Truyen3h.Co

Saya Kan Ada

Bab 10

karyaseni2u

SEBAIK sahaja sampai di hadapan rumah dalam pukul 6.00 petang, aku nampak kereta Firash sudah menunggu. Apa hal pula dia ni? Sudah lama tak buat kecoh, sekarang muncul dengan tiba-tiba. Seperti tahu-tahu saja aku bersama Hairiz. Kami berdua sudah berlakon habis dengan mak ndak dan Hanis, takkan ada yang dapat meneka kami keluar berdua.

Aku pandang Hairiz. Hairiz juga pandang aku.

"Dia nak apa?" soal Hairiz. Wajah gembira sudah tidak kelihatan.

"Entah. Cari pasal kut." Aku tolak pintu kereta perlahan. Firash pun keluar dari kereta dia. Dia pandang Hairiz yang masih ada di dalam kereta. Aku ke tempat letak barang dan keluarkan semua barang-barangku. Kalau boleh aku tidak mahu peduli langsung tentang kehadiran Firash. Sakit mata saja pandang dia ni. Makin meluat.

"Kau orang ke mana?" soal Firash, bercekak pinggang. Pandangan tajam terlempar ke arahku.

Amboi, soalan. Macamlah aku dan Hairiz sudah buat salah. Boleh lagi tanya soalan begitu. Hangat hati aku jadinya. Suka hati akulah nak ke mana. Yang dia susah hati sangat tu kenapa?

"Kita orang makan angin. Apa hal?" Aku tanya dia balik. Hairiz sudah keluar dari dalam kereta.

"Apa hal?" Hairiz juga tanya dengan soalan yang sama tapi aku tak tahu Hairiz tanya aku atau dia tanya Firash.

"Kau jangan masuk campur urusan aku. Kaulah dalang dalam hubungan aku dengan Mai. Siapa benarkan kau bawa Mai keluar?" Firash nampak berang. Aku pun pelik, kenapa pula Firash nak marah-marah? Sedangkan malam tu, dia sendiri cakap aku dengan dia memang tak ada sebarang hubungan melainkan sepupu. Alih-alih petang ni marah kami. Gila ke apa dia ni?

"Eh, siapa kau nak halang aku bawa Mai keluar? Kau sendiri yang beritahu semua kaum keluarga yang kau dengan Mai tak ada sebarang hubungan. Apa pasal pula hari ni cakap lain? Kau ni sebenarnya waras ke tidak?" soal Hairiz. Hairiz juga nampak berang.

"Siapa kata aku putus dengan Mai? Mai masih kekasih aku."

Angin aku kalau begini. Benda tak ada, diadakan. Sesedap mulut sahaja dia cakap aku kekasih dia. Ada yang nak kena dengan aku juga ni. Hari tu bukan main bersungguh cakap dah tak ada apa-apa hubungan melainkan sepupu. Karang aku cakap hilang ingatan, mengamuk pula. Tapi memang sah-sah serupa orang tak betul.

"Firash, awak gila ke awak dah hilang ingatan?" Aku letak beg yang mengandungi bekas makanan di tepi pagar dan aku tentang mata Firash. Kalau nak gaduh, gaduhlah. Aku memang sudah cukup bersedia.

"Awak masih kekasih saya okey."

Sah, memang Firash hilang ingatan. Dia lupa agaknya apa yang dia dah sebut malam tu.

"Eh, saya tak pernah pun mengaku yang saya ni kekasih awak. Selama ni hubungan kita hanya sebagai sepupu. Tak lebih tak kurang. Kalau awak fikir saya ni kekasih awak, itu masalah awak. Awak yang terlebih perasan." Aku bela diri. Selama ini mungkin aku banyak berdiam diri jadi, senang Firash ambil kesempatan.

"Awak tak ingat ke apa yang awak dah sebut malam tu? Kalau awak lupa, saya ulang balik."

