Bab 13
Ellisa terkedu. Jiwanya tiba-tiba terasa berat. Perutnya mula terasa sebu. Serta-merta perasaannya bercampur baur. Kekecewaan yang melanda ketika Amier mengkhabarkan berita palsu tentang keretanya pagi tadi terus bertandang kembali. Malah, perasaan itu berlipat ganda apabila memang tidak syak lagi Amier telah mendustakan kata.
Hatinya turut merasa terluka apabila yang hadir bersama Amier ketika itu ialah seorang gadis yang dia kenali sebagai bekas teman istimewa Amier, Bee. Tidak! Bukan bekas teman istimewa kerana melalui pemerhatiannya, mungkin itu satu lagi dusta. Amier dan Bee nampak mesra seperti pasangan kekasih. Mereka asyik berpegangan tangan sejak tadi. Itulah yang Ellisa nampak sekilas pandang sewaktu dia baru melangkah masuk ke dalam panggung, sekaligus menyimpulkan bahawa dua orang itu pasangan kekasih.
Ellisa menggeleng. Tanggapan itu ditolaknya jauh-jauh. Dia memujuk diri agar tidak berfikir yang bukan-bukan. Dia sedapkan hati dengan mengatakan lelaki di hadapannya bukan Amier tetapi seseorang yang seiras dengan Amier.
Ayat sedapkan hatinya tidak berjaya kerana dia betul-betul yakin lelaki itu Amier. Ellisa mengeluarkan telefon dari beg tangannya. Nombor telefon Amier pantas didail tanpa berfikir panjang. Tidak lama selepas itu, telefon bimbit lelaki di hadapannya berbunyi. Nada deringannya juga sama dengan nada dering telefon Amier. Ellisa menghela nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri.
Memang sah lelaki itu Amier! Cuma dia tidak sangka, dalam banyak-banyak pasangan kekasih dalam dunia ini, tayangan romantis tidak berskrip antara Amier dan Bee yang perlu dia saksikan. Bengkak hatinya. Bodoh sangatkah dia sehingga mampu ditipu sebegitu?
"Alamak, I lupa nak silentkan handphone," kata Amier tatkala telefonnya berbunyi. Dia mengeluarkan alat itu dari koceknya. Nama yang tertera di skrin dipandangnya sekilas sebelum mematikan telefon itu. Ellisa perhatikan sahaja gelagatnya dengan hati yang terbakar.
"Siapa yang call tu?" Bee menyoal manja.
"Ellisa..." jawab Amier.
"Apa dia nak?" Suara manja Bee bertanya dalam intonasi yang meluat.
"Entah. Malas I nak jawab. I dah bagi tahu dia tadi kereta I rosak. Selalunya dia tak macam ni. Selalunya dia tak banyak tanya."
"Mengganggu betul," rungut Bee.
"Janganlah macam ni. I tak jawab pun panggilan dia." Amier cuba memujuk.
"You sebelahkan dia? Mentang-mentanglah emak you sukakan dia dan tak sukakan I." Bee memuncungkan bibir, pura-pura merajuk. Tangannya yang dipegang Amier disentapnya kasar dan tubuhnya dipalingkan sedikit dari Amier.
"Emak I yang suka dia. Tapi, I sukakan you. Itu yang penting." Amier bagaikan tidak pernah jemu cuba mengambil hati. Namun, Bee masih mencebik.
"Hati I milik you. Ellisa tu dummy aje. Ada dia, emak I dah senang hati. Tak adalah dia bising lagi pasal kita, atau pasal you," sambung Amier lagi. Tangan Bee diraih kembali.
Ellisa menelan liurnya yang terasa kelat di anak tekak. Begini rupanya sikap Amier. Dirinya diterima hanya untuk dipergunakan sebagai bahan dusta terhadap ibunya. Keji punya perangai! Membuak-buak perasaan meluat Ellisa. Selimut yang ditebarkan pada diri digenggam kuat bagi menahan perasaan. Mahu menangis pun ada, tapi memikirkan dirinya sedang berada di tempat awam, dia kuatkan ego.
"Kalau macam tu, kenapa dari awal you tak berlakon sukakan dia?"
"Memang I berlakon. Tapi, perangai dia tu I susah nak ikut. Dia tu sebenarnya tak kena dengan selera I. I tak pandai layan perempuan yang tak pandai ambil hati I." Amier berterus terang.
