Bab 12
Suasana di dalam kafe Starbucks itu tampak tenang biarpun penghuninya sederhana ramai. Dia cuba meneliti dan mentafsir tujuan setiap pelanggan yang duduk di kelilingnya dengan minat yang separuh. Apabila dia menyedari perbuatannya sia-sia, perhatiannya dialihkan semula ke telefon bimbit. Hatinya mula rasa tidak selesa. Orang yang cuba dihubunginya sejak tadi masih belum memberi apa-apa respons.
Ellisa mengalihkan pandangannya ke arah pintu masuk kafe, khuatir orang yang dinantikannya muncul sebelum waktu yang sepatutnya. Dugaannya tepat. Matanya terus tertancap pada kelibat Zayn yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Spontan, dia terus menumpukan perhatian pada telefonnya sekali lagi. Sebuah mesej pesanan ringkas dihantarkan kepada Amier.
"You're early," komen Zayn selepas memberi salam. Dia melabuhkan punggung di tempat duduk di hadapan Ellisa. Ellisa hanya mampu memaksakan senyuman.
"Macam biasalah. Awak bukan Amier. Kalau dengan Amier saya datang lewat sebab dia akan datang lagi lewat," balas Ellisa tenang. Secawan minuman coklat panas yang sudah surut suhunya diteguk.
"Kalau awak lambat pun tak apa. Saya tak marah."
"Awak punctual. Saya pun patut punctuallah," komen Ellisa. Dia terasa janggal dengan pertemuan mereka kali ini. Mungkin kerana kali ini Amier akan menyertai mereka.
"Saya tahu. Don't worry about it," ujar Zayn sambil tersenyum.
Ellisa tidak meneruskan bicara. Sebaliknya, dia merenung wajah Zayn yang sedang membuat pesanan kepada pelayan kafe. Zayn nampak bertambah tampan dengan gaya potongan rambutnya yang lebih pendek.
"Saya ingat awak datang sama-sama dengan dia." Zayn memulakan bicara apabila Ellisa terus mendiamkan diri.
"Dia suruh saya datang dulu. Dia kata ada hal yang perlu dia selesaikan," balas Ellisa tenang. Jiwanya yang bergelora dengan pelbagai perasaan berjaya diselindungkan. Tuhan sahaja yang tahu apa perasaannya apabila dia terfikirkan kemungkinan ketidakhadiran Amier dalam pertemuan itu.
Sudah terlalu hampir baginya untuk mendapatkan kembali emas Wan Jamsiah. Harapannya cuma satu, janganlah Amier menghampakan permintaannya untuk hadir di situ.
Saat itu juga, telefon bimbitnya berbunyi. Jemarinya cekap menekan butang tertentu agar mesej yang sampai dapat dibaca dengan pantas. Buat seketika, perutnya terasa kecut. Sebaik sahaja dia membaca mesej itu, dia terus mengeluh berat. Telefon diletakkan di atas meja dengan kasar.
"Amier cakap dia tak dapat datang. Kereta dia rosak tengah jalan," jelas Ellisa tanpa minat. Nalurinya kuat mengatakan bahawa Amier tidak berkata benar.
Jauh di sudut hati, dia terasa mahu menjerit. Mengapalah susah sangat untuk dia dapatkan kembali emas Wan Jamsiah? Mungkinkah syiling emas itu benar-benar ada kuasa mistik?
"Bila tengok muka awak hari ni, baru saya sedar... Awak sengaja ke bagi syarat macam ni? Supaya saya ni nampak macam mempergunakan Amier?" ujar Ellisa tak semena-mena. Dia tidak berpuas hati dengan keadaan dan sebelum sempat dia menahan diri, dia telah menjadikan Zayn tempat dia melepaskan geram.
"I wouldn't put it that way. Sebelum ni, awak juga cakap awak sukakan dia. Jadi tak adalah awak permainkan dia, kan? I mean, you want to befriend him and you want the gold. So, I want to give you both," nyata Zayn. Dia dapat membaca ekspresi Ellisa yang kecewa dengan Amier.
"Honestly, syarat tu untuk push awak supaya bertegur dengan dia. Itu aje," sambung Zayn lagi apabila Ellisa terus mendiamkan diri.
