Truyen3h.Co

Saya Kan Ada

Bab 13

karyaseni2u

SEPERTI yang dijanjikan, seawal 4.00 pagi, Hairiz jemput aku. Kata Hairiz, biar kami awal. Takut ada sebarang masalah nanti. Aku ikutkan saja. Lagipun F.O.C (free of charge) kan? Walau menjadi tanda tanya, tapi aku tak rasa apa-apa. Tetap rasa selamat bersama Hairiz. Aku percayakan dia seratus peratus.

"Boleh tidur tak?" Hairiz tanya sebaik sahaja aku masuk ke dalam kereta. Laju saja aku geleng. Memang aku tak dapat lelapkan mata langsung. Macam-macam yang aku fikir. Bukan fikir Hairiz nak buat jahat, tapi fikir kalau percutian kami diketahui oleh mak lang. Apa agaknya yang bakal mak lang buat pada aku? Tak dapat bayangkan kemarahan mak lang. Sah-sah tuduh aku goda anak dia dan mahu mengikis duit anak dia.

"Dah agak. Mesti tak tidur punya."

"Awak boleh tidur tak?" soalku.

"Saya kan senang tidur. Pantang letak kepala, hanyutlah. Kecuali satu perkara saja."

"Apa dia?"

"Kalau saya susah hati."

"Awak pun pandai susah hati ke?" Wajah Hairiz aku jeling. Dia pun tahu susah hati ke? Aku tengok dia ni jenis selamba saja. Tak kesah dengan apa-apa. Takkan pandai susah hati kut.

"Susah hati bila rindukan awak." Selepas berkata-kata, Hairiz ketawa. Dia mula dah. Saja nak buat aku ditimpa perasaan. Pagi-pagi nak buat aku naik angin saja.

"Tak naklah susah hati sebab saya..." Aku senyum cantik. Gembira sangat sebab dapat bercuti dengan Hairiz.

"Yalah, siapalah saya. Sedar diri."

"Tengok tu..."

"Okey, okey. Saya gurau ajelah."

"Awak bukan ke sepupu saya? Orang yang selalu saya ada. Kalau boleh tak naklah awak susah sebab saya."

"Tak pernah susah, okey. Sebaliknya awak sangat menyenangkan hati saya."

"Terima kasih..."

"Sama-sama, sayang."

Aku hanya tersenyum mendengar sebutan sayang. Tak mengapalah, kalau itu boleh menyenangkan hati Hairiz, aku tak kesah pun.

"Saya tak tahu apa-apa ni. Saya main ikut aje awak. Kalau awak jual saya, memang nasib sayalah." Serius, memang aku tak tahu apa-apa. Yang aku tahu dia ada pinjam pasport aku. Aku tak ingat bila. Takkan dia nak bawa aku pergi Singapura lagi? Beberapa bulan lepas sebelum Kak Aishah kahwin memang kami ada pergi Singapura. Kami pergi Universal Studio. Tiada seorang pun yang tahu kami ke sana. Memang rahsia betul.

"Takkanlah saya nak jual orang yang saya sayang. Agak-agaklah."

Bertuahnya bila diri disayangi. Bahagia rasa. Lebih membahagiakan kalau sayang itu bukan dari seorang sepupu. Tapi apakan daya.

"Cakaplah, kita nak pergi mana ni?" Aku masih merayu.

"Kalau saya cakap, dah tak rahsia."

"Seminggu saya minta cuti ni. Nasib baik bos saya Ekin. Kalau orang lain memang jangan haraplah."

"Jangan banyak cakapla. Ikut aje..."

Hairiz redah heningnya pagi. Nak tanya banyak kali, takut merosakkan mood bercuti dia pula. Baik aku ikut aje.

"KLIA 2?" Aku tanya bila nampak Hairiz memasuki kawasan lapangan terbang. Dia nak terbang ke mana sebenarnya ni?

"Awak, kita nak ke mana ni?" Aku mendesak.

"Negara yang awak nak pergi sangat tu."

"Korea?"

"Haah."

"Serius awak?"

"Ingat saya tipu?"

Aku rasa nak peluk saja Hairiz. Tak sangka dalam diam dia buat perancangan. Padanlah bersungguh minta pasport aku.

"Awak, janganlah main-main. Saya tau awak pun boleh tahan bab nak mengenakan saya." Perasaan aku memang serius terkejut dan tak sangka. Maklumlah, banyak kali aku sebut aku suka tengok drama Korea. Ekin lagilah. Tak sangka Hairiz akan bawa aku ke sana.

"Mungkin dalam banyak hal saya suka main-main, tapi kalau melibatkan awak, saya tak pernah main-main. Saya serius. Awak ada beritahu saya, awak nak pergi negara Winter Sonata, jadi saya bawalah."

