Bab 12
TIGA hari lagi nak bercuti, aku terima panggilan daripada mak ndak. Masa tu aku dan Ekin baru hendak makan. Aku masak ringkas sahaja. Goreng telur dadar, tumis sawi dan ayam masak lemak cili api.
"Kau makanlah dulu. Aku nak layan mak saudara aku kejap. Ini mesti ada benda yang dia minta aku buat." Aku bawa telefon bimbit ke ruang tamu. Apalah yang mak ndak mahu. Kalau tak ada apa-apa tak pasal mak ndak nak telefon aku. Agaknya kalau aku mati pun dia tak peduli.
"Assalamualaikum, mak ndak..." Aku bagi salam terlebih dahulu. Masih nada bersopan kerana aku masih lagi mahu menghormati mak ndak.
"Waalaikumussalam, aku ada benda nak minta tolong ni..." Kasar sahaja mak ndak jawab. Kalau bercakap dengan aku mana pernah mak ndak bercakap dengan baik. Samalah dengan emak-emak saudara lain. Nak menengking saja. Tak tahulah bila mereka ni nak layan aku dengan baik.
"Ya? Apa bendanya?" balasku. Sah-sah hendak guna tenaga aku. Kalau Ahad ni minta maaflah. Sabtu, Hairiz dah nak bawa aku berjalan. Katanya sampai Khamis nanti.
"Ahad ni Anne nak bertunang. Aku nak minta tolong kau sikit."
"Anne nak bertunang?" Terkejut juga. Aku langsung tak tahu pun Anne hendak bertunang. Hairiz pula tak cakap apa-apa pasal ni. Tak tahulah sama ada Hairiz tahu atau tak tentang perkara ni. Rasanya dia tak tahu sama. Kalau dia tahu sah-sah dah beritahu aku.
Bukan ke Anne tu muda sangat lagi? Rasanya baru 19 tahun. Takkanlah dah nak bertunang. Memang pecah rekodlah. Kalau aku bertunang umur macam tu, memang tak menang mulut mak ndak cakap aku gatal. Kalau kena pada anak dia, semua okey saja.
"Haah, dia nak bertunang. Aku nak minta kau tolong masak. Dia bertunang dengan orang ada-ada. Aku naklah jamu orang sana dengan jamuan istimewa sikit."
Bukankah aku dah cakap? Mesti ada hajat punya. Tapi kan, kalau orang ada-ada tak malu ke jamu hidangan biasa? Sekurang-kurangnya, jamulah dengan masakan katering yang berkelas A. Barulah gah. Apa mak ndak ingat aku ada buat business katering ke sampai nak minta aku tolong masak untuk hidangan orang ada-ada?
"La, kalau dah orang ada-ada, mak ndak pergilah cari tukang masak yang betul-betul pakar. Karang buat malu saja suruh saya masak."
"Kau ni kalau aku minta tolong, macam-macam bagi alasan. Sebab aku tahu kau tu pandai masaklah aku minta tolong, bodoh!"
Akhirnya mak ndak mengaku juga aku pandai masak.
"Maaflah mak ndak. Ahad ni saya ada hal." Terpaksa berterus terang kerana aku sudah berjanji dengan Hairiz. Mana boleh mungkir macam tu saja. Mengamuk nanti Hairiz. Tak pasal retak pula hubungan kami. Kalau retak masih boleh dicantum-cantum, tapi kalau putus macam mana? Sedangkan aku hanya ada Hairiz sahaja.
"Hal apa pula? Kau ni memang. Hari tu aku buat makan-makan, kau ada hal juga. Rupanya kau keluar dengan Hairiz. Kau sengaja nak mengelak bukan? Eh, kau sedar sikit, aku pun bersusah payah bela kau sama. Aku pun banyak keluarkan duit bantu kau sekolah dulu. Kalau aku tak tolong, entah kau merempat kat mana!" Mak ndak mengungkit. Bersusah payahlah sangat. Entah apa budi yang dia tabur. Bukan aku jenis tak tahu nak ingat budi orang, tapi aku bukan bodoh. Bukan tak tahu semua benda. Masalahnya sekarang ni, dari mak long hingga ke mak ndak suka sangat ungkit benda yang sama. Asal minta tolong, itulah saja modal mereka untuk desak aku. Sakit betul hati.
"Salah mak ndak juga. Baru nak cakap sekarang. Apa pasal tak cakap masa hari bertunang saja?" Aku menjawab. Peduli apa. Tak jawab pun kena marah, menjawab apatah lagi. Jadi, biar aku menjawab. Kalau sakit hati pun berbaloi juga sebab sudah menjawab.
"Oh, kau dah berani menjawab sekarang ya? Sudah pandai kurang ajar. Baru senang sikit bukan main berlagak lagi. Dasar tak sedar diri, tak tahu diuntung!" Mak ndak marah aku.
"Dah betul. Lain kali kalau nak minta tolong saya, cakap awal-awal. Mak ndak ingat saya ni jenis goyang kaki ke? Tak ada kerja nak buat?" Menjawab lagi. Mahu mak ndak terbakar satu badan.
