Truyen3h.Co

POLAROID CINTA ZENIA

Bab 11

karyaseni2u

"ZEN... Kau kat mana? Belikan aku pad."

"Aku dah on the way nak balik dah, Yan. Esok ajelah. Tadi sebelum pergi tak nak pesan," bebel Zenia.

"Lupa la. Pad aku tinggal satu aje. Aku pinjam kau punya dulu ek."

"Ha... Ambil ajelah dalam almari tu."

"Okey. Balik cepat, aku rindu." Terkekeh Haryani tergelak di hujung sana sebelum mematikan panggilan.

Tergeleng Zenia dibuatnya. Motor ditunggang terus ke rumah sewa mereka yang terletak di taman bersebelahan Apartment Intan. Selang dua minit kemudian, telinganya mula menangkap bunyi sekumpulan motosikal yang makin mendekat. Hati mula berdetak bimbang. Apatah lagi waktu sudah menginjak ke pukul sebelas malam. Kalau bukan sebab dia terpaksa print assignmentnya di kedai tadi, memang dia takkan keluar selewat ini.

Dia cuba bertenang. Minyak dipulas untuk meningkatkan kelajuan. Tiba-tiba sebuah motosikal berhenti mengejut tepat di hadapannya. Kelam-kabut dia menekan brek hingga terlanggar dadanya ke kepala motor.

"Hoi! Nak mati ke?!" tengkingnya seraya membuka topi keledarnya. Lelaki bertopi keledar itu turut membuka penutup muka. Mengoyak senyum di hujung bibir.

Dahi Zenia berkerut. Lelaki ni... Kepalanya berputar laju cuba mengingati raut wajah itu. Nafasnya dilepas sebaik teringat di mana dia berjumpa dengan lelaki itu. Lelaki sama yang mengacau student perempuan minggu lepas berdekatan pasar malam.

"Hai, cik adik... Buat apa malam-malam naik motor ni?" soal lelaki itu sebaik rakan-rakannya yang menaiki dua lagi motor berhenti di kiri kanan motor si gadis.

"Kau nak apa hah? Aku tak kacau kau, kan. Tepi!" Motornya cuba digerak tapi rakan-rakan lelaki itu mula membuat putaran di sekelilingnya, sekaligus menghalang pergerakan motornya.

"Wow... Tak kacau aku? Kau nampak ni?" Telunjuknya naik ke arah pipi kirinya yang berbalut plaster. "Kau nampak apa yang kau dah buat ni?"

"Itu balasan untuk kau sebab kacau perempuan! Aku pelik la dengan kau orang ni, nak kata bodoh, belajar dekat universiti. Tapi perangai tak ubah macam samseng kampung!" Zenia menyembur lancang.

Meletus ketawa lelaki itu dan diikuti oleh tiga orang lagi kawannya.

"Muka dah cantik, tapi mulut boleh tahan juga kau ni. Tak apa! Aku suka perempuan garang macam ni. Baru seronok sikit."

Lelaki tak dikenali itu mula turun dari motor. Zenia telan liur.

"Kau nak apa ni?" Tangannya mula terasa seram sejuk. Dilarikan anak mata ke sekeliling yang sunyi sepi. Hanya satu dua buah kereta saja yang kelihatan di jalan besar sana. Nak menjerit pun rasanya tak ada yang akan dengar.

"Kau rasa?" Isyarat diberi pada dua orang rakannya. Zenia ditarik kasar hingga terjatuh motosikalnya ke jalan.

"Lepas la!" Dipulas-pulas kedua-dua tangannya, cuba lepas dari cengkaman kuat itu.

"Ikut turn, okey? Biar aku yang rasmi dulu."

Terbuntang mata Zenia mendengar. Rasa takut mula menjalar ke setiap pembuluh darah.

Si kawan mengangguk sebelum menolak Zenia kuat. Tubuh Zenia disambut dan dipeluk erat. Digesel kumisnya ke pipi gebu itu.

"Tak rugi aku ikut kau dari tadi," bisik si lelaki. Bibir dijilat kecil.

"Lepas! Lepaskan aku la, gila!" Zenia mula menjerit seperti orang gila. Meronta kuat. Cuba menyelamatkan diri. Peristiwa hitam hampir lapan tahun lalu menggamit semula ingatan. Sekaligus membuat seluruh tubuh menggigil ketakutan. Melihat senyuman lelaki di sekelilingnya itu kian menambah rasa gerunnya.

"AKU nak sampai dah ni. Kau jangan tidur pula." Fahad berlawan bicara dengan Haryani di telefon. Stereng kereta diputar ke kanan menuju ke Taman Idora.

"Ya, aku tunggu ni. Lagi satu, kalau kau ternampak Zen ke apa beritahu aku tau. Tadi dia pergi print assignment, sampai sekarang tak balik lagi. Risau pula aku," pesan Haryani nada bimbang. Tadi dia nak teman tapi masih period cramp.

