Truyen3h.Co

Tercipta Untukku

Bab 6

karyaseni2u

ADIL tengah duduk menghadap komputer riba. Tapi dia tak buat kerja pun. Sekadar pandang skrin dengan pandangan kosong.

Sesekali dia tersenyum. Bukan apa, masih teringat lagi peristiwa siang tadi.

Selamba saja minah tadi rampas kacang Adil. Senget ke apa perempuan tu? Siap sumpah lagi. Aduhai, lawak sungguh.

Memang mulanya Adil rasa marah, tapi akhirnya Adil rasa kelakar pula. Malanglah siapa yang dapat perempuan tu. Sudahlah garang, tak 'cukup' pula. Memang malang!

Sambil tersenyum, Adil ambil surat rujukan yang diberikan doktor kepadanya.

Kemudian dia kembali serius apabila menatap isi surat tersebut. Di dalam surat rujukan tercatit simptom yang Adil beritahu doktor. Dahinya berkerut. Kenapa pula kena buat pemeriksaan lanjut? Sakit kepala saja pun.

Sedang dia leka menatap surat tersebut, Zain muncul tiba-tiba. Zain baru saja selesai solat maghrib.

"Dil? Kau pergi mana hari ni?" soal Zain.

Adil terkejut. Dia cepat-cepat keronyok surat doktor dan sumbat ke dalam plastik berisi ubat.

Tidak mahu Zain tanya lebih-lebih. Dia malas nak jawab. Tambah sakit kepala saja nanti.

Kadang-kadang bosan juga dia apabila Zain terlalu sangat mengambil tahu tentang dirinya.

Sentiasa hendak tahu aktiviti Adil. Apa Adil buat, Adil pergi mana, Adil berkawan dengan siapa. Sehinggakan Adil tiada ruang privasi sendiri.

"Pergi klinik sekejap. Sakit kepala," terang Adil. Matanya menjeling Zain. Kali ini apa pula yang hendak diadukan?

"Doktor cakap apa?" soal Zain lagi.

"Tak ada apa..." Adil campak semua ubat ke dalam bakul sampah.

"La, tu aje dia cakap? Apa punya doktor macam tu?" Zain membebel.

Serupa tidak puas hati saja. Bagi Adil, itu perkara biasa. Zain memang begitu. Selalu sangat tidak puas hati.

Macam manalah Sofia boleh tahan dengan Zain. Tapi Adil tahu, kakak iparnya itu memang seorang yang sangat sabar. Sabar kerana mempunyai suami seperti Zain dan adik ipar seperti Adil. Kalau perempuan lain rasanya Zain dah lama kena tinggal.

"Tak adalah. Dia cakap tak cukup tidur. Lama sangat duduk menghadap komputer." Adil cuba memberi alasan.

Tidak mahu Zain bertanya lebih-lebih. Satu hal pula nak karang jawapan. Zain bukan boleh kalau Adil beri jawapan yang mencurigakan. Makin dikorek nanti.

"Dah tau, duduk lagi depan laptop tu. Cubalah bawa tengok-tengok kat luar. Ini tidak, asyik terperap di dalam bilik saja. Abang nak berbual dengan kau pun sampai kena masuk bilik kau. Apa kau tak bosan ke Dil, terperuk kat dalam bilik?" Zain mula membebel seperti selalu.

"Ada kerja sikit lagi ni nak kena touch up. Nak kena siapkan juga untuk dia orang buat presentation."

"Kau buat apa?" Zain tunjuk minat.

"Novel grafik."

"Novel grafik, eh? Zaman aku dulu panggil komik aje."

Adil ketawa perlahan. "Kalau benda ni berjalan dengan lancar, orang bolehlah bagi duit sikit."

"Tak payahlah, Dil. Kalau kau dapat, duit tu simpan untuk kau aje. Fikir sama masa depan kau. Kau tak terfikir ke nak kahwin? Abang dulu masa sebaya dengan kau dah dua tiga orang girlfriend." Zain ketawa perlahan.

"Habis, Kak Fia tu girlfriend yang keberapa?" Selamba saja bercerita pasal teman wanita.

Kalau kakak iparnya tahu, memang habis Zain. Sofia tu boleh tahan juga cemburunya.

"Entah, abang pun tak ingat girlfriend keberapa." Zain ketawa lagi.

"Orang manalah ada girlfriend. Siapalah yang nakkan orang..." Adil merendah diri.

"Habis, yang kau terperap saja di dalam bilik ni kenapa? Kau ingat ada anak dara datang menyerah diri kepada kau? Kau kenalah usaha sikit!" Zain tepuk bahu Adil perlahan.

Hanya Adil seorang saja adik kandungnya di dunia ini. Hanya mereka berdua saja. Sebab itu Zain sangat sayangkan Adil.

Diikutkan saja apa kehendak Adil. Mujur juga Adil mendengar kata. Cuma yang Zain tidak tahan adalah dengan cara kehidupan Adil. Tak terurus langsung. Sesuka hati dia saja nak buat apa.