"Macam hari tu, saya dah sampai Bukit Fraser, baru mak ndak telefon. Siapa yang salah? Yang ini pun sama. Lusa nak bertunang, hari ni baru bagi tahu. Dah tak dapat tolong marah-marah pula. Saya jugalah yang salah. Sendiri punya salah, tak sedar." Semakin berani aku menjawab.
"Eh, kalau kau tak nak tolong sudah. Ramai lagi anak saudara aku boleh tolong. Minta tolong sikit pun tak boleh. Pergi mampuslah!" Mak ndak tutup telefon bimbitnya selepas itu. Aku tahu mak ndak mesti marah gila-gila, tapi aku peduli apa. Asyik aku saja yang kena.
Aku terus hubungi Hairiz. Mahu tanyakan hal sebenarnya. Betul ke dia tak tahu?
"Assalamualaikum..." Hairiz beri salam terlebih dahulu.
"Waalaikumussalam. Awak tahu tak Anne nak bertunang Ahad ni?" soalku terus. Mahu bercakap cepat. Perut aku sudah lapar. Tapi tak sedap pula kalau tak tahu apa-apa pasal ni.
"Anne nak bertunang? Tak tahu pun. Tak ada sesiapa yang bagi tahu." Suara Hairiz kedengaran seperti terkejut. Memang sah Hairiz pun tak tahu.
"Saya pun baru tahu kejap ini. Mak ndak telefon sebab nak minta saya tolong Ahad ni."
"Eh, mana boleh. Kita dah janji. Awak jangan nak mengada pula. Saya dah rancang lama benda ni, takkan senang-senang awak nak batal." Serupa cemas saja Hairiz di hujung talian.
"Memanglah. Saya tahu tu. Masih ingat janji saya dengan awak. Sebab saya cakap saya tak dapat tolonglah, mak ndak marah saya. Dia tutup telefon macam tu saja." Bukan niat nak mengadu, tetapi mahu beritahu. Tapi kalau aku tak beritahu pun, pasti Hairiz dapat agak reaksi mak ndak bila aku tak mahu menolongnya.
"Lantaklah. Bila nak minta tolong awak baru cari awak. Kalau tidak, buat awak tak wujud. Dahlah, jangan nak layan sangat. Banyak kali saya pesan dengan awak, jangan nak tunjuk baik dengan orang yang tak pernah nak umpamakan awak. Tapi awak ni degil. Masih nak berbaik-baik lagi."
Mujur selama ini Hairiz masih berpihak kepadaku. Dia melihat segalanya dan sangat memahami. Sekurang-kurangnya aku ada kekuatan selepas ini.
"Kali ni saya memang tak nak tunjuk baik lagi. Alang-alang mereka tuduh saya bukan-bukan, baik saya buktikan. Baru puas hati."
"Bagus. Lain kali lawan aje. Bukanlah niat saya nak mengajar awak jadi kurang ajar, tapi saya mahu awak lebih berani mempertahankan diri sendiri. Jangan benarkan orang buat sesuka hati pada awak. Awak tu pun ada hati dan perasaan."
Lega bila mendengar Hairiz kata begitu. Mungkin disebabkan sikapnya begitulah aku tidak boleh jauh daripada Hairiz. Mahu dia selalu ada.
"Okeylah awak. Saya nak makan ni. Dah lapar sangat."
"Awak masak apa malam ni?"
"Biasa saja."
"Biasa tu yang luar biasa."
"Eh, awak ni dah makan ke belum."
"Dah, saya goreng telur aje."
"Kesiannya..."
"Kalau ada isteri kan senang. Mesti isteri saya masak sedap-sedap. Lauk biasa-biasa pun pasti jadi istimewa."
"Tu pasal carilah isteri yang pandai masak."
"Eh, awak kan ada."
"Apa pasal pula saya? Saya tak ada kena-mengena dengan calon isteri awak."
"Tapi awaklah calon yang sesuai."
"Dah, dah. Jangan nak merepek. Ramai lagi calon yang sesuai. Saya nak makan ni. Nanti apa-apa saya call awak semula."
"Eh, awak. Kejap. Tolong buat sambal bilis. Buat banyak sikit. Nak bawa berjalan."
"Nak ke mana sebenarnya ni?" Aku masih lagi tidak puas hati selagi Hairiz tak beritahu. Berahsia benar dia kali ini. Kalau tidak tu ada juga dia beritahu. Sudahlah hampir seminggu bercutinya.
"Buat ajelah. Jangan banyak tanya."
"Yalah, yalah. Nak buat banyak mana?"
"Agak-agak dalam lima atau enam hari."
"Okey, nanti saya buatkan. Saya nak makan dulu. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam..."
Aku tutup telefon dan berjalan ke dapur. Ekin sudah selesai makan. Nampak dia kekenyangan. Sebenarnya aku taklah mahir dalam bidang masakan, tapi kalau aku masak orang makan dengan berselera, rasa penat memasak terus hilang.
