Bab 11
"Zayn, rasanya dah agak lama kita tak bersembang," kata Ellisa sebaik sebaris ucapan salam dia berikan sebagai pembuka bicara kepada Zayn yang berada di hujung talian.
"Hmmm. Maaflah saya tak ada masa nak call. Kebelakangan ni saya agak busy," jelas Zayn.
"No problem. I understand. Cuma nak beritahu, rasanya hujung minggu ni bolehlah kita berjumpa," ujar Ellisa. Ayatnya berbunyi seperti suatu pengesahan daripada sebuah pelawaan. Zayn mengerutkan dahi.
"Awak nak jumpa dengan saya? Dah tak marah dah pasal hari tu?"
"Saya tak marah dah. Terima kasih kepada awak, Amier tak teragak-agak nak tunjukkan keikhlasan dia kepada saya," ucap Ellisa dengan girangnya.
"Awak dah beritahu dah perkara tu sebelum ni," kata Zayn datar.
"Dah tiba masanya awak pulangkan emas nenek saya," tambah Ellisa tegas, membuatkan Zayn tersenyum.
"Bukankah tempoh awak tunaikan syarat dah luput?" Zayn mula bergurau.
"Mana ada. Hari tu awak kata tak ada tempoh. Awak kata saya boleh ambil berapa lama yang saya suka." Ellisa pantas tidak puas hati. Zayn meleraikan tawanya.
"Awak cakap macam tu mesti sebab awak takut kalah, kan? Itulah, siapa suruh awak cuba rosakkan hubungan saya dengan Amier?" senda Ellisa pula.
"Mana ada saya cuba rosakkan."
"Ya. Kalau tak, kenapa awak tiba-tiba tuduh Amier macam tu? Because of your hastiness I'm winning the bet," kata Ellisa penuh yakin.
"Saya tak yakin awak akan menang," jelas Zayn yang tidak kurang keyakinannya.
"Jadi, awak yakin saya akan kalah? Tapi, saya tak nampak pun jalan untuk awak menang," kata Ellisa penuh yakin.
"I will win. Trust me."
"Takkan awak yakin awak boleh menang sebab awak sebenarnya kenal dengan Amier? Jadi, kau orang rancang nak kenakan saya?"
"Tak adalah. Saya tak kenal pun dia."
"Takkan awak nak beritahu dia saya berkawan dengan dia sebabkan syarat awak tu? Saya dah fikir elok-elok. Awak letakkan syarat macam tu sebab awak yang nak saya dekati dia. Dan saya pun, memang sukakan dia. Kalau awak gunakan alasan tu untuk rosakkan hubungan saya dengan dia, saya kira awak main tipu," bebel Ellisa panjang.
"Ya, saya tahu. Saya ni jujur orangnya. Saya takkan buat awak macam tu."
"Anyway, saya nak cakap itu aje. See you and my grandma's gold coin soon," ucap Ellisa seraya mematikan talian.
Zayn tersenyum sambil menggeleng. Nampak gaya, segalanya antara Amier dan Ellisa kini berjalan dengan terlalu lancar. Semua itu berlaku disebabkan dirinya juga.
Zayn menarik dalam-dalam nafasnya lalu dilepaskan dengan perlahan-lahan. Telefon bimbitnya dikembalikan ke dalam laci meja lalu tumpuannya dia berikan ke skrin komputer. Jauh di sudut hatinya, dia masih merasa terganggu dengan kemesraan Ellisa dengan Amier. Dan dia akui juga, sejak kali pertama dia bertemu dengan Ellisa, dia sudah terpaut.
Namun dia tahu, peluangnya tipis dan bakal menghilang sekiranya perasaan Ellisa dan Amier terus memekar antara satu sama lain. Pun begitu, dia tidak menyesal. Sebaliknya, dia tumpang gembira. Dia rela melepaskan Ellisa kepada Amier demi kebahagiaan wanita itu.
Dan, dia cuma perlu pujuk hati. Sekurang-kurangnya dia tidak begitu terluka kerana perasaannya terhadap Ellisa masih belum dalam.
