Bab 11
Usai menikmati makan malam mereka, Danny dan Tiara beriringan menuju ke parkir kereta. Sepanjang berada di dalam restoran makanan barat itu, anak mata pengunjung yang keluar masuk pasti akan melirik ke arah si kecil bernama Rara. Siapa yang tidak tertarik dengan kehadiran si kecil itu, bijak mencuri tumpuan dan ramah menyapa dengan senyuman yang secomel itu.
"Kenyang?"
"Alhamdulillah... Terima kasih, abang," gumam Tiara, pendek.
"Ni, Tiara nak balik atau nak singgah ke mana-mana?"
"Tiara rasa nak balik, dah lewat ni."
"Okey, jomlah! Oh, ya... Sebelum abang terlupa... Susu dengan lampin Rara ada lagi?"
"Ada, tapi dah tinggal sikit!"
"Okey, kalau macam tu, esok abang hantar stok kat Tiara. Boleh?"
"Boleh... Tapi sebelum abang nak datang, telefon Tiara dulu tau. Tiara takut last minutes, lecturer buat kuliah! Buat penat abang datang aje nanti."
"Alright! Nanti sebelum abang datang, abang inform Tiara, okey? So, jom balik..." Dengan segera Danny membuka pintu kereta untuk Tiara. Belum pun sempat Tiara memboloskan diri ke dalam perut kereta, bunyi tayar kenderaan bergesel dengan jalan raya menujah pendengaran. Sebuah Proton Satria Neo berhenti betul-betul di kotak parkir bersebelahan.
Danny dan Tiara menoleh dan melihat pintu kereta itu ditolak dari dalam. Beberapa saat kemudian, pemandu Proton Satria Neo menunjukkan diri.
"Pali?" Suara Tiara bagaikan orang tercekik. Tidak menyangka hingga ke sini lelaki itu menjejak dirinya.
"Kenapa? Terkejut?!" Senyuman senget sudah terpeta di pinggir bibir.
Untuk seketika, Tiara terkedu, namun cepat-cepat dia tersedar lalu mengaju soalan berikutnya.
"Errr... Awak buat apa dekat sini?"
"Saja!" Lelaki disapa Pali itu tergelak kecil.
"Saja ronda-ronda tengok keindahan malam," ujarnya sinis bersama kening yang sengaja dijongket tinggi.
"Oh..." Tiada apa yang mampu Tiara katakan saat ini. Hanya ayat itu sahaja yang mampu dilafazkan.
"Siapa dia ni? Tak nak perkenalkan ke?" Pali bertanyakan perihal Danny. Lelaki berjaket kelabu bersama kenderaan mewah itu dijeling sekilas. Pasti anak orang kaya!
"Errr... Abang saya," jawab Tiara, gugup.
"Well... Berapa banyak abang yang awak ada ni, Tiara?" tanya Pali yang sudah mengenali abang sulung Tiara sewaktu hari pertama pendaftaran lagi. Gadis yang menjadi pujaan hatinya ini terdiri daripada tiga orang adik-beradik. Seorang abang dan seorang lagi kakak.
"Abang saudara!" sahut Danny menjawab pertanyaan Pali yang mahukan jawapan. Tambah-tambah Tiara seakan-akan kelu untuk berbicara.
"Abang saudara? Jangan nak auta sangatlah, bro! Tiara ni tak ada saudara-mara! Aku tahulah pasal keluarga dia, kami ni sekampung!" balas Pali seraya mengerling tajam wajah Danny. Nyata, Tiara dan lelaki ini sepakat untuk membohongi dirinya. Tak guna!
"Tiara, siapa dia ni?" tanya Danny, perlahan.
"Dialah orang yang Tiara cakap tadi."
"Oh..." Danny mengangguk perlahan. Rupa-rupanya, inilah lelaki yang sering kali mengganggu Tiara. Tak padan dengan rupa! Ada hati nak kontrol hidup orang lain!
"Kenapa awak keluar melepak malam-malam ni, Tiara?"
"Saya keluar makan, bukan keluar melepak!"
"Awak tahu tak, dah pukul berapa sekarang ni?"
"Tahu!"
"Habis, tak reti nak balik?"
Tiara panggung wajah. Muka Pali direnung tajam. Geram sungguh!
"Sudahlah, Pali... Jangan masuk campur urusan saya. Suka hati sayalah, nak keluar ke... Nak melepak ke. Awak tak ada hak nak atur hidup saya." Suara Tiara terlantun juga. Hilang sabar!