"Terharunya saya. Sampai begitu sekali awak tunaikan impian saya?" Memang rasa nak menangis saja.

"Tidak cukupkah tanda kasih sayang saya pada awak?" soalnya. Apakah tandanya itu?

"Ya, dah lebih dari cukup. Terima kasih awak. Saya sayang awak."

"Harap kali ni awak fahamlah..."

"Kita pergi berdua saja?" soalku bersama rasa gembira yang tidak terucap.

"Eh, taklah. Saya ikut rombongan. Gila nak pergi dengan awak saja. Dah la tak tahu apa-apa tentang negara orang."

Aku tak nak fikir apa-apa lagi. Aku tahu, aku selamat bersama Hairiz. Dia juga yang cakap, takkan dia nak apa-apakan orang yang dia sayang.

Hairiz turunkan aku di bahagian berlepas. Beg pakaian kami juga diturunkan sama sebelum dia ke tempat letak kereta yang dikhaskan. Hairiz bakal meletakkan keretanya di sana beberapa hari sepanjang kami ke luar negara.

Hairiz minta aku tunggu di dalam, jadi aku tolak troli yang membawa beg-beg pakaian kami.

Terujanya. Sungguh, Hairiz memang suka sangat buat kejutan. Kali ini memang kejutan yang tidak disangka-sangka. Berapa pula dia berhabis semata-mata nak senangkan hati aku? Ah! Kalau mak lang tahu, memang teruk aku kena.

Tak mahu ingat mak lang, tak mahu ingat sesiapa pun. Aku hanya mahu menghabiskan masa gembiraku bersama Hairiz. Cukup aku dengan dia. Lain-lain, belakang kira.

Aku tunggu seketika sementara menantikan kemunculan Hairiz sambil perhatikan orang yang lalu-lalang. Belum pernah aku ke sini. Singapura dulu pun kami naik kereta sahaja.

"Hah, tu sah dah sampai Korea dulu-dulu..." Datang-datang Hairiz terus menyergah.

"Singgah Singapura dulu..." selorohku.

"La, yang pusing balik ke Singapura kenapa? Kita kan nak ke Korea." Hairiz tolak troli.

"Itulah masa-masa yang paling best buat saya." Sungguh, itulah masa yang paling menggembirakan buat aku. Seharian kami habiskan masa di USS, rasa tak nak balik pun ada.

"Sebab dengan saya, kan?" Hairiz senyum.

Ya, itulah ayat yang hendak aku sambung, tapi aku biarkan tertangguh. Aku hanya mampu simpan dalam hati.

"Tapi bagi saya, masa-masa bersama awak, adalah masa yang terindah buat saya. Tak kiralah kat mana, janji bersama awak. Rasa bahagia aje..." sambung Hairiz. Perlahan suaranya seperti tidak mahu aku mendengarnya. Namun aku tetap mendengar dengan jelas setiap patah perkataan yang terlafaz dari mulut Hairiz.

"Terima kasih..." Hanya itu yang mampu aku ucapkan. Kalau Hairiz bahagia, aku tumpang sama merasakannya.

"Jadi, tolong bahagiakan saya..."

"Insya-Allah, selepas ni saya akan berusaha membahagiakan awak. Takkan menyusahkan awak selalu dan saya nak awak hidup gembira. Saya hanya mampu doakan yang terbaik buat awak." Aku balas dengan bersungguh walau aku sangat yakin, ada makna yang tersirat di sebalik kata-kata Hairiz itu. Mungkin dia mengharapkan lebih daripada itu, tapi terpulang kepada Hairiz. Asal dia bahagia, aku tak akan tanya apa-apa lagi.

"Okey, apa-apa hal kita cari Uzair dulu, ketua rombongan kita." Hairiz tolak troli sedikit laju sebaik sahaja kami menghampiri McDonald's. Aku sebenarnya tidak tahu- menahu urusan Hairiz. Hanya jadi pak ikut dan pak turut.

Hairiz tinggalkan aku bersama troli dan mencari lelaki yang dimaksudkan. Sementara menunggu Hairiz meneruskan kerja mencarinya, aku kembali memikirkan kata-kata Hairiz sebentar tadi. Tolong bahagiakan dia? Hairiz sedang membuat permintaankah? Jadi, bagaimana untuk aku membahagiakan Hairiz? Memang aku mahu bahagiakan hidup Hairiz. Sesuatu yang perlu aku lakukan untuk membalas budinya selama ini ialah dengan membuatkan dia rasa bahagia dan gembira.

"Awak..." Hairiz lambai tangan kanan dan aku tolak troli menghampirinya.