"Bila dia tiba-tiba pandai ambil berat pasal I, baru I boleh jalan. Entah dari mana dia belajar jadi caring, I pun tak tahu. Tapi, kalau dia sanggup berubah sebabkan I, I la untung, kan? Itu menunjukkan dia betul-betul suka dekat I. Tapi, you jangan risau. I tak suka pun dekat dia," sambung Amier lagi.
Skrin luas yang terpampang di hadapan sudah mula menayangkan iklan sekaligus menggegarkan satu panggung dengan sistem bunyi yang mengagumkan. Meja kecil yang terletak di antara dirinya dan Zayn juga sudah dipenuhi makanan. Langsung tidak dia sedari akan kedatangan pelayan yang menghantar makanan itu.
Apapun yang telah terjadi, Ellisa tidak menganjakkan perhatiannya dari pasangan yang berada di hadapannya. Telinganya tajam mendengar perbualan mereka yang membongkarkan situasi sebenar dirinya dengan Amier. Zayn pula bagaikan sudah lupus dari dunianya.
"Tak baik tau you gunakan dia macam tu," ujar Bee, namun dalam nada berpuas hati.
"Eleh, you ni. Hari ni baru nak cakap tak baik. Selama ni you tak cakap pun macam tu," senda Amier. Pipi Bee dicubitnya manja. Bee tergelak kecil.
"Sejak you kenalkan dia kepada emak you, our relationship seems to go smoother than before. Rasanya I kena berterima kasih kepada dia juga," ucap Bee sinis.
Ellisa hanya mampu mengetap bibir, menghadam segala kenyataan pahit yang baru sahaja dia dengar.
"ELLISA?" tegur Amier apabila mereka terserempak antara satu sama lain sewaktu berjalan keluar dari panggung. Tangannya yang menggenggam tangan Bee cepat-cepat dilepaskan.
Ellisa menoleh ke arahnya dengan renungan membunuh. Panggilan itu tidak disahutnya. Sebentar sahaja dia menoleh ke arah Amier sebelum dia mengembalikan pandangannya ke hadapan. Dia pasti reaksinya menunjukkan kemarahan tetapi dia tidak faham mengapa Amier masih bisa memanggilnya.
"Ellisa!" Amier memanggilnya lagi. Bee yang berada di sebelahnya mempamerkan ekspresi yang kosong seolah-olah mahu bekerjasama menjayakan sandiwara Amier di hadapan Ellisa.
"Apa?!" bentak Ellisa.
Zayn yang sedang berjalan di hadapan mereka turut memberhentikan langkah. Dia juga ingin tahu apakah gerangan kisahnya yang menyebabkan Ellisa bersuara dengan begitu garang. Dia menoleh. Pandangannya terus tertumpu pada Ellisa yang sedang berhadapan dengan lelaki yang dia kenali sejak beberapa hari dahulu sebagai Amier. Seorang lagi gadis yang berselendang polka dot dan berkanta lekap warna biru turut hadir di situ.
Zayn sempat memandang keliling. Mujur, mereka berempat antara orang terakhir yang keluar dari bilik panggung. Tiada orang lain lagi di lorong itu.
"Awak buat apa dekat sini?" soal Amier. Keberangan terselit di celah nada suaranya. Dia begitu tidak gemar dengan intonasi yang digunakan Ellisa tadi. Ellisa tidak pernah meninggikan suara terhadapnya. Ini kali pertama.
"Perhaps, I should ask you the same question," balas Ellisa sinis. Renungan maha tajamnya dialihkan pula pada gadis yang berdiri di sebelah Amier. Bee buat muka tak bersalah.
"Saya keluar tengok wayang dengan dia. Salah ke?" Amier mula membela diri.
"Tak salah." Ellisa menjawab garang.
"Jadi, yang awak marah-marah ni kenapa?" Amier mempersoalkan rasional minda Ellisa. Penyakit hati Ellisa yang tercetus sejak tayangan filem bermula tadi masih belum dapat disembuhkan. Namun, dia tidak mahu bertindak melulu dengan meluahkan apa yang dia dengari tadi.
"Saya marah sebab awak tipu saya. Sebenarnya awak nak keluar dengan dia!" ujar Ellisa. Jarinya ditudingkan pada dirinya kemudian kepada Bee sebagai isyarat untuk memperkukuhkan dakwaannya.
"Bila masa saya tipu awak? Saya punya kereta memang betul-betul rosak pagi tadi," jelas Amier sejujur yang mungkin.
