Bab 9
BEBERAPA hari ini, keadaan seperti biasa sahaja. Aku tidak mendengar sebarang cerita daripada Hairiz tentang Abang Razak mahu pun Kak Yati. Rancangan hendak ke Fraser Hill berjalan seperti yang dijanjikan.
Aku rasa Hairiz tak dedahkan perkara tersebut sebab Hairiz tak bercerita langsung pasal Abang Razak. Mungkin dia juga memilih untuk tidak campur tangan.
Pukul 8.00 pagi Hairiz sudah sampai. Mujur aku sempat masak nasi dan beberapa jenis lauk termasuk lauk kegemaran Hairiz. Nanas masak lemak dengan ikan talang masin. Salah seorang pelanggan tetap Ekin makan angin ke Tanjung Dawai dan belikan Ekin ikan talang. Dah lama Ekin suruh aku masak. Kebetulan hari ni baru berkesempatan masak.
Hairiz tercegat tepi kereta. Aduhai, segaknya sepupu aku ni. Kalau orang lain, memang dulu-dulu aku pikat. Tapi apakan daya, dia sepupu aku dan orang yang paling rapat. Lelaki yang aku ada dan aku tidak mahu kehilangannya hanya kerana aku jatuh cinta.
"Apa lagi ni, masak bagai," kata Hairiz bila melihat aku membawa bakul yang berisi bekas makanan.
"Habis, tak nak makan-makan ke nanti? Saya masak istimewa hari ni. Masakan kegemaran awak. Nanas masak lemak dengan ikan talang."
"Serius?" Hairiz tanya. Mungkin tak sangka aku akan masak masakan kegemaran dia.
"Serius la, hari tu kan dah janji."
"Ini yang buat saya bertambah-tambah sayang kat awak."
Aku balas dengan senyuman. Letak semua barang di dalam tempat barang. Kemudian bergerak menuju tempat sebelah pemandu. Hari ini aku akan habiskan bersama sepupu kesayanganku dan aku harap kami akan sama-sama gembira.
"Segak awak hari ni..." Aku puji. Nak sedapkan hati sepupu aku yang paling segak. Hairiz sudah bersedia hendak memandu kereta ketika itu.
"Hesy, sah tak ada modal nak cakaplah tu..."
Hairiz memang macam tu. Mana suka orang puji dia.
"Orang cakap betullah, tak percaya pula. Tapi pelik, kenapa awak tak ada buah hati sampai sekarang?" soalku sambil pasang tali pinggang keledar. Pelik. Takkanlah lelaki macam Hairiz tak ada orang nak.
"Dah ada, buat apa nak cari yang lain..." Dia mula pandu kereta.
"Dah ada?" Cuak ni.
"Hesy! Merepek."
Kalau begitu cara Hairiz bercakap, maknanya dia tak suka aku cakap lebih-lebih. Lagipun aku tak nak cari pasal dengan Hairiz. Kami baru saja nak gembira.
"Lupa nak tanya, macam mana dengan kes Abang Razak hari tu?" soalku. Jadi kepochi sekejap. Gamaknya kalau tak tanya memang tak sah.
"Saya tak nak masuk campur dalam hal rumah tangga sesiapa pun. Saya pilih untuk tutup mulut."
Memanglah. Dalam hal ni kaum lelaki memang sepakat.
"Kenapa tanya pasal Abang Razak pula? Nak suruh saya beritahu Kak Yati ke?" Soalan jenis perangkap ni.
"Eh, tak adalah. Kan saya cakap saya tak nak masuk campur. Tapi saya bayangkan kalau nanti saya berada di tempat Kak Yati. Manalah tahu saya dapat suami jenis yang curang."
"Jangan risaulah. Suami awak nanti memang akan setia pada awak hingga akhir hayat. Awak percayalah cakap saya."
"Aminnn..." Aku balas sepatah. Semoga apa yang Hairiz cakap akan jadi kenyataan.
"Aminnn..." Hairiz senyum senget. Senyuman ada makna.
"Kalau awak jadi suami nanti, awak takkan curang, kan?"
"Eh, mestilah. Insya-Allah, saya akan jadi seorang suami yang paling setia. Paling penyayang dan paling romantis."
Ini namanya masuk bakul angkat sendiri.
"Untung la..." Aku bercakap perlahan.
"Memang beruntung apa siapa dapat saya..."
Makin galak pula Hairiz masuk bakul.
"Hurm..."
