Truyen3h.Co

Tercipta Untukku

Bab 5

karyaseni2u

ADIL duduk di hadapan doktor.

Akhirnya, nak tak nak dia terpaksa juga buat pemeriksaan kerana sudah tidak tahan selalu sangat sakit kepala. Dia ingin tahu apa sebenarnya punca dia selalu sakit kepala.

"Dia bukan macam berdenyut-denyut tu," beritahu Adil.

Dia sendiri pun tak tahu nak terangkan sakit yang bagaimana. Pokoknya memang kerap sangat dia sakit kepala sehingga mengganggu tugas sehariannya.

"Pening?" soal doktor.

"Tak juga. Tapi macam sakit aje. Malam tadi lagi terasa," jelas Adil lagi.

"Dah berapa lama rasa macam ni?"

"Hurm..." Adil cuba ingatkan semula.

"Sebelum ni pun ada juga. Sekali-sekala dia datang. Bila sakit tu, kadang rasa macam nak termuntah." Adil sambung menerangkan keadaan sakitnya.

"Selalu ke muntah?"

"Tak. Rasa macam loya. Tapi semalam, agaknya sebab banyak aksi Superman, saya muntah terus."

Seperti bangga pula Adil menerangkan.

Yalah, bukan semua boleh beraksi sepertinya. Bergelut dengan peragut lagi. Kalau orang tak bangga dengan apa yang dia lakukan, cukuplah dia rasa bangga dengan apa yang dia usahakan. Tolong orang juga tu.

"Dah berapa lama rasa mual-mual tu?"

"Hmmm... Tak ingatlah."

"Saya bagi surat referral. Buat full medical check-up."

Akhirnya doktor beri saranan.

"Alamak. Kenapa eh?" Adil kehairanan.

Dia hanya sakit kepala.

Sakit biasa-biasa kenapa sampai nak buat pemeriksaan lanjut? Bagi sajalah ubat sakit kepala, habis cerita. Ini nak buat pemeriksaan lanjut bagai. Buang masa betul! Menyesal pula dia jumpa doktor.

"Mungkin tak ada apa apa. Tapi buat proper medical check-up, supaya kita tau kalau ada penyakit lain yang bersangkut paut dengan simptom ni."

"Sakit kepala biasa aje ni, doktor. Pasal saya selalu tak tidur malam, duk menghadap komputer." Adil masih berusaha untuk mengelak daripada membuat sebarang pemeriksaan lanjut. Dia bukannya suka sangat semua tu. Menyusahkan dia saja.

"Mungkin juga. Tapi saya suggest pergi. Pergi buat medical check-up. Saya boleh bagi ubat tahan sakit untuk sementara, tapi ambil bila perlu ajelah."

"Okey. Terima kasih."

"Tunggu kejap, saya suruh nurse passkan referral letter. Ada mana-mana hospital yang Encik Adil nak request?"

"Hospital free?" Adil sengih.

"Okey, nanti saya beri cadangan."

Adil keluar dari bilik doktor. Sementara nak menunggu proses selanjutnya, dia keluar.

Masa dia sampai tadi, dia ada nampak penjual kacang rebus di luar. Memang dia teringin nak makan, tapi memandangkan dia perlu jumpa doktor, dia matikan niat asalnya.

Adil beli sebungkus dan bawa masuk ke dalam beg plastik berwarna oren. Selepas itu Adil masuk semula ke tempat menunggu.

Untuk menghilangkan rasa bosan, dia ambil majalah di kaunter. Dia cari tempat duduk yang kosong. Sambil belek majalah dan tengok-tengok gambar, dia makan kacang rebus.

Ketika itu bersebelahan dengan tempat duduk Adil, Thia sedang menanti giliran untuk mendapatkan rawatan.

Ketika itu Thia sedang menulis hal-hal peribadinya. Ada senarai tajuk-tajuk cerita yang Thia hendak tulis. Antaranya ialah Menghitung Rahmat Tuhan, Nurbaya Mengira Titisan Hujan. Itulah antara yang sedang bermain dalam fikiran Thia.

