Bab 7
THIA begitu gembira bermain Teng-teng dengan anak-anak muridnya.
Dia melompat mengikut nombor-nombor yang terlukis di atas lantai.
Kanak-kanak lain beratur dan ikut aksi Thia dari belakang. Mereka semua ketawa dan nampak sungguh gembira ketika bermain.
Ah! Kalaulah Thia juga boleh kembali pada zaman kanak-kanak. Pasti tiada apa yang merunsingkan kepalanya.
Thia rasa loya dengan tiba-tiba.
Dia sendiri tidak tahu kenapa kerap benar dia rasa loya sekarang ini. Sedangkan sebelum ini memang jarang dia rasa begitu.
Thia berhenti di tepi dinding dan berusaha untuk mengawal keadaan dirinya.
Dalam keadaan begitu, Thia rasakan ada tangan kecil yang tarik hujung baju kurung Thia.
Alif rupa-rupanya. Thia cuba senyum.
Thia sedar, Alif antara anak murid yang sangat mengambil berat tentang dirinya. Thia sentiasa berada di dalam perhatian Alif.
Sedikit tidak, Thia rasa juga kasih sayang daripada seorang anak muridnya.
"Teacher Thia sakit ke?"
Soalan Alif membuatkan senyuman Thia semakin lebar.
Sejuk hatinya apabila ada yang mahu mengambil berat tentang dirinya.
Walaupun soalan itu datangnya daripada kanak-kanak yang baru berusia lima tahun, namun Thia sangat berbesar hati.
"Tak..." balas Thia perlahan.
Wajah comel Alif dia tatap. Anak siapalah Si Alif ini? Sangat comel.
Bukan comel saja, bahkan sangat bijak. Pasti orang di sekeliling Alif amat menyayanginya.
"Betul?" Alif seolah-olah tidak percaya.
Dia nampak Thia memang tidak sihat memandangkan muka Thia sedikit pucat.
"Teacher Thia okey..." Thia cuba meyakinkan Alif yang nampak masih kurang percaya. Dia tahu Alif memang bersikap begitu. Sangat mengambil berat.
"Kalau sakit, Alif suruh mama bawa teacher pergi klinik. Sebab mama selalu pergi klinik."
Bersungguh pula Alif mahu membantu.
"Okey, kalau teacher sakit, teacher cakap dekat Alif, boleh?" Alasan untuk tidak melayan Alif.
"Okey. Alif boleh pegang tangan teacher masa doktor cek. Alif selalu pegang tangan mama."
Bertuahnya siapa memiliki anak seperti Alif. Baru Thia teringat akan ibu Alif yang sedang berbadan dua.
Mungkin Alif selalu mengikut ibunya ke klinik menyebabkan Alif tahu keadaan di klinik bagaimana.
"Teacher tunggu Alif la jadi doktor," balas Thia sambil bibirnya tak lekang dengan senyuman.
"Okey. Alif nak jadi doktor."
"Kalau Alif nak jadi doktor, Alif kena belajar bersungguh-sungguh. Bukan senang tau nak jadi doktor. Kena jadi pandai baru boleh jadi doktor."
Thia tolak rambut Alif. Peluh di dahi juga dia sapu perlahan.
Kepada siapa lagi dia hendak menumpang sayang kalau tidak dengan anak-anak muridnya?
Sekurang-kurangnya dapat juga dia membuang rasa rindu terhadap Aiman dan Nurbaya, anak saudaranya yang kini berada di Kelantan.
Terhibur juga dia dengan keletah anak muridnya.
Namun kerana Thia rasa sudah tidak berdaya untuk meneruskan permainan, dia berehat sebentar sambil perhatikan anak-anak muridnya terus bermain. Namun Alif masih menunggu Thia.
"Alif pergilah main. Teacher dah okey." Susah juga kalau dapat anak murid yang terlalu mengambil berat ni.
"Tak apa, Alif nak jaga teacher."
"Eh, mana boleh macam tu. Mana boleh jaga teacher. Teacher dah okey ni. Alif pergilah main..." Thia tolak perlahan badan Alif.
"Tak nak. Alif nak jaga teacher."
Terpaksalah Thia menyambung permainannya. Kalau tidak, sampai sudah Alif akan tunggu di situ.
Namun tidak lama kemudian, Thia rasa loya semula.
Kali ini dia rasa betul-betul hendak termuntah. Terus Thia berlari ke bilik air yang terletak di hujung kelas. Thia muntah di situ. Serentak dengan itu kepala Thia rasa benar-benar sakit.
Thia keluar dari bilik air dengan keadaan lemah. Rasanya dia tak boleh nak menyambung tugasnya hari itu.
"Kenapa Thia?" tanya Cikgu Hazizon sebaik sahaja Thia menghampirinya.
"Saya kurang sihat, cikgu. Rasanya saya tak boleh nak sambung mengajar," beritahu Thia dengan lemah.