"Apa hal nak print assignment malam-malam macam ni? Esok pun boleh aje, kan?"

"Kau tahu la Zen tu macam mana, semua benda nak settle cepat. Malas nak menangguh, bukan macam kau!"

"Eh... Sempat kau mengata aku, ek. Yalah, apa-apa nanti aku beritahu." Kemudian panggilan dimati dan iPhonenya dicampak ke atas fail hijau yang nak diberi semula pada Haryani.

"Zen ni pun satu, malam-malam keluar buat apa? Tak tahu bahaya ke?!" bebelnya sendirian. Geram. Pedal minyak ditekan makin dalam, meluncur laju kereta Honda Jazznya membelah jalan sunyi menuju ke rumah sewa Haryani dan Zenia. Lampu tinggi dibukanya memandangkan tiada kereta di situ.

Tiba-tiba matanya menangkap beberapa buah motor yang diparkir di tepi jalan sana dan ada sebuah motor yang terbaring di atas jalan raya. Hati mula berdetak bimbang. Lantas dilajukan keretanya dan sebaik mendekat, brek ditekan perlahan.

Motor biru...Nombor plat...

Berbuntang matanya melihat nombor plat motor itu.

"Zenia!"

Terus brek ditekan mendadak. Dia menapak keluar. Raut resah jelas terpeta di wajahnya, apatah lagi melihat beberapa buah motosikal yang tak dikenalinya diparkir berdekatan situ.

"Zen!" jeritnya seraya melihat sekeliling. Sepi.

"Zen!" jeritnya lagi. Kaki mula melilau mencari. Tiba-tiba muncul seorang lelaki dari celah rimbunan pokok tepi jalan itu. Jelas kelihatan lelaki itu kaget melihatnya.

"Hoi! Kau buat apa ha?!" sergahnya tinggi. Terus kakinya meluru dengan muka merah padam.

"Lari woi!" jerit lelaki t-shirt biru itu sebelum berlari laju ke arah motor dan terus lari dari situ.

Beberapa saat kemudian dilihat tiga orang lagi budak lelaki kelam-kabut keluar dengan salah seorang tak berbaju.

"Hoi!" jerkahnya dengan muka berang. Tak sempat dia menangkap walaupun salah seorang, kesemuanya sudah lari lintang-pukang mengelak. Kesemuanya terus menghilang pergi bersama motor masing-masing. Hanya kepulan asap motor saja yang tertinggal.

"Shit!"

Tanpa buang masa, terus dia berlari masuk ke celahan pokok di situ. Terkaku sebaik terlihat Zenia yang sudah terduduk dengan rambut berserabut dan lengan baju kanan yang sudah terkoyak. Menggigil seluruh tubuh itu. Derap diatur perlahan.

"Zen." Tangan Zenia cuba disentuhnya. Terkejut dia bila Zenia tiba-tiba menjerit dan meronta kuat. Dilihat wajah itu sudah basah dengan air mata. Mungkin trauma dengan apa yang berlaku.

"Zen... Aku ni, Fahad!" Lengan gadis itu dicengkamnya kuat, cuba menyedarkan gadis itu. Perlahan mata basah dan merah itu naik melihatnya.

"Aku... Fahad," ulangnya mengendurkan nada. Jatuh belasnya melihat wajah pucat basah Zenia.

"Faha..."

Tiba-tiba Zenia pengsan dan jatuh ke dalam pelukannya. Fahad mula tak keruan.

"Zen... Zen..." Pipi itu ditepuknya kuat. Tanpa membuang masa, terus sweater hitamnya dibuka dan disarung ke tubuh itu. Zenia diangkat dan dibawa masuk ke kereta.

"Helo, Yan. Kau datang Hospital Shah Alam sekarang. Aku on the way pergi sana. Kau call Hairi suruh ambil kau," tuturnya laju sebaik panggilan bersambut.

"Apa pasal? Kau accident ke?!"

"Bukan aku... Zenia. Nanti la aku cerita, datang sini cepat." Panggilan diputus.

Zenia di sebelah dipandang. Wajah pucat dan luka-luka kecil di muka dan tangan halus itu menggamit resah dan bimbangnya. Berdoa dalam hati supaya tiada apa yang buruk berlaku pada Zenia tadi. Tapi melihat pakaian gadis itu yang masih elok, kecuali koyak di lengan, dia yakin budak-budak lelaki itu tak sempat melakukan apa-apa.

"Jahanam punya jantan!"

Sekilas Zenia dilihat lagi. Tangan kirinya naik hendak menggenggam tangan sejuk yang terkulai layu itu. Namun terhenti serta-merta bila bayang Nadia melintas di mata. Nafas terhembus kuat. Akhirnya stereng kereta saja yang digenggamnya erat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co