"Abang awak dah pesan supaya jaga awak! Takkan awak dah lupa?!" beritahu Pali seraya menghela nafas.
"Saya bukan budak kecil. Saya dah besar, dah boleh jaga diri sendiri!" Peringat Tiara kepada Pali yang terlalu bimbangkan dirinya.
"Itu kata awak, kata orang yang melihat?"
"Awak tak tahu apa-apa. So, stop disturbing me!"
"Tiara..." seru Pali, perlahan.
"Apa?"
"Balik dengan saya!"
"Kenapa pula?"
"Saya tak mahu lelaki ni ambil kesempatan pada awak. Please, balik dengan saya..."
"Saya dah cakap, awak tak tahu apa-apa. Dan tak timbul isu siapa ambil kesempatan ke atas siapa. So, jangan masuk campur urusan saya. Please!" rayu Tiara, perlahan. Dia melakukan semua ini demi kelangsungan hidup sebagai pelajar yang terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi di bandar besar.
Lainlah lelaki bernama Fazli yang dikenali sebagai Pali. Lelaki itu anak orang senang, anak kontraktor elektrik dan punya aset hartanah pertanian yang beratus ekar. Berduit bahkan boleh memandu kereta ke kampus. Dia? Ke kelas pun terpaksa menaiki bas dan jika nasibnya kurang baik, bas tiada, kudrat kedua-dua kakinya pula terpaksa dikerah.
Hidup mereka jauh berbeza dan kerana itu dia harus sedar diri dan harus melakukan kerja sampingan demi mencari duit tambahan.
"Macam-macam perkara tak elok yang saya dengar pasal awak dengan lelaki ni. Awak nak nafikan lagi? Cukup, Tiara, jangan buat perkara terkutuk tu lagi!" tegas Pali menyentak ketenangan Danny dan Tiara.
"Apa maksud awak ni, Pali?" Tiara sudah hilang sabar.
"Saya tahu awak ada hubungan sulit dengan lelaki ni, kan?"
Tiara telan liur. Ikutkan hati hendak dihempuk kepala Pali dengan beg kecil milik Rara. Baru puas hatinya!
"Tolong jangan menuduh saya sesuka hati awak. Saya tak suka!" tegas Tiara bersama nada marah.
"Saya dah tahu... Tak perlu awak nafikan lagi. Ibu dan keluarga awak harapkan awak belajar dan cari ilmu, supaya awak boleh ubah nasib keluarga. Bukan buat perkara tak elok macam ni, Tiara." Pali semakin melalut hingga membuatkan Danny juga panas hati dengan tuduhan yang dilemparkan.
"Apa masalah kau ni, bro? Perkara apa yang tak elok sangat tu? Perkara apa yang terkutuk sangat tu?" tanya Danny ingin tahu dengan lebih jelas lagi.
"Kaulah masalah aku! Sudah, jangan menyibuk! Aku bercakap dengan Tiara, bukan dengan kau!"
"Hal ni ada kaitan dengan aku! Kau tuduh aku dan Tiara buat perkara terkutuk? Ada bukti?"
"Aku tak bercakap dengan kau. Jadi, tolong diam dan jangan menyibuk!"
"Tiara, tolong dukung Rara kejap!" Danny serahkan Rara yang hampir terlelap kepada Tiara dan beberapa saat kemudian, wajah dihala semula ke arah pemuda awal 20-an itu. Dia belum puas menagih perjelasan.
"Kau beritahu pada aku, apa yang aku dah buat sampai kau sakit hati sangat pada Tiara dan tuduh dia bukan-bukan?" tanya Danny mengikut rentak bahasa yang digunakan oleh Pali.
"Kau tanya aku apa yang kau dah buat?" Pali tergelak sinis.
Danny tenang menanti bicara Pali yang seterusnya. Dia lebih tua dan dia lebih matang dalam menangani jiwa muda Pali yang jelas menunjukkan perasaan cemburu yang tak bertepi.
"Kau tahu tak, famili Tiara dah amanahkan supaya aku jaga Tiara sejak hari pertama kami masuk universiti ni lagi. Tu..." Bibir Pali muncung ke arah Rara yang terlena di bahu Tiara.
"Apa yang kau buat dengan Tiara sampai lahir anak luar nikah tu? Kalau keluarga dia tahu, macam mana? Siapa yang dapat susah? Tiara juga. Kau? Mesti lepas tangan punya! Macam aku tak tahu perangai kasanova jantan-jantan kat sini!"
