Bab 4
"Emak ni pergi mana? Dah lewat malam tak balik-balik?" soal Naqiya sebaik sahaja dia melangkah ke dapur. Ellisa yang sedang duduk di meja makan hanya merenung kosong wajah adiknya.
"Aku nak cuba telefon lagilah," kata Naqiya. Gagang telefon yang tergantung di dinding dapur diangkatnya perlahan.
"Kejap..." suara Ellisa menghentikan perbuatannya.
"Kenapa?"
Pertanyaan Naqiya tidak dijawab. Seperti Naqiya, dirinya juga berasa tidak keruan dengan kehilangan emaknya dari tempat kediaman mereka. Keadaan ini sungguh luar biasa. Puan Dahlia yang merupakan seorang suri rumah jarang keluar rumah. Kalau adapun, tidak pernah dia tidak pulang sebelum jam sepuluh melainkan jika ada hal-hal kecemasan.
Ellisa merenung miniatur Colosseum tanah liat yang dibelikan untuk emaknya dari Itali. Perasaan teruja untuk menghadiahkan barang itu kepada Puan Dahlia sudahpun bertukar tawar. Sebaliknya, perasaan gundah pula yang melanda. Sejak mereka sampai di rumah dari Eropah pagi tadi, kelibat emaknya tidak kelihatan. Apabila cuba dihubungi, talian terus disambung ke peti pesanan suara.
Berkali-kali mereka cuba menelefon, namun gagal...
Kali ini, Naqiya mahu mencuba sekali lagi. Namun, entah mengapa hati Ellisa meragui tindakan itu. Dia tidak pasti apakah tindakan yang sewajarnya diambil. Dia tidak sedap hati untuk menelefon tetapi jiwanya terganggu dengan kehilangan emaknya tanpa sebarang maklumat atau khabar berita.
"Woi, apa kau nak cakap?" tegur Naqiya apabila dia lama mendiamkan diri.
"Aku rasa baik kau jangan telefon." Ellisa menyuarakan isi hatinya.
"Kenapa pula? Kau tak risau ke? Tak nak tahu ke emak dekat mana?"
"Nak tahu. Aku pun risau. Tapi, aku rasa lain macamlah kalau kau telefon..."
"Kenapa pula? Kau jangan menakutkan aku. Kau jangan buat aku fikir yang bukan-bukan!" ujar Naqiya dalam nada gementar. Gagang telefon yang dipegang terus dia letakkan balik di tempatnya.
"Kalau kau nak cuba telefon, telefonlah." Ellisa bagaikan menarik balik kata-katanya apabila melihat reaksi Naqiya. Ellisa turut merasa gementar namun demi ego dia tidak betah menunjukkannya di hadapan Naqiya.
"Tak naklah. Aku takut kalau aku telefon nanti, suara gangster yang angkat. Kalau macam tu, apa kita nak buat?" Naqiya semakin menggelabah tak tentu arah.
"Isy, kau ni! Jauh tersimpang pemikiran. Takkanlah emak kena culik." Ellisa sekali lagi menyembunyikan rasa gementarnya. Perasaannya sukar ditafsir. Nalurinya bagaikan mengiakan bahawa emaknya sedang ditahan tetapi bukanlah disebabkan oleh gangster.
"Kalau kau macho sangat, trylah telefon." Naqiya cuba menolak tanggungjawab kepada kakaknya.
"Kau ni, cara cakap macam confirm aje emak kena culik," bidas Ellisa yang tidak menyenangi cara Naqiya mencabar.
"Eee, kau ni. Mulut janganlah celopar!" marah adiknya.
"Kau yang mulakan dulu!" gerutu Ellisa.
"Apa pula aku?"
"Cepatlah. Telefon aje kalau kau nak," suruh Ellisa.
"Tak nak. Takut," omel Naqiya.
"Tak nak sudah." Ellisa mencebik.
Tubuhnya disandarkan ke kerusi. Naqiya pula gagah tercegat di tepi telefon. Wajahnya kerisauan namun dia tidak mahu mengalah kepada kakaknya. Jiwa Ellisa juga sedang memberontak kebimbangan namun dia turuti nalurinya yang membantah dirinya untuk menghubungi telefon bimbit Puan Dahlia. Jika keadaan memaksa, dia akan gunakan Naqiya untuk menghubungi emak mereka.