"Oh, sekarang dah eloklah?"
"Sudahlah. Kebetulan lepas betulkan kereta, Bee ajak saya keluar tengok wayang. Awak jangan salah faham. Saya dengan Bee kawan aje," jelas Amier bersungguh-sungguh.
"Oh, yeah? Kenapa beria-ia sangat explain kepada saya? Macam nak selindungkan sesuatu aje," duga Ellisa dalam nada menyindir.
"Saya tak nak awak salah faham."
"Saya sikit pun tak salah faham. Mana mungkin saya salah faham bila terserempak dengan awak dan ex-girlfriend awak dekat pintu keluar panggung wayang. Panggung gold class pula tu," perli Ellisa sambil tersenyum sinis. Perkataan gold class itu sengaja dia tekankan.
"Awak cemburu ke? Dia yang bayar tiket saya," kata Amier sambil menggamit ke arah Bee. Ellisa tergelak sinis. Satu lagi penipuan yang mengagumkan daripada Amier.
"Ada saya tanya ke siapa yang bayar duit tiket?" Satu lagi perlian Ellisa menyakitkan telinga Amier yang mendengarnya.
Baru dia sedar ucapannya sebentar tadi sebenarnya bercanggah dengan prinsip diri yang selalu dia pamerkan terhadap Ellisa. Amier mencebik. Dalam kesibukan mindanya mencari ayat untuk terus berdebat dengan Ellisa, dia terpandang akan Zayn yang sedang memerhatikan drama tidak berpengarah antara mereka.
"Eh, engkau! Kenapa kau ada dekat sini? Kau..." tegur Amier tetapi dia pantas kehilangan kata. Itulah lelaki yang mengganggu pertemuannya dengan Ellisa suatu ketika dulu. Apa yang dia lakukan di sini?
"It's a cinema. A public place. Why can't I be here?" balas Zayn selamba.
Ellisa pantas memalingkan wajah ke arah Zayn. Setelah lebih dua jam setengah, Zayn kembali wujud dalam hidupnya. Dia tidak sangka dia boleh terlupakan kawan yang banyak melayan kerenahnya sejak pagi tadi. Ellisa rasa bersalah, tetapi ini bukan masanya untuk dia memukul diri.
"Awak keluar dengan kawan awak, tak apa pula!" Amier mula meninggikan suara terhadap Ellisa. Matanya tajam merenung wajah Zayn dan Ellisa silih berganti.
"Awak pun keluar dengan kawan awak, kan? Siap pegang-pegang tangan, cubit pipi!" seloroh Ellisa sinis.
"Diamlah!" bentak Amier. Sikap baik dan peramah yang biasa ditayangkan terhadap Ellisa pada hari-hari biasanya sudah hilang entah ke mana. Nyatalah apa yang dipamerkan selama ini cuma lakonan semata-mata.
"Kaulah diam, pengkhianat! Rupanya apa yang dia cakap hari tu fasal kau, semuanya betul. Aku mati-mati tak percaya cakap dia," bidas Ellisa yang kini setuju dengan tuduhan yang pernah dilontarkan Zayn terhadap Amier.
"Apa yang dia cakap tentang saya masih satu tuduhan tak berasas. Tapi, kita sama-sama buat salah. Awak keluar dengan kawan awak, saya keluar dengan kawan saya," ujar Amier. Nadanya kembali ditenangkan agar Ellisa tidak terus melenting.
"Yalah, bagus juga. Awak teruskanlah keluar dengan perempuan tu!" ucap Ellisa serius.
"Mulut jaga ya, Ellisa. Macam ni rupanya perangai awak. Selama ni, mulut tu tak pernah celopar!" tingkah Amier tidak puas hati.
"Ha... Ya... Ya... Saya mengaku bersalah. Segala apa yang berlaku antara kita semuanya lakonan. Saya minta maaf, saya pun baru tersedar perkara ni. Awak berlakon, saya berlakon... Jadi, baik kita tak payah kawan lagi," luah Ellisa.
"Pandai-pandailah awak handle perasaan emak awak. Babai!" sambungnya lagi sebelum berpaling dan berlalu pergi.
Sebut sahaja perkataan emak, Amier terpanar. Dia cuba menghalang pemergian Ellisa namun dia memaksakan langkahnya untuk berhenti demi Bee.
Zayn hanya menjongketkan bahu. Dia turut mengorakkan langkahnya, mengekori Ellisa yang membawa diri dalam keberangan.
