Bab 8
RESAH dari petang tadi aku bawa hingga ke malam. Tak tahu kenapa sejak Ekin sebut pasal isteri Hairiz, aku memang tak tentu arah. Selalu rajin juga aku sambung menjahit waktu-waktu begini. Tapi kali ini aku benar-benar tak sedap hati. Ada sesuatu yang benar-benar buat aku tak senang.
Kebiasaannya Hairiz akan telefon aku, tapi biarlah kali ini aku pula yang telefon dia.
"Assalamualaikum." Hairiz beri salam. Terkejut agaknya tiba-tiba aku telefon dia.
"Waalaikumussalam." Aku jawab dan pandang kipas dinding yang sedang berpusing di dalam bilik tidurku. Rumah milik keluarga Ekin ini menjadi tempat aku menumpang teduh. Empat tahun lepas, aku menyewa bilik di Bangsar. Selepas ayah Ekin, seorang pegawai kerajaan bersara, keluarganya berpindah ke Melaka. Tapi Ekin tidak ikut sekali kerana menguruskan butiknya.
"Eh, awak matikan kejap panggilan ni. Biar saya call awak," kata Hairiz.
"Tak nak. Kali ni memang saya yang call awak."
"Apa pasal pula ni?"
"Saja..."
"Kalau berbual dengan saya mesti satu jam. Kalau tidak, jangan nak gatal call saya." Walau Hairiz sebut dengan nada bergurau tapi aku rasa dia memang serius.
"Habislah kredit saya."
Tiba-tiba saja Hairiz matikan panggilan. Hairiz ni memang. Berselang beberapa saat, telefon bimbitku berbunyi semula.
"Awak ni..." Lemah saja suaraku.
"Jangan nak buang tebiat pula. Tak pernah-pernahnya call saya, tiba-tiba malam ni call saya. Jangan buat saya takut boleh tak?"
"Selalu awak call saya, bagilah peluang saya call awak pula."
"Dah, dah. Jangan nak merepek. Kenapa tiba-tiba call saya ni?" soalnya. Seperti sedang mengunyah sesuatu. Entah apa yang sedang dikunyah Hairiz.
"Awak, kalau saya tanya, boleh tak awak jawab dengan jujur?" Kenapa aku rasa seperti terdesak saja? Sedangkan Hairiz itu hanya seorang sepupu. Penting sangatkah perkara ni pada aku?
"Tanyalah. Pernah ke saya menipu awak selama ni?"
Aku gigit hujung bibir. Serba salah nak tanya. Nanti Hairiz mesti fikir yang bukan-bukan. Ah! Menyesalnya. Tapi kalau aku tak tanya, mahu satu malam pula aku tak tidur. Lebih teruk lagi, bukan setakat malam ni, malam esok dan malam berikutnya mesti tak tidur sama. Aku kena buat pilihan kalau mahu berasa senang hati.
"Mai, kenapa diam? Kata tadi nak tanya. Tanyalah apa awak nak tanya."
"Tak apalah. Lain kali saya tanya."
"Kejap, saya nak pakai baju. Saya datang rumah awak sekarang juga."
"Tak nak! Tak nak!"
"Kalau macam tu lebih baik awak cakap. Apa masalahnya?"
"Bukan ada apa-apa pun. Nak tanya biasa-biasa saja."
"Biasa bagi awak, tapi luar biasa bagi saya. Boleh tak jangan buat saya risau?" Hairiz mula mendesak. Kalau dia cakap dia akan muncul di hadapan rumah, tak sampai setengah jam dia akan muncul. Aku kenal sepupu aku seorang ini. Apa yang dia sebut, dia buat.
"Saya nak tanya, awak dah ada teman wanita ke?" Akhirnya aku tanya juga soalan bodoh tu. Selagi tak tanya, selagi itulah berteka-teki dan aku juga yang gelisah sendiri.
"Kejap, awak tanya apa?"
Tak dengar atau buat-buat tak dengar?
"Awak dah ada teman wanita ke?"
Hairiz ketawa selepas itu.
