Bab 10
Fahad dan Hairi keluar dari kereta. Jam sudah menginjak ke pukul 8.00 malam, setengah jam saja lagi majlis pembukaan Malam Cinta Rasul bersempena dengan Maulidur Rasul akan berlangsung. Masing-masing lengkap dengan baju Melayu dan berseluar jeans.
"Yan dengan Zen dah gerak ke?" tanya Fahad. Ingatnya tadi nak ambil kedua-duanya di rumah sewa, tapi faham sajalah perempuan, siap mengalahkan tuan puteri. Sudahnya mereka gerak dulu.
"Dah, keluar rumah dah tadi."
Mereka bergerak ke arah dewan besar yang terletak di fakulti kejuruteraan itu. Tiba-tiba iPhone dalam kocek baju Melayu biru Fahad berbunyi. Nadia.
"Kau masuk la dulu, Nad call." Bahu itu ditepuk sebelum dia bergerak ke arah kerusi batu tak jauh dari situ. Ditebarkan matanya di celah malam yang nampak tenang itu.
"Helo."
"Sayang..." Suara manja mula mencecah gegendang telinganya. Automatik senyumnya terukir.
"You dekat mana? I dah sampai dah," soal Fahad.
"Tengah on the way lagi, nak masuk pintu pagar dah ni. You tunggu I boleh? Jangan masuk dulu," pinta Nadia. Dia sudah berhias secantik mungkin malam ini. Diperhatikan baju peplum kuning berbunga kecil dari fabrik kapas yang melekat di tubuh langsingnya itu. Dia tersenyum puas. Dia pasti Fahad akan terpesona melihatnya malam ini.
Tangan diseluk ke dalam poket seluar jeansnya sambil matanya melilau mencari seseorang yang tak kunjung tiba.
"Okey... I tunggu you dekat luar dewan ni," jawabnya sebelum memutus talian.
Dia berpaling dan saat itu juga matanya menyapa kelibat Haryani yang berbaju kurung biru. Tangannya diangkat tinggi.
"Yan..."
Haryani panggung kepala ke depan. Zip tote bag yang tersangkut di bahunya itu ditutup.
"Weh... Awal sampai!" tegurnya.
"Awal apanya, kau tak dengar kat dalam tu dah berbunyi?" perli Fahad. Kemudian matanya disorot ke belakang gadis itu. Kosong. Kerut kecil terbentuk.
"Zen mana? Tak datang ke?" soalnya lagi. Rasanya petang tadi Haryani sendiri yang beritahu mereka berdua akan datang. Tak jadi ke?
"Pergi tandas. Kejap lagi datang la tu," beritahu Haryani sebelum memaling kepalanya. "Hah! Panjang umur." Dia tergelak melihat langkah yang agak kaku dan keras itu. Macam robot dah tengok!
Laju mata Fahad naik ke depan. Dia tertegun. Degup jantung berubah rentak tanpa dipinta. Terpaku melihat penampilan gadis itu. Comel...
Tak lepas langkah Zenia yang mengenakan baju kurung moden putih berbunga kecil itu diperhati. Terserlah bentuk tubuh langsing yang selama ini ditutupi t-shirt atau kemeja besar itu. Malah rambut pendek gadis itu juga elok ditutup dengan selendang chiffon yang nampak kemas dipakai.
Hujung mata Haryani mencuri pandang pada Fahad di sebelah. Tersengih. Tangannya naik ke depan muka itu dan jarinya dipetik kuat.
"Dah-dah la tu tenung anak dara orang macam nak makan," usik Haryani menyembunyi tawa. Fahad tersedar dan terus melarikan matanya ke arah lain.
"Mana ada." Berdehem kecil menutup malu.
Zenia tetap meneruskan langkah walau kulit mukanya sudah rasa panas menahan malu. Apatah lagi melihat kehadiran Fahad di situ. Nasib baiklah hari sudah gelap, kalau tidak mesti dah ternampak muka merah tomatonya. Mesti Fahad gelak kaw-kaw punya dalam hati tengok aku pakai macam ni! bisik hatinya sebal.
"Weh aku masuk dulu la, nak jumpa abang aku kejap." Kemudian Zenia dipandang. "Cik kak... Kau jalan tu sopan sikit, kang terkoyak kain tu!" Sempat lagi Haryani mengusik. Sungguh, kalaulah Fahad ada menyimpan walau sedikit pun perasaan pada Zenia, rasanya dialah sahabat yang paling gembira sekali!
"Lama dah sampai?" tanya Zenia berbasa-basi sebaik tiba di depan Fahad. Dalam dadanya hanya Allah saja yang macam mana teruk jantungnya bergendang. Malu sampai rasa nak sorok belakang pokok aje!
Wajah putih bersih itu dipandang kejap. Tak betah memandang lama-lama, rasa sesak jiwa lelakinya. Seram sejuk rasa tangannya.
