Bab 11
TERKEJUT bila nampak Hairiz sudah menunggu di hadapan rumah. Dia menyandar di tepi keretanya sambil peluk tubuh. Memang selalu dia datang jemput aku, tetapi jarang pada hari Isnin.
"Ini mesti kes rindu. Pagi buta dah tercegat depan rumah. Entah-entah malam tadi tak boleh tidur. Ke kau orang ada buat apa-apa kat Bukir Fraser?" Ekin mula dah. Kemudian dia ketawa. Ini yang menyampah aku nak dengar.
"Merepek kau ni!" Aku tolak bahu Ekin. Ada ke patut fikir yang bukan-bukan.
"Eh, kau orang dah bercium ke?"
"Gila!" Aku menjerit.
Makin kuat ketawa Ekin.
"Kin, kau janganlah. Kalau dia dengar, apa pula nanti dia fikir. Aku selesa macam ni..."
"Sampai bila? Sampai bila kau orang nak main jongkang-jongket? Aku pun naik panas macam ni."
"Kau pun nak jadi mak ngah dengan Firash ke? Jenis tak faham bahasa?" soalku. Kemudian aku ketawa. Ramai betul yang tak faham bahasa.
"Yang ini lain. Kau tu yang tak faham bahasa. Wei, mana ada lelaki dengan perempuan akan terus macam tu tanpa ada sebarang perasaan."
Malas aku nak berlawan cakap dengan Ekin. Dia ajelah yang nak menang.
"Jom sarapan." Hairiz pelawa sambil pandang tepat ke arahku. Kemudian tersenyum cantik. Aduhai sepupu, pagi-pagi buat perasaan aku semacam sahaja.
Aku pandang Ekin. Kami sebenarnya sudah bersedia hendak ke butik. Kebiasaannya aku akan menumpang Ekin. Tak kira pergi atau pun balik memandangkan aku memang tak ada kenderaan.
"Pergilah temankan buah hati kau tu. Mana tau masing-masing bersemangat hari ni." Ekin mengusik
"Mana ada. Sepupu aje..."
"Hurm, sepupulah sangat. Aku pun ramai sepupu. Tapi tak ada pula sepupu aku layan macam sepupu kau tu layan kau."
Apa-apa ajelah Ekin. Pagi-pagi ni memang aku malas sikit nak dengar orang membebel yang bukan-bukan. Pertama, aku tak nak ada rasa sakit hati. Kedua, aku tak nak terlebih ditimpa perasaan. Jadi, aku tinggalkan Ekin tanpa membalas kata-katanya dan bergerak menghampiri Hairiz.
"Cantik pagi ni." Hairiz puji. Dia sambung pamer senyuman menawan dia.
"Mengadalah..." Aku ke tempat duduk sebelah pemandu. Tanpa dipelawa, aku terus masuk. Bukan kereta orang lain pun, kereta sepupu aku juga.
"Serius, memang cantik." Hairiz tak sudah memuji sebaik sahaja duduk.
"Terima kasih. Awak pun segak." Aku pandang wajah Hairiz. Memang segak betul dia pagi ni. Kemas saja dengan kemeja warna kelabu dan seluar warna hitam. Dengan haruman yang dimilikinya, aku rasa macam duduk dalam taman pula. Sangat menyegarkan.
"Tu memang saya dah tau."
"Eh, perasannya." Aku tampar bahu Hairiz perlahan. Hairiz sambut dengan ketawa. Kemudian dia pusing pandang aku.
"Awak, malam tadi mak ngah serang saya." Belum apa-apa lagi aku sudah bawa cerita. Dengan siapa lagi hendak meluah rasa kalau bukan dengan Hairiz.
"La, apa kes pula?"
"Firash la punya hal. Firash tanya mak ngah pasal kes nak bertunang dengan Fuzah tu. Mak ngah tuduh saya buat cerita dan berusaha gagalkan rancangannya. Walhal saya tak tahu apa-apa pun pasal tunang-tunang tu."