Hairiz masih tersenyum cantik. Ah! Melihat dia tersenyum juga aku rasa sangat gembira.
"Awak perasan tak?" soalku ketika Hairiz sudah jauh memandu.
"Baru awak nak perasan?" Hairiz soal balik. Dia ni tahu ke apa yang aku nak cakap? Jawapan tu macam tahu saja pun.
"Apa dia?" Aku pandang muka dia.
"Sebelum ni memang awak cantik, tapi hari ni awak memang betul-betul cantik."
"Ah! Ke situ pula."
"Habis tu?"
"Awak perasan tak, dari kecik sampai sekarang saya rapat dengan awak aje. Ke mana pun saya pergi mesti dengan awak."
"Eh, baru perasan ke? Tu saya pelik, kata bercinta dengan Firash tapi kerap keluar dengan saya. Sampaikan beli baju dalam seluar dalam pun awak ajak saya."
Aku cubit lengan Hairiz. Tapi memang betul pun. Selalu sangat Hairiz jadi mangsa aku. Ke mana saja pun, aku mesti ajak dia. Sebabnya, Hairiz senang berurusan. Pantang ajak, laju saja dia setuju. Kadang tak pernah fikir panjang.
"Saya pun pelik, kenapa saya tak selesa setiap kali keluar dengan Firash. Tak sama macam keluar dengan awak. Walhal dua-dua pun sepupu saya."
"Habis masa rapat dengan dia, ke mana aje pun dia bawa awak?"
"Entah, saya pun tak ingat. Ada kut sekali tengok wayang. Lepas tu pergi temankan dia shopping. Bosannya..." Aku tak dapat bayangkan betapa terseksanya bila keluar dengan Firash. Bosan gila nak layan dia.
"Saya tengok Firash tu macam lelaki yang disukai perempuan. Tapi kenapa awak rasa bosan pula?"
"Entahlah. Saya pun tak tahu kenapa saya rasa sangat bosan bila keluar dengan dia. Tak sama macam saya keluar dengan awak. Happy aje..."
Aku pandang lagi muka Hairiz. Dia hanya tersenyum. "Saya pun happy sangat bila bersama awak. Kalau boleh saya nak selalu di samping awak. Itu pun kalau awak sudi. Maklumlah, siapalah saya."
"Tengok tu. Suka cakap macam tu. Kalau tak sudi, saya tak berkepit dengan awak selalu." Aku tahu kenapa aku rasa sangat selesa ketika berada di samping Hairiz. Aku tahu, dia takkan apa-apakan aku dan jauh sekali hendak mengambil kesempatan.
"Saya tahu juga, ramai tak senang tengok kita baik, kan?"
"Okey, saya tak nak cakap apa-apa. Saya nak kita happy saja. Masalah lain tu, kita buat tak tahu saja. Kalau fikirkan soal mereka, kita juga yang susah hati. Sedangkan mereka langsung tak ingat nak jaga hati kita."
Aku tak cakap apa-apa lagi. Betul kata Hairiz, kami hanya mahu bergembira. Mahu lupakan hal-hal yang tidak berkaitan.
"Kenapa tiba-tiba nak bawa saya pergi Fraser Hill?" soalku ketika kami memasuki tol Sungai Buaya. Setahu aku, dari tol sini akan terus ke Serendah. Selepas itu ke Batang Kali dan seterusnya ke Kuala Kubu Bharu.
"Awak kan suka tengok hutan."
"Eh, bila pula saya suka hutan? Awak tu yang suka hutan."
"Tapi kalau saya ajak masuk hutan, awak tetap akan ikut, kan?" balas Hairiz. Memanglah, sebab dia yang paksa. Ke mana saja pun dia akan paksa aku ikut sama. Nak tak nak, aku sebenarnya tiada pilihan.
"Eh, bukan ke hari ni ada kenduri rumah mak ndak?" Aku baru teringat. Mak ndak ada jemput aku ke majlis kenduri. Tak tahu pula kenduri untuk apa.
"Entah, saya tak tahu pun..."
"Yalah, saya lupa..."
"Hesy, kita dah plan cantik nak pergi Bukit Fraser takkan nak batal macam tu saja. Mak ndak pun samalah macam mak saudara yang lain. Nak hambakan awak saja pun..."
Betul kata Hairiz. Semuanya hanya mahu mengambil kesempatan. Baik aku lupakan saja pasal semua orang. Sekarang ini aku mahu habiskan masaku bersama Hairiz sahaja. Sesekali aku kena pentingkan diriku juga. Tak perlu berkorban tak tentu pasal.
