Bab 13
Zenia bergegas masuk ke bahagian kecemasan Hospital KPJ itu sebaik motornya diparkir. Jam 1.30 petang tadi dia dapat panggilan mak sunya mengatakan neneknya mengalami sesak nafas teruk hingga terpaksa dihantar ke hospital. Setelah meminta izin daripada Encik Kamal, bos di kedai printing tempatnya bekerja sambilan, terus dia bergerak pergi.
"Boleh saya tahu patient nama Ramlah binti Ibrahim dekat bilik mana?" soalnya sebaik mendekati kaunter pertanyaan di situ.
"Boleh saya dapatkan nombor IC pesakit?" soal pekerja yang bertugas di situ. Setelah diberitahu nombor kad pengenalan neneknya, laju dia bergegas masuk ke dalam wad zon merah di bahagian kecemasan hospital. Melilau matanya mencari. Sebaik tiba di salah satu katil di situ, dia terkesima. Dilihat neneknya terbaring kaku. Pucat lesu wajah kesayangannya itu.
"Nek... Maafkan Zen, nek." Tangan itu digapainya dan dikucup bertalu-talu dalam tangis. Minggu lepas dia dah berjanji untuk pulang, namun terpaksa dibatalkan saat akhir kerana supervisornya hendak berjumpa. Beberapa minit kemudian, mak su muncul dengan beg pakaian kecil.
"Mak su..." Mak su dipeluk erat.
"Sabar, Zen." Diusap belakang tubuh itu lembut.
"Apa doktor kata, mak su?"
Tangan itu ditarik Puan Hajar sedikit menjauh. "Doktor kata nenek perlu dibedah secepat mungkin, Nia. Tapi..."
Zenia terduduk di kerusi. Dia tahu apa yang ingin dikatakan mak sunya itu. Hanya mampu menangis mengenangkan keadaan neneknya.
Dia berjaga di situ hingga lewat malam, mak su disuruhnya pulang terlebih dahulu. Bimbang mak sunya pula yang keletihan. Sedang dia terlena di sisi katil, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi kuat. Sebaik kelopak mata dibuka, dilihat seorang doktor dan dua orang jururawat sudah bergegas ke katil neneknya.
Dia ditarik salah seorang nurse supaya bangun dari situ.
"Nek... Kenapa dengan nenek saya?" soalnya dengan juraian air mata yang tak mampu lagi ditahan. Bermacam-macam andaian menerjah kotak fikirannya.
"Sabar cik, sila tunggu dulu di sini," arah jururawat tersebut. Kemudian tirai katil ditarik menutupi pandangannya.
Malam itu doktor mengatakan keadaan neneknya semakin kritikal dan memerlukan pembedahan secepat mungkin. Tika itu hanya satu wajah saja yang terlintas di benaknya, Tan Sri Samad.
Tanpa membuang masa, terus dia bergegas ke rumah banglo yang terletak di Mont Kiara itu. Sanggup dia meredah hujan lebat semata-mata untuk memohon ihsan seseorang yang sudah dianggap seperti datuknya sendiri.
"Assalamualaikum..." laungnya seraya menekan butang loceng di situ berulang kali. Kedatangannya itu disambut Mak Biah.
"Zen buat apa dekat sini?" tanya Mak Biah, berbunyi bimbang. Tubuh itu kelihatan menggigil kesejukan.
"Atuk ada, Mak Biah?" tanyanya dalam gigil.
"Ada. Masuk... Masuk." Tangan itu ditariknya masuk ke dalam dan akhirnya Zenia dibawa ke bilik bacaan yang menjadi tempat kebiasaan Tan Sri Samad meluangkan masa.
Terkejut Tan Sri Samad menerima kedatangan mengejut gadis itu. Terus diarahkan pembantu rumahnya itu mengambilkan tuala kering buat Zenia.
"Ada apa..."
Belum sempat orang tua itu menghabiskan ayat, Zenia terus melutut ke lantai dan tangan tua itu digapainya. Tan Sri Samad tergamam. Cuba ditarik tubuh itu supaya bangun tapi Zenia tetap bertegas.
"Tolong Zen, atuk," ucapnya dalam sendu dan tangis. "Nenek Zen sakit..."
"Sabar, Nia. Cerita dulu dengan atuk apa yang jadi," tutur Tan Sri Samad lembut. Tubuh itu ditarik dan didudukkan ke atas kerusi kulit di hadapannya.
"Sekarang beritahu atuk, apa yang jadi sebenarnya?"
Zenia mula menceritakan semua yang terjadi. Ikut kata doktor, keadaan neneknya kritikal dan perlu menjalani pembedahan segera. Namun kos pembedahan dan perawatan sangat mahal, mereka tak mampu.
"Jadi, apa yang Nia nak daripada atuk sekarang?" soal Tan Sri Samad.
Jemari sejuk Zenia disulam selama sendiri. Tebal mukanya untuk meminta pertolongan, apatah lagi daripada insan yang langsung tiada pertalian darah dengan dia. Tapi apakan daya. Kalau ini saja jalan yang ada, dia rela. Dia bangkit dan melutut di lantai tepat di hadapan Tan Sri Samad.
