Bab 5
"Apa khabar kau sekarang?" Serius suara Naqiya bertanya di hujung talian selepas mengucapkan sebaris ucapan salam.
"Sihat. Kau?" Sepatah sahaja jawapan Ellisa.
Dia yang baru sahaja selesai mencuci lantai melabuhkan punggung di kaunter singki bilik air untuk berehat. Kebetulan waktu dia sedang bersendirian itu, Naqiya menelefon sekadar bertanya khabar. Mujur Naqiya menghubungi ketika dia sedang di dalam bilik air. Jika tidak, dia pasti tidak berani menjawab panggilan itu.
"Dah dua bulan kau tinggal dekat situ. Apa aje kerja kau?"
"Kerja aku? Aku jadi orang gaji tak bergaji. Aku tinggal dalam bilik pembantu rumah. Setiap hari lepas solat subuh, aku kena sapu sampah, mop lantai, siram pokok bunga, sidai baju, basuh baju, gosok baju, masak, basuh bilik air, lap pasu... Semualah."
"Nak buat macam mana, kan? Kata kena hukum... tapi, nasib baik dia ada pembantu rumah lagi seorang. Tak adalah kau penat sangat," ujar Naqiya, cuba menyedapkan hati Ellisa.
"Mana ada. Orang tu dah lari dah. Aku buat kerja sorang-sorang."
"Lari lagi? Orang gaji wan semuanya kuat berlari. Pengaruh Running Man ke? Tapi, okeylah. It wasn't that bad. Bukannya dia tak bagi kau makan ke apa, kan?"
"Memanglah. Tapi, cerita dia macam ni. Dia kata, aku hanya akan dilepaskan kalau waktu aku bekerja ni dapat membayar balik nilai emas dia. Sehari aku kerja... Tolak makan, minum dan tempat tinggal, dia kira sepuluh ringgit."
"Sepuluh ringgit aje? Tak masuk akal!"
"Yep. Sepuluh ringgit."
"Baik kau cari kerja dekat luar. Dapat gaji bayar aje balik dekat dia. Kurang-kurang tak adalah sepuluh ringgit sehari aje kau dapat."
"Itulah, aku dah cakap dekat dia. Tapi, dia kata bukan setakat nilai emas tu yang berharga untuk dia. Dia kata sentimental value emas tu lebih berharga. Dan dia kata lagi, kalau ikutkan... Apa yang aku dapat ni pun tak setimpal dengan apa yang aku dah buat pada dia. Pada dia, sepuluh ringgit sehari tu dah habis lumayan."
"Wow, she sounds really devastated."
"Yeah. Banyak kali dia cakap dekat aku keajaiban, aje yang mampu memulangkan balik emas kuda dia tu. Sekarang pun dia tak habis lagi meroyan pasal emas dia tu."
"Meroyan sangat tu, entah-entah memang kau kutip emas yang tulen daripada enam belas keping emas yang dia ada," ujar Naqiya separuh ketawa.
"Itulah. Aku pun rasa macam tu. Dia anggarkan emas dia tu berharga sampai seratus ribu termasuk nilai sentimental dan nilai rare collection dia kononnya. Padahal emas macam tu paling mahal pun sepuluh ribu nilainya."
"Seratus ribu? Bayangkan berapa hari kau kena kerja dengan dia dengan gaji sepuluh ringgit sehari."
"Aku dah kira dah. Sepuluh ribu hari. Lebih kurang 27 tahun... Dia memang nak simpan aku sampai dia mati agaknya."
"Nanti esok-esok bila dia dah hilang meroyan dia tu, dia bagilah kau balik rumah," pujuk Naqiya.
"Harap-harap macam itulah," ujar Ellisa penuh pengharapan.
Keseronokannya bersembang dengan Naqiya tergendala seketika tatkala telinganya menangkap bunyi loceng dari luar rumah. Ellisa cepat-cepat menerjah keluar dari bilik air. Langkahnya laju menuju ke pintu hadapan. Dari mesin interkom, dia dapat melihat kelibat seorang lelaki muda tidak dikenalinya. Ellisa mengerutkan dahi. Siapa pula tu? Orang asing jarang berkunjung ke rumah Wan Jamsiah. Biasanya yang datang cuma anak-anak Wan Jamsiah sahaja.