"Okey, saya mengaku. Masa tu saya memang marah sebab awak temankan Hairiz pergi Cameron Highlands. Jadi, sekarang saya nak beri awak sekali lagi peluang."

Aduhai, penat aku kalau macam ni.

"Saya tak tahu nak guna bahasa apa lagi untuk buat awak faham. Firash, awak dengar baik-baik. Saya dengan awak memang tak ada apa-apa hubungan selain sepupu. Selama ni kalau awak terfikir saya ni kekasih awak, itu hanya perasaan awak terhadap saya. Sedangkan saya tak pernah ada apa-apa perasaan terhadap awak. Tolonglah Firash. Tolong faham. Tolong jangan menyukarkan lagi keadaan." Kenapalah mak ngah ada anak macam ni. Menyusahkan betul. Entah susu apa yang mak ngah bagi Firash makan sampai Firash boleh 'secerdik' ini.

"Awak jangan macam-macam, Mai. Ini mesti Hairiz ada hasut awak bukan?"

"Apa hal libatkan aku pula?" Hairiz menjawab.

"Sebab kaulah Mai berubah hati."

"Mai bukan kekasih kau pun. Kau tak dengar dia cakap? Ke kau nak aku ulang balik?" Hairiz pun tak nak mengaku kalah.

"Kau ni memang jantan tak guna!"

"Dah, jangan nak salahkan sesiapa. Tapi salahkan diri awak sendiri! Awak tu yang tak faham bahasa, Firash." Aku menyampuk. Kalau dibiarkan mahu bertumbuk pula nanti.

"Saya tak boleh terima awak sebab awak anak mak ngah. Awak tahu kan, mak awak tak suka saya. Dan lagi, masa mak ngah kutuk saya, hina saya, apa yang awak buat. Kalau awak nak tahu, mak ngah sendiri yang beri amaran kepada saya supaya jauhkan diri daripada awak. Selama ni, mak ngah tuduh saya terhegeh-hegeh nakkan awak. Sekarang ni, siapa yang terhegeh-hegeh?" Biarlah aku libatkan mak ngah. Mana tahu boleh membantu.

"Saya minta maaf pasal mak saya. Biasalah orang tua. Awak bukannya nak faham sebab sejak lahir awak tak ada ibu. Mana awak nak faham semua tu. Sebagai anak, saya wajib menjaga hati ibu saya."

Sakit pula hati aku mendengar kata-kata Firash. Mentang-mentang aku ini anak yatim, senang-senang dia nak tuduh aku macam-macam.

"Alhamdulillah. Memang sepatutnya begitulah. Disebabkan perkara itulah saya nak awak jangan harap apa-apa daripada saya. Awak kena jadi anak yang taat. Apa agaknya mak ngah rasa kalau dia dapat tahu anak dia terhegeh-hegeh nakkan anak saudara dia yang paling dia benci?" Sinis soalanku untuk Firash.

"Jadi, kita kenalah rahsiakan hubungan kita. Jangan sampai ada yang tahu."

Aku ketawa. Memang aku kena tanya juga susu apa yang mak ngah bagi Firash minum sampai dia boleh jadi begini. Dengan harapan bila aku ada anak nanti aku tak berikan susu jenama yang sama.

"Awak memang lawaklah Firash. Tapi saya rasa, eloklah kita begini. Tak perlu kut sebarang hubungan lain selain sepupu. Demi menjaga perasaan semua pihak, kita jangan fikir apa-apa lagi. Awak baliklah. Saya bukan apa, kalau mak ngah tahu awak datang cari saya, yang teruk kena nanti saya. Bukan awak. Saya tak nak disebabkan benda-benda macam ni, mak ngah akan salah faham. Tolonglah." Aku mengalah. Sementara aku boleh bersabar dengan 'kecerdikan' Firash, baiklah aku suruh balik saja.

"Tapi awak boleh pula keluar dengan Hairiz. Awak tak takut dengan mak lang? Mak lang pun akan serang awak nanti kalau dia tahu awak keluar dengan Hairiz."