"Ini memang betul-betul melampaulah. Saya yang dedahkan perkara tu, kenapa awak pula mak ngah serang? Kalau betul berani, kenapa tak nak serang saya?" Hairiz menampakkan rasa marahnya.
"Ada sebablah kenapa mak ngah serang saya. Mungkin Firash dah cakap yang bukan-bukan. Kalau tak, mak ngah takkan berangin sampai macam tu sekali."
Hairiz diam. Sedang berfikir agaknya. Kemudian dia keluarkan telefon bimbitnya.
"Awak, janganlah..." Aku tahu Hairiz nak telefon siapa.
Hairiz tetap tidak peduli.
"Helo, mak ngah. Ini saya nak bagi tahu mak ngah. Saya yang beritahu Firash tentang rancangan mak ngah nak tunangkan Firash dengan Fuzah. Tak ada kena-mengena dengan Mai. Mai pun tak tahu apa-apa. Dan satu lagi, semalam saya ada masa Firash datang kacau Mai. Apa kes anak kesayangan mak ngah tu merayu-rayu Mai? Tak malu ke?"
Aduhai...
"Tak ada maknanya Mai nak sukakan Firash. Mak ngah dengan Firash yang terlebih perasan. Walhal selama ni punyalah Mai nak mengelak daripada Firash. Firash yang terhegeh-hegeh. Mak ngah kasi ajar sikit anak kesayangan mak ngah tu. Hidup biar jadi orang. Guna sikit kepala otak. Dah kata orang tak mahu, boleh tak jangan cerita yang bukan-bukan. Mak ngah pula tak pasal-pasal menyerang orang. Malulah sikit! Kalau berani, cuba serang saya. Saya yang bagi tahu semua tu pada Firash. Kenapa tak berani serang saya?"
Aku pula yang menggeletar mendengar suara Hairiz.
"Memang saya kurang ajar. Saya mengaku saya kurang ajar sebab mak-mak saudara saya pun lebih kurang saya. Mak ngah sendiri, pernah tak nak tunjuk sikap baik pada kita orang? Tak, kan? Jadi, jangan marah kalau anak saudara mak ngah pun kurang ajar sama. Dah, saya tak nak dengar mak ngah membebel. Saya cuma nak bagi amaran, sekali lagi saya dengar mak ngah menyerang Mai, tahulah apa saya nak buat!"
Hairiz tutup telefon bimbitnya selepas itu.
"Awak ni..." Aku tampar bahu Hairiz. Laju saja beri amaran pada orang tua tu. Karang aku juga yang kena.
"Tak ada la. Dengan awak aje yang berani, dengan saya tak berani pula. Kalau berani, datanglah cari saya. Biar saya ajar sorang-sorang."
"Mungkin Firash beritahu dia masih ada hubungan dengan saya. Jadi, mak ngah apa lagi. Cakaplah saya yang bukan-bukan. Tuduh saya kacau Firash. Saya pun tak tahu bila benda-benda macam ni akan berakhir. Gamaknya kalau saya kahwin dengan orang lain, baru semua senyap kut." Aku tarik nafas dalam-dalam. Harap semuanya cepat berakhir. Cepatlah hendaknya Firash nikah dengan Fuzah. Sah selesai semuanya. Tapi tak tahu pula kalau dah nikah nanti timbul cerita lain. Aku juga yang kena. Pakai nampak tiada kesudahan, kecuali kalau aku sudah kahwin.
"Hesy, jangan la fikir macam tu. Jangan gatal nak cari sembarangan lelaki. Nanti masalah lain yang timbul. Awak juga yang bakal ada masalah. Awak sabarlah dulu. Nanti saya akan tolong selesaikan masalah ni." Hairiz mula memandu.