Ellisa buntu dengan kata-kata. Benar kata Zayn. Sebelum ini, dia yang beria-ia memperteguhkan bahawa apa yang dilakukan tiada kaitan dengan mempermainkan perasaan Amier. Tetapi, mengapa sekarang dia mula rasa bersalah?
"Kenapalah hari ini baru kereta Amier nak buat masalah?" Ellisa tidak ada daya menahan kekecewaannya. Wajahnya ditekup dengan kedua-dua telapak tangannya. Sakit betul hati!
"Buatlah masalah esok-esok. Tak, lepas Amier dah sampai sini, nak buat masalah pun tak apa," sambung Ellisa yang jelas terkilan dengan keadaan. Giliran Zayn pula mendiamkan diri. Secawan teh limau tanpa gula yang dipesannya tadi diteguk perlahan.
"Don't say things like that. You made yourself sound like you are really using him," pujuk Zayn separuh hati.
"Awak bagi ajelah emas tu kepada saya. Awak pun dah tahu saya dengan Amier dah berkawan baik." Ellisa tiba-tiba cuba memujuk Zayn.
"Perjanjian kita, awak kena kenalkan dia dengan saya, kan?"
"Tak boleh ke kalau tak ikut syarat tu? Lagipun, dia dah beritahu emak dia yang saya ni calon isteri dia."
"Really?" Ada sepalit kekecewaan terselit di celah suara Zayn tatkala dia meluahkan perkataan mudah itu. Ellisa mengangguk laju namun tiada lagi respons yang diterima daripada Zayn selepas itu.
"I'm sorry. Saya tak sepatutnya cakap macam tu..." ucap Ellisa selepas beberapa ketika mereka berdua mendiamkan diri. Dalam beberapa minit itu, Ellisa berjaya mententeramkan dirinya sedikit.
"It's okay."
"Tapi, saya nak tahu. Kenapa awak nak saya menang pertaruhan ni?"
"Sebab saya nak pulangkan emas awak."
"Nonsense. Kalau awak nak pulangkan emas tu, tak ada syarat pun tak apa. Lagipun, awak pernah cakap awak yakin saya akan kalah." Ellisa menyuarakan sangsinya dengan nada yang memberi tekanan kepada Zayn.
Zayn meneguk teh dari cawannya demi memikirkan tindakan sewajarnya yang perlu diambil bagi mengelakkan dirinya daripada menjawab pertanyaan Ellisa. Setelah teh dihabiskan, dia mengerling ke arah jam di tangannya sebelum mengembalikan tumpuannya kepada Ellisa yang sedang menantikan jawapannya.
"Awak free, kan? Jom kita pergi tengok wayang," ajak Zayn.
Ellisa terlopong sejenak. Zayn pula pantas bingkas dari tempat duduknya dan terus mengayunkan langkah ke arah kaunter pembayaran. Ellisa turut bangun dan membuntuti Zayn ke kaunter.
"Kejap, Zayn..." Tidak sempurna ayat yang mahu dia luahkan apabila menyedari Zayn cuba melarikan diri. Dia sedar dia perlu pantas melangsaikan bil untuk mengelakkan lelaki itu daripada mengelak soalannya.
"Lis, tak apa. Saya dah bayar untuk awak sekali," ujar Zayn apabila dia melihat Ellisa masih tercegat di kaunter.
Bagus! Hati Ellisa menggerutu sinis. Tanpa membazir masa, dia mempercepatkan langkah ke arah Zayn.
"Awak, jawab soalan saya tadi..." perintah Ellisa dalam nada yang sedikit tinggi daripada biasa.
"Saya tahu awak geram sebab Amier tak dapat datang. Jadi, apa kata kita tenangkan geram awak tu dengan menonton wayang? Saya belanja," kata Zayn sambil tersenyum.
Melihatkan senyuman Zayn dan usaha ikhlasnya untuk memujuk dirinya secara tiba-tiba, Ellisa mengalah. Lagipun, bukan caranya untuk memaksa orang lain. Jika Zayn tidak mahu menjawab soalan itu sekarang, dia boleh bertanya pada hari lain. Pertanyaannya itupun bukannya hal besar. Bukannya berkaitan dengan soal hidup mati seseorang...
