Truyen3h.Co

POLAROID CINTA ZENIA

Bab 8

karyaseni2u

"CHAT dengan siapa tu?" Haryani meniarap di sebelah Zenia. Dipicing matanya melihat skrin laptop Acer yang sudah berkhidmat hampir tiga tahun itu, tapi masih rapi terjaga. Tak dinafikan Zenia seorang yang sangat pembersih dan teliti dalam menjaga barang kesayangannya. Walaupun berpenampilan begitu, nilai-nilai keperempuanan dalam diri itu kadang-kadang lagi tinggi daripada dia!

Zenia senyap tak menjawab. Jemarinya saja yang masih laju menaip, berbalas mesej dengan rakan mayanya itu.

"Ada lagi ek orang nak main Skype zaman ni?" persoal Haryani dengan mimik muka peliknya.

"Ada la. Kau apa tau," jawab Zenia pendek.

"Masalahnya ada pula tu yang nak melayan kau. Kawan kau ni pun spesies pelik la tu, macam kau!" Terpacul lagi komen di mulut itu. Keropok Twisties perisa cheese yang baru dibuka disumbat satu per satu ke dalam mulut.

Nama samaran rakan maya Zenia itu dilihat.

Starry Night.

"Lelaki ke perempuan ni?" Haryani mula berminat.

"Perempuan la." Pendek dijawab.

"Mana kau tau? Entah-entah dia tipu."

"Apa pasal pula dia nak tipu? Gaya ayat aje pun aku dah yakin perempuan," pintas Zenia lagi menegak.

Haryani angkat kening. Kamera polaroid Zenia yang berada di atas meja kecil di tepi kepala katil itu dicapai bersama beberapa keping gambar di situ.

"Yang ni lagi satu aku pelik. Apa pasal kau suka sangat tangkap gambar pakai kamera mainan ni?"

"Tolong sikit ek! Ni bukan kamera mainan. Ni namanya polaroid camera!" Sesuka hati aje cakap kamera mainan, ingat harga sepuluh ringgit ke?! Kamera warna pink susu itu diambilnya dari tangan Haryani.

"Aku tau la... Masalahnya sekarang ni kau hidup zaman apa? Orang sekarang tangkap gambar pakai kamera phone aje, cik kak. Mana ada nak tengok gambar-gambar keping macam ni dah." Keping-keping gambar kecil itu disusunnya ke tilam. Zaman sekarang dah moden, bukannya zaman pakai kamera Kodak lagi!

"Itulah masalah orang macam kau, Yan. Tak tahu sentimental value gambar-gambar macam ni. Macam gambar kita zaman kecil-kecil dulu, seronok kan bila tengok balik," balas Zenia. Kamera ini adalah hadiah ulang tahun kelahirannya yang kedua puluh dua tahun daripada neneknya. Berbulan juga hadiah itu tersimpan dalam almarinya. Tapi selepas dia guna pertama kali, jadi jatuh cinta pula. Gambarnya tak secantik gambar cuci, tapi nampak unik di matanya, kelam-kelam misteri gitu.

"Tapi bazir ajelah. Kertas dia ni bukannya murah. Simpan gambar dalam phone bila-bila masa boleh tengok," bebel Haryani lagi masih tak puas hati. Daripada pakai kamera macam ni, baik beli kamera betul.

"Bukannya hari-hari aku tangkap gambar pakai kamera ni, kopak la aku! Aku capture momen-momen indah dan terpenting dalam hidup aku aje. Kau apa tau..." Ditolaknya kepala Haryani. Kerja nak mengutuknya aje!

"Ecehhh... Sentimental juga rupanya kawan aku ni ek. Nampak aje kasar, dalam hati ada taman rupanya..." Bahu itu dipeluknya dalam tawa. Suka benar dia mengusik Zenia. Lagi masam, lagi dia suka!

Menjuling mata Zenia ke atas. Malas nak layan.

"Rajin juga kau berkongsi cerita dengan budak ni. Dengan aku tak ada pula kau nak WhatsApp panjang lebar macam ni." Haryani ubah topik semula. Dilihat setiap balasan panjang lebar yang tertera di tetingkap mesej itu.