"Awak, saya serius ni." Geramnya bila aku tanya betul-betul orang jawab dengan ketawa.
"Soalan awak tu memang lawak. Saya memang tak ada teman wanita ke, buah hati ke. Tak ada semua tu. Yang saya ada hanya awak. Awak seorang!"
Perlu ke aku rasa lega?
"Kenapa tiba-tiba saja awak tanya pasal teman wanita ni? Mak saya ada bagi tahu apa-apa ke?"
"Taklah, saja nak tanya. Mana tahu awak ada teman wanita tapi takut nak cakap dengan saya. Kalau ada cakaplah. Taklah saya cari awak selalu." Sedihnya. Kalau nanti dia sudah temui seseorang, aku rasa aku perlu menjauhkan diri daripadanya. Bila dia jauh, maka kami semakin renggang. Aku tak boleh harapkan dia lagi.
Tiba-tiba aku rasa Hairiz senyap saja.
"Helo Hairiz?" Aku panggil dia. Senyap juga. Aku pandang skrin. Lah, dia sudah matikan panggilan. Apa kena pula Hairiz ni? Takkan sebut pasal teman wanita pun nak merajuk. La, aku lupa. Sepupu aku seorang ini memang kuat merajuk. Mana boleh silap cakap sikit, mulalah dia lain macam.
Aduhai, Hairiz...
Aku keluar dari bilik dan berjalan menuju ruang tamu. Ruang tamu sepi. Selalunya Ekin akan berada di bilik hujung untuk menyambung kerja menjahit. Aku pun selalu juga membantunya tapi malam ini aku memang betul-betul tiada semangat untuk menjahit.
Ah! Bosannya. TV pun tiada siaran menarik. Sudahnya aku tutup saja. Baik masuk tidur. Baru menapak dua tiga langkah, telefon berbunyi semula. Sah-sah Hairiz. Siapa lagi nak hubungi aku kalau bukan dia?
"Ya, awak kenapa?" soalku.
"Saya ada di hadapan rumah sewa awak."
"Hah?" Memang terkejut. Tak sangka pun dia akan muncul. Aku ingatkan tadi sudah merajuk.
"Keluar sekarang!" Tegas suara Hairiz.
"Okey, okey. Kejap, saya tukar baju."
Aku ke bilik. Tukar seluar dan baju. Pakai jean dan T-shirt tanpa lengan. Kemudian aku pakai kardigan dan terakhir sarung tudung. Tak sampai sepuluh minit. Kemudian bergerak ke bilik hujung. Bunyi mesin jahit elektrik semakin jelas kedengaran.
"Wei, aku jumpa Hairiz kejap."
"Yalah..." balas Ekin tanpa pandang aku.
Untuk tidak membuatkan Hairiz menunggu lebih lama, aku terus menuju ke pintu. Hairiz sudah sedia menunggu di dalam kereta. Apa hal pula tiba-tiba nak jumpa?
Aku tarik pintu kereta Hairiz dan terus masuk. Belum sempat aku pakai tali pinggang keselamatan, Hairiz sudah pecut. Gaya dia pandu kereta memang serupa orang tengah marah. Hairiz ni dah kenapa? Aku nak tanya pun fikir dua tiga kali.
"Tiba-tiba nak jumpa kenapa?" Aku beranikan diri bertanya.
"Dan tiba-tiba sebut pasal teman wanita saya kenapa?" soalnya dengan suara yang serius. La, pasal itu saja ke nak jumpa aku.
"Saja tanya. Kalau dah ada cakaplah. Senang saya tak kacau awak."
"Ini yang saya tak suka. Kacau apa bendanya?" Suara Hairiz sedikit keras. Hairiz marah rupanya. Dia tak suka aku sebut pasal teman wanita dia ke?
"Yalah, tak naklah kacau awak. Mana tahu nanti..." Aku sudah mula teragak nak bercakap. Karang silap cakap aku juga yang kena dengan Hairiz.
"Apa?" soal Hairiz kasar.