Salesman kut. Ellisa membuat andaian. Dia cuba menolak kehadiran lelaki yang dianggap jurujual itu namun dia tidak arif bagaimana menggunakan mesin interkom yang terlalu moden. Beberapa kali juga dia bercakap-cakap seorang diri di hadapan alat itu sebelum dia berputus asa.
"Naqiya, ada orang ding dong deng rumah. Kejap lagi kalau perlu aku telefon kau balik," ucap Ellisa lantas mematikan talian. Sekali lagi langkahnya laju menuju ke bilik untuk mencapai tudung bagi menutup kepala sebelum dia membuka pintu.
Ellisa baru sahaja melangkah keluar bilik dengan sehelai kain selendang menutup kepalanya apabila Wan Jamsiah memberhentikan perjalanannya.
"Kau duduk diam-diam dalam bilik kau." Suara Wan Jamsiah bagaikan memberi amaran. Tanpa sebarang kata, Ellisa menurut. Namun jiwanya terus meronta dengan penuh tanda tanya.
Kenapa? Kenapa? Kenapa? Siapa yang datang? Ellisa terus berteka-teki di sebalik pintu biliknya. Apakah perkara yang Wan Jamsiah mahu rahsiakan daripadanya?
Ellisa tidak dapat menahan diri daripada terus mencari jawapan. Sudah tentu sampai bila pun dia tidak akan mendapat penyelesaiannya. Perlahan-lahan, dia mengayunkan kaki keluar dari biliknya. Pintu bilik ditutup dengan penuh cermat agar tidak menghasilkan bunyi yang kuat. Dengan langkah kaki yang berhati-hati, dia menuju ke ruang tamu dan bersembunyi di sebalik dinding, terlindung daripada pandangan neneknya dan tetamu yang datang sebentar tadi, tetapi cukup dekat untuk mendengar perbualan mereka.
"Kenapa nak jumpa dengan Ellisa?" soal Wan Jamsiah tegas.
Ellisa tersentak. Nak jumpa aku? Siapa tu?
"Saya... Cuma nak bagi dia ni," jawab tetamu lelaki itu dengan bahasa Melayu yang tidak berapa fasih. Setiap sebutan perkataannya teragak-agak. Ellisa meneka dia seorang warga Perancis.
Nak bagi aku apa? soal Ellisa. Dengan cermat dia mengintai keluar dari sebalik pintu. Jelas kelihatan pada pandangan matanya, lelaki itu sedang memegang sekeping syiling emas di hadapan Wan Jamsiah.
Ellisa kembali bersembunyi di sebalik dinding. Bulat matanya. Mulutnya ditekup tanda tidak percaya. Saiz syiling emas yang dilihat tadi lebih kurang sama dengan syiling emas yang dicampakkan secara tidak sengaja ke dalam Fontana di Trevi.
Takkanlah... Ellisa tidak boleh begitu pasti kerana imej kuda yang terukir di syiling itu tidak kelihatan. Mungkin kerana jaraknya tidak mengizinkan.
"Mana awak dapat ni?" soal Wan Jamsiah serius.
Perhatian Ellisa dikembalikan dengan segera pada perbualan antara neneknya dan lelaki tak dikenali itu. Dia menajamkan telinga mendengar suara nyaring Wan Jamsiah berbicara. Ada sepalit rasa teruja di sebalik intonasi wanita tua itu. Kepalanya dijengukkan lagi. Syiling emas itu kini telah diletakkan di atas meja kopi yang terletak antara Wan Jamsiah dan lelaki yang masih belum memperkenalkan dirinya itu. Ellisa memutuskan untuk menggelarnya John Doe buat sementara waktu.
Daripada riak wajah Wan Jamsiah, naluri Ellisa memberitahu bahawa itulah emas yang telah dia hilangkan lebih kurang dua bulan lalu. Emas yang menurut kata Wan Jamsiah, hanya boleh dikembalikan semula dengan keajaiban itu kini telah pulang semula ke pangkuannya. Memang ajaib! Ellisa hanya mampu tersengih kekaguman seorang diri di sebalik dinding.