ZAYN tidak bisa berkata apa-apa. Bukannya dia tidak mahu memulakan bicara, tetapi dia merasakan perlu baginya untuk memilih kata-kata yang paling sesuai. Buat pertama kalinya, dia terasa sukar untuk memulakan perbualan. Jauh di sudut hati, dia berharap Ellisa yang berada di hadapannya meluahkan kata terlebih dahulu.
Sudah hampir setengah jam mereka duduk di salah satu meja di sebuah kafe sambil ditemani keheningan. Atas satu sebab yang tidak diketahui, Ellisa yang sedang duduk berhadapan dengannya tidak mahu mengangkat wajah. Bahkan, mukanya ditutup pula dengan sehelai kertas tisu.
"Are you okay?" Akhirnya Zayn membuka bicara tanpa mempedulikan kesesuaian ayat itu. Jika kesesuaian perlu diambil kira, alamatnya sampai ke habis mereka tidak akan bercakap.
"Don't talk to me," balas Ellisa perlahan. Wajahnya masih belum mampu diangkat.
"What's up?" soal Zayn kerisauan. Takkan Ellisa sedang menangis?
"Saya malu..." jawab Ellisa perlahan.
Spontan, Zayn meleraikan tawa. Dia tahu dia tidak sepatutnya bertindak sedemikian namun ada sesuatu yang menggelikan hatinya. Dia sendiri tidak pasti apakah ia. Mujur, dalam masa yang singkat, Zayn berjaya menenangkan diri.
Ellisa mengangkat wajahnya yang kelihatan sugul. Dia tidak menyalahkan Zayn yang mentertawakannya. Sememangnya sebentar tadi dia telah berlagak seperti seorang kanak-kanak tidak matang. Kemarahannya terhadap Amier nyata membawa padah apabila dia tergamak melakukan aksi drama di hadapan Zayn. Entah apa dia fikir. Sememangnya dia telah bertindak di luar kewarasan minda.
"Saya minta maaf sebab awak terpaksa tengok satu lagi movie lepas tengok wayang tadi." Ellisa meminta maaf seikhlas hati.
"It's okay."
"Saya cuma nak awak tahu, saya selalunya tak macam tu," jelas Ellisa perlahan-lahan. Zayn mengangguk-angguk tanda faham.
"Awak marah ke dia keluar dengan kawan dia tu?" Zayn terus merisik namun Ellisa pantas memberi respons.
"Tak. Saya tak marah. Dia menipu saya kata kereta dia rosak pun saya tak marah."
Zayn menggigit bibir. Dia tidak mahu terus bertanya. Biarlah Ellisa mengambil masanya untuk bercerita. Dia dapat membaca ekspresi Ellisa. Ada perkara yang lebih menyakitkan hati gadis itu daripada apa yang telah dia jangkakan.
"Tadi, saya terdengar dia bersembang dengan Bee pasal saya. Baru saya tahu, dia sebenarnya gunakan saya aje. Bak kata dia, dummy," adu Ellisa. Zayn meneruskan tugasnya menjadi pendengar setia.
"Saya ni dijadikan dummy untuk selindungkan hubungan dia dengan Bee kat belakang emak dia sebab emak dia tak sukakan Bee," luah Ellisa lagi.
"Menyesal betul saya berkawan dengan dia. Rupanya selama ni, saya ni kuat berhalusinasi aje. How could I be so stupid?! Macam manalah saya boleh tersuka dekat dia? Macam manalah sebelum ni saya boleh nampak dia sebagai seorang yang baik?" Ellisa menyuarakan kekesalannya. Wajahnya ditekup, mempamerkan betapa dia malu dengan dirinya yang mudah dipermainkan.
Zayn kelu tidak berbahasa. Reaksi Ellisa diperhatikan dengan rasa simpati namun tiada kata yang mampu dia luahkan untuk menjaga hati gadis itu. Menyaksikan Zayn yang tandus tanpa kata, Ellisa membuka tekupan dari mukanya. Sambil merenung tajam riak Zayn, dia menudingkan jari ke wajah lelaki itu.
"Ni semua salah awak. Kalau awak tak kacau line hari tu, tak adalah dia beria-ia nak jaga hati saya," ujar Ellisa yang merasa agak terganggu dengan kekurangan Zayn dalam memberi respons. Sengaja dia lakukan provokasi itu supaya lelaki itu bersuara.