Aku diam. Hilang punca bicara melihatkan sikap Hairiz begitu.
"Cakaplah, tadi bukan main nak bercakapnya."
"Habis, awak dah marah-marah malaslah saya nak cakap."
"Bukan marah, kalau benda tak ada tak payah nak sebut. Sakit hati tau tak? Buat hubungan kita retak. Kita selesa macam ni. Saya ada awak dan awak ada saya. Apa lagi yang kurang? Soal teman wanita, tu belakang cerita. Kalau ada, awaklah orang pertama saya beritahu. Saya tak akan rahsia apa-apa dari awak. Kalau rumah saya pun saya letak nama awak sebagai pewarisnya, apa tandanya tu?"
Aku diam. Aku tahu Hairiz percayakan aku. Kalau tidak, masakan aku sudah dinamakan sebagai penama kedua bagi rumahnya. Kalaulah mak lang tahu, memang jadi bahan lagi.
"Jom temankan saya makan."
"Makan lagi?" soalku.
"Eloklah awak makan. Badan awak pun dah sepapan. Tak selera orang lelaki tengok."
"Habis awak selera ke tidak?"
Hairiz diam. Masa aku jeling dia, aku nampak dia senyum.
"Apa?" soalnya kepadaku. Pelik, aku tak buat apa-apa pun. Aku hanya tanya dia selera ke tidak pandang aku.
"Dah, dah. Jangan banyak cerita. Jom kita makan." Hairiz masuk ke tempat letak kereta di hadapan sebuah restoran.
"Awak..." Aku cuit lengan kiri Hairiz.
"Kenapa?" Hairiz baru saja buka tali pinggang keledar.
"Tu..." Aku tunjuk lelaki yang sedang berpimpin tangan dengan seorang perempuan.
"Abang Razak, kan?" Rasa seperti abang ipar Hairiz saja, suami Kak Yati. Hairiz meluru keluar tanpa ambil kunci keretanya. Terpaksalah aku yang capai dan tergesa-gesa keluar mengejar Hairiz. Sempat juga aku tekan punat remote kereta.
Masa aku sampai, Abang Razak sudah terduduk di atas tanah.
"Ini kerja abang selama ni?" marah Hairiz.
"Riz..." Aku tarik baju Hairiz bila nampak Hairiz genggam penumbuk. Minta dia lebih bersabar.
"Abang, kita buat report, ada orang serang abang." Si perempuan sedang berusaha membantu Abang Razak bangun. Bukan main manja lagi dengan Abang Razak. Walaupun Abang Razak bukan ada apa-apa hubungan dengan aku, tapi Abang Razak banyak juga membantu aku mendamaikan Kak Yati bila Kak Yati angin dengan aku. Tak tahulah rasa nak gembira atau sedih bila tahu Abang Razak ada perempuan lain. Sebabnya, Kak Yati tu memang anti sangat dengan aku. Kalau aku gembira, nampak sangat aku pun jahat macam Kak Yati.
"Tak apa. Ini adik ipar abang." Abang Razak sapu darah di bibirnya. Hairiz kalau sudah marah, mana ingat apa. Kesian Abang Razak. Mesti Abang Razak rasa sakit. Tak boleh nak menyabar langsung. Kadang-kadang memang aku kurang senang dengan perangai Hairiz.
"Adik ipar abang?" soal si perempuan, nampak cuak. Takut ke? Tadi bukan main nak buat report bagai.
"Lin balik dulu naik teksi, biar abang selesaikan perkara ni." Abang Razak bangun. Dia keluarkan sesuatu dari poket seluar belah kiri. Dan aku nampak Abang Razak hulurkan wang kertas kepada si perempuan.
Padan muka Kak Yati. Suaminya sudah ada perempuan lain.