Ellisa berjalan satu tapak di belakang Zayn, mengekorinya dengan setia menuju ke destinasi yang dikatakan panggung wayang.
"Awak tahu tak orang tengok wayang dekat mana?" Ellisa mempersoalkan kefahaman Zayn apabila tempat yang mereka tuju adalah tempat untuk menaiki LRT.
"Dekat cinema."
"Yes. Dekat cinema. Dalam bahasa Melayunya, panggung wayang."
"Awak ni kenapa? Tiba-tiba buat dokumentari bahasa dekat sini?"
"Manalah tahu kot-kot orang Perancis tengok wayang dekat tempat naik kenderaan awam," sindir Ellisa, membuatkan Zayn ketawa.
"Panggung wayang dekat tingkat ataslah. Bukan dekat sini," sambung Ellisa lagi apabila Zayn masih tidak berhenti ketawa.
"Saya tak nak tengok wayang dekat sini. Saya nak tengok wayang dekat tempat lain," jelas Zayn. Dua tiket perjalanan menaiki LRT ke satu destinasi di ibu kota dibeli dari kaunter.
"Panggung wayang pun boleh pilih? Filem yang nak ditengok semuanya sama." Ellisa mengomel. Zayn mencebik. Satu tiket diberikan kepada Ellisa.
"Jangan bisinglah. Saya belanja. Suka hati sayalah."
"Yalah. Orang cerewet memang macam ni," kata Ellisa selamba. Dia meneruskan langkahnya di belakang Zayn yang sedang menuju ke platform. Sesampainya di platform, mereka berdiri beriringan, menanti kenderaan awam yang bakal datang menjemput mereka.
"Saya cerewet?" Zayn menudingkan jari kepada dirinya, sedikit tidak menyangka akan komen berani yang dibuat oleh Ellisa.
"Awak ingat saya tak perasan? Awak makan memilih. Yang goreng-goreng tak makan. Kalau minum, yang tak bergula aje. Kopi tak minum..."
"Wow, very good observation." Zayn kagum dengan pemerhatian Ellisa.
"Awak mana boleh makan sembarangan, kan? Those muscles of yours sure needs a good maintenance," ulas Ellisa sambil ketawa kecil. Pada masa yang sama, dia mengerling ke arah lengan Zayn yang nampak berotot biarpun diselindung di bawah helaian kemeja T yang dipakainya. Zayn memandang ke arah yang sama.
"Of course." Zayn mengangguk bangga. Kesihatan tubuh adalah aset baginya.
"Tapi, saya tak faham kenapa panggung wayang pun awak memilih. Is it related to your mental stability?" Ellisa menyoal dalam nada senda sambil tersengih-sengih sumbing.
"Apa? Awak nak kata saya hilang waras kalau saya tak pilih panggung?"
"Manalah tahu, kan..."
"You sure talks a lot under pressure." Giliran Zayn memberi pandangan.
Ellisa tersenyum-senyum lagi. Wajahnya yang berseri-seri menggambarkan betapa ringannya jiwa. Perasaan gusar yang melanda disebabkan ketiadaan Amier kini sudah melayang diterbangkan dek layanan Zayn. Sekilas dia terkenangkan dirinya ketika keluar bersama Amier. Perasaannya meluangkan masa bersama Amier tidak sama seperti ketika bersama Zayn.
Dengan Zayn, segalanya terasa mudah.
"Come on, Ellisa!" Panggilan daripada Zayn menyentapkan angannya yang seketika.
Dia memandang ke arah Zayn yang sudahpun berada di pintu masuk LRT. Kenderaan awam yang dinantikan telahpun tiba tanpa dia sedari. Dengan langkah yang pantas, dia menyertai Zayn di dalam perut LRT.
PERSEKITARAN di panggung wayang GSC itu dipenuhi manusia seperti kebiasaannya pada setiap hujung minggu. Ellisa menelan liurnya yang terasa kelat. Dia cukup tidak berkenan untuk berada di tempat yang dipenuhi manusia. Menyusahkan pergerakan. Lebih-lebih lagi di panggung wayang yang dipenuhi manusia. Mesti ada sahaja orang yang datang lambat dan membuat tayangan bayang-bayang di hadapan pandangan. Mengganggu betul.