"Eh, saya tak minta tolong awak selesaikan, saya pun boleh selesaikan sendiri. Saya ingat saya nak beri peluang pada kawan baik Ekin. Dah banyak kali dia tanyakan tentang saya. Saya rasa inilah jalan penyelesaian yang boleh saya lakukan. Saya tengok, kawan Ekin tu pun baik orangnya." Tapi kenapa bila aku sebut pasal kawan Ekin tu aku rasa seperti ada yang tak kena saja dalam diriku. Terasa ada pilu. Mungkin kerana aku sebut dengan rasa yang tidak ikhlas jadi perasaan juga tidak merestuinya. Kalau itu adalah jalan yang terbaik bagi menyelesaikan semua permasalahan ini, aku rasa apa salahnya aku mencuba. Mana tahu aku bakal memiliki keluargaku sendiri nanti. Tak perlu terhegeh-hegeh menumpang keluarga orang lain.
"Janganlah macam ni. Lelaki ni kadang-kadang nampak baik tapi kita tak tahu apa muslihat di sebaliknya." Hairiz seperti risaukan sesuatu.
"Yang awak risau ni kenapa?"
"Saya sayang awak."
Aku terdiam tapi aku berusaha yakinkan diriku, Hairiz sayang aku sebagai seorang sepupu. Tak lebih dari itu.
"Saya berusaha untuk melindungi awak, membahagiakan hidup awak sebab saya tahu selama ini awak tak pernah rasa semua tu. Tolonglah jangan buat perkara yang bukan-bukan. Tak cukupkah saya seorang untuk membuatkan awak rasa bahagia?"
"Awak hanya sepupu saya, Hairiz. Tak lebih dari tu dan selama ini pun saya sudah cukup menyusahkan awak. Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berdikari sendiri. Tak nak menyusahkan awak lagi."
"Saya datang jemput awak pagi ni sebab nak sarapan dengan awak. Bukannya nak dengar awak merepek yang bukan-bukan. Saya tak nak lagi dengar awak cakap yang bukan-bukan. Kalau awak tak nak saya merajuk, tolong jangan sebut benda macam ni lagi. Saya tak suka!"
Cara Hairiz memberi teguran memang benar-benar buat aku tersentap. Aku rasa aku tak cakap apa-apa pun. Yang dia nak tinggikan suara dia tu kenapa? Aku cakap benda yang betul.
Sudahnya aku diam sebab tak mahu mengeruhkan keadaan. Muka Hairiz pun dah hilang seri sejak aku cakap pasal kawan baik Ekin. Sehinggalah kami sampai di kedai makan yang biasa Hairiz singgah, kami masih senyap sunyi. Tak apa, kejap lagi baiklah dia tu.
Masa makan, Hairiz tak banyak cakap juga. Pandang aku pun tidak.
"Kenapa diam aje?" soalku. Manalah tahu aku ada menggores perasaannya. Hairiz ni kadang-kadang memang pelik. Perangai dia boleh berubah dalam dua saat. Tadi masa tunggu di hadapan rumah bukan main lagi ceria, sekarang dah lain. Seingat aku, tak ada apa sangat yang aku cakap. Pasal mak serang aku dengan pasal kawan Ekin. Itu saja.
"Saya nak cakap apa?" soalnya. Masih tak pandang aku.
Okey, kalau sudah begitu, bermakna Hairiz sedang marah. Jadi, tak gunalah aku cakap apa-apa. Kelak keadaan akan menjadi lebih keruh.
Aku cuba habiskan mi goreng.
"Siapa nama kawan baik Ekin tu?" soal Hairiz tiba-tiba.
"Irham."
"Kerja apa?"
"Cikgu."
"Handsome ke?"
"Handsome awak lagi."
"Dah tu?"
Aku berhenti mengunyah sebab aku tak faham makna soalan dah tu?
"Saya tak faham soalan awak tu."
"Dah kalau saya handsome kenapa sibuk cari orang lain?"
Aku ketawa perlahan. Hairiz memang lawak.
"Awak ni dah kenapa, Hairiz? Boleh lagi cakap macam tu. Handsome awak tu tak ada kena mengena dengan saya pun. Entah perempuan mana yang dapat."
Yang tidak-tidaklah sepupu aku ni. Pasal benda itu pun nak naik angin.
"Letih kalau macam ni!" Hairiz merungut.
