Bab 3
"SAYANG, tak mau macam ni..." Encik Hazrul turunkan kaki Humairah. Tapi secepat itu Humairah masukkan semula ibu jari kaki kanannya ke mulut sambil ketawa. Comelnya buah cinta kami ni. Penglipur lara kami. Jambatan kasih kami dan dialah segalanya.
"Papa tak nak macam ni..." Diturunkan lagi kaki Humairah. Pipi gebu itu dia cium berkali-kali. Bertuah Humairah memiliki papa yang cukup penyayang. Tak terkurang kasih sayang dan juga perhatian.
"Papa belum bersedia nak sambung berjaga malam," kata Encik Hazrul sambil jeling, seperti menyindir aku sahaja. Maklumlah, kalau aku sudah tidur memang susah untuk dikejutkan. Mungkin faktor keadaan memainkan peranan penting mengubah cara tidur aku. Seharian menguruskan rumah tangga buat aku cepat penat dan cepat tidur.
"Mama sayang tu bukannya boleh harap. Sejak ada Humairah, asal malam saja hanyut. Kesian papa, asyik kesunyian. Mujur ada Humairah."
"Mengumpatlah?" soal aku.
"Bukan mengumpat. Sesi luahan perasaan. Terasa macam diabaikan sekarang ni. Tak macam dulu-dulu..."
"Oh, ini kurang kasih sayanglah?" soal aku lagi. Sedar juga sejak akhir-akhir ini kurang memberi tumpuan kepada Encik Hazrul.
"Tahu tak apa..."
"Abang tolong tidurkan Humairah. Kalau abang berjaya tidurkan dia sebelum pukul sepuluh malam, saya ikut aje apa abang nak. Tapi kalau abang gagal tidurkan dia, jangan banyak cakaplah!" Tak tahu anak dia tu pun perangai lebih kurang. Selagi tak tengah malam, tak tidur.
"Hmmm, setiap malam pun abang yang tidurkan Humairah..."
Aku senyap. Kena balik batang hidung aku. Aku tarik selimut. Mahu mulakan acara pejam mata.
"Tengok tu mama, belum apa-apa dah tarik selimut. Hmmm..."
Aku masih tak jawab apa-apa. Namun terfikir juga. Pasti saja Encik Hazrul rasa sesuatu. Layanan buatnya memang sudah mula terkurang. Tidak seperti baru menjadi pasangan suami isteri dahulu. Kata orang, itulah punca suami cepat bosan. Isteri sudah kurang memberikan perhatian selepas memiliki anak.
Azian Yuhanis, awak tak boleh begini. Awak tidak boleh terlalu mengikut kata hati kerana takut nanti awak akan menyesal seumur hidup. Sedarlah Azian Yuhanis, tanpa Encik Hazrul awak tak akan memiliki rasa bahagia itu. Bertuahnya awak kerana memiliki Encik Hazrul, tapi awak jangan rasa selesa hanya kerana dia terlalu sayangkan awak.
Lakukan sesuatu, wahai Azian.
Aku tolak perlahan selimut dan bangun.
"Sayang, dah mengigau ke?" soal Encik Hazrul. Terkejut gamaknya tiba-tiba saja aku turun dari katil.
"Nak bancuh air kopi. Abang nak minum apa-apa?" soal aku.
Encik Hazrul balas dengan ketawa dan ketawanya itu seperti ada makna saja.
"Dah, dah. Tak payah buatkan abang apa-apa. Abang bergurau aje pun. Yang terasa hati tu kenapa?" Ketawa Encik Hazrul masih berbaki.
Aku sendiri tidak tahu kenapa aku harus buatkan dia air pada waktu-waktu begini. Spontan saja idea buat air datang, sedangkan dalam sindiran Encik Hazrul tadi, dia berhajatkan layanan yang lebih lagi.
Aku naik semula ke katil dengan muka tak malunya. Encik Hazrul masih ketawa.
"Apa pun terima kasih sebab berusaha untuk menyenangkan hati abang..." Dia tersenyum cantik. Sedikit rasa malu hilang. Akhirnya semua hilang begitu saja. Suami isteri, kisahnya bukan semata-mata menyenangkan dan disenangkan. Tetapi memahami dan saling difahami.
Dan tiba-tiba malam semakin dingin...
AKU buka mata. Bilik tidur hanya ditemani lampu dinding berhampiran katil Humairah. Puteri kesayangan itu sudah nyenyak tidur. Awal pula dia tidur. Macam tahu-tahu saja mama nak buat Thai girl show. Encik Hazrul pula menghilangkan diri. Pasti saja di bilik bacaan. Entah apa lagi yang mahu dikerjakan. Penternak lembu saja, kan? Bukannya CEO Menara Holding lagi. Kalau dulu aku percayalah banyak kerja.
Tapi kata Encik Hazrul, dia mahu menjadi penternak lembu yang berjaya. Penternak yang menguasai pelbagai kemajuan. Dia tidak mahu menjadi penternak lembu yang biasa-biasa saja. Penternak juga satu perniagaan. Aku terlupa, kalau otak business, akan fikirkan business saja.
Aku tolak wardrobe perlahan. Keluarkan pakaian istimewa. Malam ini aku akan buat satu kejutan. Aku tidak mahu kehilangan Encik Hazrul hanya kerana kesilapan yang sengaja aku lakukan. Aku perlu menjadi Azian yang sentiasa hangat di mata Encik Hazrul.
