Insya-Allah, okey." Puan Aina tersenyum.
Hati Dahlia sedikit lega walaupun dia tahu sangat sukar untuk mengambil hati Nasri. Apa yang boleh dilakukan untuk mengambil hati Nasri? Apa yang Nasri suka? Susahnya...
Ridzwan membelek telefon bimbitnya. Ada mesej yang datang daripada Datin Sarah mengatakan Dahlia pulang awal ke rumah. Ada kecemasan katanya. Malah Datin Sarah meminta dirinya melihatkan keadaan Dahlia. Risau betul Datin Sarah terhadap gadis itu. Pandai Dahlia mengambil hati Datin Sarah dan Datuk Azmi. Bukan senang untuk mendapatkan kepercayaan mereka berdua. Dengan begitu cepat Dahlia mempengaruhi mereka.
Ya. I will look after her. Jangan risau, Datin.
Selesai menghantar mesej, Ridzwan terus mencari nombor telefon Dahlia di skrin telefon. Dia mendail nombor telefon gadis itu serta-merta.
"Waalaikumussalam. Dahlia, awak okey?" ucap Ridzwan dari hujung talian selepas panggilannya berjaya disahut.
"Okey. Saya okey. Kenapa doktor?"
"Datin mesej saya. Cakap awak minta balik awal. Ada emergency. Itu yang dia minta saya tanya awak. Awak okey ke?" Ridzwan bersandar di kerusi sambil melihat suasana restoran. Matanya masih menantikan kehadiran Anis. Mereka sudah berjanji untuk makan malam bersama. Tapi sepuluh minit menunggu, wanita itu masih belum tiba.
"Dia marah saya ke?" Nada suara Dahlia dari hujung talian menyebabkan Ridzwan mengukir senyuman.
"Taklah. Dia tak marah. Dia risaukan awak adalah. Hal emergency awak tu... Dah settle?"
"Dah... Dah... Dah settle." Kedengaran seperti gugup pula suara Dahlia.
"Lupa saya nak cakap. Kawan awak, Juliana tu... Ada tanya dekat saya pasal awak. Jadi, saya terangkan dekat dia. Dia ingat saya sengaja berhentikan awak."
Dahlia ketawa kecil.
"Saya tak terangkan dekat Akak Ju. Sebab tu dia tanya dekat doktor. Sorry la."
Ridzwan melambai ke arah Anis yang baru tiba di hadapan restoran. Takut pula wanita itu tidak perasan akan kehadirannya. Penat wanita itu mencari dirinya nanti.
"Tak apa. Dahlia, saya ada dekat luar ni. Saya letak dulu. Kalau ada apa-apa, beritahu saya." Ridzwan terus menutup panggilan. Tak nak Anis menyoalkan dirinya berbual dengan siapa. Apatah lagi dengan Dahlia. Ada sahaja yang mahu disoalkan tentang Dahlia nanti.
"Lama tunggu aku?" ujar Anis sebaik tiba di meja makan.
"Lama." Hampir dua puluh minit juga Ridzwan menunggu Anis. Memang perempuan mengambil masa yang lama untuk bersiap agaknya. Padahal Anis kelihatan biasa sahaja. Tak cantik bagaikan bidadari pun.
"Sorrylah. Dah sampai rumah, dah lepak-lepak, baru aku teringat apa yang kau cakap. Itu yang lambat." Anis hanya mampu tersengih memberikan alasan. Memang Ridzwan ada mengajak dirinya untuk makan malam bersama ketika di klinik siang tadi. Dia yang terlupa sendiri.
"Nak oder apa?" soal pelayan yang sudah menghampiri meja.
Anis membuka buku menu. Dia sempat memandang sekilas ke arah Ridzwan. Lelaki itu masih belum memesan makanan. Cuma minuman sahaja yang berada di hadapannya.
"Kau tak nak oder sekali ke?" curiga Anis.
"Nasi Goreng Cina. Jangan buat pedas," pesan Ridzwan.
"Saya nak mi goreng dengan jus laici."