Aku hanya balas dengan senyuman. Sedang wajah Hairiz mula berubah. Memang Hairiz lebih kacak berbanding dengan kawan Ekin tu, tapi aku tak kesah pun pasal tu. Janji boleh jaga aku dengan baik, aku rasa dah cukup. Satu lagi, keluarga dia boleh terima aku. Tapi kalau aku terima kawan Ekin tu, macam mana pula dengan Hairiz? Ah! Apa kena- mengena Hairiz dalam kes ni? Hairiz tetap akan jadi sepupu aku selamanya. Dan hubungan kami akan kekal begitu.
"Dahlah, tak payah kut nak sibuk-sibuk pasal kawan Ekin tu. Ni saya nak cakap. Minggu depan boleh minta cuti seminggu?"
"Seminggu? Kenapa?"
"Nak lelong awak. Orang dah buat macam-macam pun masih tak faham!" Hairiz jeling aku. Kemudian dia senyum senget.
Awan yang mendung kembali cerah. Hurm, tak lama mana pun.
"Cakaplah betul-betul. Main-main pula."
"Ikut ajelah. Kalau saya beritahu nanti dah tak adalah kejutannya." Hairiz masih begitu, tunjuk senyuman cantik dia.
"Awak nak kahwin ke?" Cuak sama ni. Kejutan apa yang cuba Hairiz berikan nanti.
"Hesy, kalau saya nak kahwin, saya kahwin aje dengan awak. Habis cerita."
"Janganlah cakap macam tu. Ada pula sebut pasal kahwin. Karang kalau betul jadi kahwin, sanggup ke awak hadap mak awak. Mak lang tu boleh tahan juga."
"Mak saya, tahulah saya nak hadap. Kacang aje tu."
Berlagaknya. Dia ingat senang nak uruskan mak lang? Kalau mak ngah garang, mak lang dua kali ganda. Aku kenallah mak-mak saudara aku. Sudah 26 tahun aku kenal mereka. Dah masak sangat dengan perangai masing-masing.
"Cakaplah pasal apa. Awak janganlah dera saya."
"Mana ada dera. Ni sebab sayanglah saya minta awak cuti." Hairiz lap mulut dengan tisu. Kemudian dia minum air.
"Cakaplah..." Aku pujuk lagi.
"Tak boleh cakap."
"Kalau macam tu saya tak nak minta cuti."
"Macamlah saya tak kenal bos awak." Dia pula ugut aku.
"Hairiz..." Aku merayu.
Hairiz senyum lagi.
"Malaslah macam ni..." Aku buat merajuk, mana tahu berkesan.
"Awak cuti saja. Saya nak bawa makan angin. Tapi jangan bagi tahu sesiapa."
"Makan angin? Bestnya. Tapi kat mana?"
"Tempat, awak jangan tanya. Awak ikut saja."
Ini benar-benar buat aku rasa teruja untuk tahu. Namun rasa teruja hilang sekelip mata bila terpandang Hanis sedang pandang ke arah kami. Aku sendiri tidak sedar langsung, sejak bila Hanis pandang kami. Dia makan bersama kawan-kawan sekerjanya mungkin.
"Awak, Hanislah," kataku kepada Hairiz.
"Mana?" Hairiz pandang sekeliling.
"Hanis!" Hairiz angkat tangan.
Aduhai, orang nak elak lagi dia pergi tegur. Kawan tu sudahlah tunjuk muka semacam. Memang tak faham betullah dengan Hairiz ni.
Perasaanku jadi sedikit gementar bila nampak Hanis menghampiri kami dan dia tarik kerusi bersebelahan Hairiz.
"Abang cakap abang dah ada teman wanita, tapi kenapa keluar dengan Mai?" soal Hanis.
La, itu yang membuatkan Hanis susah hati rupanya. Masih terkena dengan gurauan Hairiz.
"Dah Mai teman wanita aku, aku keluar dengan dialah. Nak keluar dengan siapa lagi!"
Habis! Semua gorengan tidak menjadi. Hairiz ni memang tak boleh pakai betul. Buat penat saja aku berlakon semalam. Aku sepak perlahan kaki Hairiz.