"Tolong selamatkan nenek Zen, atuk. Zen dah tak ada sesiapa lagi selain nenek. Atuk cakaplah nak Zen buat apa, Zen akan buat asalkan nenek selamat," rayunya dengan juraian air mata. Serasa hendak terhenti jantungnya bila memikirkan neneknya sedang bertarung nyawa tika ini.
Tan Sri Samad terdiam. Memandang gadis itu seolah-olah memikirkan sesuatu.
"Betul Nia nak atuk selamatkan nenek Nia?"
Zenia angguk laju dalam keadaan tertunduk.
"Atuk orang business, Nia." Kemudian nafas dihela kecil.
"Jadi, kalau Nia nakkan sesuatu dari atuk, Nia perlu beri sesuatu sebagai balasan."
Zenia terpempan. Duit ke? Kedua-dua belah kocek seluarnya ditarik keluar. Kosong tak berisi.
"Zen tak ada duit atuk, kalau itu yang atuk nak. Kalau Nia ada duit, Nia takkan berdiri depan atuk macam ni." Lirih dia menjawab.
"Tolonglah, atuk... Kesiankan nenek Zen." Dia merayu bersungguh.
"Atuk tak perlukan duit Nia."
Kepala Zenia terangkat mendengar kata-kata itu.
"Habis tu, atuk nak apa? Kalau atuk perlukan apa-apa pertolongan, Zen boleh tolong. Tapi bukan duit," gelengnya sekali lagi.
"Atuk nak Nia jadi cucu menantu atuk," luah Tan Sri Samad akhirnya.
Terkesima. Tak berkelip mata basahnya menatap wajah tua itu.
"Zen... Zen tak faham."
"Kahwin dengan Fahad dan atuk akan selamatkan nenek Nia." Tan Sri Samad mula meletakkan syaratnya dengan jelas dan terang. Dia bukannya nak mengambil kesempatan atas kesusahan gadis itu. Tapi dirasakan ini adalah masa yang sesuai untuk dia menyatakan hasratnya. Dia sudah lama jatuh sayang pada Zenia dan dia tahu kalau gadis itu ialah calon yang paling sesuai untuk digandingkan dengan cucunya.
Zenia hilang kata. Kahwin dengan Fahad? Langsung tak pernah terlintas dalam benaknya untuk membina mahligai bersama lelaki itu walaupun dalam mimpi.
"Zen... Zen tak boleh, tuk," ucapnya rendah bersama gelengan perlahan. Benar, dia mencintai Fahad. Tapi untuk berkahwin dengan lelaki itu ibarat mimpi yang takkan pernah menjadi kenyataan. Tambahan lagi dengan kehadiran Nadia. Dia tak mahu jadi penyebab hubungan itu terputus. Bukan takat itu, persahabatan mereka selama ini juga bakal hancur berkecai.
"Kalau itu jawapan Nia... Atuk pun minta maaf. Atuk tak dapat tolong Nia." Tan Sri Samad sudah berura-ura bangkit dari sofa.
Lidah Zenia bagai lumpuh. Cepat-cepat tangan tua itu digapai menghalang.
"Tolonglah, atuk... Zen dah tak tahu cara apa lagi untuk selamatkan nenek. Zen sanggup buat apa sekalipun, tapi bukan berkahwin dengan Fahad."
"Dan syarat atuk cuma satu! Kahwin dengan Fahad dan atuk akan uruskan semuanya. Pilihan sekarang di tangan Nia." Tan Sri Samad tetap teguh dengan keputusannya. Tidak beri muka pada rayuan Zenia, walau diakui hati tuanya goyah melihat tangisan itu.
Zenia tertunduk kaku. Liurnya ditelan bagai berbatu, sempit rasa dadanya menghela setiap nafas. Kata-kata itu seolah-olah menggambarkan dia yang memegang nyawa neneknya kini. Antara kebahagiaannya dan nyawa orang kesayangannya. Pilihan apa lagi yang dia punya?
"Zen terima." Akhirnya dia terpaksa mengangguk kalah. Biarlah dia berkorban kebahagiaan, asalkan neneknya tidak diambil pergi.
"Atuk buat la apa pun... Zen terima. Zen akan kahwin dengan Fahad," ucapnya lagi.
Tan Sri Samad tersenyum kecil. Gembira dengan keputusan itu. Tongkat diambil dan dia melangkah merapati meja kerja. Gagang telefon antik di atas meja diangkat dan nombor seseorang didail.
"Azman, saya nak awak settlekan satu benda untuk saya malam ni juga. Urgent."
Zenia hanya senyap. Setiap bait kata yang dilontar Tan Sri Samad ibarat angin lalu di pelupuk telinganya. Kering sudah air matanya. Jiwanya kosong tanpa perasaan.
"Atuk dah beritahu setiausaha atuk, dia akan uruskan semua urusan nenek Nia nanti." Kemudian lengan itu ditarik dan dibantu gadis itu supaya berdiri semula. Sugul wajah itu menuntut rasa belasnya sebagai orang tua.
"Terima kasih atuk, Zen balik dulu," pamitnya tanpa sedikit pun memandang. Dia terus berlalu pergi.
Langkah lemah itu dihantar Tan Sri Samad hinggalah hilang di balik pintu kayu sana. Maafkan atuk, Nia...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co