"Lama dah. Aku tengah tunggu Nadia." Dia terus terang. Dalam hati berdoa supaya cepatlah buah hatinya itu datang supaya debarnya itu dapat beralih arah.
"Oh... Tak apa la, aku masuk dulu. Kirim salam dekat Nadia." Kemudian dia terus berlalu ke arah pintu dewan yang terang-benderang. Cepatlah habis, dia nak balik!
"Zen."
Zenia berpaling bila suara garau itu memanggil. "Apa?"
Lama wajah itu dipandang Fahad. Hendak dipuji penampilan gadis itu sebenarnya, namun pujian itu seolah tak mahu terlepas dari kerongkongnya. Akhirnya nafas kecil dilepas.
"Tak ada apa la."
Zenia garu kening sebelum laju berjalan masuk ke dalam. Tiba-tiba lengan sasa Fahad dipeluk dari belakang. Nadia muncul dengan senyum manis tertampal di bibir.
"Sayang... Lama tunggu?" tanya Nadia manja.
Tangan yang melingkar di lengannya itu dilurut Fahad jatuh. Tak sesuai rasanya nak berkelakuan sebegini di majlis keagamaan macam ni.
"Tak ada la, baru aje." Dia senyum kecil pada tiga orang lagi sahabat kekasihnya itu. "Jom la masuk, ceramah dah nak start tu."
Lengan baju Melayu itu ditarik Nadia pantas.
"You tak nak cakap apa-apa ke?" Memuncung bibirnya bila teman lelakinya itu masih tayang muka blur. "Penat-penat I dressing malam ni, you tak nak puji pun."
Mendengar nada rajuk itu, Fahad ketawa. Sungguh fikirannya sudah melayang entah ke mana.
"Cantik, sayang... You pakai apa pun tetap cantik di mata I. Malas nak puji aje." Mulut manisnya melontar pujuk. Nafas lega terlepas bila senyum Nadia terkoyak.
"Jom masuk." Dia berpaling dan dilihat Zenia sedang berbicara dengan seorang lelaki yang nampak ramah memancing perbualan. Entah kenapa dada dipagut cemburu yang entah datang dari mana. Mamat bunga tu ke?
"Weh... Yan dah cari kau kat dalam kot, kau buat apa lagi dekat sini?!" sergahnya sebaik merapat.
Zenia yang terkejut dengan suara keras itu segera mendongak ke kiri. Terbit kerut kecil di wajahnya memandang air muka serius Fahad. Apa hal?
Lelaki berbaju Melayu itu turut beralih mata.
"Kalau macam tu tak apa la, awak masuk la dulu. Lain kali kita borak lagi. Tak pun... Saya boleh kan WhatsApp awak?" ujar si lelaki pada Zenia.
Makin panas dada Fahad mendengar. Dah tahap nak WhatsApp pula. Melebih mamat ni!
"Boleh aje. Sorry eh... Saya masuk dulu." Zenia menghadiahi senyum kecil sebelum naik memandang Fahad yang sudah menggerak mulut padanya, mengarah supaya dia masuk ke dalam. Apa pasal mamat ni?! gerutunya. Nafasnya dilepas kuat sebelum berlalu masuk meninggalkan kedua-duanya.
Langkah Zenia dihantar Fahad sebelum kembali tertumpu pada lelaki tadi. Ini ke budak lelaki yang Hairi kata bagi bunga pada Zenia tu? Kalau ya, boleh tahan orangnya.
"Haikal. Haikal Hazim." Lelaki itu menghulur salam perkenalan.
"Fahad." Tangan itu disambutnya ala kadar.
"Aku tahu. Kawan baik Zenia kan," jawab Haikal.
Dahi Fahad berkerut.
"Actually... Aku dah lama berminat dengan Zenia." Haikal berterus terang, tidak bersembunyi walau sedikit pun.
Memang sebenarnya dia sudah lama memerhatikan Zenia, semenjak dari tahun kedua pengajian mereka lagi. Pertama kali dia ternampak ketika gadis itu menolong mak cik di kafeteria yang terjatuh berdekatan singki basuh tangan dulu, akibat lantai licin. Sejak hari itu, dia selalu ternampak Zenia di mana-mana sudut kampus ini, cuma tiada keberanian nak menegur. Apatah lagi melihat penampilan gadis itu yang nampak susah didekati.
"So, kalau kau boleh tolong aku..."
"No," potong Fahad laju, mencantas kata-kata Haikal.
"Aku takkan tolong kau. Kalau kau rasa kau sukakan Zenia, kau usaha sendiri untuk dapatkan dia. Tapi..." Telunjuknya naik tepat ke muka itu. "Aku bagi amaran pada kau. Kau jangan cuba mempermainkan perasaan dia. Kalau aku tahu kau cuba apa-apakan Zenia, nahas kau aku kerjakan!"
Mendengar amaran keras itu Haikal tertawa kecil. Dia angguk mengerti. "Okey... Okey." Kedua-dua tangannya diangkat tanda mengalah.