"Salah saya?" Zayn tertawa kecil.
"Awak juga yang kata hari tu, kalau bukan disebabkan saya, Amier tak melayan awak dengan cukup ikhlas." Zayn membela diri.
"Ya la. Dia beria-ia tunjuk ikhlas sebab nak buktikan kepada saya tuduhan awak tu salah. Dia bersungguh tak nak saya berpaling daripada dia. Rupanya sebab dia tak nak kehilangan saya sebagai dummy depan emak dia. Dummy, tau tak? Dummy?" getus Ellisa. Tangannya menggenggam penumbuk.
"Awak sengaja nak kenakan saya, eh? Saya tak faham. Kenapa awak suruh saya untuk dekatkan diri dengan dia sedangkan awak tak nak saya menang? Mungkinkah Amier dengan Bee tu semua pelakon awak sebab awak tak nak saya menang..." Ellisa mula mengulangi dugaannya yang bukan-bukan.
"Bila masa saya kata saya tak nak awak menang?" balas Zayn dengan ringkas. Ellisa memerhati dengan tajam riak wajahnya dan dia dapat meneka, ada sesuatu yang dirahsiakan Zayn sebenarnya.
"Tipu. Hari tu dengan confidentnya awak kata awak yakin saya kalah."
"Saya sengaja cakap macam tu. Just to keep the game alive," ujar Zayn dengan jongketan bahu.
Ellisa mencebik. Nampaknya Zayn betul-betul ada menyembunyikan sesuatu. Dia tidak menipu, tetapi mahu memberitahu. Sesungguhnya dia tidak memahami insan yang bernama lelaki. Zayn macam ini, Amier macam itu pula... Sekilas, dia teringat. Ada satu lagi perkara yang tidak dapat dia larikan dari mindanya.
"Yalah tu. Tapi, saya hairan. Saya rasa semua ni macam dalam rancangan awak aje," ulas Ellisa dengan harapan bahawa kali ini dia telah mencucukkan jarum pada tempat yang betul.
"Kenapa pula?"
"Kenapa awak perlu bawa saya pergi tengok wayang dekat sini sedangkan dekat tempat kita berjumpa pagi tadi pun ada panggung wayang?"
"Sebabnya, ini memang tempat biasa saya tengok wayang."
"Ya ke? Bagi saya, awak macam sengaja bawa saya ke sini untuk temukan saya dengan Amier bersama Bee dia tu. Pendek kata, awak nak saya kalah pertaruhan."
Zayn segera memaksakan senyuman. Pantas sungguh Ellisa menghidu niatnya. Namun, dia tetap tenang. Apa yang bermain dalam minda Ellisa dapat dia baca. Andaian dan dugaan Ellisa juga betul walaupun tidak seratus peratus.
"Otak awak ni penuh betul dengan idea konspirasi," komen Zayn jujur. Kagum juga dia dengan minda Ellisa yang sentiasa berhati-hati. Sayangnya, kelebihan itu tidak pula dia gunakan terhadap Amier. Perasaan sukanya kepada jejaka itu telah mengaburi penilaiannya barangkali.
"Okeylah. Memandangkan awak dah dapat teka sikit-sikit, saya terus teranglah. Saya tak kenal dengan Amier tu. Cuma, beberapa kali juga saya nampak dia tengok wayang dengan girlfriend dia tu dekat panggung tadi." Giliran Zayn pula menghuraikan hujah. Ellisa setia memasang telinga.
"Kalau awak jadi saya, apa yang awak akan buat kalau awak nampak somebody yang awak tahu dah ada girlfriend, cuba pula nak pikat kawan awak sendiri?" soal Zayn.
Ellisa memilih untuk tidak menjawab. Keheningan dibiarkan bertamu untuk beberapa minit.
"But still, you're being kind of hasty. Can't you just tell me about it personally? Kenapa perlu buat kacau dekat tempat awam?" tanya Ellisa.
"Would you believe me?"
Sekali lagi, Ellisa diam. Jika diadili mengikut keadaannya pada ketika itu, dia yakin dia tidak akan mempercayai kata-kata Zayn. Waktu dekat kafe tempoh hari pun dia tidak percayakan Zayn, apa pula bezanya kali ini? Dia terlalu sukakan Amier sehingga membutakan penilaiannya.