"Aku risaulah, Lis." Perlawanan ego antara mereka berdua berakhir selepas tiga minit. Naqiya akhirnya bersuara.
"Cubalah telefon." Ellisa berkata dalam nada memujuk.
Naqiya menurut. Perlahan-lahan gagang telefon diangkat dan dilekapkan ke telinga. Melihatkan perbuatan Naqiya, Ellisa bingkas dan berdiri di sebelahnya seolah-olah ingin memberi sokongan. Nombor telefon didail dan selepas tiga deringan, ada suara di hujung talian.
"Assalamualaikum, mak. Emak ada dekat mana?" soal Naqiya perlahan. Ellisa mendekatkan telinga ke gagang untuk mendengar perbualan mereka.
"Emak kau ada dengan aku. Kau ke mana, hah? Dua minggu menghilang tak beritahu aku!" herdik Wan Jamsiah di hujung talian. Naqiya terus terkedu. Ellisa terus mengetap bibir.
Benarlah Puan Dahlia diculik. Diculik oleh ketua mafia keluarga bernama Wan Jamsiah.
"Emak kau orang beritahu aku, kau dua orang pergi bercuti ke Eropah sampai dua minggu! Amboi, amboi... Bukannya nak beritahu aku. Aku telefon kau orang, haram nak jawab!" jerkah Wan Jamsiah lagi.
"Kau orang berniat nak lari dari aku, ya? Jangan harap. Kau orang nak jumpa emak kau orang, meh datang ambil dia dekat rumah aku ni. Lagipun, aku ada hal penting nak cakap dengan kau orang berdua," tambah Wan Jamsiah.
"Er, apa emak buat dekat situ?" soal Naqiya tak semena-mena. Ellisa mengetap gigi dan menggenggam tangannya. Mengapalah waktu-waktu begini Naqiya petah mengutarakan soalan yang tidak patut disoal? Diam sahaja kan boleh...
"Emak kau buat apa dekat sini? Kau rasa dia buat apa? Aku ambil dia datang sini supaya kau orang boleh datang jemput dia dan jumpa dengan aku. Padan muka. Inilah padahnya menyusahkan aku untuk jumpa dengan kau orang!"
Naqiya menelan liurnya yang terasa kelat di tekak. Wan Jamsiah meneruskan bicaranya untuk beberapa minit lagi sebelum memutuskan talian. Sambil membuat muka ketat, Naqiya turut meletakkan telefon.
"Esok pagi dalam pukul sepuluh aku tahu kau orang dah ada dekat sini," luah Naqiya dalam nada yang mengajuk Wan Jamsiah. Tangannya dicekakkan ke pinggang.
"Macam mana ni?" Giliran Ellisa pula bertanyakan soalan yang dia sendiri sudah tahu jawapannya.
"Macam mana lagi? Terpaksalah kita pergi bersemuka dengan ketua mafia tu esok."
MEREKA berdua melabuhkan punggung di atas sofa di ruang tamu kediaman Wan Jamsiah. Masing-masing terus membisukan diri. Naqiya terus membelek-belek butang di beg sandangnya, tanda gemuruh yang terlampau. Ellisa menarik dan menghembus nafas diam-diam, cuba menenangkan fikiran. Kelibat Wan Jamsiah masih belum kelihatan. Isu tentang syiling emas sudah menari-nari dalam fikiran. Dia yakin, waktu ini semua ahli keluarga sudah sedia maklum tentang kehilangan syiling emas Wan Jamsiah.
Ellisa mengerling ke arah jam di dinding. Sudah tepat jam sepuluh pagi. Antara mereka masih bertakhta kesunyian yang memerintah dengan kejamnya sehingga setiap gerakan jarum saat pada jam di dinding boleh didengari dengan kuat dan jelas.
Tut, tut... Jam sepuluh pagi. Inilah berita nasional dibawakan khas untuk anda dari RTM. Ketegangan yang melanda di kediaman Wan Jamsiah semakin menjadi-jadi apabila ketua mafia itu lewat dalam perjanjiannya untuk melepaskan tebusan yang diculik sejak entah berapa hari yang lalu. Puan Dahlia yang menjadi mangsa keganasan mental Wan Jamsiah telah dijanji untuk dibebaskan dengan kedatangan dua orang anaknya, Ellisa dan Naqiya yang dipercayai telah melarikan emas yang pernah dirompak ketua mafia itu suatu masa dahulu...
