Truyen3h.Co

Terindah Pernah Ada

Bab 11

karyaseni2u

DEBARAN kian terasa. Buat pertama kalinya Iyyad bersemuka dengan orang yang menjadi ketuanya. Sudah tentulah dia nak ucap terima kasih tak terhingga kerana memberi peluang buat dirinya yang langsung tiada pengalaman.

Sesuatu yang akan dia kenang sampai bila-bila. Dia bertekad untuk memberi kesetiaan dan kerajinan. Dia akan cepat belajar tentang selok-belok pekerjaan agar memudahkan urusan mereka. Itulah janjinya. Iyyad lekas bangun menyambut orang yang ditunggu-tunggu.

"Assalamualaikum dan selamat pagi, tuan. Nama saya Hidayad Mifdhal bin Halim. Saya diarahkan untuk menunggu tuan di sini." Penuh semangat dia lontarkan suara. Dah macam seorang askar melapor diri.

Kepalanya masih tunduk ke bawah. Dia hanya mampu memerhati kasut kulit hitam itu. Cita rasa bos memang pelik. Pakai kasut pun macam kasut perempuan.

"Waalaikumussalam."

Aik, suara perempuan? Alamak, first day dah buat silap besar. Lekas Iyyad angkat kepala memandang susuk yang berada di hadapannya. Ah, perempuan rupa-rupanya. Iyyad melemparkan senyuman namun tidak berbalas. Wanita itu cerun memandang wajahnya.

Seperti dekorasi di biliknya, ternyata wanita itu memang menggemari warna yang menutup noda. Ketuanya nampak berkarisma mengenakan kemeja hitam yang dipadankan dengan seluar panjang berwarna hitam serta rambut yang disanggul kemas. Ah, tak kesahlah asalkan hati tak hitam.

Wajah serius itu tegak memandang ke arahnya. Mereka saling memandang antara satu sama lain tanpa sebarang bicara. Tiba-tiba...

'Macam pernah nampak tapi di mana?' getus hati kecil Iyyad. Makin dipandang makin melonjak tinggi perasaan ingin tahu. Ya, dia rasa seperti mereka pernah bertemu tapi tak ingat di mana.

'Mak aiii... Cantiknya mamat ni.' Hati Iftinan membisik mengeyakan kata-kata Hawa tadi. Lelaki yang berdiri di hadapannya lebih menarik berbanding dari dalam foto.

Sepuluh saat berlalu dan masing-masing diam.

"Silakan duduk," pelawa wanita muda itu sebagai mukadimah seterusnya. Dia terus menghenyak punggung perlahan di atas kerusi empuk.

Senyap.

Iyyad melabuhkan duduknya menghadap wanita itu. Hesy, Hawa tak cakap pula ketuanya seorang perempuan. Lagipun tak ada pula tertera nama di depan pintu tadi. Cuma tertulis jawatan sahaja. Harap-harap tak cerewetlah.

"Hidayad Mifdhal!" serunya.

"Ya, saya," jawabnya tenang.

"Ada girlfriend or tunang?" Soalan pertama yang dihamburkan saat mereka bertentang mata untuk memulakan bicara secara formal. Tersentak Iyyad namun dia tetap berlagak seperti biasa.

"Errr... Tak ada, puan," jawab Iyyad jujur. Pelik tapi tak apa. Mungkin soalan itu pembuka bicara!

"Ada plan nak cari?" soalnya lagi. Iyyad ketap bibir memikirkan jawapan. Apa patut dia jawab? Kenapa soalan kedua pun tiada kena-mengena dengan kerjaya? Ah, mungkin bos sedang cuba mengenali anak buahnya. Husnuzon itu baik. Tak kenal maka tak cinta.

"Plan apa, puan?" soal Iyyad kembali ingin sebuah kepastian. Wanita itu menongkat dagu dengan kedua-dua tangan. Renungan tajam dilemparkan. Iyyad cepat-cepat menundukkan kembali pandangan. Aiseh, makin tak seronok dah ni.

"Plan nak cari girlfriendlah. Ada?" Keras nada suaranya.

Iyyad geleng. Perlu ke soalan macam tu? Bukankah itu soal peribadi yang tak ada kaitan dengan jawatan yang dipohon? Iyyad mula curiga. Soalan macam nak interview cari calon suami aje ni.

"Bagus! Tak silap I pilih you," ujar wanita itu sambil tersenyum lebar. Iyyad pun ikut tersenyum sekali. Alahai, senangnya soalan!

"Tapi puan... Apa kaitan ada girlfriend dengan pekerjaan saya?" soal Iyyad dengan kening sudah bercantum. Sungguh, dia memang tak faham. Adakah ini gaya terbaru majikan menguji pekerja baru? Ermmm, boleh tahan.

"Kalau boleh I nak lelaki yang solo rider. Boleh ikut I ke mana saja tanpa alasan dan kerenah. Seseorang yang boleh terima arahan dan buat kerja dengan cekap. Mesti cepat belajar juga. I tak suka yang ada rupa tapi otak kosong. Faham?"