"Kita boleh daftar masuk beg kita pukul enam nanti. Sekarang baru pukul lima. Ada satu jam lagi. Awak nak minum?"

"Tak naklah. Takut dalam kapal terbang asyik nak buang air aje nanti."

"Bukannya tak ada toilet."

"Tak naklah. Tapi kalau awak nak minum, saya boleh temankan."

"Jomlah. Pekena kopi sedap juga ni..."

Kami ke McDonald's dan aku pilih tempat paling hampir dengan laluan keluar. Mata kembali mengantuk. Sementara itu Hairiz membuat pesanannya. Aku letak kepala atas meja dan cuba pejam mata.

Aku tegak kepala dan pandang Hairiz yang sedang beratur. Baru aku teringat esok Anne bertunang. Apakah sesi bercuti ini juga salah satu sebab untuk Hairiz bawa aku lari? Tapi dia beritahu aku dia tak tahu apa-apa.

"Kenapa?" Hairiz tanya sebaik sahaja dia datang bersama makanannya.

"Esok Anne bertunang, awak tak ingat ke?"

"Mana saya tau. Tak ada sesiapa pun beritahu saya tentang majlis tu. Nasiblah. Lagipun kita tak ada takkan majlis tak jalan. Lainlah awak. Ketua operasi!" Hairiz sindir aku.

"Taklah, saya ingat awak nak bawa saya lari dari mak ndak."

"Kalau tak pergi Korea pun, saya memang akan bawa awak lari. Tak payah nak hadir majlis macam tu."

"Kenapalah mak ndak tak nak buat katering saja. Kata menantu bakal orang ada-ada."

"Muka mak saudara awak nak buat katering? Jangan haraplah! Masing-masing kedekut. Ingat duit banyak boleh bawa mati gamaknya. Tu pasal mereka mengharapkan awak saja. Saya pun tak tahu mak saudara kita semua tu jenis apa. Buruk betul perangai!"

"Uiks, jangan mengumpat mak saudara sendiri."

"Saya tak mengumpat. Saya cakap benda yang betul. Sebab apa? Sebab awak ada. Awak memang rela jadi kuli!" Hairiz hirup minumannya.

Aku senyum. Tak boleh nak cakap apa. Apa yang Hairiz sebut tu memang betul pun.

"Ini untuk saya?" Aku tanya bila baru sedar Hairiz letak bungkusan burger di hadapanku.

"Kalau tak nak makan sekarang, makan nanti. Tapi dalam kapal terbang nanti pun ada disediakan makanan."

Aku angguk. Tak sabarnya nak naik kapal terbang.

BERADA di dalam kapal terbang sepanjang penerbangan yang mungkin mengambil masa lebih kurang enam jam bersama sepupu yang aku kenal sejak kecil lagi sebenarnya bukanlah sesuatu yang membosankan. Hairiz pandai bercerita dan pasti saja cerita-cerita tentang kenangan kami.

"Tahun ni awak dah dua puluh lapan tahun, kan?" soalku. Burger yang aku bawa sudah selamat sampai ke perut.

"Baru tahu ke?" soal Hairiz.

"Sebab tahulah saya sebut."

"Kenapa tiba-tiba bercakap tentang umur saya pula?"

"Dah layak untuk kahwin kan? Rumah dah ada. Kereta dah ada. Kerja pun dah stabil." Aku tidak tahu kenapa soalan itu aku ajukan bila kami berada tinggi di udara. Masa di bawah, tak pula mahu bertanya.

"Memang pun. Dah cukup layak."

"Habis tu?"

"Kalau saya cakap saya tunggu awak macam mana?" bisiknya perlahan.

Aku senyum tawar. "Awak selalu macam ni. Bila saya serius bertanya, awak main-main."

"Eh, saya tak main-main tau. Saya pun serius dengan jawapan saya. Kalau saya cakap saya tunggu awak, awak nak jawab apa?"

Aku pandang Hairiz dan Hairiz pandang aku.

"Mustahillah. Kita kan sepupu."

"Kenapa dengan sepupu? Apa masalahnya kalau kita sepupu? Kita boleh kahwin. Tak ada sebab kenapa kita tak boleh kahwin."

"Okeylah, kita jangan sebut lagi pasal kahwin ni." Aku yang mencari pasal. Seperti tiada soalan lain yang hendak diajukan. Pasal kahwin juga yang aku jadikan bahan cerita.

"Kejap, saya tak faham. Kenapa kita berdua tak boleh kahwin?"

"Sebab awak sepupu saya. Awak anak mak lang saya. Seperti yang awak tahu, saya tidak mempunyai hubungan yang baik dengan mak lang saya. Kat situ dah nampak kesulitannya kalau status kita bertukar. Awak kena faham tu..."