Kedudukan Thia di sebelah Adil hanya dipisahkan oleh beg tangan.

Thia kelihatan sedikit terganggu dengan kehadiran Adil yang membelek-belek majalah dengan kasar.

Dia terus toleh dengan muka tak puas hati. Dia terkejut tengok Adil sedang makan kacang tanah. Mulalah dia rasa panas hati. Amboi mamat ni, bukan main lagi.

"Hei. Sedapnya makan kacang!" Thia bersuara. Terus Adil pandang Thia.

"Awak lagi!" Thia dan Adil cakap serentak. Masing-masing terkejut sebab tak sangka akan bertemu lagi.

"Sedap aje awak makan kacang tu, eh?" kata Thia lagi.

"Memang sedap pun!" balas Adil.

"Eee! Apa masalah awak ni?" marah Thia.

"Awaklah masalah saya!"

Lagi mahu tanya. Asal muka dia saja, mestilah masalah bakal menimpa.

"Ewah. Sedap aje mulut tu bercakap." Makin panas Thia jadinya. Sesuka hati aje nak cakap apa pun. Memang dasar tak pergi sekolah betul.

"Apa? Apa? Tak puas hati?" Adil buat muka.

"Fathia Othman..."

Nama Thia dipanggil oleh seorang jururawat. Thia pandang Adil tajam bersama perasaan yang sangat geram. Sambil itu dia ketap bibir. Kurang ajar betul. Suka hati dia makan kacang orang.

Thia bangun, nak masuk jumpa doktor. Sebelum dia pergi, dia rampas bungkusan kacang tanah dari tangan Adil.

"Heiii!" jerit Adil.

"Lain kali mintak izin," kata Thia sambil pandang Adil. Adil nampak kebingungan dan tidak tahu hendak buat apa. Thia atur langkah tapi pusing pandang Adil selepas itu. Adil masih pegang sebiji kacang tanah

"Yang tu saya halalkan!" kata Thia.

"Gila!" balas Adil. Memang betul-betul gila. Kacang aku pun dia rampas. Senget betul!

"Adil Zainal!" panggil seorang jururawat.

Adil terus bangun dan berjalan menuju ke kaunter.

Dia pusing pandang ke arah Thia dengan muka tak puas hati. Pada masa yang sama, Thia pusing juga.

Mereka bertentang mata sekali lagi. Adil angkat dua-dua tangan, isyarat seperti bertanyakan apa kes? Thia jegil mata kepada Adil dan masuk bilik doktor.

"Sedap dia aje makan kacang orang! Hurgggh!" marah Thia.

Adil pula ambil surat rujukan doktor dan berjalan keluar dengan muka bengang.

Memang tak sangka betul dapat jumpa lagi Thia, gadis yang selalu sangat datang mengganggu fikiran Adil. Tapi tak sangka dalam keadaan begitu.

Apa, perempuan tu memang betul tak 'cukup' ke? Macam-macam perempuan sekarang ni!

Thia tolak pintu, kemudian dia senyum melihat doktor.

"Assalamualaikum." Thia beri salam.

"Waalaikumussalam." Thia buka beg tangannya nak masukkan kacang tanah. Tiba tiba dia terkejut. Benar-benar dia terkejut.

"Allah..." kata Thia sepatah.

"Cik okey tak ni?" soal doktor. Dia juga kelihatan cemas melihat riak wajah Thia.

"Nurse!" panggil doktor.

Thia tengok di dalam beg ada satu lagi beg plastik berisi kacang tanah rebus.

Thia tekup tangan ke mukanya. Malu gila masa tu. Maknanya dia dah rampas kacang rebus milik Adil. Padanlah Adil pandang semacam saja.

"Arghhh!"

Doktor risau dan terus pergi kepada Thia yang masih di pintu. Doktor pegang lengan Thia. Jururawat masuk. Juga pergi mendapatkan Thia.