"Abang cakaplah yang betul. Jangan nak main-mainlah. Siapa sebenarnya teman wanita abang?" Hanis nampak tak keruan rasa. Suara dia juga seperti orang mahu menangis.
"Aku tak main-main. Kau rasa kalau aku ada teman wanita lain, nak ke aku ajak Mai temankan aku sarapan? Baik aku hadap saja teman wanita aku."
"Jadi, abang dengan Mai pergi Bukit Fraser semalam?"
"Haah. Sengaja aku bawa Mai ke sana sebab nak elak majlis rumah mak ndak. Takkan aku sanggup nak tengok orang aku sayang dilayan macam hamba. Maaflah, jangan harap."
Alahai Hairiz. Dramalah pula. Entah skrip mana yang dia baca, aku pun tak tahu, tapi serius lawak. Hairiz ni kalau dibiarkan, memang ada bakat jadi Romeo.
"Dah, dah. Aku nak pergi kerja ni." Hairiz bangun. Aku juga. Kalau aku tunggu sah aku pula yang kena. Aku terus ke kereta Hairiz. Aku lihat Hanis ke keretanya. Nampak dia memang betul-betul tak puas hati. Selepas ini apa pulalah yang bakal terjadi?
"Awak, kenapa cakap macam tu dengan Hanis? Nanti dia fikir macam-macam. Saya juga yang kena." Aku mula merungut. Meluah rasa tidak puas hatiku.
"Saya memang nak mengelak daripada dia. Eloklah dia fikir kita ni ada apa-apa. Sekurang-kurangnya dia boleh berhenti mengharap. Awak tak kesian ke tengok saya? Awak nak tengok saya menderita kalau mak saya paksa kahwin dengan Hanis?"
Ini soalan yang buat aku benar-benar terperangkap. Memang aku tak sanggup nak biarkan Hairiz hidup dengan Hanis. Bukan sebab kasihan, tapi aku memang tak rela untuk melihat Hairiz bersama Hanis.
"Manalah tahu cara ni dapat membantu saya mengelak daripada Hanis."
Aku tarik nafas panjang. Sukar sebenarnya hendak berkata apa-apa. Sana sepupu. Sebelah aku ini pun sepupu.
"Awak jangan fikir apa-apalah. Yang penting sekarang ni, awak serahkan saja pada saya. Tahulah saya nak buat apa."
Memanglah Hairiz tahu nak buat apa. Tapi perkara yang dia buat tu kadang-kadang memang yang tidak-tidak. Sesuatu yang boleh mengundang salah faham dan kemarahan Hanis. Bukan saja Hanis, malahan mak lang sama.
Aku pun tak tahu, apa pula yang bakal berlaku selepas ni.
PETANG, waktu aku dan Ekin sudah bersedia hendak tutup butik, Hanis muncul. Memang aku sudah agak lambat-laun Hanis akan muncul untuk menyerang aku, tinggal lagi aku tak tahu bila. Tak sangka petang ni juga Hanis bertindak. Agaknya, satu hari dia susah hati pasal aku dengan Hairiz. Pandai Hairiz buat Hanis jadi huru-hara. Masalahnya, aku pula yang terpaksa hadap Hanis.
Hanis tarik tanganku. Mukanya merah. Kalau sudah begitu keadaannya, pasti ada perkara yang menjadi kemarahan Hanis. Waktu ini aku hanya terbayangkan Hairiz. Apa lagi kalau tidak disebabkan Hairiz. Aku juga yakin, pasti Hanis ada hubungi Hairiz selepas kes pagi tadi.
"Kau ni memang perempuan tak guna!" Hanis tolak aku ke tepi dinding. Aku tentang wajah Hanis dan air matanya sudah mula turun ke pipi yang putih melepak.
"Apa pasal pula kau nak serang aku? Aku tak ada masalah dengan kau pun." Aku menjawab. Aku kena ikut cakap Ekin. Kalau orang kurang ajar dengan kita, kita kena layan dengan keadaan sama juga. Baru adil.