Masa sampai Kuala Kubu Bharu, aku terima panggilan daripada mak ndak.
"Awak, mak ndak call." Aku beritahu Hairiz.
"Tak payah jawab."
"Kalau tak jawab, mesti mak ndak tak berhenti call."
Sudahnya aku jawab juga panggilan mak ndak.
"Kenapa kau tak sampai-sampai lagi ni? Ikan tu lima kilo tak bersiang lagi nak buat kuah laksa." Terus saja mak ndak serbu aku dengan soalan begitu.
"Maaf, mak ndak. Saya tak dapat datang sebab saya ada hal penting ni. Maaf sangat-sangat."
"Tak dapat datang? Habis siapa nak masak semua ni!" Mak ndak sudah tinggikan suara.
"Maaf, saya ada hal penting ni. Okey, mak ndak. Assalamualaikum." Terus aku putuskan panggilan.
"Apa hal?" soal Hairiz.
"Nak minta tolong siangkan ikan lima kilo. Nak buat kuah laksa. Nasib baik kita pergi Fraser Hill, kalau tidak memang sakitlah saya. Ke, awak memang plan pergi sini supaya saya tak dapat tolong mak ndak?"
Melihatkan senyuman Hairiz, aku rasa seperti ada yang tidak kena.
"Memang ini plan awak, kan?" Aku cubit lengan Hairiz.
"Saya dah tahu penyakit awak. Mesti awak terhegeh-hegeh pergi rumah mak ndak. Kalau awak pergi, awak memang jadi hamba abdi. Baik saya bawa awak lari jauh-jauh." Hairiz ketawa.
Sungguh, memang aku tak sangka sama sekali Hairiz sudah punya perancangan sendiri.
"Silap hari bulan tu, mahu mak ndak cari awak kat rumah. Macamlah saya tak kenal siapa mak-mak saudara saya."
"Terima kasih sebab masih juga awak selamatkan saya. Terharu."
"Saya kan sayang awak. Takkanlah sanggup nak tengok orang yang saya sayang diperlakukan macam tu."
"Terima kasih juga sebab sayang saya." Berbesar hati kerana bukan saja Hairiz ambil berat bahkan sayang aku sama.
KAMI sampai Fraser Hill lebih kurang 11.00 pagi. Kalut Hairiz ajak aku makan. Katanya dia belum lagi makan apa-apa. Mula tadi bising aku masak, belum apa-apa dia dah minta makan. Disebabkan tiada pilihan tempat yang sesuai, kami pilih makan di taman permainan.
"Dari pukul berapa awak masak ni?" soal Hairiz.
"Lepas subuh."
"Kesian awak..."
"Awak kan cerewet sikit pasal makanan ni. Dari saya dengar awak merungut-rungut makan di gerai yang tak kena dengan selera awak, baiklah saya masak." Bukan masak bersungguh pun. Nanas masak lemak ikan talang, ayam goreng, sambal mangga muda, timun dan telur dadar. Masak pun bukannya banyak. Cukup untuk kami berdua. Ekin balik Melaka semalam melihat ayahnya. Hari Ahad memang kami tutup butik. Peluang untuk kami berehat.
"Pandai awak jaga selera makan saya."
"Saya kenal awak bukan sehari dua. Dah bertahun. Seperti awak faham saya, macam tu la saya faham awak."
"Tahu pun..."
"Sebab saya tahulah, saya masak."
Hairiz makan. Suka tengok dia makan. Penuh saja mulut dia. Sayu juga hati. Esok-esok entah siapa yang bakal masakkan untuk dia. Aku sumpah, aku tak akan bagi resipi nanas masak lemak ikan talang kepada isterinya nanti. Kalau Hairiz teringin makan, biar aku yang masakkan.
"Apa pasal?" Dia pandang aku. Mungkin perasan aku pandang dia.
Aku geleng.
"Habis tu, makanlah. Yang pandang-pandang orang tu kenapa? Nampak macam saya kebulur? Memanglah. Awak masak sedap, tu saya makan macam orang kebulur."
"Tak adalah sedap. Dah awak lapar. Saya gorengkan ranting kayu pun mesti awak makan juga."
"Memanglah saya lapar, tapi dalam lapar pun saya tetap memilih."
"Tahu dah."
Aku biarkan Hairiz makan. Tak mahu ganggu dia. Serius, memang suka tengok dia makan.