"Lin balik dulu..." Selepas ambil wang dari tangan Abang Razak, si perempuan terus beredar. Aku sekadar perhatikan saja. Orangnya nampak masih muda. Mungkin lebih muda daripada aku. Badan cantik, langsing. Macam badan Kak Yati masa muda-muda dulu. Tak silap aku sudah tujuh tahun mereka berumah tangga tapi masih belum dikurniakan anak. Sebab itukah Abang Razak pasang lagi satu? Sebab tak ada anak atau sebab Kak Yati dah tak langsing? Apa pun alasannya, tak perlu aku nak sibuk sangat. Bukan masalah aku.
"Riz, abang, jom kita duduk dulu. Bincang elok-elok. Orang dah pandang semacam tu." Aku mencelah antara kemarahan keduanya. Aku tahu Hairiz ada sebab untuk marah dan bertindak kasar. Abang Razak juga pasti saja ada alasannya yang tersendiri. Jadi aku kena jadi orang tengah yang adil dan saksama.
Aku mendahului mereka berdua mencari tempat duduk kosong. Abang Razak mengekori dari belakang.
"Abang tolong jelaskan apa yang sedang berlaku sekarang ni? Siapa perempuan tu dan apa hubungannya dengan abang?" Hairiz terus bertanya sebaik sahaja kami duduk. Abang Razak duduk di sebelahku sementara Hairiz duduk depan Abang Razak.
"Riz, sabarlah. Kalau ya pun, awak dengarlah dulu penjelasan Abang Razak." Aku pujuk lagi Hairiz. Jenis tak boleh bersabar ni kena pujuk baik-baik.
Hairiz menyandar. Ada tanda-tanda mendengar kata, namun wajahnya tetap masam. Aku tahu Hairiz masih marah dan tidak berpuas hati.
"Abang, sebenarnya siapa perempuan tu?" soalku kepada Abang Razak. Soalan sama dengan Hairiz ajukan tadi tetapi dengan nada lebih sopan. Wajah lelaki pertengahan 30-an itu aku pandang. Rambut dipotong pendek tinggal satu inci. Nak kata Abang Razak ni segak, berpuluh kali ganda segak Hairiz. Nak kata banyak duit, kerja biasa-biasa saja. Tak salah aku kerja bawa kontena. Aku dapat tahu juga Kak Yati selalu merungut tak cukup duit. Peliknya, boleh pula ada awek. Lelaki memang kebanyakannya begitu. Nafsu lebih besar dari kemampuan.
"Abang nak kahwin lain." Abang Razak terus bercakap. Seperti nekad dengan apa yang diucapkan.
"Apa?" soal Hairiz kasar.
"Riz, sabarlah. Dengar dulu apa kata Abang Razak. Lagipun ni kawasan orang ramai. Kawal sikit perasaan awak tu." Sekali lagi aku berusaha untuk menjadi orang tengah dengan baik.
Hairiz hela nafas. Seorang pelayan datang untuk ambil pesanan. Aku minta jus epal sementara Hairiz dan Abang Razak masing-masing minta minuman panas.
"Abang dah tak tahan hidup dengan Kak Yati. Selama kami jadi suami isteri, dia tak pernah umpamakan abang langsung. Tak pernah nak hormatkan abang sebagai suami. Abang ni serupa bukan suami dia." Abang Razak meluah rasa.
Itu memang aku tahu. Memang selalu Kak Yati marahkan Abang Razak di hadapan kaum keluarga lain. Kadang-kadang memang kasihan aku tengok Abang Razak. Macam diperbodohkan saja.
"Dia selalu balik ke rumah mak tanpa pengetahuan abang. Makan pakai abang jarang diuruskan dengan baik. Salah abang ke kalau abang berubah arah? Tujuh tahun abang beri dia peluang, bukan kata hendak berubah tetapi semakin teruk. Sebagai seorang suami, abang dah tak sanggup nak hadap semua ni." Bersungguh pula Abang Razak meluah rasa.
Aku sekadar menjadi pendengar. Begitu juga Hairiz. Orang kata kalau dah tak sayang, semuanya melayang. Semuanya jadi serba tak kena. Yang baik pun sah-sah nampak buruk.
"Bukan Kak Yati saja yang tak umpamakan abang, mak pun sama. Ada saja salah abang. Suka membandingkan abang dengan menantu orang lain. Teruk sangat ke abang ni?"