"Masalah aku dengan Mai, tahulah aku uruskan. Tak perlu kut kau susah hati sangat tentang tu." Hairiz menjawab. Cara Hairiz menjawab agak menyenangkan hatiku. Kalau Hairiz pun menjawab seperti Firash, memang petang ni adalah petang terakhir dia jumpa aku.

"Kau jangan tunjuk hero sangat, Hairiz. Aku akan beritahu mak lang, kau bawa Mai keluar. Kau tahulah nasib kau macam mana kalau mak lang tahu." Firash mengugut.

"Salah. Kau salah. Bukan aku yang kena, tapi kau dah menyusahkan Mai kalau kau buat begitu. Mak aku dan mak kau akan ambil tindakan yang sama bukan? Akhirnya siapa yang susah? Mai juga yang susah. Kalau kau betul sayangkan Mai, sanggup ke kau tengok Mai dimaki hamun?" Hairiz menyindir.

"Betul kata Hairiz. Selama ni saya dimaki hamun depan awak, awak diam aje. Mungkin awak suka saya kena marah. Kalau macam tu awak beritahulah pada semua orang saya keluar dengan Hairiz. Senang semua maki hamun saya. Itu yang awak suka sangat, kan? Itulah juga lambang kasih sayang awak pada saya." Aku menyindir Firash.

"Bukan begitu maksud saya. Mai, kenapa awak susah sangat nak faham. Takkan benda senang macam ni awak tak boleh nak faham? Keadaan tetap sama kalau awak bersama Hairiz."

Aku pula dituduh susah nak faham. Yang dia tu dari tadi tak faham-faham, tak sedar pula. Serabutnya kepala aku dengan perangai Firash ni.

"Masalahnya sekarang ni, awak pun tak faham Firash. Saya tak ada apa-apa hubungan dengan awak dan Hairiz melainkan sepupu. Itu saja. Keadaan tak akan jadi teruk kalau awak faham dengan situasi kita. Masalahnya awak memang tak nak faham. Kita hanya sepupu!" Sengaja aku kuatkan suaraku pada ayat terakhir itu agar urat kepala otak Firash dapat menangkap makna sepupu itu.

"Oh, aku lupa. Mak aku ada cakap yang mak ngah nak pinang Fuzah untuk kau. Majlis bertunang berlangsung pertengahan bulan hadapan kalau tak silap akulah. Macam mana kau boleh lagi cakap kau ada hubungan dengan Mai sedangkan kau akan berkahwin dengan Fuzah."

Aku toleh pandang Hairiz. Aku tak dengar apa-apa pun. Ke Hairiz ni tengah karang cerita? Kalau ada tentu mak ngah sudah pukul canang.

"Kau jangan nak merepek. Aku pun tak dengar apa-apa," bantah Firash.

"Kau tanyalah mak kau kalau tak percaya." Selamba saja Hairiz bercakap.

"Haah. Hari tu mak awak dengan Fuzah ada datang butik. Tanyakan status kita. Saya cakap kita memang dari dulu tak ada apa-apa hubungan. Mungkin selepas tu mak ngah buat keputusan nak tunangkan awak dengan Fuzah." Aku menyokong Hairiz.

"Awak jangan percaya cakap Hairiz. Mak saya takkan buat apa-apa tanpa bagi tahu saya. Tolonglah Mai. Saya janji akan jaga awak dengan baik selepas ni."

Aku senyum sinis. Janji nak jaga aku? Aku kenal siapa Muhammad Firash yang sebenarnya.

"Atau Hairiz dah hasut awak yang bukan-bukan? Awak jangan percayakan dia. Dia memang pembohong besar. Selama ni dia bermuka-muka saja. Sengaja nak tunjuk hero depan awak. Walhal dia bukannya ada apa pun."