"Orang mana pandai bang, bab perempuan ni. Orang rasa perempuan ni macam menyusahkan saja. Makhluk yang susah untuk difahami. Tindakan mereka akan berubah sekelip mata." Terus saja babak kacangnya dirampas bersiaran langsung dalam fikirannya. Kalau dapat jenis macam tu, lagi bermasalah!

"Kau tak kenal lagi dengan perempuan. Cuba kalau kau dah kenal, abang rasa mahu tak kenal malam ke siang." Zain ketawa-ketawa.

"Ah! Malaslah, bang. Diri orang ni pun rasa tak larat nak tanggung!"

"Tu la pasal. Kau tak nak cari kerja betul-betul ke? Kalau kau betul minat benda-benda grafik ni, carilah kerja buat benda ni."

"Alaaa. Orang tak retilah kerja ofis ni. Lagipun orang memang tak boleh buat kerja dalam ofis. Memang bosan. Orang nak kerja bebas."

"Abang bukan suruh kau kerja jadi eksekutif. Cari yang kau minat. Buat la grafik ke."

"Mesti nak kena ada degree ke apa. Orang kan tak ada!"

"Tak semua kerja nak pakai degree. Kalau ada degree tak reti buat kerja pun tak guna. Baik ambil orang yang ada bakat dengan pengalaman."

"Nantilah orang cari pengalaman dulu. Kak Sofia bisingkan pasal orang lagi?" Adil meneka.

Sebabnya sehingga sekarang, Zain masih belum lagi menyuarakan perkara pokok kenapa dia ke bilik Adil. Masih bermukadimah. Atau mungkinkah Zain masih keberatan untuk menegur Adil?

"Orang mengandung ni sensitif. Kau kahwin nanti kau tau la..."

"Hahaha. Bukan orang yang mengandung, bang. Orang perempuan." Adil berseloroh.

Kalau boleh dia tidak mahu Zain rasa apa-apa. Tidak mahu nanti sebab dia, hubungan antara Zain dan Sofea bermasalah pula.

Zain sambut dengan ketawa perlahan. "Kau jangan ambil hati tau. Biasalah orang perempuan. Ada saja benda yang nak mereka bebelkan."

"Taklah. Orang perempuan ni spesies yang kita kena sentiasa maafkan."

"Memang pun..."

Zain mengatur langkah mahu tinggalkan bilik Adil.

Tidak mahu ganggu Adil lagi. Tahu Adil juga ada kerja yang perlu disiapkan. Dia sekadar mahu bertanya keadaan Adil saja.

Kalau dia tidak mengambil berat, siapa lagi? Sedangkan arwah kedua-dua orang tuanya sudah mengamanahkan Adil kepadanya.

"Jangan lama sangat menghadap komputer. Jaga kesihatan sama. Masa muda ni memanglah tak rasa apa. Tunggu kalau dah tua sikit nanti."

"Yalah, orang ingat. Tapi orang kena siapkan benda ni juga."

Zain terus atur langkah. Lega Adil rasa. Zain tidak kompelin apa-apa. Dia menunggu juga, kalau ada apa-apa aduan.

Bilik Adil kembali sepi.

Dia menyambung semula kerjanya. Tiba-tiba dia teringatkan semula pasal kacang tanahnya yang dirampas.

Masuk kali ini, sudah tiga kali dia teringatkan kacang tanahnya. Eh, bukan. Bukan kacang tanah, tapi perempuan yang sudah merampas kacang tanahnya.

"Senget ke apa minah tu?" soal Adil sendirian.

Tiba-tiba saja rampas kacang Adil, siap marah-marah lagi. Memang Adil sesekali teringatkan Thia, tapi dia tidak menyangka akan dipertemukan semula dalam keadaan begitu.

"Anak siapalah gamaknya."

Adil letak kepala di atas mejanya yang berserabut. Dalam malas nak ingat, tetap juga perempuan tu datang menjengah ruang ingatan. Apa pasal pula ni? Takkan jatuh cinta pula? Tak nak, Adil. Tak nak cari masalah.

"APA pasal pula kau sengih saja ni?" Pelik Ati lihat wajah Thia yang nampak sangat ceria.

Selalu wajah Thia serius memanjang. Nak senyum pun susah. Tapi dari mula menonton TV tadi, Thia asyik tersenyum saja.

"Hari ni aku memang betul-betul buat silap yang sangat memalukan..."

Thia letak dua bungkus beg plastik berisi kacang rebus di atas meja sofa di depan Ati. Gara-gara bungkusan itulah dia sudah melakukan satu kesilapan.

"Apa kes?" tanya Ati.

Berminat juga nak tahu apa punca kawan baiknya itu tersengih semacam. Mesti menarik ni.

"Sebab kacang inilah aku dah buat kesilapan besar." Thia masih ketawa.

"Kacang ni?" tanya Ati lagi.

Dia tambah pelik. Semata-mata kacang? Biar betul Si Thia ni. Sebab kacang boleh buat kesilapan? Tapi yang tersengih tu apa hal?