"Best kan kalau selalu berdua macam ni..." kata Hairiz dengan mulut penuh. Nasi atas pinggannya hampir selesai dihabiskan.
Aku angguk. Memang. Rasa bahagia saja. Bahagia yang jarang-jarang aku nikmati.
"Awak, kenapa senyap aje ni. Tak ada pun yang call awak. Mereka tak perasan ke awak tak ada kat rumah mak ndak?" soalku sebaik sahaja Hairiz selesai makan.
"Siapa cakap tak kacau? Ni telefon saya asyik bergegar aje dari tadi. Sengaja saya tak layan."
"Ada siapa-siapa yang tahu ke kita nak ke Bukit Fraser?" soalku.
"Saya tak ada beritahu sesiapa pun."
"Kalau macam tu diam-diam sudah. Buat bodoh aje. Jangan pula awak gatal cakap kita makan angin kat sini. Nanti semua kat bawah tu berangin dengan kita."
"Tu pasal saya tak jawab panggilan sesiapa. Saya kan suka terlepas cakap."
"Hah, tahu pun..."
Aku berkemas. Selepas ni nak jalan-jalan sekitar Bukit Fraser walaupun macam tak ada apa benda pun di Bukit Fraser ni.
Belum selesai berkemas, telefon berbunyi.
"Awak, Hanis call." Aku beritahu Hairiz.
"Tak payah jawablah. Menyemak aje."
"Kalau tak jawab, nanti dia syak awak dengan saya. Awak dahlah tak jawab, saya tak jawab, mesti semua syak."
"Suka hati awaklah!" balas Hairiz.
Terpaksalah aku jawab panggilan Hanis. Nanti entah apa-apa yang dia fikir.
"Eh, perempuan. Kau sekarang dengan Abang Hairiz, bukan?" marah Hanis.
"La, apa pasal pula ni?" soalku. Pura-pura tak tahu.
"Tak payah kut nak berlakon sangat. Kau dengan Abang Hairiz, bukan?"
"Takkanlah dia nak berkepit dengan aku selalu. Dia pun ada kehidupan dia sendiri. Kau tak tahu ke sekarang ni dia dah ada teman wanita? Entah-entah sekarang ni dia dengan teman wanita dia." Saja nak sakitkan hati Hanis. Siapa suruh cari pasal dengan aku. Hairiz sudah pegang dahi sambil tergeleng.
"Tak tahu pun dia dah ada teman wanita." Hanis macam terkejut.
"Kesiannya kau. Itu pun tak tahu." Aku ketawa. Sambil tu kepala tengah ligat nak kenakan Hanis.
"Serius aku tak tahu. Orangnya macam mana?" Serupa bersungguh saja Hanis mahu tahu.
"Comel aje. Badan dia kecik. Comel sangat. Gamaknya selera Hairiz suka yang kecik-kecik."
"Kau dah jumpa dia ke?"
"Ada, hari tu dia kenalkan kat aku. Serius comel. Nak bandingkan dengan badan kau, mahu dua setengah jugalah besar kau. Hairiz cakap dia suka yang kecik sebab senang peluk. Kalau besar-besar ni susah nak peluk." Kutuk Hanis sama.
"Comel sangat ke?"
"Lebih kurang akulah." Masuk bakul angkat sendiri.
"Yang perasan sangat tu kenapa!" Hanis tengking sekali.
"Dah kau tanya, aku jawablah. Errr, kejap aku fikir apa lagi kelebihan gadis tu."
"Pandai masak gulai nanas dengan ikan talang." Hairiz bisik tepi telinga.
"Haah, teman wanita Hairiz pandai masak nanas masak lemak dengan ikan talang." Selepas itu aku terus pandang Hairiz. Masa itulah Hairiz angkat kening dan tersenyum cantik. Dan seperti ada debaran di dalam dadaku.
"Kau biar betul ni..." Suara Hanis semakin gelabah, tapi Hanis tak tahu aku lagi rasa semacam.
"Kalau kau tak percaya, kau telefon sendiri Hairiz. Jangan meraung sudahlah."
"Dah berpuluh kali aku telefon Abang Hairiz, haram nak jawab."
"Maknanya dia dengan awek dia la. Tak nak kau kacau."
"Dahlah. Menyampah."
"Eh, kau ada kat rumah mak ndak ke?"
"Yalah, kau punya pasallah. Habis aku kena siang ikan tadi."