"Ellisa... She gave it to me. Asked me to keep it for her," jawab John Doe.
Ellisa terlopong tidak percaya dengan jawapan yang didengarinya daripada John Doe. Sumpah! Dia tidak pernah mengenali lelaki asing tidak fasih berbahasa Melayu itu. Kenal pun tidak, macam mana nak bagi? Dia 'bagi' emas tu kepada Fontana di Trevi adalah!
Ellisa mengetap bibir. Sebaris ayat yang lelaki itu luahkan tadi sudah cukup untuk mencetuskan propaganda terhadap dirinya. Ini boleh merosakkan lagi imejnya yang sudahpun rosak di hadapan Wan Jamsiah.
"Really?" risik Wan Jamsiah tajam.
"Yes. I haven't seen her in a while. I just thought she might want it back."
"I see. But, this gold is actually mine. She stole it from me," terus terang Wan Jamsiah dengan harapan John Doe akan terus memulangkan syiling itu kepadanya. Meskipun syiling emas itu berada di atas meja di hadapan Wan Jamsiah, wanita tua itu tidak betah mencapai melainkan secara rasminya lelaki asing itu memulangkan kepadanya.
Cis, wan dengan egonya, bisik hati kecil Ellisa.
"Really? This must've been very precious to you," ujar John Doe dengan ramahnya.
"Yes. It is my precious possession," balas Wan Jamsiah dengan gembira. Tanda-tanda lelaki itu bakal memulangkan syilingnya semakin dapat dirasakan.
Ellisa turut terasa berdebar-debar. Perasaan gembira dan bimbang bercanggah dalam jiwa. Apa akan jadi kepadanya selepas ini? Adakah Wan Jamsiah akan berlembut hati dan melepaskannya pergi selepas neneknya itu mendapat balik emas yang amat berharga itu? Atau adakah dia akan kekal berada di situ menerima hukuman?
"If I give this back to you, can I expect any reward?" soal John Doe sambil tersenyum. Intonasinya seakan-akan sarkastik.
"Reward?" Wan Jamsiah tidak selesa dengan soalan itu.
Ellisa tertawa dalam hati. Sedikit sebanyak dia sudah boleh menjangka. Entah apa keajaiban yang membawa lelaki itu ke sini, dia yakin tidak ada kejadian indah yang datang tidak berbayar.
"Yes. Ganjaran." John Doe memperjelaskan perkataan ganjaran di hadapan Wan Jamsiah walaupun wanita di hadapannya faham dengan jelas akan maksud perkataan itu.
"I am just a humble old lady. I can't afford to pay you much." Wan Jamsiah menjawab dengan gementar. Namun, suaranya dikawal agar dia kedengaran merendah diri.
"I am not looking for money. If I was aiming for money, I might as well just sell this," ujar John Doe sambil mengetukkan jari di atas syiling emas bergambar kuda itu.
"What is it that you're expecting from me?" soal Wan Jamsiah setenang-tenangnya. Ellisa turut juga menantikan permintaan John Doe dengan penuh debaran.
"I wish to marry Ellisa."
Say what?! Gila ke? jerit hati Ellisa. Mujur tidak terluah teriakan hatinya dari kerongkong. Dia mula menggigit genggaman tangannya, risau jika Wan Jamsiah tergamak mengorbankan dirinya kepada seseorang yang datang dari bumi yang tidak dikenali demi melengkapkan kembali ahli dalam kerajaan set catur emasnya.
"No, I can't allow that," jawab Wan Jamsiah dengan nada suara yang terkawal.
"Okay," ucap John Doe sambil mengambil kembali syiling emas yang berada di atas meja.
"Then I can't return this to you. Sure you won't change your mind?" soalnya sekali lagi sambil menayangkan emas itu di hadapan Wan Jamsiah sekali lagi.
Ellisa menghembuskan nafas lega. Pun begitu, dia dapat merasakan malapetaka bakal menjengah ke arahnya. Bagaimanapun situasinya, dia tetap dalam keadaan yang tidak menguntungkan. Ellisa mengintai lagi untuk kesekian kalinya.
"I am very firm with my decision," tegas Wan Jamsiah. Lengannya disilangkan ke tubuh. Riaknya jelas berang.