"Sekurang-kurangnya, walaupun dia bermuka-muka, dia selalu selamatkan saya. Kalaupun dia berbohong, tak menyakitkan saya langsung. Tapi awak?"

Firash membatukan diri.

"Okeylah awak. Saya penat ni. Lepas ni tak payah kut nak kacau saya lagi." Aku tolak pintu pagar. Hairiz pula masuk ke dalam kereta. Tinggal Firash seorang diri. Biar dialah. Tak senang nak layan.

"Mai, tolonglah dengar cakap saya. Tolong beri saya sekali lagi peluang."

Aku rasa aku memang tak pernah beri Firash sebarang peluang. Memberi peluang kepadanya bermakna aku membuka ruang untuk diriku disakiti. Aku sudah serik. Untuk masa hadapan, aku hanya mahu hidup gembira sahaja. Tak mahu terlibat dengan sebarang masalah yang entah apa-apa.

"Mai." Firash panggil lagi dan aku terus tidak peduli. Masa aku tolak pintu, aku dengar Firash tutup pintu keretanya dengan kuat dan dia pecut selepas itu. Tahu pun nak blah!

"Assalamualaikum..." Aku beri salam pada Ekin sebaik sahaja sampai ruang tamu. Dia sedang duduk di sofa nampak kepenatan. Baru sampai agaknya.

"Waalaikumussalam..." balas Ekin.

Aku bawa semua bekas makanan ke dalam singki. Basuh terlebih dahulu semua bekas makanan sebelum menyertai Ekin di ruang tamu.

"Best panjat Fraser Hill?" Ekin bertanya sebaik sahaja aku duduk di sofa. Aku pun tak sangka dia terlebih dahulu sampai rumah.

Aku hanya balas dengan senyuman. Berusaha untuk menyediakan jawapan kerana aku tahu Ekin akan banyak menyoal nanti.

"Tolong jangan senyum gatal macam tu boleh? Buat aku terfikir yang bukan-bukan saja."

"Senyum gatal apa pula. Ni senyum gembiralah," balasku.

"Sebenarnya aku tak fahamlah hubungan kau dengan Hairiz tu. Kau orang ni sepupu ke tidak?"

Aku ketawa. Lawak soalan Ekin. Sepupu ke tidak? Boleh lagi dia tanya begitu. Dah nama sepupu, sepupulah.

"Eh, sepupulah. Apa pasal tak pula?"

"Tapi semacam aje aku tengok. Dari dulu aku perhatikan saja kau orang berdua. Banyak kali juga aku sebut benda yang sama, tapi kau tak nak mengaku."

Ekin dah mula balik. Sukalah syak yang bukan-bukan. Tapi sebenarnya hubungan aku dengan Hairiz memang susah untuk dihuraikan.

"Dahlah, Ekin. Aku nak mandi. Kejap lagi dah masuk maghrib." Aku bangun. Tinggalkan Ekin. Malas nak layan. Asyik sebut benda yang sama. Muak juga aku rasa.

"Tengok tu. Setiap kali ajak bercakap benda ni, ada ajelah alasan kau. Sengaja nak mengelak. Ke kau sembunyikan sesuatu daripada aku?"

"Mana ada. Dia bawa aku ke Fraser Hill sebab nak selamatkan aku daripada mak ndak. Hari ni mak ndak aku ada buat makan-makan. Kau tahulah, sah-sah aku kena jadi kuli. Sebab tu dia larikan aku." Terpaksa beritahu Ekin perkara yang sebenar. Kalau tidak dia asyik fikir yang bukan-bukan.

"Macam tu ke?"

"Yalah. Dia tu sepupu akulah, Ekin. Dia nampak semuanya dari mula."

"Memang dia seorang sepupu yang baik sebab memahami keadaan. Tapi sayanglah, dia hanya sepupu kau."