"Saya bawa awak tengok wayang hari ni bukan untuk buktikan tuduhan saya. Saya tiada niat langsung untuk temukan awak dengan Amier dan girlfriend dia. Saya cuma rasa nak tenangkan perasaan awak lepas Amier kata dia tak dapat datang," tambah Zayn.
"Ini semua kebetulan yang mungkin merupakan satu petunjuk untuk membuka mata awak kepada siapa Amier yang sebenar. Cuba fikir, kalau bukan hari ini, bila?"
Ellisa tidak menjawab biarpun dia tahu jawapannya. Wajahnya ditundukkan sedikit.
"To be honest, I thought everything between us would be over today with you winning the bet. Tapi, katalah kalau awak menang pun, sooner or later, with or without me, you will somehow discover what you actually meant to him," jelas Zayn. Ellisa mengangguk lesu. Apa yang diluahkan Zayn tiada silapnya.
"So true," akui Ellisa dengan perlahan.
"Dari apa yang saya perhatikan tadi, awak tunjukkan diri awak yang sebenar waktu awak nampak dia dengan Bee. And from what I saw, he didn't like that."
"I know. I used to make myself uncomfortable just to make him comfortable. And he will not feel comfortable when I'm comfortable," luah Ellisa. Zayn mengangguk.
"Simply put, he didn't like you for you. Dia pura-pura sukakan awak supaya dia boleh gunakan awak." Zayn mencelah.
"Macam manalah saya boleh terlepas pandang? Amier selalu kutuk saya tak pandai ambil hati dia. Tapi, baru saya perasan. Sejak awak buat kacau hari tu, dia tak pernah sekalipun sebut macam tu lagi. Tiba-tiba aje, semua tentang saya sempurna pada dia," luah Ellisa kesal.
Ellisa menundukkan wajah tanpa dia sengajakan. Sedikit sebanyak hatinya tersentap dengan kenyataan itu. Hakikat itu tiba-tiba mengukuhkan lagi persepsinya bahawa tiada lelaki yang mahu mencintai wanita sepertinya kerana dia tidak pandai mengambil hati. Dia rimas kiranya hidupnya perlu diisi dengan kepura-puraan. Dia tidak rela memaksa diri mengambil hati orang lain kiranya hatinya tidak ikhlas.
Baginya, mengambil hati itu satu kelakuan yang sepatutnya berlaku tanpa sebarang paksaan, yang datangnya secara semula jadi apabila hati itu tulus.
"Tapi, saya lebih sukakan seseorang yang jujur pada diri dia. Seorang yang tak perlu korbankan siapa dirinya untuk mengambil hati saya." Tiba-tiba Zayn bersuara perlahan.
Ellisa mengangkatkan wajahnya, merenung wajah Zayn dalam-dalam, seolah-olah mencari sebuah jawapan kepada persoalan lain yang bermain dalam fikirannya.
"Are you saying that you actually like me?" soal Ellisa bersahaja.
"I like you for you, at least." Zayn membalas jujur.
Apabila respon positif yang diharapkan Zayn dibalas dengan satu keluhan berat, dia menerima kenyataan bahawa apa yang diucapkannya tadi tidak membawa apa-apa makna kepada Ellisa. Walau bagaimanapun, dia tidak merungut. Apa lagi yang boleh dia harapkan daripada seorang gadis yang baru sahaja dikecewakan? Pastinya bukan seorang pengganti ekspres.
"Anyhow, I feel like an idiot." Ellisa mula mempersalahkan diri sepertimana mula-mula tadi.
"Stop with the negativity. Look at the bright side. At least, awak dah cuba, awak dah usahakan, awak dah mengalaminya. This is better than you being delusional but tried nothing... Or you being kept in the dark. What you know now is something very clear."
"You're right. Whatever it is, saya dah kalah," ucap Ellisa dalam nada pasrah.
"Tapi, kan bagus kalau semua ni terbongkar waktu saya dah dapat balik emas itu daripada awak?" ujar Ellisa tidak serius.
"That will make you a bad person," komen Zayn.
"Why so?" soal Ellisa berbasi-basa.
"Sebab awak dah dikira gunakan dia untuk dapatkan emas tu."
"So, what? Dia pun gunakan saya," gerutu Ellisa.
Zayn tersenyum tawar. Dia tahu Ellisa hanya meluahkan kata-kata itu daripada rasa kecewanya. Ellisa tidak memaksudkan apa yang diluahkan kerana gadis itu jelas menyukai Amier secara ikhlas. Kalau pun dia berjaya mendapatkan syiling emas itu kembali atas keupayaannya menunaikan syarat yang diberi, Zayn yakin Ellisa tetap akan menjaga hubungannya dengan Amier sepenuh hati.