Pelayan itu menganggukkan kepala lalu meninggalkan meja mereka.
"Apa hal tiba-tiba kau belanja aku makan hari ni?" Anis mulakan kembali perbualan antara mereka.
"Bukan aku selalu belanja kau makan ke?"
"Memanglah. Tapi tak pernah pula kau belanja aku makan dekat restoran macam ni. Selalu dekat restoran mahal aje."
"Kau nak kompelinlah ni?" Ridzwan berpeluk tubuh.
Anis menggeleng perlahan. "Bukan nak kompelin, cuma curious aje."
Ridzwan memerhati keadaan restoran. Tak ada masalah untuk dia menikmati makanan di sini. Sekali-sekala menukar selera. Tak ada salahnya. Apa yang penting, kebersihan restoran terjaga. Itu sahaja.
"Tadi aku nampak kau berbual lama dengan Juliana dekat klinik. Berbual pasal apa?"
Ridzwan mengeluh lembut. "Jangan sibuklah."
"Mana boleh tak sibuk. Kalau hal klinik, aku pun kena ambil tahu juga."
"Ni bukan hal klinik."
"Habis, kau orang berdua cakap pasal apa? Dahlia?" Anis tersenyum kecil.
Ridzwan menghirup air teh O ais limau. Dia tahu jika kenyataan itu tidak berjawab, Anis akan terus menyoal lagi sehingga dia membuat andaian sendiri.
"Ya. Aku cakap pasal Dahlia. Juliana nak tahu pasal dia." Ridzwan terus terang. Itu lebih baik.
"Kenapa dia tak tanya dekat Dahlia sendiri? Kenapa dia nak tanya dekat kau?"
Ridzwan mengalihkan pandangannya. Pelik kenapa Anis mengambil bidang perubatan jika dia begitu minat dalam bidang pengacaraan. Dah macam pengacara rancangan pula wanita itu. Sibuk sangat mahu mengambil tahu tentang kisah cinta dalam hidupnya. Atau mungkin Anis berasa cemburu apabila nama Dahlia dibangkitkan? Cemburu kerana perasaannya pernah ditolak oleh Ridzwan suatu ketika dahulu?
"Kalau aku kenalkan kau dengan kawan aku, kau nak tak?" Soalan Ridzwan membuatkan mata Anis terbeliak. Kenapa tiba-tiba Ridzwan mengutarakan soalan begitu? Adakah dia kelihatan terdesak untuk memiliki teman lelaki? Tampak begitu kasihan dan sunyikah dirinya di mata Ridzwan?
"Apa hal tiba-tiba kau tanya aku macam tu?"
"Sebab kau ni nampak lonely sangat. Nak tahu pasal love line aku aje."
Anis menundukkan kepalanya. "Aku nampak sunyi ke? Nampak busybody sangat, ya? Nampak desperate, ya?"
"Anis... don't get me wrong." Ridzwan tidak lagi bersandar. Cepat pula tersentuh hati wanita di hadapannya ini. Selalunya tak mudah sentap. Hari ini berbeza pula. Ada angin monsun yang menimpa Anis ke hari ini?
"Jangan risau. Aku okey." Anis mengangkat muka. Dia memandang Ridzwan dengan senyuman kecil yang mula terukir.
"Aku terima offer kau. Kau kenalkan aku dengan kawan-kawan kau. Aku tak kesah," ucap Anis lagi.
Dalam hatinya, dia sentiasa mengharapkan Ridzwan yang mengisi ruang kosong ini. Atas dasar persahabatan, Anis memilih untuk berada di sisi Ridzwan dan terus memerhati. Tapi untuk hari ini, Anis seperti ditampar dengan penantian yang tidak bermakna. Dia perlu sedar Ridzwan takkan terbuka hati sampai bila-bila untuk dirinya. Barangkali Ridzwan mencari seseorang yang mampu menggantikan tempat Alessa. Mungkin Dahlia atau mungkin orang lain. Tetapi tidak akan sesekali digantikan dengan dirinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co