Aku tidak tahu apa makna kata-kata Ekin tapi biarlah dia. Aku pun tak perlu untuk mendengar penjelasan Ekin dengan terperinci. Bagi aku, biar keadaan berlalu seiring dengan waktu. Memang aku takut semua ini akan berakhir dan aku dengan Hairiz tidak seperti hari ini, tapi aku perlu sedar, setiap permulaan tetap ada pengakhirannya.

Atas katil, aku sambung tersenyum. Tapi kalau ikutkan memang betul kata Ekin. Kalau orang nampak kami tadi, mesti tak fikir kami adalah sepupu. Kami kelihatannya tak ubah seperti sepasang kekasih yang sedang menghabiskan masa hujung minggu bersama. Memang kami sangat mesra. Lagi-lagi Hairiz yang suka sangat buat lawak. Manalah aku tak ketawa. Ada saja yang akan jadi bahan dengannya.

Serius, masa gembira aku hanyalah ketika bersama Hairiz. Jadi salahkah kalau aku menghargai masa-masa gembira itu?

Mulai sekarang, aku tak mahu fikir apa-apa lagi. Aku hanya mahu menghargai kegembiraan yang aku miliki sekarang ini. Selebihnya, aku pasrah.

"MAISARAH! Keluar kau!" Aku dengar suara mak ngah menjerit ketika aku dan Ekin sedang menonton TV. Apa lagi ni. Tak boleh ke aku hidup dengan aman sedikit. Ada saja yang tak kena. Aku ingatkan mak lang yang bakal serang aku. Yalah, aku pasti sangat-sangat semua kaum keluarga sudah tahu aku dan Hairiz menghabiskan masa di Fraser Hill. Mak lang pasti saja akan marah, tapi kenapa mak ngah yang menyerang?

"Kenapa terjerit-jerit macam orang gila tu?" Ekin tanya. Ekin nampak seperti tidak senang saja dengan apa yang berlaku.

"Aku pun tak tahu."

"Kau duduk aje. Biar aku uruskan. Kau tu lembik sangat. Tak berani nak melawan langsung." Ekin bangun.

"Eh, tak payahlah." Aku sarung tudung.

"Aku cakap duduk saja dalam rumah. Kalau kau yang keluar nanti, mak saudara kau maki hamun kau kat luar. Buat malu dengan jiran-jiran saja."

Aku duduk semula. Akur dengan arahan Ekin demi menjaga air muka Ekin sama. Maklumlah jiran-jiran Ekin sudah kenal benar dengan Ekin. Sudah lama mereka tinggal berjiran.

"Mana Maisarah?" soal mak ngah dengan lantang. Geram saja aku dengar suara mak ngah begitu. Siapalah yang buat cerita bukan-bukan sehingga mak ngah boleh datang menyerang ni?

"Mak cik masuklah. Bincang dalam rumah. Menjerit macam orang gila tak malu ke?" Berani betul Ekin bercakap.

"Aku nak jumpa Maisarah!" Mak ngah seakan tidak peduli dengan kata-kata Ekin. Masih juga bersuara lantang.

"Kalau mak cik nak jumpa Maisarah, mak cik masuk ke dalam rumah. Kalau mak cik terjerit-jerit kat luar ni, saya tak teragak nak telefon polis." Ekin ugut pula.

Sebenarnya aku tidak takut. Sudah biasa dengan dengan keadaan seperti ini, hanya aku malu dengan jiran-jiran. Apalah tanggapan mereka nanti.

"Maisarah!" Mak ngah meluru masuk. Seperti biasa memang mak ngah akan serang aku tapi Ekin terus berdiri di hadapanku aku.

"Mak cik serang saya dulu. Kalau mak cik berjaya serang saya, baru mak cik boleh serang Mai." Ekin cekak pinggang.

"Kau jangan masuk campur urusan aku," marah mak ngah.

"Memang urusan saya. Ini rumah mak bapak saya. Kalau apa-apa jadi pada Maisarah dan jadi kes polis saya yang kena jawab nanti."