Maka, itu tidaklah dikira mempermainkan atau mempergunakan Amier, ya tak?
"Semua ni terjadi sebab silap saya sendiri. I am a bad person. I became a bad person ever since I stole that gold. Padanlah muka saya." Ellisa merungut sendirian dalam usahanya untuk melawan kekecewaannya terhadap Amier.
Zayn menarik nafasnya dalam-dalam lalu melepaskannya perlahan-lahan. Terganggu pula jiwa apabila melihat kesugulan di wajah Ellisa. Tanpa berfikir panjang, tangannya diseluk ke dalam poket belakang seluarnya. Dompetnya dikeluarkan lalu syiling emas Wan Jamsiah yang ingin sangat dituntut oleh Ellisa diambil dari simpanan. Perbuatannya tidak disedari Ellisa yang masih sibuk menekur meja.
Syiling itu diletakkan di atas meja. Perlahan-lahan, dia menolak emas itu ke arah Ellisa. Ketika itu, barulah gadis itu mengangkat muka. Melihatkan emas yang diletakkan di hadapannya, Ellisa terpanar. Wajah Zayn direnung dengan mata yang terkebil-kebil dan riak yang penuh dengan tanda tanya.
"Ambillah emas tu," ujar Zayn tenang.
"Tapi, saya tak penuhkan syarat," balas Ellisa teragak-agak. Dia seperti tidak percaya dengan nasibnya. Adakah ini usaha Zayn untuk menceriakannya?
"Memanglah. Ikutkan perjanjian, emas tu dah jadi saya punya. Jadi, suka hati sayalah nak buat apa dengan emas tu, kan?" balas Zayn.
Ellisa tersenyum lebar. Tidak dijangka tindakan Zayn akan mampu memperbaiki moodnya yang dirosakkan Amier. Beban kekecewaan yang bertapak dalam hatinya terasa diringankan. Sekurang-kurangnya dengan ini, satu masalah telah dapat diselesaikan.
"Terima kasih," ucap Ellisa seikhlas hati.
"Kali ini betul-betul tanpa syarat, ya?" Entah mengapa Ellisa terfikir untuk mengesahkan tindakan Zayn.
"Ada," balas Zayn selamba.
Keterujaan yang dirasakan bagaikan diragut sekelip mata. Ellisa mencebik. Sepatutnya dia sudah boleh menjangka bahawa tidak mungkin semudah itu dia akan dilepaskan.
"Saya nak awak kerja dengan saya. Awak masih belum dapat kerja, kan?" tanya Zayn datar.
Ellisa mengangguk perlahan. Dia tidak hairan persoalan tentang kerja yang ditimbulkan Zayn. Dalam perbualan mereka yang terdahulu, dia dengan terbukanya menceritakan kepada Zayn kisahnya mencari kerja yang masih belum menampakkan hasil. Kisahnya dibuang kerja turut dicerekakan. Ellisa menelan liur. Baru dia sedari betapa banyak mulutnya apabila bersembang dengan Zayn. Macam-macam dia cerita.
"Kerja dengan awak?" Ellisa berpura-pura tanya.
"Yep. Kalau awak nak kerjalah. Hari Isnin nanti datang pejabat saya untuk interview."
"You are actually serious?" Ellisa mengerutkan dahi. Sukar untuk dipercayai, Zayn seorang yang sentiasa mampu memberi kejutan kepadanya.
"Do I look like I'm kidding?" Zayn menyoal kembali. Ellisa diam.
Matanya merenung dalam-dalam wajah Zayn. Walau bagaimanapun, percubaannya untuk membaca riak lelaki itu gagal. Mengapa Zayn melayannya dengan begitu baik? Mengapa segala yang datangnya dari jejaka itu mendatangkan kebaikan kepada dirinya? Betulkah lelaki di hadapannya ini benar-benar sukakannya?
Ellisa enggan percaya. Selepas apa yang berlaku antaranya dengan Amier, dia tidak merancang menyerahkan hatinya dengan mudah.
Apapun, meski dia kecewa, namun dia akui kebaikan dalam membongkar sikap sebenar Amier. Selepas Amier, dia ditawarkan kerja pula? Wujudkah orang yang sebaik ini tanpa ada muslihat di sebalik niatnya? Ellisa tidak dapat menahan diri daripada terus bersikap skeptikal.