Senyap. Rasanya tak ada masalah. Dia memang ada otak. Lagipun tadi dia sudah berjanji untuk memberikan kesetiaan kepada ketuanya. Sekali dia melaungkan kesetiaan selamanya dia akan terus setia. Percayalah.

"Ada bela pet? Manalah tau kalau-kalau you ada bela biawak Dhab sekandang di kampung ke?" Sinis dia melontarkan kata. Lagi sekali Iyyad geleng kepala. Nak bela diri sendiri pun tersangkut-sangkut takkan nak bela yang lain. Next!

"Muka you ni macam perempuanlah. Sure ke jantina you lelaki?" Selamba Iftinan melontarkan pertanyaan. Iyyad terbatuk kecil.

Erkkk! Air liur ditelan rasa payau. Apa punya soalanlah. Tak nampak ke halkum dia terkeluar dan bergerak-gerak setiap kali dia menjawab? Buta ke? Ke nak tengok dekat-dekat dan raba baru puas hati!

"Saya lelaki. Tulen sangat-sangat! Ni," kata Iyyad seraya menunjukkan halkumnya yang tersembul itu. Wanita itu sembunyi senyum. Oh, tak perasanlah pula. Dia hanya fokus pada sepasang mata yang redup itu.

Dibelek wajah lelaki itu tanpa rasa. Ah... Tajam halkum tu. Tajam lagi seksi. Halkum tu boleh sangkut beg tangannya. Hahaha. Iftinan kemam bibir rapat menahan tawa dan malu sendiri. Dia pula yang nampak benak bertanya soalan tak sepatutnya.

'Aduh... Kenapa aku rasa lain macam ni? Psiko ke dia ni? Dia cari secretary atau jantan simpanan?' Bermacam-macam andaian bermain dalam fikiran Iyyad. Dia telan liur apabila wanita itu tak putus-putus merenung wajahnya.

Makin galak wanita itu membelek setiap inci wajahnya. Allah, selamatkanlah insan yang lemah ini. Wanita itu terus bangun mendekatinya. Makin lama makin dekat.

Bau haruman minyak wangi semerbak mencucuk hidungnya. Jiwanya mula libang-libu. Dia tak berani nak membalas pandangan cerun wanita itu.

"Hei, cuba you tutup mulut you. Tutup macam ni," arah Iftinan sambil menunjukkan gaya untuk ditiru. Iyyad patuh tanpa banyak soal.

Tercengang. Macam sama tapi bukan!

Iftinan tidak berpuas hati lalu dia sendiri meletakkan tangan dengan jarak sejengkal untuk mendapatkan kepastian. Wajah itu familiar!

"It's you!" Tiba-tiba melantun kuat suara wanita itu memecah kesunyian.

"Hah?" Iyyad urut dada lantas terkejut dengan suara nyaring yang menyembur tepat ke wajahnya. Tiba-tiba saja wanita itu melonjak kegembiraan seakan-akan menggenggam sebuah trofi.

Dengan mata membuntang dan bibir hitam, wanita yang berdiri di sebelahnya kelihatan agak menyeramkan. Terjegil-jegil biji matanya saat merenung ke wajah Iyyad. Macam nak telan dirinya.

"Kan? Macam mana I boleh tak perasan tadi? It's you... you and you! Hahaha," sambung wanita itu lagi dengan tawa kuat. Dia punya seronok tu lain macam. Seram, noddd! Mengilai serupa harum sundal. Nauzubillah.

"Ssa... saya ke?" Keyakinan Iyyad mula goyah tatkala jari telunjuk wanita itu menuding tepat ke arahnya dengan wajah geram.

Sekejap gelak, sekejap kemudian tunjuk muka geram sehinggakan dia sendiri keliru. Apa salahnya? Dia ada buat salah ke?

"Tak payah susah-susah I nak cari you. Finally you sendiri datang serah diri. Wah... Hari tu bukan main lagi berlagak nak mampus. Seronok pedajal harta benda orang awam? No... Lebih tepat harta benda I," soalnya geram sambil mencekak pinggang.

Iyyad ketap bibir cuba mengingat kalau-kalau mereka pernah bertemu sebelum ini. Neh, dia jarang terserempak suku sakat harum sundal. Diperhatikan wajah itu sekali lagi. Neh! Neh! Neh!

Nope. Ini kali pertama mereka bertemu. Yakin! Dia tak ramai kawan perempuan tapi yang ada semua baik-baik, sopan dan waras. Tak adalah gila macam sekor ni.

"Kenapalah dunia ni selalu memihak pada I? Maybe sebab I perempuan.... or bila dunia di penghujung zaman... apa dosa yang kita buat... semua cash balasannya. Sebab itulah Tuhan hantar you kat sini. Matilah you. Big mistake!"

Blurrr!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co