"Kamu pergilah berehat dalam bilik rehat dulu. Biar saya yang ambil alih kelas."
Cikgu Hazizon terus saja tinggalkan Thia. Thia atur langkah perlahan menuju ke bilik rehat. Perlahan dia baring di atas lantai sambil menahan kesakitan.
Thia cuba pejam mata. Mana tahu dia boleh terlena. Apabila terlena, dia tidak akan terasa kesakitannya. Namun tiba-tiba dia rasa ada seseorang datang memicit kakinya. Apabila dia buka mata, dia lihat Alif sedang tersenyum.
"Teacher sakit, kan? Biar Alif picit kaki teacher," kata Alif. Thia sekadar tersenyum.
Anak siapalah yang baik sangat ni?
"Kalau dah nak picit sangat, tolong picit kepala teacher. Kepala teacher yang sakit. Bukannya kaki." Sudah terlanjur tunjuk baik, biar Thia suruh saja.
"Oh..." Alif bergerak dan dia duduk di hujung kepala Thia. Dia mula picit kepala Thia. Thia tersenyum apabila tangan kecil itu mula menyentuh kepalanya. Terasa keikhlasan dan terasa kasih sayangnya.
"Pandai Alif picit kepala," puji Thia. Mata sudah terpejam. Asyik Thia dengan sentuhan kecil itu. Walau tak membantu mengurangkan sakit, Thia rasa lega juga. Mungkin kerana sentuhan kasih sayang yang ada pada jemari kecil itu.
"Unckedil selalu suruh Alif picit kepala dia. Unckedil pun selalu sakit kepala."
"Hurm... Unckedil tu siapa?"
"Unckedil tu Uncle Alif. Unckedil handsome tau, teacher."
Kempen bapa saudara sendiri nampak.
"Unckedil pandai melukis. Unckedil lukis gambar Alif. Alif jadi hero. Best!" puji Alif lagi.
"Pandai melukis? Teacher pun pandai melukis."
Thia juga kempen diri sendiri.
"Tapi Unckedil lagi pandai lukis. Unckedil pandai lukis superhero."
"Yalah-yalah..."
Ketawa kecil menyusul selepas itu. Dia nak menangkan Unckedil dia juga.
"Alif, makan dulu..." panggil Cikgu Hazizon yang tiba-tiba muncul.
"Baik..."
Akur dengan arahan, Alif bangun.
"Nanti Alif picit kepala teacher lagi..."
Sebelum tinggalkan Thia, sempat lagi Alif berkata.
"Boleh aje..." balas Thia sambil tersenyum.
Perhatikan saja Alif berlari-lari anak keluar dari bilik rehat. Kemudian Thia tersenyum lagi. Hidup dikelilingi orang yang penuh kasih sayang benar-benar membuatkannya terasa bahagia.
ADIL yang sedang nyenyak tidur di atas katil tiba-tiba terjaga.
Sakit kepalanya menjadi-jadi membuatkan dia cepat-cepat buka mata. Dia cari botol air mineral. Selalunya memang air mineral sentiasa ada di dalam biliknya.
Sudahnya dia terjumpa juga botol mineral yang masih berisi sedikit air.
Dia minum dan campak ke dalam tong sampah yang sudah sarat dengan sampah. Tapi botol mineral tak masuk ke dalam tong sampah sebaliknya jatuh ke atas lantai. Adil tidak peduli. Dia sambung tidur. Kepalanya benar-benar sakit.
Sofia tolak perlahan pintu bilik Adil.
Ketika itu Adil sudah berselimut. Membuak-buak rasa marahnya. Memang dasar tak guna. Dah nak masuk tengah hari masih lagi terbongkang. Kemudian dia menggeleng apabila melihat keadaan bilik Adil.
"Ya Allah, kenapa teruk sangat bilik ni?"
Sofia picit hidungnya. Terus dia pungut semua sampah. Benar-benar dia rasa sangat bengang.
Boleh lagi adik iparnya itu hidup dalam keadaan begitu? Kalau dia tak buat semua tu alamat berulatlah bilik ni. Sudahlah pemalas, pengotor pula.
Selesai keluarkan semua sampah, Sofia terus tinggalkan bilik Adil.
Ikutkan hati memang sudah lama Sofia halau Adil, tapi hendak diapakan lagi? Di mana lagi Adil hendak tinggal? Sedangkan rumah ini juga rumah Adil.
Terpaksalah Sofia hadap. Karang kalau cakap lebih-lebih, buat jadi bahan bergaduh saja dengan suaminya. Umur sudah dua puluh lima, tapi entah bila adik iparnya itu boleh hidup berdikari.
Tidak lama selepas itu, Adil tersedar semula. Kepalanya masih berdenyut. Dia bangun dalam keadaan kusut-masai. Dia cari ubatnya di atas meja yang bersepah tapi tak jumpa. Cari di atas lantai pun tak ada juga.