Itu pun aku tahu juga. Memang selalu aku mendengar mak lang memuji menantu mak long. Kononnya semua bergaji besar. Mampu beli apa saja. Bagi aku pula, menantu mak long tu berlagak saja lebih. Macam mak long juga. Cakap meninggi, mana boleh kalah dengan orang. Tapi habuk pun tak ada.
Pesanan kami sampai. Masing-masing basahkan tekak.
"Abang dah ambil keputusan. Abang akan kahwin dengan perempuan tadi."
"Kak Yati tahu ke?" soalku.
Abang Razak geleng. Hairiz pula membatukan diri. Mungkin sekarang dia sedar salah kakak dia. Bukan sekarang saja Hairiz sedar, bahkan dia sendiri memang sedia tahu akan keburukan perangai kakak sendiri, cuma adik mana yang mahu memburukkan ahli keluarga yang lain. Suka atau tidak, sifat masih menghormati dan masih sayang itu tetap ada.
"Kalau Kak Yati tahu macam mana?" Nampaknya hanya aku saja yang jadi tukang soal. Banyak perkara yang aku hendak tahu. Itu sebabnya Hairiz selalu cakap aku ni kepochi.
"Terserah, tapi kali ni abang memang dah nekad. Apa pun yang terjadi, abang takkan berganjak dari keputusan abang." Abang Razak habiskan minumannya. Kemudian dia letak wang kertas bernilai 50 ringgit di sebelah gelas airku.
"Abang pergi dulu. Terpulang kepada kau orang sama ada nak bagi tahu Kak Yati atau tidak. Tapi abang tetap dengan keputusan abang."
Abang Razak bangun dan dia terus tinggalkan kami berdua. Aku hanya perhatikan Abang Razak. Aku tahu dia ada sebab untuk berubah kasih. Tak kesahlah apa pun alasannya, aku rasa memang susah untuk hubungan Kak Yati dan Abang Razak pulih selepas ini.
"Saya tak nak masuk campur dalam hal ni. Saya tak tahu macam mana situasi Abang Razak, jadi saya rasa biarlah dia buat keputusan sendiri." Aku memberi pendapatku walau aku tahu Hairiz tak minta pun aku bercakap tentang perkara ini. Tapi sekurang-kurangnya aku takkan jadi tukang sampai. Takkan sama sekali beritahu sesiapa. Bukan sebab kurang senang dengan perangai Kak Yati, tapi aku rasa tak perlulah aku ambil tahu sangat masalah orang lain.
Hairiz meraup wajah. Kemudian termenung panjang. Aku tahu Hairiz sedang berfikir atau mungkin dia rasa menyesal kerana terburu-buru bertindak mengasari Abang Razak.
"Apa yang perlu saya lakukan? Walaupun saya memang tak berapa baik dengan Kak Yati, busuk-busuk pun dia kakak saya. Orang cakap, cubit paha kanan, kiri terasa sama." Hairiz meraup wajah sekali lagi. Ada ternampak tanda-tanda serba salah pada wajah Hairiz. Aku tahu Hairiz tidak tahu untuk berpihak kepada siapa.
"Saya tak tahu. Itu terserah kepada awak. Fikirlah yang terbaik. Cuma saya nak awak berlaku adil. Paling susah untuk berlaku adil pada diri sendiri dan orang yang rapat dengan kita. Jadi, awak kena buat keputusan." Aku tak boleh tolong Hairiz. Kelak dia yang bakal berhadapan dengan semua itu.
Hairiz tak balas dan sehingga sudah, tiada banyak yang kami bualkan. Ternyata Hairiz memang terkesan dengan apa yang berlaku. Tapi aku tidak tahu apa yang sedang berlegar di dalam fikirannya. Mungkin dia sedang berfikir untuk membuat keputusan yang terbaik. Apa pun keputusan Hairiz, aku tetap akan menyokong. Aku tahu dia lebih arif dalam soal ini dan dia tahu apa yang perlu diputuskan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co