Bab 12
"Rara dah tidur... Mama Rara tak nak tidur lagi?" soal Danny sewaktu bersidai di balkoni tangga. Dari air muka gadis itu, dia tahu Tiara sedang dihambat resah.
"Belum mengantuk!" jawab Tiara, pendek. Selepas menidurkan Rara, dia keluar semula dan duduk di atas anak tangga paling atas memandang belakang tubuh lelaki itu.
"Kenapa ni?" Suara lembut Danny menyapa hati kecil Tiara yang sedang dipagut bimbang. Dia yang berdiri membelakangi, segera berpusing lalu menyandar belakang tubuh ke penghadang besi. Sesekali dia menjenguk ke arah daun pintu yang terbuka. Cuba memasang telinga kalau-kalau Rara menangis di dalam sana.
"Cakaplah pada abang, at least boleh ringankan kepala Tiara tu."
Mendengar kata-kata pujukan Danny, Tiara memanggung wajah lalu menghela nafas.
"Tiara risau! Mesti Pali akan buat sesuatu yang Tiara tak suka."
"Contohnya?"
"Tiara takut dia ceritakan semua perkara tak betul ni pada keluarga kat kampung! Matilah Tiara."
Danny tersenyum nipis. Dia faham dengan keadaan dan situasi yang terpaksa ditanggung oleh gadis ini. Dia sendiri telah merasa keperitan tersebut hingga terpaksa menanggung aib yang berpanjangan.
"Abang faham keadaan Tiara. Tentang hal tu, nanti abang cuba selesaikan. Kalau famili Tiara salah faham, abang boleh perbetulkan salah faham tu dengan syarat bawa abang berjumpa dengan famili Tiara. Bila-bila pun abang tak kesah!"
"Buat masa ni Tiara memang tak sempat nak balik kampung, bang. Mungkin lepas habis exam."
Danny mengangguk. Lepas Tiara habis peperiksaan, maka berakhirlah tugas gadis itu menjaga Rara dan ketika itu jugalah dia harus bertemu dengan keluarga Tiara untuk berterus terang sebelum Pali merosakkan segalanya.
"Tak apalah, kita tunggu sampai Tiara habis exam. Lepas tu abang hantar Tiara balik. Boleh?"
"Eh, takkan abang nak hantar Tiara balik?" soal Tiara dengan wajah yang sudah bertukar ceria namun jelas riak tidak percayanya itu terpampang di raut wajah. Selamatlah dirinya daripada menumpang kereta Pali.
"Yalah... Abang nak hantar mama Rara balik! At least, bila Rara rindu pada mamanya, tahulah di mana abang nak cari Tiara nanti."
"Nanti mesti Tiara sedih bila nak berpisah dengan Rara." Sayu suara itu sudah menyapa halwa telinga Danny.
"Nak buat macam mana, mama Rara masih berstatus anak dara. Takkan anak dara dah ada anak kut? Karang, kecoh satu kampung!" duga Danny dalam senyuman.
Dia tahu, khidmat Tiara tidak lama. Namun dia tetap bersyukur kerana Allah Yang Maha Besar telah menghadirkan seseorang pada saat dia kebuntuan.
"Ikutkan hati ni, teringin sangat rasanya nak jaga dan besarkan Rara. Tapi apakan daya, pasti keluarga Tiara tak setuju. Mereka lebih suka kalau Tiara bekerja dan jawat jawatan besar," luah Tiara tentang kehendak keluarganya.
"Semua ibu bapa harapkan perkara yang sama. Jangan mengeluh, ikutkan saja kehendak mereka. Mudah-mudahan, laluan Tiara untuk kejar impian dan cita-cita akan jadi lebih mudah," komen Danny dengan nada mendatar.
"Terima kasih, abang. Tenang sikit hati Tiara bila dengar abang cakap macam tu."
"Abang pernah berada di tempat Tiara, abang dah rasa semua tu. Tipikal orang kita, habis saja belajar wajib bekerja makan gaji dan beli kereta. Itu normal! Tapi tak mengapalah... Yang penting Tiara selesa dan keluarga setuju, apa salahnya kita mengalah. Ya, kan?" Tawa halus Danny kedengaran bersahaja.