Padan muka. Seronoknya aku dengar. Dah aku tak ada, baru ada akal masing-masing. Baru kau tahu mak ndak pun macam mak long. Suka ambil kesempatan.
"Dahlah. Aku nak telefon Abang Hairiz. Kalau kau tipu aku, siap kau."
Suara Hanis hilang. Yang tinggal hanya suara hatiku yang sedang berkata-kata. Melihatkan cara Hairiz, aku rasa seperti ada sesuatu yang tak kena.
"Hanis nak apa?" soalnya.
"Dia nak call awak tu. Awak jawablah apa yang patut. Jangan sampai kantoi sudah." Aku pesan sambil sembunyikan segala rasa.
"Okey, saya tunggu. Tak sabarnya nak kenakan perempuan ni." Semangat pula aku tengok Hairiz.
Berlalu beberapa ketika, Hairiz keluarkan telefon bimbitnya. Mesti isyarat bergetar sebab aku tak dengar pun telefon dia berbunyi.
"Hanis." Hairiz tersenyum cantik. Tapi sebenarnya aku sedang melihat senyuman jahat.
"Hah, apa hal?" soal Hairiz. Matanya pandang aku. Kumis tipis pada wajahnya menjadi salah satu daya penarik.
"Macam mana aku nak jawab panggilan kau. Aku sekarang bersama buah hati aku. Aku bawa dia bercuti ke Bukit Fraser. Kenapa?"
Ah! Sudah Hairiz. Dia sebut juga tu.
"La, memanglah aku dah ada buah hati. Takkan itu pun aku nak bagi tahu kau. Kau tu siapa."
Habislah Hanis kena goreng.
"Tak perlu kut nak tahu lebih-lebih. Tak penting. Cuma aku boleh bagi tahu kau satu saja sebab kenapa aku tak boleh lepaskan dia. Dia pandai masakkan aku nanas masak lemak dengan ikan talang."
Serius memang terkejut. Hairiz ulang ayat yang sama seolah-olah aku inilah buah hatinya. Siapa lagi yang selalu masakkan dia dengan masakan tu dan siapa lagi yang tahu itulah makanan kegemarannya. Mak lang sendiri pun tak tahu masak.
"Sekarang kau dah tahu bukan, aku dah ada buah hati. Jadi boleh tak kau jangan call aku lagi. Jangan kacau aku lagi. Senang cerita, berputus asalah mengharapkan aku. Jangan jadi bodoh sangatlah."
Hairiz tutup telefon dia macam tu saja. Tergeleng aku jadinya. Memang selamba habis. Senang-senang cakap sepupu dia bodoh.
"Macam-macam. Pelik betul dengan perempuan ni. Yang kita tak nak, terhegeh-hegeh nakkan kita. Yang kita terhegeh-hegeh nak, buat tak tahu pula. Memang tak faham perangai orang perempuan ni." Hairiz berleter. Aku pula yang kena. Hanis buat perangai, tempiasnya kena pada aku.
Aku tak balas kata-kata Hairiz. Sebab aku rasa tak ada kena-mengena dengan aku. Baik aku diam.
"Yang awak diam ni kenapa?" soalnya.
"Tak tahu nak cakap apa." Yalah, kalau aku banyak cakap karang, lagi panjang aku kena dengar ceramah dengan dia.
"Awak, terima kasih tau sebab masak untuk saya. Kalau boleh saya nak makan masakan awak selalu sampai bila-bila."
"Kalau macam tu kena mohon kerja sebagai pembantu rumah awaklah nanti."
"Bila-bila masa awak boleh mohon. Borang tu untuk awak seorang saja."
Aku balas dengan tersenyum bersama perasaan yang sukar untuk aku jelaskan. Serius, sejak balik dari Cameron Highlands, aku memang rasa lain macam. Kadang-kadang tak faham perasaan sendiri.
"Jom kita jalan-jalan. Takkan datang sini nak duduk dan makan saja." Hairiz dulu-dulu bangun dan bawa bakul makanan menuju ke keretanya.
Aku sekadar pandang Hairiz. Cuba juga untuk memujuk perasaan, jangan selalu begini. Tak elok kalau aku ada perasaan terhadap Hairiz. Banyak kali, bukan sekali dua aku pujuk perasaan, tetapi kadang-kadang aku seakan lupa diri.
"Sayang, cepatlah. Apa lagi tu..." panggil Hairiz.
Jiwa dan raga tiba-tiba melayang-layang. Terawang-awang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co