Kalau dulu boleh hangat, kenapa sekarang tidak boleh? Seharusnya lebih hangat lagi daripada sebelum ini.
"Abang..." panggil aku manja.
"Uiks..." Hanya sepatah perkataan yang terkeluar dari mulut Encik Hazrul sebaik sahaja melihat aku di muka pintu. Dokumen di tangan terus diletak di atas meja.
"Berminat ke?" soal aku sambil buat gaya menggoda. Dari dulu, aku bukan pandai sangat menggoda. Yang berbakat dalam bidang ni ialah Encik Hazrul. Kerana keperluan, rasanya kena belajar juga.
"Gila tak berminat!" Cepat Encik Hazrul bangun dan terus dapatkan aku. Pinggang aku dipaut erat.
"Dah lama tak buat Thai girl show..." bisik aku dan kedua-dua belah tangan memaut lehernya. Anak mata Encik Hazrul aku tentang.
"Memang dah lama sangat. Abang ingatkan sayang dah lupa."
"Saya ingatkan abang tak sudi nak tengok sebab tak ada sebarang permintaan."
"Abang kesian tengok Azian. Penat seharian uruskan rumah tangga. Dengan Humairah lagi. Abang tak nak jadi suami yang pentingkan diri sendiri."
Kata-kata Encik Hazrul benar-benar buat aku rasa terharu. Dia lebih menjaga kepentingan diri aku daripada keinginan dirinya. Aku tidak boleh kehilangan dirinya sama sekali. Tidak boleh. Walau dengan apa cara sekalipun, aku harus pertahankan Encik Hazrul.
"Ini yang buat saya berjuta-juta kali sayang abang. Terima kasih kerana memahami keadaan saya."
"Kita kan suami isteri. Apa guna jadi suami isteri kalau tidak saling memahami? Kenapa abang mesti pentingkan diri sendiri sedangkan apa yang Azian lakukan untuk abang sudah besar maknanya?"
Aku geleng. "Saya tak lakukan apa-apa untuk abang. Kadang-kadang saya rasa malu sebab saya ini seperti berada di pihak yang menerima sahaja tanpa mahu memberi." Aku letak muka aku di dada Encik Hazrul. Mahu menumpang segala resah yang ada.
"Jangan lupa, Azian sudah banyak memberi dan abang rasa sangat bertuah kerana memiliki isteri seperti Azian. Apa yang Azian berikan buat abang rasanya tidak ternilai sehingga abang selalu terfikir, cukupkah kasih sayang yang abang berikan buat Azian."
Pedih mata mendengar penjelasan Encik Hazrul.
"Saya tak beri apa-apa pun."
"Azian beri abang rasa bahagia."
Aku angkat kepala dan pandang wajah Encik Hazrul. Mata kami bertentangan.
"Rasa bahagia yang tidak ternilai. Abang sanggup lakukan apa saja untuk kekal bersama Azian."
Aku yang takut kehilangan dirinya, tak sangka dia juga memiliki perasaan yang sama.
"Insya-Allah, selagi hayat dikandung badan, saya akan setia bersama abang."
"Insya-Allah, abang juga akan berusaha untuk menjaga rumah tangga kita sebaik mungkin."
"Abang jangan tinggalkan saya..." Sayunya hati.
"Gila nak tinggalkan isteri sebaik Azian? Bodohlah abang."
Entah kenapa rasa sedih saja malam ni. Mulanya mahu beri sesuatu yang menghangatkan, tetapi lain pula jadinya. Nak menangis pun ada.
"Hmmm, abang tak rindu nak tengok Thai girl show?" soal aku.
"Abang pun rindu, tapi rasanya tak payahlah buat Thai girl show. Karang Humairah pasang telinga."
"Baru nak buat pertunjukan..."
"Okey, nanti kita cari masa yang sesuai..."
"Hmmm, habis sekarang ni nak buat apa?"
"Eh, macam tak biasa dengan aktiviti lain..."
"Aktiviti lain?" soal aku.
Encik Hazrul capai baju sejuk dan sarung ke badan aku. Kemudian dia pegang tangan kiri dan ajak aku berjalan.
"Dah lama kita tak tengok bintang." Encik Hazrul peluk aku dengan erat. Terasa kehangatannya.
"Emmm..." Aku pandang langit yang bertaburan sejuta bintang. Kalau dulu kami gemar melihat langit malam. Terkenang semula kisah lelaki naik basikal. Kelakar sungguh apabila aku teringatkan cerita tu. Mudahnya aku dipermainkan.
"Abang..."
"Emmm..." Lembut saja suara Encik Hazrul kedengaran di tepi telinga.
"Abang ada nampak sesuatu tak kat atas langit?" soal aku.
"Sayang, jangan nak goreng abang. Tu cerita abang, bukan?"
Aku ketawa. Tak mudah rupa-rupanya hendak mainkan Encik Hazrul.
"Masa tu memang abang nak kenakan saya?" soal aku.
"Tak susah pun nak kenakan isteri abang ni. Senang sangat. Tu yang abang suka. Keistimewaan yang tak ada pada orang lain."
Aku toleh pandang dia. "Keistimewaan apa?" soal aku.
"Mudah kena goreng!"
Ah! Kena goreng lagi!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co