"Hanya abang yang faham keadaan Tiara, tapi keluarga Tiara tak macam tu," adu Tiara, perlahan. Dibesarkan sebagai anak bongsu yang dihantar belajar hingga ke menara gading, ia cukup memberikan tekanan buat Tiara.
Tambahan pula, si abang sudah berkeluarga dan begitu juga dengan si kakak yang mengambil keputusan menjadi suri rumah setelah mendirikan rumah tangga. Hanya dia sahaja menjadi harapan untuk membantu keluarga.
"Duit gaji yang abang beri tiap bulan, Tiara salurkan dekat ibu di kampung," beritahu Tiara, perlahan.
"Cukup ke untuk Tiara dekat sini? Kan Tiara dapat seribu lima ratus aje?!" tanya Danny sukar untuk mempercayainya. Seribu tu jumlah yang kecil, bukannya besar mana.
"Alhamdulillah cukup untuk Tiara di sini."
"Boleh abang tahu berapa banyak Tiara bagi pada famili?"
"Bulan-bulan Tiara kasi tiga ratus. Selebihnya Tiara guna bayar sewa dan duit belanja Tiara dekat sini."
"Sewa rumah Tiara pula berapa bayarannya?"
"Tiara kongsi dengan Reena. Setiap bulan kami keluarkan tujuh ratus ringit. Maknanya, masing-masing keluarkan tiga ratus lima puluh ringgit."
"Bermakna, lebih untuk Tiara hanya lapan ratus lima puluh ringgit sebulan? Cukup ke?" Kerut di dahi Danny menimbulkan rasa lucu dalam benak Tiara.
"Alhamdulillah, cukup!"
"Macam mana boleh cukup?" Masih tidak puas hati, Danny menyoal lanjut.
"Kalau tak ada kuliah, Tiara masak sendiri, bang. Duit belajar, fotostat, binding assignment atau semua yang berkaitan dengan kerja kursus, Tiara guna duit PTPTN. Alhamdulillah cukup untuk tampung hidup Tiara dekat sini." Sikap jimat cermat Tiara menimbulkan kekaguman dalam hati Danny.
"Tiara buat abang kagum," puji Danny bersama senyuman.
"Biasa ajelah, bang. Tak ada apa yang perlu dikagumkan." Nada Tiara hadir bersama rasa merendah diri.
"Ermmm, Tiara... Abang nak tanya sikit boleh tak?" Ayat yang keluar dari mulut Danny kedengaran tersusun rapi.
"Abang nak tanya apa? Ermmm... Tanyalah!"
"Abang nak tahu, Pali tu siapa? Maksud abang, dia tu siapa dengan keluarga Tiara?"
"Pali tu sekampung dengan Tiara, tapi kami tak pernah kenal. Waktu hari pertama pendaftaran di universiti dulu, keluarga kami berkenalan. Yalah, satu daerah yang sama dan masing-masing tak ada saudara-mara di sini. Jadi, abang Tiara pesan pada Pali suruh tengok-tengokkan Tiara di sini."
"Baguslah kalau ada yang boleh tengok-tengokkan Tiara kat sini."
"Isy, taklah bagus mana! Tiara rasa terganggu! Pali tu busybody!"
"Dia ada hati pada Tiara kut?" duga Danny seakan-akan dapat meneka perilaku Pali yang agak keterlaluan.
"Isy... Tak mungkinlah, bang. Tiara ni biasa-biasa aje, bang. Lainlah dia, ada rupa dan berharta pula tu. Mana padan!" Tergelak Tiara saat Danny menebak perkara sedemikian. Mana mungkin Pali yang berwajah pan-Asia itu ada hati pada dia yang serba-serbi kekampungan.
"Tiara... Abang ni lebih dulu makan garam daripada Tiara. Abang tahu, Pali ada hati pada Tiara. Kalau tidak, takkanlah dia beria-ia jadi macam tu?"
"Tiara tak rasa macam tu." Kepala digeleng perlahan.
"Itu kata Tiara... Kata dia macam mana pula? Lelaki ni, kalau nak tunjuk rasa sayang, dia tak sebut I love you. Tapi dia tunjukkan rasa suka tu melalui perbuatan."
"Isy... Takkanlah, bang! Pali tu memang macam tu, semua perempuan dia ambil berat."