Lelaki asing itu bingkas lalu tunduk di hadapan Wan Jamsiah sebagai tanda hormat. Sebelum dia beredar, sempat dia mengeluarkan sekeping kad dari kocek kemeja yang dipakainya. Kad berwarna hitam itu diletakkan di atas meja, di hadapan Wan Jamsiah.
"My offer still stands if you change your mind."
DIA duduk diam-diam di dalam bilik. Perutnya yang kecut sejak tadi masih enggan kembali normal. Mana bisa ia kembali normal apabila Ellisa sendiri boleh menjangka apa yang bakal terjadi beberapa minit lagi? Dia pasti Wan Jamsiah akan menerjah ke bilik mencarinya untuk memberi serangan secara lisan berkenaan kejadian tadi.
Sebaik sahaja lelaki itu meminta diri, Ellisa terus memecut ke dalam bilik. Sudah tentu tidak mahu perbuatannya memasang telinga diketahui oleh Wan Jamsiah. Tetapi kalau ditelitikan keadaan, sama sahaja akibatnya. Dia tetap perlu berdepan dengan neneknya.
"Kau keluar, Ellisa!" perintah Wan Jamsiah dari sebalik pintu biliknya.
Tanpa membuang masa, Ellisa keluar. Dia berpura-pura terpinga seolah-olah tidak mengetahui apa-apa. Tidak dia sedari tindakannya menambahkan berang Wan Jamsiah.
"Tak payah nak buat muka dekat sini. Yang datang tadi boyfriend kau, kan? Padanlah kau beria-ia nak buka pintu. Nasib baik aku halang kau daripada jumpa dia, kalau tak, Tuhan sahajalah yang tahu apa konspirasi kau orang berdua!" bentak Wan Jamsiah. Ellisa ternganga.
What the? Kalau aku berkonspirasi dengan mamat tu, tak ada maknanya aku ajak dia datang sini. Gerenti konspirasi tak menjadi. Ellisa menjawab dalam hati.
Dia tidak tergamak meluahkan ayat itu kerana mahu mengawal diri daripada berlagak biadab di hadapan wanita tua itu. Cukup-cukuplah dengan masalah yang sedang melanda dirinya ketika ini. Dia tidak mahu kata-kata dalam hatinya tadi memburukkan lagi keadaan.
"Dia bukan kawan Lislah, wan." Ellisa bersuara perlahan.
"Ya. Dia kawan kau. Dia cakap kau yang suruh dia simpankan emas aku tu. Dia kata dia datang sini nak pulangkan emas tu dekat kau!"
Daripada ayat-ayat yang diluahkan Wan Jamsiah, Ellisa sekali lagi teringat akan tindakan John Doe yang seolah-olah ingin memerangkap dirinya. Entah apa niat lelaki itu, dia langsung tidak ada idea. Dia langsung tidak mengenali lelaki itu. Tambah menghairankan, bagaimana syiling emas yang disyaki milik Wan Jamsiah itu berada di tangannya.
"Lis tak kenal langsung dengan dia, wan!" Ellisa tertinggi suara secara tidak sengaja dalam usahanya membela diri.
"Isy, budak ni. Berani meninggi suara dengan aku!" herdik Wan Jamsiah. Tangannya diayunkan ke atas, percubaan mahu memukul kepala cucunya. Ellisa cepat-cepat mengelak.
"Jangan nak melawan cakap aku lagi! Aku pasti dia boyfriend kau. Kalau tak, kenapa dia minta kahwin dengan kau bila aku minta dia pulangkan emas aku?!"
Ellisa diam. Waktu ini, berdebat pun tiada gunanya. Tindakan lelaki misteri itu betul-betul telah menggugat kedudukan dan reputasinya yang sudah tersedia buruk di hadapan Wan Jamsiah. Ellisa pasrah. Biarlah orang tua itu cakap apa yang mahu dia cakapkan. Dia cuma berharap sesi 'hairdryer treatment' kali ini berakhir dengan segera.
"Oh, aku dah tahu!" ujar Wan Jamsiah seperti seorang detektif yang baru sahaja berjaya menyelesaikan satu misteri.