"Hesy..."
Dia tengok tong sampahnya juga sudah kosong. Botol mineral semua pun dah tak ada. Keadaan sangat bersih.
Laju Adil keluar dari bilik. Ini mesti Sofia sudah bersihkan biliknya masa dia tidur tadi. Bermakna surat rujukan dan semua ubatnya sudah terbuang sekali. Bengang saja Adil. Sudah berapa kali pesan jangan kemas, tapi Sofia kemas juga. Nanti pandai-pandailah Adil kemas.
Dia nampak Sofia bawa plastik sampah ke pintu pagar.
"Kak! Kak Fiaaa! Jangan buang, jangan buang!" laung Adil sambil berlari mendapatkan Sofia.
Sofia yang berdiri di hadapan pintu pagar pandang Adil semacam. Apa hal pula ni? Dengan kusut-masainya. Ke dia ni tengah mengigau?
"Kenapa?" Sofia tanya dengan hairan.
Marah tu usah kiralah. Masuk saja ke dalam bilik Adil tadi, dia memang betul-betul marah. Rasanya tak ada manusia paling pemalas dan pengotor di dalam dunia ni melainkan adik iparnya itu.
Adil sengih dan garu kepala.
"Biar Adil buat."
"Biar Adil buat? Akak jumpa donat yang dah berkulat dalam tong sampah bilik Adil. Dah membiak segala macam penyakit kat situ! Adil kata nak buat? Buat apa? Buat bodoh?"
Suara Sofia sudah mula tidak terkawal. Bercakap dengan Adil, tak pernahnya tak menyakitkan hati. Memang setiap kali bercakap dengan Adil, pasti membuatkan Sofia naik darah.
"Sorry, sorry, sorry. Mintak sini, orang buat." Adil sengih lagi. Adil cuba ambil plastik sampah dari tangan Sofia. Tapi Sofia juga tarik. Mereka berebut plastik sampah seketika.
"Tak payah, tak payah!" Sofia masih tarik plastik sampah.
"Tak apa, kak. Ni kerja orang lelaki ni, kak..." Adil masih berusaha ambil plastik sampah dari tangan Sofia.
"Tiba-tiba kerja orang lelaki? Makhluk mana yang sesat sampuk Adil ni?!" tengking Sofia. Dia pandang Adil dengan jelingan tajam. Peliknya. Bila pula Si Adil ni tahu buat kerja orang lelaki? Bukan ke kerja dia makan tidur saja?
"Kerja orang lelaki ni..." Adil masih berusaha.
"Yek?" Sofia menyindir.
"Ya..." Adil pegang pintu pagar tak bagi Sofia keluar. Sofia bulatkan matanya. Dia letak plastik sampah di atas lantai lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Malas dia nak layan Adil. Gila betul!
"Astaghfirullalazim... Tolonglah bagi aku kesabaran," kata Sofia perlahan dan terus melangkah.
Adil tunggu sehingga Sofia masuk ke dalam rumah. Selepas itu dia buka beg plastik sampah dan terus cari. Keluar makanan semua. Bersepah. Dia buka beg plastik sampah yang satu lagi. Sambil kepit hidungnya, dia mencari sampai jumpa apa yang dicari. Dia keluarkan beg plastik kecil berisi ubat lantas mengambil peket ubat yang ada surat rujukan hospital di dalamnya.
Adil keluarkan beg plastik ubat dan kemas semula semua sampah. Kemudian dia masuk ke dalam rumah.
Sofia masih tercegat di situ. Dia nampak Adil pegang plastik ubat dan nampak ada surat. Cari benda itu rupa-rupanya.
"Kak, lain kali tak payahlah kemas bilik orang. Orang tahu kemas sendiri nanti."
"Kemas sendiri? Kalau nak tunggu kamu kemas, alamatnya tak berkemaslah."
"Orang tahulah. Tu bilik orang."
Menyirap darah Sofia. Dia gigit hujung bibir menahan kemarahan. Adil pula cepat-cepat naik tangga. Malas nak dengar apa-apa lagi. Sekarang ini dia hanya mahu telan ubat sahaja.
Menyesalnya Sofia. Kalau dia tahu, memang tak ingin dia nak kemas bilik Adil. Selepas ini, apa nak jadi, jadilah. Dia takkan jejak lagi kakinya ke dalam bilik Adil. Biar berkulat sekalipun dia takkan ambil tahu lagi. Lantaklah.
Sofia benar-benar marah.
Sampai ke bilik, Adil terus keluarkan ubat-ubatnya. Sebelum itu dia ambil botol mineral dari kotak botol minuman yang terletak di hujung katilnya. Adil telan ubat-ubat seperti yang diarahkan. Kemudian dia lihat surat rujukan. Kalau sakit kepalanya berterusan, nampaknya Adil tiada pilihan. Dia terpaksa ke hospital juga untuk membuat pemeriksaan lanjut.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co