Ellisa mula membacakan berita perasaannya dalam nada pembaca berita radio RTM dalam mindanya demi menghiburkan hatinya yang gementar ketika itu.
Belum sempat pun hatinya terhibur dengan angan-angan tidak lakunya, Wan Jamsiah muncul di ruang tamu bersama Puan Dahlia. Naqiya terus duduk tegak sewaktu dua orang tu itu melabuhkan punggung di sebuah sofa di hadapannya. Ellisa semakin kuat berusaha menyorokkan perasaan tidak keruannya daripada terpamer pada wajah dan bahasa tubuhnya. Namun begitu, perutnya tetap terasa kecut manakala bulu romanya tegak di belakang tengkuk. Sungguh menakutkan!
"Seronok bercuti ke Eropah? Bukan main lagi... Siap tak nak beritahu aku," sindir Wan Jamsiah. Ellisa menelan liur. Pertemuan pertama antara mereka setelah sebulan tidak bersemuka dimulai dengan ucapan sindiran. Memang sudah dijangka!
Ellisa dan Naqiya terus membatukan diri. Mata Wan Jamsiah meneliti kedua-dua mereka dari atas ke bawah dengan renungan yang maha tajam. Melihatkan kedatangan mereka dengan tangan kosong, orang tua itu mula menyuarakan ketidakpuasan hatinya.
"Kau orang balik dari sana, tak ada belikan aku apa-apakah?" soal Wan Jamsiah.
Naqiya terkedu namun reaksinya berjaya dikawal. Ellisa cuma merenung kosong dinding di belakang tempat duduk Puan Dahlia.
Sudah tentulah tak. Kita orang pergi sana nak lupakan wan, memang lupalah segalanya pasal wan, jawab Ellisa dalam hati.
"Aku dah agak dah. Cucu sombong, tak mengenang budi!" herdik Wan Jamsiah di hadapan Puan Dahlia.
Puan Dahlia memandang ke arah kedua-dua anak perempuannya, tidak pasti apa yang wajar dia lakukan. Dia faham benar mengapa dua orang anaknya tegar tidak mahu membelikan apa-apa untuk Wan Jamsiah biarpun sudah berkali-kali dia mengingatkan mereka supaya mengambil hati ibu mentuanya itu. Namun, saat ini Ellisa dan Naqiya pastinya sudah dianggap biadab dan dia selaku ibu kepada mereka berdua pastinya dicop sebagai penyebabnya. Seorang emak yang gagal dalam mendidik anak-anak.
Ellisa terus mendiamkan diri. Perasaan gemuruh yang dirasakan tadi sudah kian menghilang dari dalam diri. Mungkin perasaan gemuruh itu juga takut akan Wan Jamsiah. Sebab itu ia pun beransur pergi. Ellisa sudah mampu untuk duduk dengan tenang. Ayat seterusnya yang bakal dilafazkan Wan Jamsiah sudah dapat dia jangkakan. Tunggu masa sahaja untuk diluahkan.
"Aku kecil hati, tahu tak? Sudahlah pergi tak beritahu aku. Harap bagi buah tangan pun kau tak boleh buat. Tak malu ke dengan sepupu-sepupu kau yang lain? Dia orang siap bawa aku sekali pergi bercuti..." bebel Wan Jamsiah.
"Aku malu dengan kau orang. Sudahlah otak tak pandai, perangai tak elok. Tak risaukan masa depan ke? Sebabkan kau orang berdualah keluarga ni jadi cacat. Seorang tak ada kerja, seorang lagi tak nak sambung belajar. Anak-anak aku, cucu-cucu aku yang lain semuanya berjaya-berjaya belaka. Kau orang aje..." Wan Jamsiah tidak mampu meneruskan ayatnya. Dia mengurut dada. Segala yang diluahkan tampak sungguh menyedihkan baginya.
"Wan, tak ada manusia yang sempurna..." ucap Ellisa perlahan walaupun dia tahu ayat itu seumpama mencurahkan air ke daun keladi.
"Memang tak ada sesiapa yang sempurna dalam dunia ni..."