Danny terdiam dengan kata-kata yang Pali lemparkan. Namun tidak pada Tiara. Tapak tangannya lebih pantas bertindak.
Panggg!!! Satu tamparan telah melekat ke wajah Pali. Untuk seketika, bumi seolah-olah berhenti berputar. Yang ada hanya deru nafas naik turun menahan gelora amarah.
"Jaga mulut awak tu, Pali! Awak menghina dan menuduh saya!"
Pali menyentuh pipi kanan yang terasa pijar. Tidak lama kemudian, senyuman sinis itu kembali dipamerkan.
"Tak perlu awak sorokkan lagi, Tiara! Satu flat dah kecoh pasal anak luar nikah awak tu! Bangkai gajah, mana boleh ditutup. Lama-lama berbau juga!" sambung Pali menyindir kedua-duanya.
"Kalau awak tak tahu apa-apa, tolong berhenti bercakap! Jangan buat spekulasi yang boleh merosakkan maruah saya!" Tiara ketap bibir menahan perasaan geram.
"Spekulasi apanya, Tiara? Penyewa-penyewa lama rumah awak sendiri dah ceritakan segala-galanya. Awak dengan lelaki tak guna ni selalu bermalam bersama hingga mereka semua ambil keputusan untuk keluar dari rumah neraka tu! Awak dengan Reena sama saja! Tak ada bezanya! Perempuan tak bermaruah!"
Panggg!!! Sekali lagi tapak tangan Tiara menyambar wajah Pali.
"Kurang ajar!"
"Siapa yang kurang ajar sekarang ni? Saya nasihatkan awak. Tapi ini yang awak bagi pada saya! Awak tampar saya!"
"Awak memang layak makan penampar!" hambur Tiara, panas hati.
"Huh, dasar perempuan lupa diri. Hei, mana maruah awak sebagai gadis? Mana perginya sopan santun dan lemah lembut awak tu?" herdik Pali tidak henti-henti.
Tiara senyap. Dia tidak mahu lagi melayani provokasi Pali. Kelak, dia bimbang tangannya akan sakit kerana menampar wajah itu berulang kali.
"Sejak datang ke sini, awak dah banyak berubah! Awak bukan lagi gadis kampung yang tahu menjaga batas pergaulan! Awak lupa diri dengan kehidupan bandar yang bebas!" tuduh Pali yang masih belum puas membakar jiwa gadis yang jelas tidak membalas cinta yang dihulurkan. Ah, dia benar-benar tercabar!
"Cakaplah! Apa pasal awak senyap?!" gumam Pali apabila Tiara tidak membalas. Danny pula senyap membisu. Menjadi saksi pertelingkahan dua manusia berlainan jantina.
"Awak dah habis modal, kan? Yalah, benang yang basah mana boleh ditegakkan! Kalau dapat ditegakkan, ia tetap tak dapat diluruskan. Ya, kan?"
Tiara menggeleng. Sakit betul hatinya dengan sikap Pali yang gemar menyimbah minyak ke atas api yang semakin marak. Nak sangat tengok dia terbakar!
"Cukup, Pali! Semua tu fitnah! Saya tak sekeji yang awak sangka!"
"Yalah, sesiapa pun takkan sangka perempuan macam awak tergamak menjual badan demi mengejar kemewahan!"
Pang!!!
Tanpa sedar, tapak tangan Tiara sudah melekap ke wajah Pali.
"Dasar mulut puaka!" hambur Tiara kali ini hadir bersama deru nafas yang tak terkawal. Dan sejurus itu, tubuh diboloskan ke dalam perut kereta dan pintu kereta ditarik rapat hingga berdentum bunyinya. Melihat adegan yang tidak disangka-sangka, Danny sekadar mampu menjongket bahu lantas berpusing menuju ke bahagian tempat duduk pemandu meninggalkan Pali terkulat-kulat sendirian.
Sebelum masuk ke dalam kereta, bibir Danny masih sempat berpesan.
"Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa! Take note!" tuturnya lalu menghilangkan diri ke dalam kereta yang berdaftar dengan nombor pendaftaran yang agak istimewa itu.
"Kau lempang aku, Tiara?! Tiga kali kau lempang aku! Tak apa, hari ni hari kau! Tunggu esok lusa, tahulah kau yang langit tu tinggi atau rendah! Aku akan pastikan kau sujud di hujung kaki aku!" sumpahnya bersama nafas yang dihela kasar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co