"Tak ada masalah? Eh, apa kau dah buat pada Abang Hairiz sampai dia tolak aku? Bukan saja dia tolak cinta aku, bahkan dia cakap dia tak sukakan aku langsung. Ini semua kau punya pasal. Mesti kau dah goda dia bukan? Kau ni memang betul-betul tak guna. Dah tak dapat Firash, sekarang kau goda Abang Hairiz pula. Macam tak ada lelaki lain lagi dalam dunia ni nak kau goda." Sekali lagi Hanis cuba tolak aku tapi aku bertindak cepat dengan tolak badan Hanis.
"Itu masalahnya? Kalau dia dah tak suka dengan kau, tak payah kut terhegeh-hegeh. Kau sendiri yang cakap, sekali kau petik, sepuluh lelaki yang datang. Tapi pelik, boleh pula tergila-gilakan sepupu sendiri. Tuduh aku tak tahu malu, kau pun sama. Lagi tak tahu malu. Hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong." Aku ketawa jahat. Sengaja nak sakitkan hati perempuan angkuh ni.
"Memang ramai lelaki lain yang nakkan aku, tapi aku nakkan Abang Hairiz. Kau faham ke tidak?" Hanis menjerit. Cara dia menjerit saja sudah membuatkan aku faham, Hanis benar-benar serius mahukan Hairiz. Jangan harap. Aku tak akan benarkan Hanis dapatkan Hairiz. Aku sanggup lakukan apa cara untuk menghalang niat Hanis.
"Tak, aku tak faham. Sebab tu masalah kau, bukan masalah aku. Satu lagi, seingat akulah, Hairiz ada cakap dengan aku, perempuan macam kau memang dia tak hadap. Selisih katanya kalau nak buat isteri."
"Kau ni memang dasar perempuan tak tahu malu!" Hanis angkat tangan, tapi belum apa-apa Hairiz tampar kepala dia.
"Apa hal ni?" marah Hairiz.
"Abang?" Hanis terperanjat, aku lagilah terperanjat.
"Aku call Hairiz sebab aku takut kau tak boleh lawan perempuan ni." Ekin jawab walau tak ada siapa pun yang tanya dia. Tetapi jawapan Ekin itu sekaligus menjawab persoalan kenapa Hairiz muncul seumpama Superman. Laju saja.
"Apa hal ni?" Hairiz cekak pinggang dan bertanya dengan menggunakan suara yang sangat lantang.
"Biar aku jawab, boleh?" Aku tanya Hanis. Hanis nampak serupa takut.
"Kau jangan bimbang, aku takkan tokok tambah cerita. Aku cakap yang betul saja kenapa kau datang butik serang aku." Aku pandang tepat ke arah Hanis. Rasanya bukan saja Hanis terkejut melihat perubahan sikapku, Hairiz juga. Kalau sebelum ni aku memang banyak mengalah. Jenis reda saja apa orang buat pada aku.
"Dah, awak tak payah nak cerita lagi. Kalau beginilah caranya saya dah tahu kenapa Hanis datang serang awak." Hairiz menyampuk belum sempat aku nak cerita apa-apa.
"Abang, tolonglah. Jangan buat Hanis macam ni. Hanis sayangkan abang. Dari dulu lagi Hanis sayang abang. Hanis tak tahu kenapa abang boleh pilih Mai. Mai ni bukannya ada kelebihan apa pun. Kenapa abang boleh sukakan dia?"
Aku pandang Hairiz. Aku juga mahu tahu kenapa dia beritahu Hanis yang dia sukakan aku. Seingat aku, memang sudah banyak kali Hairiz sebut dia sukakan aku, tapi aku fikir suka Hairiz itu tak lebih dari seorang sepupu.
"Kau ni dah kenapa Hanis? Faham bahasa ke tidak?" marah Hairiz.
"Abang kena ingat, walaupun abang sukakan Mai, mak lang mesti menentang hubungan abang dengan Mai."
Aku tahu hanya itulah senjata Hanis. Sikit-sikit mak lang.