"Kenapa, doktor?" tanya jururawat.

"Tolong dia duduk. Duduk dulu. Duduk," arah doktor.

"Adoi. Ya Allah!"

Baru Thia sedar doktor sudah berdiri di sebelahnya. Sebelum ini dia memang gagal mengawal rasa malunya.

"Sabar, dik. Sabar. Mengucap," pujuk jururawat.

"Jalan perlahan, boleh jalan tak ni?" soal doktor.

Thia kaku di situ. Kemudian baru Thia nampak wajah doktor sangat serius. Lawak pula dia rasa. Thia gagal mengawal rasa lucunya. Langsung dia ketawa.

Doktor kelihatan cemas melihat reaksi Thia.

Dia pandang jururawat yang juga nampak cemas. Bukan mereka tidak biasa berhadapan dengan pesakit yang bermasalah. Kerap sangat, sebab itu mereka rasa cemas.

Thia pula masih ketawa. Tak boleh berhenti pula kerana dia rasa lucu sangat.

"Okey... Saya okey... Betul... Okey." Thia jalan ke arah kerusi.

"Okey... Betul... Saya ingat kacang dia, kacang saya, rupa-rupanya memang kacang dia..." kata Thia.

Doktor dan jururawat saling berpandangan. Tak faham sebenarnya.

"Tadi, ada seorang lelaki duduk sebelah saya. Sedap saja makan kacang rebus. Saya ingatkan saya punya, saya marahlah dan rampas kacang tu dari tangan dia. Rupa-rupanya dia memang makan kacang dia, sebab kacang saya ada dalam beg saya."

Thia sambung ketawa. Lucu sangat.

Doktor dan jururawat pun tumpang ketawa sama.

"Biasalah, sesiapa pun buat kesilapan..." ulas doktor selepas itu.

Doktor mula lakukan tugasnya.

Mula-mula dia dengar dan ambil nadi dengan letak alat tekanan nadi pada pergelangan tangan Thia.

Dia kelihatan bimbangkan sesuatu sedang Thia sebenarnya lebih berminat pasal Adil dan kacang tanah.

Doktor ambil tekanan daran dan dia masih kelihatan bimbang.

"Kenapa, doktor?" soal Thia. Walaupun dia sudah tidak ketawa namun dia masih tidak boleh mengawal bibir daripada terus tersenyum.

"Kerap sakit kepala?"

"Selalu juga seminggu dua ni." Thia kembali serius.

"Banyak makan daging?"

"Tak."

"Masin-masin?"

"Tak."

"Kopi? Teh?"

"Teh tapi sehari sekali aje."

Doktor angguk.

"Rasa loya? Pening?"

"Tak."

"Saya bagi referral, awak pergi hospital untuk further check-up, ya?" Akhirnya doktor beri saranan.

"Saya sakit apa, doktor?" soal Thia sedikit cemas.

"Simptom-simptom ni cuma cara badan kita bagi tau bila kita tak sihat."

"Doktor tau saya sakit apa tapi tak nak bagi tau, ya?"

Thia bertambah cemas.

Dia selalu juga jumpa doktor tapi dia jarang diberi surat untuk membuat rawatan lanjut.

Thia tahu pasti ada yang tidak kena.

"Saya tak boleh main-main buat diagnosis. Perkara ni perlu dilakukan dengan cara lebih teliti. "

Thia angguk. Akhirnya dia faham apa yang doktor perkatakan. Dia akur kalau itu adalah satu arahan yang perlu dia ikut.

"Awak boleh tunggu di luar. Nanti saya sediakan surat rujukan."

"Terima kasih, doktor." Thia bangun dan dia mula bergerak menuju ke pintu.

"Sama-sama," balas doktor.

Walaupun cemas, Thia tercari-cari juga Adil. Mujur Adil sudah tidak kelihatan, kalau tidak memang Thia bakal berhadapan dengan malu yang lebih besar lagi. 


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co