DIA mengayunkan kakinya dengan ringan menuju ke restoran, tempat yang telah dijanjikan dirinya dan Amier untuk bertemu. Sekilas dia mengerling ke arah jam yang tersarung kemas di tangannya. Dia lewat sepuluh minit. Ellisa tersenyum. Pastinya Amier sudah setia berada di situ dan sedang menantikannya.
"Dah lama ke sampai? Maaflah kalau saya terlalu lambat," sapa Ellisa kepada Amier apabila dugaannya tepat. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi di hadapan Amier.
"Saya pun baru aje sampai sebenarnya," ucap Amier sambil tersenyum nipis.
"Awak... Kita makan dekat tempat lain nak?" ajak Amier tiba-tiba. Ellisa yang baru sahaja ingin membelek menu yang ditawarkan restoran itu terus membatalkan niatnya. Wajah Amier direnung kosong.
"Okey." Ellisa bersetuju tanpa berfikir panjang biarpun dia tahu, Amier kebiasaannya tidak begini. Jejaka itu jarang berubah fikirannya.
Ellisa mengerling ke arah Amier yang sedang memandu di sebelahnya. Jejaka itu tampak gembira. Malah, aura cerianya luar biasa, tidak seperti hari-hari lain. Ellisa tersenyum. Amier mula berubah apabila mereka disergah Zayn beberapa hari lalu. Mungkin kerana dia terkesan dengan tuduhan Zayn, Amier tegar membuktikan keikhlasannya terhadap Ellisa. Sejuk hati Ellisa dibuatnya. Nampaknya, keburukan yang cuba didatangkan oleh Zayn antara mereka menjadi sebuah kebaikan pula. Ellisa sendiri pun tidak sangka.
Tindakan Amier yang tiba-tiba memberhentikan kereta melesapkan angan Ellisa dengan serta-merta. Spontan, Ellisa melemparkan pandangannya ke luar tingkap, memerhatikan kelilingnya. Tiada apa yang aneh. Cuma, dia mula tertanya mengapa Amier memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah yang sememangnya asing baginya.
"Kita dekat mana ni?" soal Ellisa biar pun nalurinya sudah memberikan jawapan.
"Rumah saya," jawab Amier sambil tersenyum. Tali pinggang keledar segera dicabutnya lalu tanpa membazir masa, dia melangkah keluar kereta.
Ellisa terkulat-kulat. Jiwanya mula meronta tidak keruan. Namun, tubuhnya kaku tidak bergerak. Dia tahu tidak salah kiranya Amier ingin memperkenalkan dirinya kepada keluarganya. Tetapi, sekurang-kurangnya, umumkanlah dulu.
"Awak tak nak keluar ke?" soal Amier. Pintu kereta sebelah Ellisa sudah dibukakan oleh jejaka itu. Ellisa membuka tali pinggang keledarnya. Perasaan gentarnya disembunyikan.
"Awak tak rasakah awak perlu beritahu saya dulu sebelum bawa saya jumpa keluarga awak?" Ellisa cuba menyoal dengan nada yang bersahaja.
"Saya nak bagi kejutan. Tak bolehkah?" ujar Amier selamba.
"Memang saya terkejut. Tapi, tak adillah untuk saya..."
"Kenapa? Awak nak kata awak tak bersediakah?"
"Yalah. Kenapa tiba-tiba? Salahkah kalau beritahu saya dulu?"
"It's not a big deal. Emak saya nak sangat jumpa dengan awak."
Ellisa menelan liurnya yang terasa kelat. Amier dengan kedegilannya... Macam mana cakap pun, tetap dia yang betul. Mahu tidak mahu, Ellisa terpaksa pasrah dengan keadaan. Dia memujuk diri bahawa perjumpaan ini hanyalah perjumpaan antara seorang kawan dengan keluarga kawan yang lainnya. Tidak lebih daripada itu...
MACAM mana ni? Ellisa mengeluh dalam hati sambil meletakkan kepalanya di bawah sebuah bantal. Dia membiarkan dirinya berada dalam kelemasan untuk beberapa ketika sebelum bantal itu dialihkan dari wajahnya.
