Truyen3h.Co

POLAROID CINTA ZENIA

Bab 12

karyaseni2u

"BAIKLAH, kelas hari ni sampai sini saja. Saya ingatkan sekali lagi, assignment perlu dihantar sebelum pukul empat petang esok. Selepas tu, saya takkan terima lagi walau apa pun alasannya. Faham?"

"Faham, Miss Sherry," sambut hampir separuh dewan kuliah sebaik saja pensyarah mereka yang berumur 34 tahun itu menamatkan kelas.

"Makan jom," ajak Haryani seraya memeluk bahu Zenia di sebelah.

"Jom." Fail dan pencil case dimasukkan semula ke dalam beg. Tangga didaki mereka untuk mendapatkan Hairi dan Fahad yang duduk di barisan belakang kuliah.

"Makan jom, bang," kata Haryani sekali lagi sebaik tiba di kerusi yang diduduki abangnya dan Fahad itu.

"Kejap." Nota di atas meja dikemas ala kadar dan disumbat masuk ke dalam beg.

"Kau orang pergi la makan dulu, aku kenyang lagi."

Tiba-tiba saja Fahad bersuara. Mata masih melekat pada handphone. Kemudian dia bangun seraya menyangkut begnya ke bahu.

"Aku pergi studio dulu," ujarnya pendek dan terus menapak keluar dari dewan kuliah. Zenia langsung tak dipandangnya.

Haryani menoleh pada Zenia.

"Kenapa tu?" tanyanya pelik melihat sikap Fahad yang nampak lain sejak dua menjak ini. Macam sengaja mengelak dari sesuatu.

Zenia hanya menjongket bahunya. Dia pun naik bingung melihat sikap Fahad sekarang yang nampak lebih pendiam terutamanya dengan dirinya semenjak kejadian malam itu. Budak-budak lelaki itu pun sudah diambil tindakan oleh pihak polis dan universiti. Mulanya dia tak mahu membesarkan hal itu, tapi setelah dinasihati Haryani berulang kali barulah dia memberanikan diri membuat laporan polis. Tak pasal-pasal namanya menjadi sebutan seluruh kampus.

Lagi beberapa meter nak sampai ke kafeteria, Zenia berhenti.

"Urm... Kau orang pergi la makan dulu, aku ada hal kejap."

"Pula dah?"

Dia hanya senyum segaris dan terus berpatah balik dengan langkah laju. Haryani garu kepala bingung.

"Jom la." Abangnya digamit dan mereka meneruskan langkah.

Nafas lelah dilepas Zenia sebaik tiba di luar pintu studio. Daun pintu yang sedikit renggang ditolak sedikit. Melilau matanya mencari seseorang di setiap sudut studio yang tunggang-langgang dengan bahan-bahan projek mereka. Masakan tidak kalau di sinilah tempat mereka bertafakur saban hari dan kadang-kadang menjadi tempat tidur mereka untuk menyiapkan lukisan dan model projek.

Zenia berpaling sebaik telinganya menangkap bunyi batuk kecil tak jauh dari situ. Kakinya dibuka luas dan akhirnya dia mengesan kelibat Fahad. Lelaki itu sedang menghadap kertas lukisan di atas meja luas berdekatan dinding.

Fahad pejam mata kejap sebaik menyedari siapa gerangan yang datang itu.

"Kau nak apa? Bukan kau nak pergi makan ke?" soalnya rendah tanpa sedikit pun memandang gadis itu. Pembaris panjangnya diambil. Belum sempat diguna, tangan Zenia sudah merampas terlebih dulu.

"Kau apa hal?!" Meja dihentaknya dengan kedua-dua tangan seraya bangun dari kerusi plastik itu. Hilang sabar. Ditujah Zenia dengan riak tegang bagai nak telan.

"Aku yang sepatutnya tanya soalan tu. Apa masalah kau sekarang ni dengan aku?!" Giliran Zenia pula membentak kasar. Membulat besar mata itu menentang.

"Tak ada!"

"Tak ada? Tak ada kau kata? Aku call selalu tak berjawab, bila aku tanya kau jawab nak tak nak. Pandang muka aku pun tak. Apa masalah kau ni?!" Dada bidang itu ditolaknya kasar. Akhirnya terhambur juga segala yang bersarang dalam dada Zenia selama beberapa minggu ini.

Fahad menarik nafas dalam hingga ternaik dadanya tinggi. Cuba untuk tak berkasar dengan gadis itu.

"Kita cakap lain kali boleh tak? Aku banyak kerja sekarang ni," ujarnya nada tertahan.