"Jadi, terimalah hakikat bukan semua orang lahir dengan IQ yang sama," celah Ellisa dalam nada yang santun sebelum Wan Jamsiah sempat menghabiskan ayatnya.
"Tak ada. Semua orang sama aje..."
"Kalau semua orang sama, kenapa dulu wan kerja jadi cikgu aje? Kenapa tak jadi doktor atau engineer?" Giliran Naqiya mencelah.
"Waktu dulu, mak aku mana ada kemampuan nak bagi aku belajar tinggi-tinggi!" Wan Jamsiah mula meninggikan suara. Tertipis kesabarannya apabila kata-katanya asyik dipangkas.
"Samalah juga macam Yah. Yah dah tak nak belajar, buat apa membazir duit emak untuk belajar? Kalau buat macam tu, lagilah Yah ni jadi anak tak guna," omel Naqiya lagi. Entah dari mana dia mendapat kekuatan untuk berdebat dengan neneknya.
"Kau! Melawan, melawan!" herdik Wan Jamsiah. Jari telunjuknya dituding-tudingkan ke arah Naqiya.
"Yah bukannya macam cucu-cucu wan yang lain, perah duit emak ayah atas alasan sambung belajar." Selamba Naqiya menjawab.
"Kalau kau bagus sangat, tak perah duit emak kau gunalah duit yang kau dapat tu sambung belajar," marah Wan Jamsiah.
"Yah dah tak minat belajar. Lagipun, nanti duit Yah habis dekat situ aje. Tak mahulah," balas Naqiya lagi.
Ellisa tersenyum dalam hati. Perbualan mereka buat pertama kalinya menjadi satu perdebatan hebat. Selalunya mereka berdua akan diam sahaja. Agaknya kesabaran masing-masing terhadap Wan Jamsiah sudah sampai kemuncaknya.
"Kalau tak cukup duit, buat pinjaman! Yang penting, kau sambung belajar!" tegar Wan Jamsiah mempertahankan harapan dan kemahuannya terhadap cucunya yang bernama Naqiya itu.
"Pinjaman? Dah ada beban hutang pula kalau macam tu. Belajar susah. Tak belajar pun susah. Haish! Dulu, wan juga yang asyik cakap; dengan keputusan SPM macam kau punya ni, tak boleh bawa masuk mana-mana universiti. Tahniahlah. Doa wan makbul. Memang Yah tak ingin nak masuk universiti," ujar Naqiya datar.
"Wan, cakap memang senang. Wan tengok cucu-cucu wan yang lain tu senang aje boleh belajar sampai ke luar negara sebab emak ayah dia orang ada duit. Suap aje... Nak kata dia orang semua tu pandai sangat, tak juga, kan?" celah Ellisa tenang.
"Kau tengok anak-anak engkau ni! Derhaka! Sudah pandai menjawab. Padanlah otak tak pandai. Hidup tak berkat. Cakap orang tua dibantah-bantah!" Wan Jamsiah tiba-tiba mengalihkan pula perhatiannya kepada Puan Dahlia.
Puan Dahlia hanya mendiamkan diri. Apa yang mampu dia lakukan? Sebenarnya, dia sendiri pun tidak berapa setuju dengan cara Wan Jamsiah melayan anak-anaknya. Biarlah kali ini mereka bersuara.
"Kau dengar sini. Kau orang tak tahu lagi betapa pelajaran tu penting. Kau, Naqiya. Nanti esok bila kau dah tua, kau menyesal tak sambung belajar. Kau pun sama, Ellisa. Sudahlah kena buang kerja, orang suruh sambung master tak nak."
"Wan, tak ada isu lainkah? Kita orang tahu belajar tu penting. Tapi, boleh tak benda tu jangan dijadikan ukuran? Sebenarnya, wan yang mengaburi mata sendiri. Wan anggap cucu-cucu wan yang lain semuanya pandai-pandai sebab dapat masuk universiti. Padahal yang masuk universiti tu pun, keputusan SPM taklah bagus pun. Masuk pun guna orang dalam. Tujuannya nak berlagak aje, kan?" kata Naqiya.
"Zaman sekarang, wan... Tak semestinya nak berjaya mesti ada kelayakan akademik. Bill Gates dengan Mark Zuckerberg tu, tak habis belajar pun... Alih-alih dia orang lagi berjaya daripada yang beria-ia belajar ni." Tegar Naqiya mengutarakan pendapatnya. Banyak pula perkara yang mahu dia perkatakan. Segala yang terbuku dalam hati ingin dia luahkan pada kesempatan itu.