"Huh, alasan!" Hairiz pandang depan. Masa itulah juruterbang buat pengumuman sebentar nanti kami akan melalui cuaca buruk dan kami mesti berada di tempat duduk masing-masing. Tali pinggang keselamatan perlu dipasang.

Hairiz pasang tali pinggangnya dan betulkan duduk.

"Nak seribu daya, tak nak seribu dalih," sambung Hairiz selepas itu.

"Saya selesa dengan hubungan kita sekarang ni. Tapi kalau awak dah ada pilihan hati, cakap aje dengan saya. Kita tak boleh rapat begini. Nanti si dia cemburu." Menipu kalau aku tak rasa apa-apa. Memang sakit juga hati bila mengenangkan si dia itu.

"Saya tak perlukan sesiapa pun. Cukup ada awak. Saya hanya selesa bila bersama awak. Tak faham lagi?" Hairiz berbisik.

Aku tak dapat membayangkan kalau nanti status kami bakal bertukar. Mampukah kami menjadi serapat ini? Mampukah kami hadapi halangan yang mendatang? Daripada terjebak dengan masalah begitu, aku lebih rela begini.

"Awak kena tahu, bila cinta keadaan pasti berubah. Kita akan lebih kerap bergaduh. Cemburu tak tentu pasal. Marah tak tentu pasal. Lepas tu kita akan cepat bosan." Aku keluarkan teoriku tentang cinta.

"Saya rasa sekarang pun saya rasa macam tu. Kita selalu bergaduh. Silap sikit aje, mulalah masing-masing panas. Cemburu, memang saya kuat cemburu. Marah? Memang saya cepat marah. Tapi satu lagi yang saya belum rasa. Rasa bosan. Belum lagi saya rasa bosan bila bersama awak." Hairiz kembali meluah rasa.

"Itulah yang membezakan cinta dengan hubungan lain. Kalau kita kekal sebagai sepupu, kita takkan rasa apa-apa. Tidak akan rasa bosan bahkan saling menghargai. Jadi, saya fikir biarlah kita begini. Tetap mesra selalu..."

Hairiz hela nafas. Kemudian dia senyum tawar sambil pandang wajahku. Nampak sedih saja.

"Saya mengantuk gila ni. Boleh saya tumpang bahu awak?" soalnya selepas itu.

"Bahu saya sentiasa untuk awak," balasku. Berbesar hati kalau Hairiz mahu menumpang bahuku.

"Ya, harap kekal untuk saya seorang." Hairiz menjawab. Jiwang saja sepupuku ini. Janganlah hendaknya dia menaruh sebarang harapan. Harap-harap apa yang dia lakukan hanya untuk membuat Hanis cemburu semata-mata.

Hairiz letak kepalanya di bahuku.

"Saya nak tidur, kalau sampai nanti kejutkan saya. Takut saya terlepas pula." Hairiz buat lawak. Macamlah naik komuter yang boleh terlepas bagai.

"Tidurlah. Semoga mimpi dipeluk perempuan cantik," usikku pula.

"Saya nak mimpi awak peluk saya sahaja..."

"Melampau, dahlah. Jangan nak merepek lagi."

Hairiz diam selepas itu dan dia mula pejam mata. Memang sudah tahu, Hairiz senang sangat tertidur. Kalau dia sudah mengantuk, bukan dia kira.

Memandangkan aku duduk di tempat ketiga, jauh dari tingkap, aku tidak dapat melihat awan. Seorang lelaki asing, mungkin orang belah Eropah duduk di tepi tingkap. Hairiz pula di tengah-tengah.

Hairiz nyenyak tidur. Aku tahu dia memang mengantuk. Maklumlah awal pagi sudah bangun. Melihat dia tidur begitu, mengingatkan aku zaman kecil kami dahulu. Dulu, kami biasa tidur bersama. Berkongsi bantal, bergelimpangan tidur di ruang tamu rumah nenek.

Ah! Aku terlupa, dari kecil lagi Hairiz sudah memihak kepadaku. Bila aku sering dipulaukan, hanya Hairiz yang sudi berkawan dengan aku. Dia yang pujuk aku. Dia yang menyembuhkan setiap rasa sakit hati.

"Saya sayang awak, Hairiz..." bisikku perlahan.

"Dan saya akan sayang awak sampai bila-bila..." Akan aku simpan semua kasih sayangku itu sampai akhir nanti. Sampai aku mati. Aku tahu, kami tetap akan kekal sebagai sepupu selamanya. Tiada yang berubah tentang status kami itu. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co