Aku nampak seperti mak ngah cuba menahan sabar. Nafasnya naik turun. Nampak marah benar.

"Kau ni memang tak guna, Maisarah. Dah elok Firash putuskan hubungan, sengaja kau kacau dia. Dah tak ada lelaki lain ke kau nak kacau? Dasar anak tak guna!"

Aku tak tahu nak cakap apa. Rupanya mak ngah serang aku sebab perkara petang tadi. Pasti Firash sudah buat cerita yang bukan-bukan. Mungkin juga Firash bertanyakan tentang rancangan pertunangan yang sedang mak ngah rancangkan. Atau, mungkin Fuzah yang jadi batu api. Segalanya berkemungkinan. Tapi yang pastinya salah seorang telah berjaya membuatkan darah mak ngah menggelegak.

"Eh, setahu saya, anak mak cik yang tak guna. Dia yang datang kacau Mai." Ekin menjawab bagi pihak aku.

"Kau jangan nak bela sangat perempuan tak tahu diuntung ni. Kalau dia tak goda anak aku, anak aku tak jadi macam tu. Tiba-tiba saja buat perangai."

Huh! Mak ngah yang tak sedar yang anak mak ngah tu selalu sangat buat perangai. Macamlah anak dia baik sangat. Depan sajalah baik, anak taatlah katakan. Aku juga yang jahat.

"Kau yang bagi tahu dia bukan, pasal rancangan aku nak kahwinkan dia dengan Fuzah. Kau sengaja nak gagalkan rancangan aku sebab kau masih ada hati dengan anak aku bukan?"

"Mak ngah, saya tak tahu-menahu pun pasal tu. Hairiz yang beritahu Firash sebab dia ada dengar mak lang bercerita. Janganlah sesuka hati nak buat tuduhan."

"Tak payah kau nak burukkan Hairiz. Aku tahu ini semua rancangan jahat kau."

"Betul mak ngah. Macam mana saya nak bagi tahu Firash pasal rancangan mak ngah kalau saya sendiri tak tahu. Depan saya Hairiz bagi tahu rancangan mak ngah pada Firash. Mak ngah pun janganlah dengar sangat cakap anak. Selidik dulu." Aku rasa darah mak ngah tambah mendidih mendengar jawapanku. Tapi peduli apa aku.

"Eh, perempuan sial. Ini semua salah kau. Kau tu dengkikan Fuzah sebab tu kau cuba goda anak aku semula. Tak payah kau nak cakap yang bukan-bukan." Mak ngah seperti mahu pukul aku tapi Ekin tahan.

"Halaman rumah saya tu ada CCTV. Kalau mak cik tak percaya, saya boleh buktikan yang anak mak cik merayu-rayu Mai. Dia yang tergila-gilakan Mai. Mai pun tak hadaplah lelaki dayus macam tu." Ekin tinggikan suara.

Beruntungnya aku ada seseorang seperti Ekin. Bukan saja banyak menolong aku, bahkan sentiasa membela nasibku.

"Dayus apa bendanya?" marah mak ngah.

"Mai, aku rasalah. Mak saudara kau ni dengan anak dia memang tak faham bahasalah. Dah kau tak nak anak dia, masih lagi tuduh kau yang bukan-bukan. Samalah dengan anak dia. Kau dah tolak mentah-mentah masih lagi terhegeh nakkan kau. Mak dia pula asyik fikir anak dia bajet bagus." Sindiran Ekin memang panas. Kalau aku jadi mak ngah memang terasa habis. Tapi kalau dah jenis tak faham bahasa, memang susahlah nak faham.

"Tak payah kau nak perli aku. Semua ni berpunca dari perempuan tak guna ni. Dia yang salah. Jangan nak bela dia sangat." Mak ngah marah Ekin pula.