"Kalau kau ada masalah dengan aku, kau cakap aje terus terang. Jangan layan aku macam tunggul!"

"Habis tu kau nak aku layan kau macam mana lagi? Sama macam aku layan Nadia? Eh... Kau tu bukan sesiapa la, Zen. Aku dengan kau cuma berkawan aje, tak lebih dari tu!" Fahad menyergah tinggi. Naik turun dada mengalun nafas.

Zenia terpempan. Kata-kata itu nyata tajam menikam hati kecilnya. Bibir diketap, cuba menampung air jernih yang lahir di tubir mata. Perlahan dia mengangguk.

"Aku sedar kedudukan aku sendiri. Tak payah kau ingatkan, sebab aku pun tak pernah anggap kau lebih dari seorang kawan. Tapi kalau kau dah tak suka nak berkawan dengan aku... Cakap aje terus terang. Jangan buat aku macam orang bodoh!"

Sejurus itu, Zenia berlalu pergi. Sebaik kaki menginjak keluar dari ruang studio itu, terus pecah empangan air matanya. Laju menuruni pipi. Teresak-esak dia mengatur langkah turun dari bangunan itu.

Tangan dikepal Fahad.

"Arghhh!" Habis semua kertas lukisannya di atas meja dikoyaknya dan dibaling ke dinding melempias sakit hatinya. Mukanya diraup kasar. Duduk dihempas semula ke kerusi. Serabut!

Dia sebenarnya bukan marahkan sesiapa, tapi sebenarnya marah dan takut pada dirinya sendiri. Takut dengan perasaannya sendiri! Marah dengan perasaannya pada Zenia yang kian berubah dari hari ke hari!

Tak sepatutnya dia berperasaan begini. Dia sudah ada Nadia dan mereka juga sudah berniat untuk membawa perhubungan ini lebih jauh lagi. Tapi kini, hati lelakinya mula goyah... Dan goyah kerana Zenia!

Handphone di atas meja dicapai dan nombor Nadia ditekan. Beberapa saat kemudian suara manja mula menampar cuping telinganya, namun tetap tak dapat meredakan perasaan yang bergumpal di dadanya ini.

"Sayang, kalau hujung minggu ni I turun Kuantan jumpa parents you, you okey?" Tanpa salam, terus diterjah gadis itu dengan soalan yang terkeluar ibarat peluru berpandu.

Nadia di sana tergamam seketika. "Huh? You ulang balik boleh?"

"I nak datang jumpa parents you hujung minggu ni untuk bincang pasal kita. You okey tak?" ulangnya sekali lagi lebih jelas dan terang.

"Kenapa tiba-tiba aje?"

"Just jawab okey ke tak, Nadia. Itu aje yang I nak dengar!" Fahad menekan tegang suaranya hingga terkedu Nadia di hujung talian.

"Okey. Malam nanti I beritahu mama papa." Nadia menjawab seminit kemudian.

Dirinya tiba-tiba diserang rasa bersalah. Tanpa sedar sudah meninggi suara pada buah hatinya itu. Nafasnya dihela lemah.

"Sayang... I'm sorry, okay. Kebelakangan ni banyak benda I nak kena buat. I stres. Sorry again." Suaranya sudah mengendur.

"Tak apa... I faham. You take care okey, esok kita jumpa. Love you..."

Entah kenapa perkataan love you itu seakan tak dapat lagi menghantar getar dalam dadanya seperti selalu. Apa masalah dirinya sekarang ni sebenarnya?!

"Love you too," balasnya rendah dan memutuskan talian. Kertas yang bertaburan di lantai dipandangnya sepi sebelum semua barangnya dimasukkan semula ke dalam beg galas. Dia turut beredar dari situ. Berlama-lama di situ pun bukan boleh buat apa kalau kepala tengah berserabut begini.

"La... Nak balik dah ke? Aku baru nak masuk kot," tegur Hairi sebaik bertembung depan pintu studio.

Hairi dipandang kejap. "Aku sakit kepala la. Aku balik dulu," ujarnya ringkas bersama langkah besar.

Lengan itu dipaut kejap Hairi. "Kau nampak Zen?" tanyanya.

Mendengar nama itu, keluh Fahad berhembus.

"Entah... Tak tau. Aku balik dulu. Chau..." Disandang beg galasnya lalu bergegas menuruni tangga.

Langkah laju sahabatnya itu dipandang Hairi tak lepas. Sebenarnya dia sengaja bertanya perihal Zenia. Walhal dia sendiri sudah ternampak kelibat Zenia dalam perjalanannya tadi. Zenia menangis!