"Jom, sayang." Nadia digamit keras.
Zenia masuk ke dalam barisan kerusi di dalam dewan besar itu. Dia duduk ke kerusi kosong sebelah Haryani yang sudah sedia dicop untuknya.
"Kau panggil aku ke?" Dia bertanya pada Haryani yang sibuk mengeluarkan buku nota kecil dari tote bagnya.
"Bila? Tak ada la."
"Tak ada?" Zenia bingung. Sudahnya dia bersandar saja pada kerusi walaupun dapat dirasa beberapa mata yang berpaling padanya. Mungkin terkejut atau pelik melihat penampilan Muslimahnya malam ini.
"Zen, pandang sini kejap. Aku betulkan tudung kau." Haryani tarik lengan Zenia supaya menghadapnya. Zenia hanya akur serupa anak kecil.
Setelah dibetulkan sedikit kedudukan shawl yang dipakai itu, Haryani tersengih puas.
"Cantiknya kawan aku ni... Kalaulah aku ni lelaki, memang dah lama aku jatuh cinta pada kau tau tak!" selorohnya seraya menolak pipi gebu itu. Zenia tergelak.
"Cantik ke?" Terpejam Haryani mengia. Kembang kejap dia dipuji begitu. Bila lagi nak dengar kan.
"Kamera pink kau mana?" tanya Haryani.
"Nak buat apa?"
"Bagi ajelah! Ada bawa tak?"
"Kejap." Zip beg galas di atas ribanya dibuka dan diseluk tangannya mencari. Kamera itu memang sentiasa dibawanya ke mana-mana. Kalau tak bawa, rasa kosong aje.
"Ha... Meh sini." Laju saja Haryani ambil dari Zenia.
"Kau nak buat apa?"
"Selfie!"
"Hah?" Zenia jatuh rahang. Selfie?
"Ini kan kali pertama dan mungkin kali terakhir aku dapat tengok kau pakai baju kurung dan bertudung macam ni. Kena la ambil gambar. Momen berharga kan..." sakat Haryani seraya menyenggol bahu itu.
"Cepat! Nak start dah ni." Kamera dibawa tinggi menghadap mereka dan kepala Zenia ditarik merapat hingga bertembung pipi.
"One... Two... Three... Smile..."
Klik!
Kemudian mereka menunggu gambar keluar. Sebaik kepingan gambar kecil itu keluar, terus Zenia mengibas kecil buat beberapa saat.
"Cantik tak?" Ditarik sikit gambar itu.
"Ala... Apa pasal aku tidur?!" rungut Haryani macam budak kecil.
Zenia hanya ketawa melihat mulut muncung mengalahkan itik itu. Dia menoleh ke belakang untuk menyimpan semula kameranya. Tak semena, matanya bertembung dengan sepasang mata Fahad yang memandangnya dari depan sana. Rentak jantungnya mula berterabur. Pandang aku ke?
Bila kepalanya ditoleh ke belakang, rupa-rupanya Nadia duduk selang dua buah kerusi di belakangnya. Zen... Zen... Janganlah perasan sangat.
"Apa hal pandang-pandang? Tau la kau jealous!"
Suara Haryani itu mencantas lamunan Zenia. Dilihat Hani di belakang sudah menjeling memandang mereka sebelum berpaling semula ke pentas. Lengan Haryani ditampar.
"Dah la tu. Tak payah layan, nanti kau juga yang sakit hati," pujuknya.
"Dia yang mulakan dulu. Apa hal nak jeling-jeling kita?!" dengus Haryani. Menggeleng Zenia. Kembali bersandar selesa bila MC untuk majlis malam ini membuka bicara atas pentas sana.
"Mal... Kau nampak tak budak architecture yang tomboi sana tu? First time aku nampak dia dressing macam perempuan. Merecik juga rupanya."
"Tomboi ni memang selalunya cantik weh. Dia jadi tomboi pun mungkin nak tutup kecantikan dia tu kot. Kalau dapat sedap juga," komen seorang lagi lancang.
Serentak Fahad dan Hairi memusing kepala ke belakang bila telinga turut menangkap perbualan kedua-duanya. Dua sahabat itu ditikam tajam.
"Kau cakap baik-baik sikit ek. Sebelum melekat penumbuk ni dekat muka kau!" ujar Fahad dalam nada tertahan. Bengang. Panas hatinya mendengar kata-kata lancang itu.
"Kau apa hal? Makwe kau ke?" balas mamat yang berkata tadi dengan muka berlagak bagus.
"Isy..." Fahad sudah mula angkat punggung, namun Hairi bertindak lebih pantas menarik lengannya.
"Sabar, Fahad... Kau jangan buat hal pula dekat sini!" bisik Hairi rendah. Sudahnya Fahad menghempas semula tubuhnya ke kerusi, terdengar bunyi tawa sinis di belakangnya itu. Tangannya dikepal kuat membendung rasa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co