Wan Jamsiah mendiamkan diri. Riaknya terpamer sedikit kekeliruan, barangkali kerana dia tidak mengenali nama-nama yang disebutkan Naqiya tadi.
"Sudahlah, wan. Janji orang pandai hidup, sudahlah," ucap Naqiya lagi. Seperti yang disebutkan tadi, tidak semua orang yang berjaya dalam dunia ini disebabkan oleh pencapaian akademik semata-mata. Allah Maha Pemurah. Di mana-mana pun ada rezeki.
"Wan, akademik tu tak penting. Yang penting ilmu agama. Wan rasa perangai kita orang tak elok, wan selalu beritahu. Tapi, cucu-cucu wan yang lain, tak ada pula wan buat macam tu," ujar Ellisa bersahaja.
"Mana ada aku tak tegur. Aku tegur. Kau orang aje yang tak tahu! Aku..."
"Wan tak tegur. Macam Posh tu. Nama Poziah, perasan diri orang putih. Pakai seksi-seksi, rambut warna blonde... Wan tak pernah bising pula," pantas Ellisa mencelah. Nada suaranya mendatar. Buat pertama kalinya, dia berjaya mendiamkan Wan Jamsiah. Mungkin agak sensitif di pendengaran Wan Jamsiah apabila disebutkan nama timangan cucu kesayangannya. Lebih-lebih lagi apabila cucu itu dikutuk.
"Dia, bapak dia ada lagi..." balas Wan Jamsiah teragak-agak.
"Habis tu? Nak kena tunggu sampai bapak dia mati baru boleh tegur dia?"
"Oh, rupanya kau dengki dengan sepupu kau tu, ya? Padanlah... Kau jangan nak mengata orang. Kau pun sama aje kejinya. Mulut celopar. Yang kau fitnah dia dulu tu kau tak ingat pula?" Wan Jamsiah yang bagaikan tersinggung dengan ucapan Ellisa tadi mula mengungkit kesalahan lampaunya pula.
"Bila masa Lis fitnah dia?" Ellisa mula merasakan perbualan mereka bakal berubah arah ke topik yang berlainan pula.
"Ya. Kau dengki dengan dia dapat belajar medic dekat Amerika, kau tuduh dia mengandung luar nikah waktu dia baru balik ke Malaysia. Apa tu?" herdik Wan Jamsiah.
Dengki? Tolonglah... Ellisa tertawa sinis. Kisah yang berlaku lebih kurang setahun dahulu kembali bermain dalam ingatan. Dia ingat lagi bagaimana Posh menangis kepadanya dan mengadu bahawa dia telah terlanjur dengan kekasihnya sebelum dia pulang ke Malaysia. Buntu, takut dan malu dengan masalahnya, Posh asyik berkurung di dalam bilik.
Emak Posh, Mak Nah asyik mempersoal mengapa Posh asyik berkurung dan nampak seperti orang hilang arah. Semua orang yang rapat dengan Posh, semuanya disoal siasat termasuk Ellisa sendiri. Sewaktu ditanya, Ellisa hanya mendiamkan diri. Walau dia mahu berkata dia tidak tahu, lidahnya keras untuk meluahkan sebarang kata dusta. Tindakannya itu memberi harapan kepada Mak Nah bahawa Ellisa tahu apa yang sedang berlaku kepada anaknya. Setelah dipaksa-paksa, Ellisa akhirnya mengalah dan memberitahu rahsia Posh.
Khabar angin yang mengatakan Posh telah terlanjur pantas tersebar dalam kalangan ahli-ahli keluarga. Berita yang ingin dirahsiakan daripada pengetahuan Wan Jamsiah itu tidak dapat dielakkan daripada terus sampai ke telinga wanita tua itu. Demi mengesahkan khabar angin itu, Wan Jamsiah bertanyakan sendiri kepada Mak Nah.
Mak Nah tidak mengaku. Posh juga tidak mengaku. Hanya kerana dia sudah selamat menggugurkan kandungannya dengan bantuan ibu bapanya waktu itu, Posh menuding jari kepada Ellisa dengan mengatakan sepupunya itu yang membuat cereka kerana perasaan dengki terhadap dirinya yang serba-serbi berkelebihan.