"Ellisa. Cepatlah." Zayn yang tadinya menghilang untuk membeli tiket sudah kembali.
"Dah boleh masuk ke? Kita panggung nombor berapa? Tayangan pukul berapa?" Bertubi-tubi soalan yang diajukan Ellisa.
"Ada lagi sepuluh minit," balas Zayn seraya menunjukkan jam di tangannya kepada Ellisa. Jari telunjuknya diketuk-ketuk pada muka jam.
"Cis. Sepuluh minit. Lambat lagi."
"Cepatlah. Mari sini," panggil Zayn yang sudah mula mengorakkan langkahnya. Ellisa mencebik lalu menurut kata Zayn. Entah apa yang dikejarkan lelaki itu. Dia cukup tak faham.
Ellisa ternganga memerhatikan sekelilingnya. Ruang menunggu yang disediakan nampak sungguh eksklusif. Waktu itu baru dia menyedari bahawa tiket wayang yang dibeli Zayn bukan tiket biasa tetapi tiket gold class.
"Padanlah awak memilih panggung..." simpul Ellisa sambil memandang Zayn dari atas ke bawah. Zayn hanya memandangnya dengan ekspresi sifar.
"I'm not impressed," sambungnya lagi. Sememangnya dia bukan jenis yang menjadikan kemewahan sebagai ukuran untuk berdampingan dengannya.
"Not trying to impress you. Saya suka tengok dekat sini sebab seat dia besar," terang Zayn.
"Bagus." Ellisa tersenyum sinis. Jauh di sudut jiwa, dia seperti mahu memukul diri sendiri. Mengapa dia mengharap Zayn untuk mengambil hatinya sedangkan dia sepatutnya mengharapkan itu daripada Amier? Dia pasti, kalau Zayn pernah mempunyai perasaan terhadapnya sebelum ini pun, pastinya ia telah tawar.
Sesungguhnya, perasaannya terhadap Zayn lebih sukar difahami berbanding perasaannya terhadap Amier.
"Awak nak apa-apa tak?" soal Zayn.
Ellisa pantas menggeleng.
Lepas solat tadi kan dah makan?
Zayn mengangguk faham. Sekali lagi dia beredar. Kali ini ke kaunter untuk membeli makanan yang boleh dijamah ketika menonton wayang nanti. Sekembalinya Zayn, mereka pun masuk ke dalam bilik panggung lima minit sebelum tayangan bermula.
Tempat duduk di dalam panggung sudah separuh terisi dengan penonton. Di barisan hadapannya juga, dua orang yang dia syaki pasangan kekasih sudah pun mengambil tempat dengan selesa.
"Kita nak tengok cerita apa ni?" soal Ellisa perlahan bersahaja sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di atas kerusi panggung yang cukup selesa.
"Awak kata awak tak kesah tengok cerita apa," balas Zayn dengan intonasi yang sama. Dia tidak mahu perbualan mereka mengganggu orang lain di dalam panggung biarpun filem masih belum bermula.
"Memang pun tak kesah," ujar Ellisa lebih kepada dirinya sendiri. Hakikatnya, dia kagum dengan perkhidmatan panggung itu yang turut menyediakan selimut untuk penonton. Memang kelas!
"Sebabkan awak nak lepas geram, saya pilih cerita yang boleh membuatkan awak menjerit."
"Awak pilih cerita seram ke?" Ellisa menyoal serius.
Zayn mengiakan pertanyaan itu dengan satu sengihan sumbing penuh makna. Ellisa menelan liur. Dia cukup tidak gemar cerita-cerita yang boleh meningkatkan risikonya diserang sakit jantung. Baru sahaja dia mahu membuka mulut untuk memprotes pilihan Zayn, telinganya menangkap suatu suara yang amat dia kenali.
Dan suara itu bukan milik Zayn.
Ellisa menoleh daripada memandang ke arah Zayn di sisinya. Sebaliknya, tumpuan diberikan kepada lelaki yang sedang duduk membelakangkannya di tempat duduk barisan hadapan. Dari cahaya yang samar-samar, dia memerhatikan lelaki itu dengan tajam. Biarpun dia tidak dapat melihat wajahnya dari tempat itu, dia pasti dia kenal benar dengan jejaka itu.
Amier!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co