Truyen3h.Co

POLAROID CINTA ZENIA

Bab 9

karyaseni2u

PUAN RAMLAH mengusap rambut cucu kesayangannya yang berbaring di ribanya. Ketip kuku di dalam kotak diambil. Jemari runcing milik cucunya itu ditarik dan satu per satu kuku jari itu dipotong kemas.

"Kenapa senyap aje ni?" soal Puan Ramlah. Semenjak cucunya pulang semalam lagi dia sudah perasan dengan perubahan gadis itu. Selalunya laju saja bibir itu berceloteh tentang apa saja yang berlaku di kampus mahupun kawan-kawannya.

"Tak ada apa, saja nak dengar bunyi degup jantung nenek," jawabnya bersama senyum kecil. Suasana hening malam itu menggamit semula perasaannya.

"Nek..."

"Hurm."

"Kenapa papa mama tinggalkan Zen?"

Soalan itu berjaya melumpuhkan lidah Puan Ramlah. Walhal soalan itu bukanlah soalan baru, malah sudah berkali diajukan si cucu dan setiap kali itu juga lidahnya akan terkelu. Terkedu kerana setelah sekian lama persoalan itu tidak kedengaran, malam ini berbunyi semula.

"Nenek dah beritahu kan, kakak Zen sakit. Sebab tu papa mama bawa kakak pergi luar negara untuk berubat."

"Sakit apa sampai dua puluh tahun tinggalkan Zen sorang-sorang dekat sini?" Cuba dikawal nada suaranya itu walaupun sebelah matanya sudah mengalir air mata.

Puan Ramlah tertunduk. "Penyakit yang jarang orang hidapi. Itu yang nenek tahu. Sebab tu Zeria perlukan perhatian yang lebih dari papa mama, sebab sejak lahir penyakit tu dah ada dan doktor sendiri cakap penyakit tu perlukan pemantauan yang berterusan."

Zenia hanya diam. "Rupa kakak sama tak macam rupa Zen?" soalnya tak mampu lagi melawan sebak. Dia bangkit dari riba itu. Neneknya ditatap kabur.

Mata Puan Ramlah turut berair. Simpati dengan cucunya itu yang terpaksa berkorban kasih sayang ibu bapa sendiri. "Sama, sayang... Sama sangat. Dua-dua cantik. Dah kata pun kembar, kan."

Kemudian handphone di ribanya dibuka mencari sesuatu.

"Macam ni?" Skrin handphonenya ditunjuk ke depan mata si nenek. Terlihat jelas perubahan air muka itu.

"Mana... Mana Zen dapat gambar ni?" Si cucu dipandang menuntut jawapan. Selama ini hanya dia dan anak bongsunya yang menerima segala perkhabaran tentang anak menantu serta cucunya di sana. Tidak langsung diberitahu pada Zenia kerana dia tak mahu cucunya itu bersedih dan terlalu berfikir hingga mengganggu pelajarannya.

Silanya ditarik dan gambar gadis yang nampak sedikit pucat itu ditatap kejap. Namun senyum itu tetap kelihatan ceria di matanya.

"Dah tujuh tahun rupanya Zen kawan dengan kakak kembar sendiri," ucapnya dalam tawa dan tangis.

Puan Ramlah buat muka bingung.

"Kawan maya Zen, nek. Kita orang tak pernah tengok rupa satu sama lain. Tapi hari tu Yan yang mintak gambar guna akaun Zen. Rupa-rupanya..."

Mengertilah Puan Ramlah kini. Rambut itu diusapnya penuh kasih. "Aturan Allah, sayang. Tak ada yang mustahil."

Senyap. Patutlah selama ini dia cukup selesa berkawan dengan Zeria, rupa-rupanya gadis itu adalah sebahagian dari dirinya.

"Zeria dah tahu ke?"

Dia angguk.

"Mama papa?"

Dia geleng. "Zenia cakap jangan beritahu mereka buat sementara waktu ni. Mesti papa mama pun terkejut kan? Anak yang ditinggalkan rupa-rupanya berkawan baik dengan anak kesaya..." Bicaranya terhenti bila jari itu naik ke bibir menghenti bicaranya.

"Tak baik cakap macam tu, Zen. Zeria sakit dan dia perlukan penjagaan dan perhatian lebih dari papa mama. Tapi itu tak bermaksud mereka dah lupakan Zen dekat sini. Nenek tak nak Zen cakap macam tu lagi," tegas Puan Ramlah.

Zenia hela nafas dalam memenuhi ruang paru-parunya. Cuba menerima kata-kata itu. Namun hatinya masih tak mampu.

"Zen tak kesah, nek. Sebab apa yang paling penting dalam hidup Zen selama ni, cuma nenek dengan mak su aje." Lengan itu dipeluknya menyembunyi rawan hati.

Puan Ramlah mati kata. Dia tahu kalau ucapan itu bukan datang dari hati cucunya. Jauh di sudut hati itu, dia tahu kalau gadis itu teringin sekali bertemu dengan ibu bapanya.

Dia sendiri tak mengerti dengan anak menantunya itu. Walhal sudah acap kali dia menasihati kedua-duanya supaya tidak lupa tanggungjawab mereka pada seorang lagi anak mereka di sini. Wang saja tak dapat menggantikan kasih sayang yang hilang. Tetapi selalu saja kedua-duanya beri alasan terutamanya Suraya, menantunya. Walhal padanya tiada masalah pun kalau mereka pulang ke sini sekejap untuk menjenguk. Entahlah, dia sendiri tak mengerti.

Sebenarnya dia tahu kalau Suraya masih menyalahkan Zenia atas apa yang berlaku pada Zeria. Kedua-duanya terpaksa dilahirkan awal akibat komplikasi yang berlaku sewaktu usia kandungan menantunya itu 27 minggu. Doktor mendapati degup jantung Zenia sewaktu itu semakin perlahan dan akhirnya terpaksa disorong ke dalam bilik pembedahan.

Kedua-duanya dilahirkan pramatang. Berbulan-bulan kedua-duanya diletak bawah jagaan rapi pihak hospital. Zenia dapat melalui detik itu dengan jayanya, namun terbalik pula dengan Zeria yang mengalami pelbagai komplikasi selepas itu. Dek perkara itu, dilihat layanan Suraya pada Zenia kurang berbanding Zeria walaupun waktu itu usia kedua-duanya masih kecil dan memerlukan kasih sayang dari seorang ibu.

Sehinggalah kedua-duanya buat keputusan untuk berpindah ke London. Kebetulan anaknya, Khairul mendapat tawaran untuk bertukar ke sana, jadi Suraya buat keputusan agar penyakit Zeria dirawat di sana memandangkan rawatan di sana lebih baik. Zenia terpaksa ditinggalkan di bawah jagaannya dengan alasan Zeria memerlukan perhatian penuh dari mereka berdua untuk sembuh. Zenia ketika itu masih terlalu kecil untuk mengerti semuanya, hinggalah gadis itu makin meningkat remaja. Barulah telinganya dihujani dengan pelbagai soalan gadis itu berkenaan ibu bapanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co