"Tapi tang Tiara ambil beratnya lain macam sikit, kan?"
Tiara terdiam. Ada benarnya juga kata-kata Danny. Sikap ambil berat Pali kadangkala begitu merimaskan. Dia betul-betul tak selesa!
"Betulkan apa yang abang cakap?" ulang Danny seraya memanah tepat ke arah anak mata hitam milik Tiara. Cepat-cepat Tiara tundukkan pandangan dan mengangguk perlahan-lahan.
"Pali tengah berusaha memenangi hati Tiara. Percayalah cakap abang."
"Tapi Tiara tak pernah janji apa-apa pada dia." Nada yang keluar terlalu perlahan hingga menimbulkan kerut di dahi Danny.
"Lelaki yang hebat, lelaki yang takkan putus asa. Tiara pun tahu, kan?"
"Tapi Tiara tak nak bercinta. Belum masanya untuk bercinta bagai!" Dengan segera kata-kata itu dihambur. Dia mahu Danny sedar, cinta bukanlah keutamaannya buat masa ini. Apa yang penting dia mahu mengejar impian dan cita-cita.
"Cinta akan datang dan pergi tanpa kita sedar, Tiara. Mungkin bukan hari ni, tapi esok atau lusa, hati yang benci boleh bertukar sayang. Hati kita ni milik Allah, Dia berkuasa membolak-balikkan hati kita. Siapa tahu, kan?" Danny tersenyum menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.
"Isy, abang ni... Ada-ada aje nak takutkan Tiara." Dalam tersenyum Tiara mengerling sekilas wajah Danny yang disapa abang.
"Abang cakap perkara yang betul. Maklumlah abang dah tua, Tiara tu pula masih muda. Gatalnya terlebih, maklumlah getahnya masih banyak," usik Danny dibalas dengan tawa kecil Tiara.
"Isy, adalah tu nak kenakan Tiara!"
Danny hanya tersengih sambil mengerling jam tangannya, hampir menunjukkan angka 12 tengah malam. Sesudah itu kepala dipanggung dan wajah Tiara direnung seketika.
"Erm... Dah lama kita berborak. Apa kata Tiara masuk, studi atau rehat? Esok malam abang datang hantar lampin dengan susu Rara."
"Okey, kalau Tiara tak ada, abang pass pada Reena, ya?" balasnya seraya mengangguk faham. Dalam diam, dia mengakui perbelanjaan Rara kian meningkat. Namun, dia tidak perlu risau, Danny sudah berjanji untuk menampung segala kos perbelanjaan si kecil itu. Jadi, kalau tak cukup, roger sajalah! Apa nak susah?
"Hesy, termenung pula dia ni! Dah pergi masuk!" sergah Danny disambut senyuman senget Tiara. Daripada duduk, Tiara bangkit berdiri lalu mengibas pasir di belakang seluar. Beberapa saat kemudian, anak mata bertembung. Cepat-cepat wajah ditundukkan dan bibir melafaz sebaris kata.
"Drive carefully!"
"Insya-Allah. Pergilah masuk."
Tiara mengangguk.
"Tiara masuk dulu, ya?" Sesudah mengakhiri bicaranya, Tiara menguntum senyum lantas melambai tangan sebelum mengorak langkah mendekati pintu yang berjarak tiga meter dari kawasan tangga yang menjadi saksi perbualan singkat mereka malam itu.
"Assalammualaikum, good night!" ujar Danny sebelum melihat Tiara membolosi dirinya di sebalik pintu masuk.
"Waalaikumussalam. Good night, abang." Tangan dilambai dengan sebahagian tubuh sudah berada di dalam rumah. Sesudah itu, daun pintu dirapatkan. Dan Danny pula terus berpaling lalu mengatur langkah untuk turun ke tingkat bawah.
Sementara itu pula, Pali yang berada di dalam kereta berdekatan jalan utama sekadar memerhatikan tindak-tanduk kedua-duanya dengan hati yang terbakar. Hampir satu jam dirinya menjadi pemerhati tidak berbayar.
Nyata, apa yang dilihat begitu menyakitkan jiwa! Damn!!! Stereng kereta dipukul dengan lengan. Walaupun terasa sakit, namun ia tidak setanding dengan rasa sakit yang menikam ke dalam hati. Pedih!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co