Sepanjang empat tahun mereka bersahabat, itu pertama kali dia melihat air mata gadis itu gugur. Dan dia tahu Fahad penyebabnya.

"ZEN... Bukak la pintu ni. Zen!" Pintu bilik diketuk Haryani lagi bagai nak roboh. Sudah hampir setengah jam dia bertapa di luar pintu bilik Zenia, meminta agar gadis itu membuka pintu buatnya.

Sewaktu dia balik ke rumah mereka dengan abangnya tadi, kebetulan dilihat Zenia sedang berbaring di sofa ruang tamu. Bila ditegur, terus Zenia bangun dengan mata memerah dan terus menghilang ke dalam bilik sampai sekarang. Ada masalah ke? Pagi tadi elok saja.

"Zen... Jangan la buat aku macam ni!" laungnya lagi dengan mata yang sudah berair. Bimbang kalau berlaku sesuatu di dalam sana.

Klik.

Kedengaran bunyi tombol dipulas. Sesaat kemudian muncul Zenia dengan senyum segaris yang jelas nampak terpaksa. Haryani terus memeluk tubuh itu erat. Dia pula yang beria-ia menangis di bahu itu.

Terlepas gelak kecil Zenia dengan keletah sahabat baiknya itu. "Kau yang beria-ia nangis ni kenapa?"

"Kau la buat aku sedih..." Mengongoi lagi di bahu itu. Pelukan dilepas dan mereka duduk di birai katil bujang itu. "Sekarang kau kena cerita, kau kenapa sebenarnya?"

"Tak ada apa la, aku penat," jawabnya keletihan.

"Tipu. Kau jangan bagi aku alasan tak munasabah macam tu boleh tak? Kau ingat aku tak nampak kau menangis tadi?" Dalam perjalanan dia dan abangnya balik petang tadi pun abangnya ada bercerita tentang apa yang dilihatnya berdekatan studio mereka petang tadi.

"Kau dengan Fahad bergaduh ke?" tanyanya berterus terang.

Zenia tersentak. Terus dia bangun dari katil dan bergerak ke arah penyidai. Tuala birunya ditarik dan disangkut ke leher. "Tak ada la. Aku dengan dia okey ajelah."

"Kau cintakan Fahad?"

Nyata soalan itu berjaya merencat langkahnya dari terus berlalu ke dalam. Air muka berubah serta-merta. Bibirnya diketap kecil sebelum memecahkan ketawanya yang dibuat-buat.

"Kau mengarut apa ni, Yan? Kita semua kawan, kan?" jawabnya tanpa sedikit pun menoleh ke belakang. Tiba-tiba tubuhnya terasa dipeluk dari belakang.

"Kenapa kau tak cakap dengan aku..."

"Aku tak cin..." Lidahnya kelu serta-merta sebaik berpaling. Haryani menangis untuknya. Rasa yang tadinya kian beransur hilang kembali mencengkam. Sesak dan sempit rasa dadanya menghela nafas. Tanpa sedar, air matanya ikut luruh sampai terduduk dia ke lantai. Sungguh dia malu!

"Bodoh ke aku, Yan? Jatuh cinta pada orang yang tak sepatutnya..." Air mata tak henti mengalir dari sepasang mata yang cukup payah untuk mencerminkan rasa selama ini. Kini segalanya sudah terbongkar, tiada lagi rahsia yang tersimpan.

Laju Haryani menggeleng, turut sebak menatap raut basah Zenia. "Tak ada apa yang salah, Zen. Kau pun makhluk Allah, layak dicintai dan mencintai..."

"Aku malu, Yan. Orang macam aku ni memang tak layak cintakan sesiapa, sebab aku tahu cinta aku takkan berbalas," luahnya lirih.

Zenia dipeluknya erat menenangkan si sahabat. Betullah andaiannya selama ini, Zenia memang ada menyimpan perasaan terhadap Fahad.

"Kenapa kau tak kongsi dengan aku, Zen? Kenapa kau simpan benda ni sorang-sorang?!"

Zenia menjarakkan dirinya. Bahu itu dipegang dan mata Haryani ditikam tepat dalam kabur. "Janji dengan aku, Yan. Janji yang kau takkan beritahu sesiapa pun pasal benda ni, Hairi sekalipun!"

Mata basah itu direnung Haryani dalam.

"Janji dengan aku, Yan!" tekannya lagi menuntut jawapan di bibir itu.

Sesaat kemudian kepala itu mengangguk laju. "Aku janji, Zen."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co