"Pasal tu, kau jangan bimbang. Aku tahu apa yang aku nak buat dan aku tahu macam mana untuk melindungi orang yang aku sayang. Aku harap ini yang terakhir kau buat perangai begini. Aku dah cakap tadi, jangan sampai memalukan diri sendiri."
Aku pandang Hairiz. Kenapa aku melihat Hairiz seperti bersungguh mempertahankan aku?
"Kita sepupu. Tetap akan jadi sepupu selamanya," sambung Hairiz lagi.
"Mai pun sepupu juga, kenapa abang boleh lebihkan Mai? Kenapa abang boleh suka Mai?"
Aku gigit hujung bibir sambil menantikan jawapan Hairiz.
"Sebab Mai lain..."
Aku pandang Hairiz. Mata kami bertentangan. Pandangannya tetap sama seperti sebelum ini. Panahannya sudah sampai ke jantung. Sebab itu setiap kali bertentangan mata, aku pasti rasa debarannya.
"Aku sayang dia..."
Aku toleh cari Ekin. Mujur Ekin di bahagian kaunter. Kalau tidak mesti Ekin mendengar sama. Kalau Ekin dengar, memang perkara ni akan jadi bahan. Sejak kebelakangan ini Ekin selalu cakap, Hairiz memang sukakan aku lebih daripada seorang sepupu. Hanya aku saja yang tak rasa begitu.
Kemudian aku kembali pandang Hairiz. Dia masih pandang aku.
"Puas hati kau sekarang?" soal Hanis. Dia tolak badanku sebelum beredar tinggalkan kami. Aku tahu Hanis membawa bersama rasa marah dan dendam. Aku yakin, perkara ini takkan habis macam tu saja. Pasti dia akan panjangkan ke mak lang pula. Sekarang ini aku hanya nampak itu saja jalannya.
"Puas hati awak sekarang?" Aku pula menyoal Hairiz.
"Setakat ni memang puas hati," jawab Hairiz tenang. Barulah aku nampak ada senyuman di bibirnya dan senyuman itulah yang mematikan hasrat untuk memarahi Hairiz.
"Saya balik dulu. Apa-apa hal nanti saya call awak. Jangan lupa minta cuti." Hairiz mengatur langkah.
"Terima kasih sebab tolong saya mengelak daripada Hanis," katanya selepas itu.
Bermakna kata sayang tadi hanya sekadar untuk melepaskan diri daripada Hanis? Atau aku tak sedar, selama ini aku hanya dipergunakan oleh Hairiz semata-mata untuk menolak Hanis? Tapi tak mengapa, sekalipun hanya dipergunakan, aku tetap rela kalau itu caranya untuk membalas kebaikan Hairiz terhadapku selama ini.
"Maaflah sebab dah telefon Hairiz. Kebetulan dia pun nak singgah tadi..." Ekin bersuara.
"Eh, tak kesahlah. Elok juga ada Hairiz." Aku tolong mengemas.
"Kan aku dah cakap, Hairiz tu memang ada perasaan terhadap kau." Ekin ulang lagi kata-katanya.
"Taklah Ekin. Dia hanya mempergunakan aku untuk mengelak Hanis." Aku senyum tawar. Tak tahu kenapa rasa gundah-gulana pula.
"Dia cakap pada kau dia hanya pergunakan kau?"
"Dia tak cakap terus teranglah, tapi cara dia cakap aku dapat tangkap maksud dia."
"Mungkin juga. Dia tak ada orang lain nak gunakan, jadi dia gunakan kau. Pandai juga sepupu kau tu ambil kesempatan."
Kenapa aku rasa sedih sangat ni?
"Oh ya, aku nak minta cuti seminggu. Minggu depan. Hairiz nak bawa aku makan angin."
"Boleh, tak ada masalah sebab lambat lagi nak raya, tapi..." Ekin kerut dahi. Seperti aku dapat membaca saja apa yang sedang berselirat di kepala Ekin.
"Salah satu cara nak sakitkan hati Hanis." Aku beri alasan.
"Kisahnya..." Ekin angguk.
Aku rasa seperti hatiku sakit saja. Tak tahu kenapa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co