Truyen3h.Co

Terindah Pernah Ada

Bab 3

karyaseni2u


Pertemuan pertama selalu kebetulan bukanlah pilihan.


OPOCOT mak kau! Terangkat bahu kedua-duanya. Lori treler mana pula yang sedekah hon kuat ni? Mahu pekak sekampung macam ni. Belum sempat mereka ke kiri jalan, sekali lagi mereka dikejutkan dengan bunyi yang panjang.

PPPIIINNN!!!

Agaknya pemandu kereta tekan hon pakai tumit kut. Sehabis tekan bagai melepaskan geram. Punyalah kuat dan panjang. Bingit dan boleh sakit jantung tau!

Hampir terjelepok mereka ke dalam bendang. Mujur sempat menekan brek. Mentang-mentang besar, sesuka hati buli yang kecil. Roman wajah Syed terus berubah. Dia terus mengayun langkah.

"Hoi, ingat jalan ni bapak you punya ke?" Suara dari dalam kereta agak tinggi nadanya. Keras! Lebih pada menengking. Bikin panas hati Syed dengan sindiran tuan punya kereta. Uinaaa... Main bapak-bapak pula. Kurang ajar tahap gaban!

Pakai kereta dengan cermin sekeliling bertinted gelap memang beranilah maki hamun orang kampung. Turunlah kalau dah berani sangat.

"Hoi, jalan sini mana boleh bawak laju!" Syed terus bersuara.

"Ha... Sini jalan kampung!" Iyyad menyokong lalu terus turun dari motor. Syed terus berjalan menghampiri kenderaan itu sambil membebel. Kalau tadi dia bersabar kini marah dan geram sudah bercampur aduk. Baru nak menjengoi melalui tingkap yang terbuka sedikit, Iyyad cepat-cepat menahan.

"Dah. Dah. Bawak bersabar. Kita yang salah tadi." Lekas Iyyad cuba meredakan keadaan. Kalau tidak dihalang mungkin mulut kedua-duanya akan terus berbalas kata dan berlanjutan.

Sebelum orang kampung datang berkerumun lebih baik selesaikan cepat-cepat. Bergaduh dengan perempuan bukan penyelesaian. Lagi pula dia kenal sangat perangai Syed ni. Orangnya bukan jenis penyabar sangat.

"Kami yang salah, kak. Mintak maaf, ya," sambung Iyyad kepada si pemilik kereta yang wajahnya tidak kelihatan. Hanya suara keras yang melantun keluar dari celah tingkap yang terbuka sedikit.

"Menyusahkan orang betul! Hoi, lain kali kalau nak bergatal check in hotellah. Bodoh punya orang!"

Berdesup! Terus laju kereta besar berwarna hitam itu memecut pergi meninggalkan asap di udara. Itulah habuannya bila terlebih bergurau di tempat awam.

Terkedu.

Terkesima!

Pertama sebab dianugerahkan title bodoh. Kedua sebab tak mampu nak ligan kerana mereka cuma mampu berbangga dengan motor kapcai.

Itulah pentingnya ada duit. Baru boleh tunjuk berlagak berkilo-kilo jauh perginya. Yang duduk di belakang hanya telan asap dan menggigit penumbuk sendiri!

"Kurang ajo punya perempuan. Dahlah masuk kampung kita salam pun tak bagi. Hormatlah sikit tuan tanah. Kalau aku jumpa sekali lagi, aku pancitkan empat-empat tayar dia tu. Biar dia balik kayuh pakai kaki." Terkumat-kamit Syed tak berhenti membebel.

Iyyad memerhati dari jauh sehingga kenderaan itu hilang di penghujung jalan. Kemudian dia membelek motor kesayangan. Mujur dia sempat tekan brek. Kalau tidak mesti mereka berdua sudah tergolek dan mandi selut dalam bendang. Kalah filem Hindustan.

"Dia suruh kita check in hotel, Yad! Kepala bana punya perempuan! Eee, kecik besor kecik besor aku tengok kereta tu."

"Biarkanlah. Dia nak cepat kut." Jawapan itu bagaikan memujuk hati Syed yang masih kepanasan. Dia pun panas juga tapi malas nak panjangkan isu.

"Hmmm... Geng mak cik tua memang kalut bawak kereta. Macam dia sorang ada lesen kat Malaysia ni! Pulak tu suara pun kurang berlemak dah. Kuat meroyan. Kalau hang tak tahan aku tadi, memang aku nak patah-patahkan wiper dia. Biar sengsara dia memandu dalam hujan." Syed terus membebel.

Diam.

"Aku dah habaq tadi jangan hegeh sangat, kan! Salah hanglah ni." Akhirnya Iyyad bersuara meletakkan semua kesalahan kepada Syed supaya lelaki itu diam.

Syed garu belakang kepalanya.

"Aik... Aku buat salah apa?" Hujung kening Syed terangkat. Terang-terang tak mahu mengaku salah. Iyyad merenung sinis pada Syed sambil mengecilkan kelopak mata. Amboi, buat-buat lupa pula!

"Kalau hang tak peluk aku, tak cuit pinggang aku tadi, motor tak melelong tau. Tak pasal-pasal kena cap bodoh."

"Bodoh tak apa lagi. Aku boleh terima lagi. Bila dia suruh kita check in hotel tu yang bikin geram. Bernanah telinga aku. Dia ingat kita ni kaum sodom? Nafsu aku masih lurus. Seumur hidup tak pernah aku usung pompuan atau jantan pi hotel. Silap besar mak cik tu. Dia ingat muka handsome stok kampung macam kita ni kunyit hidup ke? Kut la nak mintak maaf. Harammm! Binawe sungguh. Sakit pulak hati aku." Syed genggam penumbuk. Sudahnya dia gigit penumbuk sendiri. Geram.Grrr.

Iyyad tenung wajah Syed. Syed kalau tengah marah mulutnya riuh macam ayam jantan. Telur cuma sebiji tapi riuhnya sekampung.

Itu belum kira saat berkepak-kepak dadanya ketika bercerita perkara yang dia tau. Waktu itu dia akan bercakap tanpa henti. Pendek kata Syed jenis manusia tak mahu kalah. Huh, tak padan dengan punggung yang kecil tu. Mujurlah dia ngam dengan perangai Syed.

Mereka berkawan sejak sekolah rendah sampailah menengah. Bersunat pun sekali tau! Menikah saja belum tahu siapa antara mereka akan mencemar duli dahulu.

"Jom. Mak Piah dah tunggu tu. Biar aku pulak yang bawa. Tangan aku ni merenyam satu macam ja macam nak penampar orang. Mesti sebab semalam aku makan keladi masak lemak banyak sangat," omel Syed serius saat terkenangkan hinaan tadi.

Iyyad terus mengesot punggung ke belakang dan membiarkan Syed melompat naik duduk di depan. Kali ini dia lebih selesa mengunci rapat kedua-dua belah tangan di belakang.

Sesekali dia tersenyum sendirian mengenangkan perangai gila Syed. Wayar putus sikit tapi baik orangnya. Member jenis kepala masuk air ni memang menghiburkan walaupun kadang-kadang bikin panas telinga nak menahan bebelannya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co