"Cuba kau ceritakan, apa kesilapan yang boleh buat kau gelak sangat ni? Pelik pula aku tengok." Ati sekadar pandang kedua-dua bungkusan plastik dengan pandangan ingin tahu. Mencari apa yang lawaknya dengan beg plastik tu.

"Kau ingat tak mamat yang tolong aku hari tu?" Thia memulakan cerita dengan penuh semangat. Belum pernah dia bersemangat seperti itu.

"Kes ragut tu?"

"Haah..."

"Kenapa dengan dia?"

"Tadi masa aku pergi klinik, aku terserempak dengan dia."

"Ini yang buat kau senyum sampai telinga?"

Padanlah senyum sampai macam tu sekali. Dah bertemu dengan jejaka yang menjadi igauan selama ni rupa-rupanya.

Walau Ati tahu Thia tak akan mengaku punya, Ati tahu Thia memang terganggu dengan jejaka seorang tu. Kalau tidak, takkanlah mulut Thia kadang-kadang tersebut juga akan kejadian itu.

Tak ada sebab nak sebut kes ragut selalu kalau tidak disebabkan jejaka yang berjaya menyelamatkan dirinya. Ati kenal sangat dengan Thia. Bukan sehari dua dia kenal, sebab itu mudah saja Ati terbaca apa yang sudah tersirat dalam benak Thia.

"Dia duduk sebelah aku. Lepas tu aku nampak dia makan kacang. Aku ingatkan dia makan kacang aku, terus aku rampas. Lepas tu aku boleh marah dia lagi sebab curi kacang aku." Thia sambung ketawa.

"Lepas tu?"

"Dia tak cakap apa, cuma buat muka blur sajalah. Bila aku masuk bilik doktor, aku nak simpan bungkusan kacang tu dalam beg. Aku tengok, kacang aku ada dalam beg aku. Maknanya aku yang rampas kacang mamat tu." Semakin kuat Thia ketawa.

Ketawa Ati pecah sama. "Woit, kau biar betul!"

"Betullah. Tu buktinya." Thia tunjuk kedua-dua bungkusan kacang di hadapannya. Ati sambung ketawa.

"Teruk betul kau ni, Thia. Sampai macam tu sekali kau berprasangka dengan orang."

"Malunya," kata Thia.

Dia masih terbayang wajah Adil yang nampak terperanjat. Mujur Adil tak ambil sebarang tindakan untuk merampas semula kacangnya. Kalau Adil tunjuk aksi serupa melawan peragut dulu, memang malu habis Thia.

"Tu la pasal. Nasib baik bila aku keluar dia dah tak ada. Kalau tidak, satu hal pula aku nak menghadap dia. Mesti dia menyumpah-nyumpah aku, kan?"

"Mestilah. Kalau kau sendiri kat tempat dia, aku rasa mamat tu dah lama habis. Kau tu kan garang. Errr, macam mana dia? Handsome tak?"

"Boleh tahan. Orangnya tinggi, kulit hitam manis. Simple sangat. Lepas tu aku tengok jenis selamba aje..."

Ketawa Thia bersambung lagi apabila mengingati lelaki itu. Peliknya Thia rasa. Kenapa dia boleh ketawa sampai macam tu sekali?

"Mesti segak tu..." Ati memancing. Tapi dulu Thia cakap muka macam rumah tak siap. Sekarang lain pula. Ati lupa, dulu sebab lelaki tu sudah buat Thia marah-marah. Sekarang lelaki tu buat Thia asyik tergelak saja. Mestilah sudut pandangannya sudah berbeza.

"Lagi nak tanya?" kata Thia.

"Hurm. Habis, doktor cakap apa tentang penyakit kau tu?" Ati kalih tajuk perbualan. Takut dia terlupa nak tanya nanti kalau asyik bercerita tentang lelaki tu saja.

"Dia cakap simptom ni cara badan kita bagi tau kita ni tak sihat." Thia ajuk cakap doktor.

"Huh, aku pun boleh cakap benda tu." Ati selamba ambil kacang dari dalam beg plastik dan makan. Thia cepat-cepat rampas.

"Apa pasal pula?" kata Ati.

"Itu mamat tu punya. Makan yang ni." Thia hulur bungkusan lagi satu.

"Habis, takkan nak buang yang ni..."

"Kalau dia tak halalkan, jadi darah daging baru tau! Haram."

"Yalah-yalah..." kata Ati, mengalah. Kalau tak diikutkan, makin panjang pula nanti ceramah Thia.

"Kau rasalah kan, mamat tu tengah buat apa?"

"Buat apa lagi? Buat bodohlah. Entah-entah sekarang ni dia ingat kau tu orang gila dari hospital bahagia mana yang terlepas. Suka hati rampas barang orang. Orang gila memang perangai macam tu. Selalu aku jumpa!"

"Weh, bila masa kau jumpa orang gila macam tu?" Thia tanya.

"Tu..." Ati muncung mulut arah Thia. Cepat saja Thia baling bantal sofa ke arah Thia.

"Melampau!"

Terus ketawa mereka pecah. 


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co