Ellisa menghela nafas dalam-dalam, cuba menenangkan fikirannya yang tidak mampu tenteram sejak kejadian tengah hari tadi. Jantungnya masih berdegup kencang dan perut yang masih berkocak-kocak seperti lautan yang dilanda taufan. Pertemuan yang drastik dengan keluarga Amier tadi benar-benar membuatkannya tidak keruan.
Segalanya berjalan dengan lancar sewaktu dirinya bersua dengan ahli keluarga Amier tadi. Walaupun dia merasa kekok, namun dia berjaya membawa diri. Malah, keluarga Amier melayannya dengan begitu baik sekali terutama emaknya, Puan Nadyah.
Ya, itulah yang membuatkan aku tak sedap hati, bisik hati Ellisa.
Ellisa memusingkan tubuhnya, menghadap ke dinding berwarna putih yang tampak kelabu pekat di dalam gelap. Dua tiga kali dia menarik dan menghembuskan nafasnya. Dia tidak pasti mengapa tetapi dia cukup tidak senang hati apabila dirinya disenangi oleh emak Amier, atau dalam kata yang lebih tepat, Ellisa tidak tenteram apabila Puan Nadyah menyukai dirinya dan menyampaikan niat untuk meminangnya pada masa terdekat.
Is that supposed to be a bad thing? Ellisa menyoal diri.
Jawapannya tidak. Sebenarnya, dirinyalah yang bermasalah. Dia tidak pasti kedudukan hatinya terhadap Amier. Memang benar dia sukakan Amier. Namun, perasaan itu tidak mendalam. Atau dengan kata lainnya, belum cukup berkembang untuk dikatakan sebagai perasaan cinta.
Sebab itulah dia sebenarnya masih belum bersedia untuk berjumpa dengan keluarga Amier. Kalau berjumpa sahaja tidak mengapa tetapi apabila Puan Nadyah mula menanam harapan, Ellisa rasa bersalah. Antara dirinya dengan Amier masih belum serius. Sekurang-kurangnya, perasaannya terhadap Amier masih belum cukup pasti. Atas sebab itu jugalah dia masih belum bersedia membawa Amier untuk berjumpa dengan Puan Dahlia.
Segala-galanya berlaku dengan terlalu pantas pada pendapatnya. Dia sendiri pun tidak sangka Amier akan membawa hubungan persahabatan mereka ke tahap yang lebih jauh dalam sekelip mata. Takkan dalam waktu yang singkat, Amier benar-benar sudah jatuh hati kepadanya? Sungguh, niat Ellisa dari mulanya hanya untuk mengenal hati budinya tanpa perlu mengejar waktu.
Jika Amier memang diciptakan untuknya, nalurinya pasti terdetik tahu. Tetapi, setakat ini petikan perasaan itu belum kunjung tiba.
Jadi, bagaimanakah dia bisa memujuk hatinya yang tidak habis-habis meragam kerana tidak tenteram? Ellisa mengetap bibir. Mahu diceritakan kepada Naqiya, gadis itu sudahpun hanyut dibuai mimpi. Lagipun, dia sudah boleh menjangka respons adiknya itu.
Tak apalah kalau macam tu. Sekurang-kurangnya kau suka dengan Amier tu. Perasaan cinta... Lepas kahwin pun boleh. Lagi best kot kalau bercinta lepas kahwin, jelas Naqiya sambil tersengih-sengih sumbing dalam bayangan minda Ellisa.
Betul juga, jawab hati Ellisa.
Dia yakinkan diri bahawa sekurang-kurangnya kini dia tahu Amier juga sudah menaruh hati kepadanya. Malah, Amier serius tentang dirinya. Ellisa turut memujuk diri bahawa hubungan antara mereka akan terus berkembang maju dan memekar menjadi sebuah perasaan cinta yang utuh biarpun segalanya antara mereka kini berlaku terlalu pantas.
Yes. I just need to remember that. Ellisa bermonolog kepada dirinya. Dia perlu bersikap optimistik.