Kering tekak Ellisa nak kata apa-apa waktu itu. Speechless!
Disebabkan dia disabit kesalahan memfitnah cucu kesayangan Wan Jamsiah, dirinya dipandang serong oleh kebanyakan ahli-ahli keluarga. Ada saja ahli keluarga yang tidak menyebelahi Posh tetapi di hadapan Diktator Jamsiah, mereka tidak berani bersuara. Maka, segala kebenaran yang terluah di bibir Ellisa akan dikatakan sebuah penipuan, sedangkan sebaris kata penipuan pun dia tidak terluahkan.
"Lis tak pernah menipu pasal tu. Tengok ajelah perangai 'mulia' dia tu," protes Ellisa, merujuk kepada personaliti Posh yang seperti orang Barat.
Kadangkala Ellisa rasa keluarga sebelah arwah bapanya macam ahli-ahli sarkas. Bukankah semua ahli-ahli keluarganya terdiri daripada golongan bijak pandai, takkan itu pun mereka tidak boleh nilai? Patutkah dihairankan kalau orang yang tidak menjaga aurat dan batas pergaulan seperti Posh itu terlanjur mengandung luar nikah?
Tidak. Sepatutnya mereka tahu dia tidak bercakap bohong. Mungkin sebenarnya mereka tahu. Tetapi mereka sengaja membutakan mata dan menipu diri sendiri kerana Posh kebanggaan keluarga. Dia cantik dan pintar, tidak seperti dirinya.
"Pembohong! Mulut kau tak habis-habis nak menipu!" terjah Wan Jamsiah lagi sambil menuding-nuding jari ke arah Ellisa.
"Emak!" Puan Dahlia mula bersuara. Tersinggung perasaannya apabila anak yang dia kenali tidak pernah berdusta dituduh sedemikian rupa.
"Sebut pasal penipu, baru aku teringat. Orang kuat menipu ni, lama-lama jadi pencuri." Wan Jamsiah langsung tidak menghiraukan sapaan Puan Dahlia. Dia bingkas dan mendekati Ellisa. Intonasi suaranya yang sudahpun tinggi disertai pula dengan aura keberangan.
Keadaan semakin tegang. Naqiya yang sudah kembali diam kini menjadi penonton setia. Matanya meliar memandang ke setiap wajah insan yang bersuara di hadapannya. Drama yang disaksikan sudah sampai klimaksnya.
"Kau kan yang curi syiling emas aku?" soal Wan Jamsiah dengan garang sambil menunjal-nunjal kepala Ellisa dengan jarinya. Ellisa pantas menekup kepala. Puan Dahlia terus bingkas dari tempat duduknya.
"Emak, apa ni?!" Puan Dahlia membantah tindakan Wan Jamsiah terhadap anaknya.
"Budak ni pencuri! Kau nak bela pencuri macam ni?"
"Mana mak tahu dia yang ambil emak punya emas? Ada bukti ke?" Puan Dahlia membela anaknya.
"Aku tak payah bukti. Orang lain semua dah cakap tak ada ambil harta aku."
"Sebabkan orang lain cakap, jadi emak percaya macam tu aje?"
"Lagipun, dalam kalangan anak-anak aku, cucu-cucu aku, dia aje yang tergamak memfitnah keluarga sendiri. Dia yang paling keji. Malu aku nak mengaku dia cucu aku!"
"Malu nak mengaku? Tak payah mengaku! Lis pun..." Ellisa yang mencelah secara spontan pantas diberhentikan tutur katanya oleh Puan Dahlia. Terus keras lidahnya apabila emaknya mengangkat tangan, mengisyaratkannya supaya berhenti berbicara agar keadaan tidak menjadi semakin keruh.
"Emak, tak baik cakap macam tu. Kalau emak tuduh dia tanpa bukti pun, itu dikira fitnah juga." Puan Dahlia membela Ellisa dengan nada pertuturan yang baik dan tenang.
Ellisa terkedu sendirian. Rasa bersalah terhadap emaknya pantas membakar dalam diri. Sudah tentu emaknya akan bermatian membela dirinya kerana dia tahu, emaknya yakin dia bukan seorang pendusta. Berat rasa hatinya untuk mengakui, biarpun dia memang bukan seorang pendusta, dia sudah menjadi seorang pencuri terlebih dahulu.