But, it's just a job. How bad can it be? fikir Ellisa. Dia terus memujuk diri agar tidak terus memenuhkan otaknya dengan prasangka buruk.
"Kalau awak nak kerja, awak datang. Kalau tak nak tak apa. Saya tak kesah," jelas Zayn apabila Ellisa lama mendiamkan diri.
"Saya nak. Siapa yang tak nak kerja?" balas Ellisa.
"It's the least I could do for you after you gave me this," sambung Ellisa seraya menayangkan syiling emas bergambar kuda yang diberikan Zayn kepadanya tadi.
"Janganlah macam tu. Saya tak nak awak paksa diri semata-mata nak berterima kasih dengan saya."
"Mana ada saya paksa diri. Saya memang nak kerja," akui Ellisa ikhlas.
"Good."
Tapi, saya tak jamin saya boleh datang interview. My grandmother might still want to keep me, bisik hati kecil Ellisa. Luarannya, dia hanya mengukirkan senyuman yang meyakinkan di hadapan Zayn.
"Eh, dah berapa lama kita dekat sini?" soal Ellisa apabila dia menyedari sudah beberapa minit berlalu sejak mereka duduk di situ. Namun, berbeza dengan kebiasaannya, meja yang terletak antara mereka kosong. Tiada sebarang minuman yang dipesan.
"Awak tunggu sini. I want to buy you a drink," ujar Ellisa sambil tersenyum. Serta-merta, dia bingkas dari tempat duduknya.
"Tak payahlah, Lis." Zayn menolak dengan santun.
"Ala. Bolehlah. Selalu awak aje yang belanja." Ellisa memprotes.
KERETANYA yang menyusur laju diperlahankan apabila dia melihat lampu isyarat bertukar merah dari kejauhan. Semakin lama semakin menyusut kelajuannya sehingga akhirnya kenderaan itu diberhentikan bagi mematuhi peraturan jalan raya. Masa yang singkat itu dia ambil untuk melihat keadaan langit yang bercampur warnanya. Rona jingga yang masih bersisa menunjukkan tanda bahawa matahari untuk hari itu sudah kian terbenam.
Zayn tersentak daripada lamunannya apabila telefon bimbit yang diletakkan di dashboard kereta tiba-tiba berbunyi. Alat itu terus dicapainya. Nama Ellisa tertera di skrin sebagai pengirim mesej pesanan ringkas yang baru sahaja sampai kepadanya.
Zayn, saya minta maaf. Saya baru teringat awak tak minum kopi. Tapi, tadi saya belikan awak kopi.
Dia tersenyum membaca mesej yang baru dibaca separuh itu. Tidak pernah dia terfikir Ellisa akan menghantar mesej sedemikian rupa atas alasan yang agak remeh.
Kenapa awak tak tegur saya waktu saya bagi dekat awak? Saya pun tak teringat sebab saya tengok awak minum aje. Lain kali, tegur aje. Saya tak kesah. Tak payahlah nak jaga hati saya sangat.
Terngiang suara Ellisa sewaktu Zayn meneruskan pembacaan mesej itu.
Zayn tertawa kecil. Telefon bimbit dia letakkan semula ke tempatnya. Pandangannya dialihkan perlahan-lahan ke tempat letak minuman berhampiran dengan gear. Sebuah gelas minuman plastik yang telah kosong direnungnya bersahaja.
Minuman Caramel Macchiato yang diberi Ellisa itu telah menjadi peneman buatnya sepanjang perjalanannya menaiki LRT, juga sehingga separuh perjalanannya menaiki kereta untuk pulang ke rumah. Benar, dia tidak gemarkan kopi. Tetapi, mana mungkin dia mampu menolak sebuah keikhlasan. Pemberian Ellisa dia terima dengan baik biarpun dia perlu mengambil masa yang lama hanya untuk menghabiskan segelas kopi.
Oh, Ellisa. Siapa kata awak seorang yang tak mengambil berat bila perkara remeh macam ni pun awak risaukan? omel Zayn dalam hatinya yang terasa senang. Dia tahu tindakan Ellisa itu berlaku secara semula jadi, tanpa dia sendiri sedari kerana berbeza dengan Amier, Ellisa tidak merasa terbeban untuk berusaha mengambil hati insan yang bernama Zayn.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co