"Mak ngah, tolonglah balik. Saya dan Firash tak ada sebarang hubungan melainkan sepupu. Mak ngah cakap dengan Firash, jangan datang cari saya lagi." Terpaksalah aku bersuara untuk meredakan keadaan. Dan berharap juga agar mak ngah beredar segera.

"Eh, kalau kau tak gatal, Firash takkan cari kau. Kau ni memang si..."

"Macam ni, mak cik. Saya ajar mak cik kalau mak cik tak tahu macam mana cara nak ajar anak." Ekin menyampuk sebelum mak ngah sempat habiskan ayatnya. Merah terus muka mak ngah. Setahu aku, mana ada yang berani-berani bercakap begitu dengan mak ngah. Kalau aku, sah dah lama kena tampar.

"Sebagai seorang ibu, kuasa penuh ada di tangan mak cik. Mak cik pesan saja anak mak cik. Cakap jangan cuba-cuba nak bercinta dengan Mai. Kalau tidak, mak cik tak mengaku anak. Saya yakin, anak pengecut mak cik tu akan ikut punya cakap mak cik. Saya takut, mak cik berani serang Mai saja. Tapi dengan anak sendiri mak cik kecut! Betul tak?" Ekin semakin berani.

"Eh, anak aku ,pandailah aku ajar!"

"Kalau macam tu, mak cik kenalah ajar anak mak cik macam mana caranya kalau orang tak suka dia. Jangan terhegeh-hegeh. Sekali orang cakap, dah faham. Ini tidak. Anak mak cik ni Mai ulang berjuta kali pun, masih tak faham-faham. Dah kata Mai tak sukakan dia, masih lagi terhegeh-hegeh. Lepas tu dengan mak cik cerita lain."

Rasa nak peluk saja Ekin. Memang dia kawan yang terbaik.

"Kau ingat tu, Mai!" Mak ngah beri amaran sebelum tinggalkan rumah Ekin. Aku tahu mak ngah takut dengan Ekin dan sebenarnya mak ngah takut dengan Firash sama. Mak ngah takut Firash buat macam-macam. Jadi, mak ngah pilih untuk serang aku.

Aku hanya mampu memandang mak ngah.

"Lain kali boleh tak kalau kau berani sikit?" Ekin jeling tajam.

"Aku tak tahu nak buat apa, Ekin. Aku tak boleh nak menjawab lebih-lebih. Dia mak saudara aku. Kakak arwah ibu aku. Kalau aku kurang ajar, maknanya aku kurang ajar dengan ibu aku sendiri." Sedihnya. Kenapalah aku boleh terjebak dengan semua permasalahan ini?

"Sampai bila kau nak macam ni? Sampai bila kau nak lemah? Kau kena ingat, kau tak boleh macam ni selamanya. Kau kena kuat. Aku tak boleh tolong kau selalu, macam tu juga dengan Hairiz. Kalau kami berdua tak ada, macam mana kau nak teruskan hidup kau?"

Aku tiada jawapan.

"Aku sayang kau sebab aku kasihan dengan kau. Aku rasa Hairiz pun macam tu. Dia sayang kau sebab dia rasa kau terlalu lemah untuk berhadapan dengan semua cabaran. Tapi sampai bila? Aku takut, Hairiz tak boleh nak kahwin sebab terikat dengan kau. Dia nak kahwin dengan kau pula, macam-macam pula masalah yang bakal timbul nanti. Jadi, kau jangan pentingkan diri sendiri. Jangan harap orang lain nak bela kau. Kau kena belajar untuk membela diri sendiri!" Ekin tinggalkan ruang tamu. Aku tahu dia marah.

Aku hela nafas dalam-dalam. Betul kata Ekin. Aku kena lakukan sesuatu. Aku perlu lebih berani dan kalau perlu untuk jadi kurang ajar, aku akan kurang ajar. Sampai bila mereka dapat membela aku? Dan sampai bila Hairiz akan bersama aku hanya kerana dia bersimpati dengan nasibku?

Tuhan, apa yang harus aku lakukan? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co