Ellisa bingkas dari duduknya. Hatinya terasa sakit apabila kepalanya ditunjal-tunjal dek Wan Jamsiah sebentar tadi. Benar kata Naqiya. Apabila berdepan dengan Wan Jamsiah, dia tidak rasa bersalah menyakitkan hati wanita tua itu dengan mencuri barangnya. Dia lebih rasa bersalah tatkala membayangkan kekecewaan di wajah emaknya. Waktu itu baru dia menyesal. Mengapalah dia tidak teringat akan emak sewaktu dia mahu melakukan jenayah itu dahulu?
"Ya, wan. Memang Lis yang curi." Serta-merta dia mengaku. Perasaan kesal kerana mengecewakan emaknya cuba disembunyikan. Wan Jamsiah dan Puan Dahlia terus merenung wajahnya. Kedua-duanya bagaikan tidak percaya dengan pengakuan yang dilafazkan. Puan Dahlia mungkin tidak dapat mempercayai bahawa dia benar-benar mencuri. Wan Jamsiah pula tidak percaya bahawa dengan mudahnya dia akan mengaku.
"Kan aku dah cakap!" Ada nada puas terselit di celah suara Wan Jamsiah.
Puan Dahlia terus jatuh diam. Jauh di sudut hatinya dan buat pertama kalinya, dia berharap anaknya berbohong. Namun, dia tahu daripada pandangan mata Ellisa, anak gadisnya itu masih tulus seperti dahulu. Dengan hati yang berat, dia akur. Biarlah Ellisa dihukum oleh emak mentuanya atas kesalahan yang sengaja dia lakukan.
"Pulangkan balik emas aku!" pinta Wan Jamsiah sambil menadahkan tangannya.
"Mana ada dah emas tu dekat Lis," ujar Ellisa dengan nada tidak serius. Dia cuba berlagak selamba.
"Kau jual emas aku?"
"Wan nak Lis jual ke emas tu?" Ellisa mencabar.
"Cepatlah! Mana emas aku?!"
"Emas wan Lis dah campakkan kat Fontana di Trevi dekat Rome," beritahu Ellisa sambil menarik tangan emaknya untuk dipimpin keluar dari rumah. Naqiya yang masih terkulat-kulat menyerap drama tadi turut bingkas.
Wan Jamsiah menyentap kuat tudung Ellisa menyebabkan dia terhenti daripada melangkah. Habis selekeh selendang yang tersarung kemas. Ellisa berpaling, menghadiahkan renungan tajam kepada neneknya yang membalas renungan itu dengan pandangan yang sama.
"Siapa benarkan kau balik?! Disebabkan kau dah curi barang aku, kau duduk sini dengan aku!" bentak Wan Jamsiah yang nyata dilanda kecewa kerana kehilangan barang kesayangan.
Ellisa terasa dirinya beku. Naqiya ternganga manakala Puan Dahlia kelihatan pasrah untuk melepaskan anaknya ke pangkuan ibu mentua.
Lama Ellisa terdiam. Otaknya bagaikan mesin berkarat yang sudah lama tidak berfungsi. Siapa tahu berapa lama dia akan menjadi banduan di dalam tahanan Wan Jamsiah. Tangannya yang menggenggam erat jemari Puan Dahlia akhirnya terlepas tatkala dia mendengar Puan Dahlia membisikkan kata.
"Dengarlah cakap dia, Lis. Lis dah buat salah kepada dia. Terimalah ini sebagai pengajaran. Mungkin lepas satu masa, wan akan maafkan Lis. Kita kan satu keluarga. Tak baik gaduh-gaduh macam ni," pujuk Puan Dahlia.
Ellisa melepaskan satu keluhan berat. Dengan hati yang tidak rela, dia tahu dia terpaksa mematuhi permintaan Puan Dahlia. Dia tahu emaknya tidak mahu dia terus hidup dengan bergelumang dengan dosa yang telah dia lakukan terhadap Wan Jamsiah. Biarlah dia dihukum untuk membayar hutang dosa itu. Memang dia yang bersalah dan beruntunglah kiranya andai dosa itu boleh ditebus selama dia masih di dunia.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co