Remember that. Insya-Allah... Mungkin macam ini perjalanannya untuk aku bertemu dengan jodoh aku.
Tepat pada masa Ellisa menghentikan angan, telefon bimbitnya menjerit memanggil. Sambil tangannya meraba-raba di meja sisi katil, otaknya menimbulkan persoalan; siapakah gerangan orangnya yang berani menelefon malam-malam buta sebegini?
"Assalamualaikum." Kedengaran suara Zayn memberi salam. Ucapan itu terus menyegarkan mata Ellisa. Dia terus duduk dari perbaringan. Salam yang diberi dijawab dengan baik.
"Saya tahu awak baru aje telefon siang tadi. Tapi, saya ada hal nak beritahu ni," ujar Zayn dengan nada yang mendatar.
"Apa dia?"
"Awak nak jumpa saya kan hujung minggu ni? I'm afraid I can't make it."
"Can't make it? Kenapa?"
"Saya ada hal kerja."
"Ala. Saya nak emas tu balik..." Ellisa mengomel.
"Sabarlah. Tunggu dalam dua minggu lagi. Boleh?" ujar Zayn dalam nada memujuk.
"Dua minggu? Lamanya. Awak nak ambil masa menerima kekalahan, ya? Tak apa saya faham," gurau Ellisa.
"Trust me. You are not winning the bet." Zayn tersenyum di hujung talian.
"Tapi, dua minggu tu lama sangatlah," komen Ellisa.
"Saya tahu awak tak sabar nak duduk dengan nenek awak balik," ulas Zayn yang sudah sedia maklum akan situasi yang dihadapi Ellisa. Disebabkan sekeping emas yang berada di tangannya, Ellisa telah menceritakan urutan kejadian hidupnya yang berkait dengan syiling emas itu.
Buat seketika, Ellisa terpanar dengan kata-kata perli Zayn. Mahu sahaja dia melawan balik. Apa agaknya perasaan Zayn sekiranya Ellisa mengkhabarkan bahawa dia telah pun disambut baik oleh keluarga Amier?
Ellisa mengambil keputusan untuk tidak menghebahkan perkara itu. Sedahsyat-dahsyat perasaan runsingnya memikirkan tentang keluarga Amier, dahsyat lagi resahnya apabila memikirkan tentang Wan Jamsiah.
"Tak apalah kalau macam tu. Awak simpanlah dulu emas tu." Ellisa mengalah. Igauan tinggal bersama Wan Jamsiah berjaya meremangkan bulu romanya. Biarpun dia tahu dia perlu kembali ke pangkuan Wan Jamsiah untuk hukuman selanjutnya, dia hargai kiranya ada alasan baginya untuk tinggal lebih masa di rumah keluarganya.
Zayn tertawa mendengar respons Ellisa.
"Okey. Saya nak beritahu itu aje. I will be very busy starting tomorrow. Jadi, awak jangan nakal-nakal," ucap Zayn sebelum memutuskan talian antara mereka.
Ellisa melemparkan telefon di atas tilam di sebelah tempat perbaringannya. Buat beberapa ketika, alat itu direnungnya kosong. Suatu perasaan yang telah hilang dari dalam jiwanya digali. Dia cuba mencari kembali perasaan gundah yang bertakhta dalam sanubari sebelum dirinya diganggu dek panggilan daripada Zayn tadi.
Tiada.
Walau sukar untuk dia akui namun atas satu sebab yang ajaib, segala keresahannya hilang apabila dia mendengar suara Zayn. Ada sesuatu tentang lelaki itu yang mampu memberi keselesaan pada hatinya.
Quit it! Ellisa mengarahkan diri untuk menghentikan angannya daripada terus memikirkan tentang Zayn.
Perlahan-lahan dia merebahkan kembali tubuhnya ke atas tilam. Kepalanya direhatkan di atas sebuah bantal. Selimut ditarik semula sehingga hampir menutupi kepala. Tak semena-mena dia tersenyum, apabila mindanya mengingkari perintah diri.
Zayn. Tidak sepatutnya dia berada dalam ingatan...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co