"Kau tu depan mata aku, Yan. Kejadahnya aku nak bermesej panjang lebar dengan kau, cerita pakai mulut ajelah!"

"Betul juga tu." Haryani ketawa sendiri.

"Aku dah berkawan dengan Starry Night ni sejak aku tingkatan empat lagi, Yan. Sebelum aku kenal kau lagi." Kalau dikira-kira, sudah hampir tujuh tahun mereka bersahabat dan sudah banyak cerita yang mereka kongsikan bersama. Gembira, sedih, suka, duka, semuanya dikongsi bersama. Kadangkala dia lebih selesa berkongsi masalah dengan orang yang tak dikenalinya berbanding kawan-kawannya sendiri.

"Kau pernah tengok rupa dia tak?"

Zenia menggeleng. Mata Haryani membulat besar.

"Kawan dah tujuh tahun tapi sekali pun kau tak pernah tengok rupa dia?! Habis tu mana pula kau yakin dia ni perempuan? Entah-entah lelaki menyamar jadi perempuan. Orang sekarang ni bukan boleh percaya tau." Zenia dipandang tak percaya.

"Aku yakin la Yan, dia ni perempuan. Takkanlah aku tak tahu beza chatting perempuan dengan lelaki. Cer kau chatting dengan Fahad, kau rasa ada ke dia chatting macam ni?!" tepisnya cukup yakin.

Haryani garu telinga. Ada betulnya juga apa yang Zenia cakap tu.

"Dia duduk mana? Tak pernah ajak jumpa ke?"

"Eh... Kau ingat dia ni lelaki ke nak ajak-ajak jumpa bagai?"

"Manalah tau. Kawan dah lama, takkanlah tak nak tengok muka orang yang kau chat selama ni. Manalah tau cantik, boleh juga aku rekomen dekat abang aku." Haryani ketawa di hujung bicara.

Zenia terdiam. Langsung tak pernah berfikir sedalam itu. Dia lebih selesa berkawan sebegini. Aku tak kenal dia, dia tak kenal aku. Apa yang dia tahu gadis itu sebaya mereka dan tidak tinggal di Malaysia. Selebihnya dia tak pernah bertanya.

"Cer la kau mintak gambar dia." Haryani mengusul seraya menggesel-gesel lengannya ke lengan itu.

"Tak nak aku! Apa hal... Karang dia ingat aku pervert pula mintak-mintak gambar." Zenia mencondong badan ke tepi, mengelak Haryani yang menggesel macam kucing tak cukup kasih sayang.

"Belum cuba, belum tahu." Selamba saja laptop itu ditarik ke depannya dan laju tangannya menaip sesuatu. Send!

"Woi!" Dilihat mesej itu sudah selamat dihantar ke tetingkap chat. Haryani dipandangnya bagai nak ditelan.

"Chill la, Zen... Kalau betul dia percayakan kau, dia akan hantar punya gambar dia."

Zenia hanya mampu mengeluh. Kepala digarunya. Seminit, dua minit, tiga minit... Tiada respons.

"Kau tengok apa kau dah buat!" Riak bengang sudah tertampal di wajah itu. "Kalau aku putus kawan dengan dia, semua salah kau tau!"

"Sabar..." ujar Haryani penuh yakin. Tiba-tiba kedengaran bunyi kecil. Ada mesej baru dihantar.

"Dia hantar la weh... Dia hantar..." Tangan Zenia ditepuknya dengan riak teruja habis. Macam terima gambar lelaki saja lagaknya.

Laju saja tangan Haryani membuka fail gambar yang dihantar. Raut wajah yang terpapar di skrin itu ditatap sebelum rahangnya jatuh. Perlahan dia memandang Zenia dengan rasa tak percaya.

"Apa pasal... Apa pasal muka kau orang sama?" Terpacul soalan itu di bibir Haryani. Tak berkelip matanya melihat kedua-duanya.

Wajah dengan senyuman kecil itu turut ditatap Zenia tak berkelip. Lidahnya melumpuh kelu. Mungkinkah...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co