"Amboi, dengan mak saudara pun berborak sampai aku sudah makan."
Aku tahu Ekin sekadar menyindir. Memang dia sudah sedia maklum akan hubungan aku dengan mak-mak saudaraku yang tak pernahnya baik.
"Mula borak dengan mak ndak aku. Lepas tu dengan Hairiz."
"Mak ndak kau tu sah ada benda nak minta kau tolong. Kalau tidak, tak pasallah dia nak telefon kau. Kali ni apa pula?"
"Anne, adik Fuzah nak bertunang." Disebabkan kaum kerabat selalu sangat menyerang aku di butik Ekin, hampir kesemua sepupu aku Ekin kenal.
"La, budak lagi dah nak bertunang? Bila?" Kalau Ekin orang luar boleh terkejut dan berkata begitu, apatah lagi aku.
"Ahad ni. Mak ndak minta aku tolong masak-masak. Tu la pasal. Muda sangat lagi. Tiba-tiba nak bertunang. Katanya dengan orang ada-ada."
"Itulah dia mak saudara kau. Asal nak buat majlis, kaulah orang pertama yang mereka cari. Yang kau pun ikut saja apa kata mereka. Tak berani nak membantah langsung. Jadi hamba abdi pun sanggup. Kalau akulah, jangan kata nak pijak kaki kat rumah mereka, pandang pun aku tak ingin. Kalau mati, al-Fatihah pun aku tak nak sedekah."
Aku kenal Ekin. Dia memang tegas. Disebabkan ketegasan dialah, ramai yang fikir dua tiga kali nak menyerang aku.
"Hah, kalau dah bakal menantu orang ada-ada, takkan majlis bertunang buat ala-ala kadar. Mestilah buat majlis gah juga. Paling-paling kat dewan hotel. Apa kelas buat majlis kat rumah saja."
"Aku dah cakap macam tu, tapi aku balik yang kena tempelak."
"Macam-macam. Jenis macam tu pun ada."
"Aku tak pergi pun. Kan Hairiz nak ajak aku bercuti."
"Ini kalau ada yang tahu kau bercuti dengan Hairiz, lagi haru-biru. Hairiz tu pun satu. Aku kadang-kadang tak faham dengan tindakan dia. Dia sengaja nak mempergunakan kau atau sebenarnya ada hati dengan kau?"
Aku tak hiraukan kata-kata Ekin. Terus saja makan. Biarlah Ekin berteka teki sendiri. Perut yang lapar harus diisi.
"Bila kau cakap dia sekadar mempergunakan kau untuk bagi Hanis berputus asa, mulanya aku macam nak percaya aje. Tapi bila tengok dia layan kau semacam aku rasa macam ada sesuatu yang dia pendamkan. Tapi mustahillah kau orang tak ada perasaan apa-apa selain sepupu. Kerap sangat bersama takkan tak ada langsung perasaan cinta." Ekin hirup pula kopi panas. Aroma kopi menambahkan lagi selera makanku sehinggakan kata-kata Ekin tidak mampu untuk aku balas. Ekin akan terus dengan rasa syak dia selagi dia tak puas hati. Jadi, tak payah nak layan.
Bagiku, sesiapa saja boleh bercakap tentang hal aku dan Hairiz. Namun yang rasa, yang mengalami dan yang hadap semua perkara, hanya aku seorang. Peritnya mengawal perasaan sendiri hanya aku yang tanggung. Bukan senang untuk menolak perasaan sendiri. Bukan senang untuk memujuk hati. Itu yang aku lakukan selama berada di sisi Hairiz. Setiap kali bersama Hairiz, itu yang cuba aku lakukan. Berusaha untuk tidak ada perasaan cinta terhadap sepupu sendiri. Aku tahu kalau aku berbuat begitu, kelak yang merana diriku sendiri.
"Satu lagi, kau minta cuti selama seminggu. Lepas tu tak cakap nak pergi mana. Memang buat aku terfikir yang bukan-bukan saja."
"Takkan Hairiz sanggup nak buat perkara tak elok. Dia tu kan sepupu aku. Lelaki paling baik yang pernah aku jumpa. Dia solat tak tinggal tau." Aku puji Hairiz takut Ekin terfikir yang bukan-bukan.
"Ya, aku tahu dia tak tinggal solat. Kau dah banyak kali bagi tahu aku. Tapi, seminggu beb. Macam-macam boleh jadi. Kau kena ingat, bila berdua ada pihak ketiga. Lagi warak orang tu, lagi kuat syaitan menggoda."
"Insya-Allah, semoga kami terpelihara dari semua tu."
Ekin tinggalkan aku selepas itu. Aku tahu dia akan menyambung kerja menjahitnya. Aku sambung makan hingga sudah.
Terfikir juga, betul ke bakal suami Anne itu orang ada-ada? Mungkin juga sebab Anne pun cantik orangnya. Dah jodoh Anne dengan orang ada-ada.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co