"Kau nak mencabar aku, ya?" Wan Jamsiah menyoal tanpa mahu menantikan jawapan. Ellisa terkebil-kebil.
Cabar apa pula ni?
"Kau tahu aku cukup pantang kalau anak, cucu aku kahwin dengan orang asing. Jadi, kau guna emas aku tu untuk buat tebusan supaya aku benarkan kau orang kahwin. Kan?" Wan Jamsiah menghuraikan andaiannya.
"Itu merepek namanya." Ellisa tidak sempat menghalang diri daripada mengucapkan ayat itu. Wan Jamsiah tersenyum sinis.
"Jangan haraplah aku nak benarkan kau orang kahwin! Langkah abu mayat aku dulu!"
Wan, jangan celopar sangat. Tahulah umat Islam dikebumikan. Tapi tak semestinya tak boleh ada abu mayat. Kalau wan mati terbakar esok macam mana? balas Ellisa dalam hati. Terganggu betul jiwanya menyaksikan kemegahan Wan Jamsiah.
Tapi, pentingkah perkahwinan aku direstui dia? Bukankah restu emak yang lebih penting? Whatever. Bukannya aku ni nak kahwin dengan sesiapapun buat masa ni. Ellisa mengomel dalam hati.
"Aku nak kau pergi jumpa dia, tuntut balik emas tu, pulangkan balik dekat aku!" arah Wan Jamsiah sambil membaling kad nama John Doe ke muka Ellisa. Ellisa terkejut apabila diperlakukan begitu. Kad yang dibaling tadi dibiarkan jatuh ke lantai.
"Kalau wan sayang sangat emas tu, kenapa tak korbankan aje Lis kepada dia?" soal Ellisa sinis. Sakit hati apabila diri dilayan tanpa rasa hormat.
"Kau ni bodoh ke? Kan aku dah cakap tadi, takkan aku benarkan kau kahwin dengan dia. Takkan aku turutkan kehendak kau. Sudahlah dia tu bukan orang Melayu, berkomplot dengan kau nak jatuhkan aku pula tu. Aku takkan benarkan!" bentak Wan Jamsiah.
Ellisa terkedu. Memang dia tidak ingat akan sangkaan meleset nenek. Mana nak ingat? Hakikatnya, dia tidak pernah berkonspirasi pun dengan lelaki itu. Kenal pun tidak, inikan pula mahu bersatu menjatuhkan Wan Jamsiah. Memang indah andainya ada seseorang yang ingin bekerjasama dengannya menjatuhkan wanita tua itu. Namun, bukan itu realitinya.
"Kau dapatkan balik emas aku tu tanpa syarat. Aku tak nak kau dapatkan emas, tapi kau jual pula rumah aku kepada dia," sambung Wan Jamsiah lagi. Dengan megahnya, dia melangkah pergi meninggalkan Ellisa yang masih tercegat di hadapan pintu bilik.
Ellisa mencebik. Mujur kali ini Wan Jamsiah tidak membebel lama. Kalau tidak, mahu terganggu mental. Apa yang sedang dilalui Ellisa kini semakin lama semakin penuh teka-teki. Hidupnya kian celaru sejak dia mencuri syiling bergambar kuda itu. Mungkinkah syiling emas kesayangan Wan Jamsiah itu punya kuasa mistik?
Jangan fikir yang mengarut! garang Ellisa mengingatkan diri.
Pandangan matanya dijatuhkan ke lantai. Sekeping kad business berwarna hitam terdampar beberapa sentimeter dari ibu jari kakinya. Perlahan-lahan dia membongkok, mencapai kad yang sudah beberapa kali bertukar tangan. Sambil melangkah kembali ke dalam bilik, kad itu ditiliknya.
Edward Devereux. Dia membaca dalam hati. Nampaknya, lelaki tadi tidak perlu digelarkan John Doe lagi.
Macam nama orang Perancis... komennya dalam hati.
Di bawah nama yang tertera dalam kad, tertulis perkataan CEO. Ellisa membuntangkan mata sambil tersenyum kecil. Matanya dialihkan pula ke logo dan nama syarikat yang terpapar di sebelah atas kad.
Mod Black...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co